28 Februari 2011

BISA SENGAT IKAN KELI

Ikan keli kini banyak diternak bagi tujuan komersial samada melalui ternakan kolam ataupun kanvas.
Menu untuk masakan ikan keli ini turut dipelbagaikan bertujuan samada untuk melariskan perniagaan terutamanya pada pemilik restoran ataupun resepi yang digubah sendiri bagi memenuhi citarasa.

Bagi penggemar ikan air tawar spesis ikan seperti ikan keli, haruan dan belut, ramai yang percaya lendir yang terdapat pada ikan ini mempunyai khasiatnya yang tersendiri terutamanya untuk merawat penyakit kulit.Ikan haruan pula diakui mujarab untuk menyembuhkan luka selepas pembedahan.Khasiatnya juga terdapat pada lendir ikan haruan kerana itu ia disediakan atau dimasak sup dan dihidangkan pada pesakit.Sekiranya digoreng atau dipanggang/bakar maka khasiatnya sudah tiada lagi kerana lendir tersebut sudahpun hilang.

Timbul keraguan apakah khasiat ikan keli atau ikan haruan yang diternak dengan ikan keli/haruan yang hidup di dalam paya atau sungai.Jika kita lihat ikan yang dijual di pasar sekiranya ikan haruan yang ditangkap di paya atau sawah harganya juga lebih mahal dari yang dipelihara di kolam.Bentuknya juga sedikit berbeza yang mana ikan haruan paya lebih kecil dan lebih gelap dari haruan kolam.Jika ditanya pada peniaga yang jujur mereka akan berkata "kalau nak buat ubat (lepas pembedahan) lebih baik beli yang paya..walaupun mahal sedikit tapi khasiatnya lebih baik".

Pengalaman disengat ikan keli sewaktu tinggal di kampung membuatkan aku amat berhati-hati dengan ikan ini.Waktu zaman kanak-kanak dulu kami sering memancing atau mengikut orang tua untuk menangkap ikan keli di paya.Sewaktu menangkap ikan keli perlu berhati-hati di mana sengatnya perlu dicekak dengan kedua-dua jari sambil memegang kepalanya kerana apabila ditangkap ikan keli akan menggelupur dan ketika inilah akan terkena sengatnya.Walaupun telah banyak kali berjaya menangkap ikan keli tanpa disengat tetapi aku tetap tewas padanya apabila satu hari sengatannya hinggap pada jari aku.Dalam beberapa minit sahaja bisanya menjalar hingga ke ketiak dan sakitnya terasa hinggakan terasa sebelah tangan bagaikan tidak dapat diangkat.Sewaktu di dalam hutan ubat paling mujarab untuk menghentikan pendarahan biasanya kami gunakan "daun pokok kapal terbang" dengan meramasnya dan ditekapkan pada luka namun ia tidak mampu melawan bisa sengatan ikan keli.

Aku agak terkejut apabila melihat penjual ikan di pasar dengan selamba memegang ikan keli yang masih hidup tanpa perlu mencekak sengatnya sebagaimana yang biasa kami lakukan di kampung dulu.Oleh kerana aku pernah 'merasai' bisa sengatannya maka aku tidak berani memegangnya lagi ketika di pasar kecuali yang telah mati.Aku bertanya pada penjual ikan "tak takut kena sengat ke?" jawapan mereka juga agak mengejutkan "Bukan sakit sangat macam kena cucuk jarum je..berdarah sikit lepas tu sapu je..hilanglah".Aku masih belum berpuashati "tak bisa ke sengat dia?".Sambil tersenyum dia menjawab "Ini ikan keli kolam mana bisa, kalau ikan keli paya tu yelah bisa..tengoklah keli kolam makan apa, keli paya makan apa".Selepas itu aku cuba memegang yang masih hidup ternyata ia tidak seagresif ikan keli paya dan sengatnya tetap tajam cuma mungkin tidak berbisa.

Dengan penjelasan tersebut maka timbul persoalan apakah khasiat yang ada pada ikan keli kolam?.Sumber makanannya adalah dari pallet yang diberi berbanding dengan ikan keli paya sumber makanannya pasti dari apa yang diperolehi dari habitat dan persekitarannya.Khasiat ikan keli atau ikan haruan adalah dari lendirnya dan terbentuk dari apa yang dimakannya.Justeru itu apa yang kita makan hari ini adakah berkhasiat atau hanya sebagai penyedap selera dan sebagai pelengkap hidangan.

ozzy - keli kampung vs keli bandar..orang kampung vs orang bandar..bisanya tak sama.

24 Februari 2011

BILA MENANTU SEORANG BLOGGER

Pasti ramai antara kita masih ingat antara dialog popular dalam filem Kassim Selamat arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramle yang berbunyi "Siapa Kassim Selamat Lawyer? Magistrate ? lalu di jawab oleh anaknya Sabariah "Ahli Muzik".dan dibalas oleh ibunya "Ahli Muzik?.. memang pantang datuk nenek aku dengan ahli muzik..anak tidak mengenang jasa".

Kita semua sedia maklum zaman ini hidup kita banyak dipengaruhi oleh dunia IT.Justeru itu banyak masa kita dihabiskan dengan mengadap komputer dan melayari internet.Namun generasi terdahulu yakni golongan yang lebih tua contohnya mak ayah atau mertua kita ramai yang masih buta dengan dunia IT.Apabila segala maklumat tersebar melalui  IT yang membawa maksud dunia tanpa sempadan golongan terdahulu merasakan segalanya tidak lagi penting buat mereka apabila memikirkan 'rumah kata pergi kubur kata mari' maka segala perkembangan dalam dunia IT tidak lagi menarik minat mereka untuk explore lebih jauh.

Hari ini apabila anak menantu sibuk mengadap komputer mertua hanya mamandang sambil berkata dalam hati " busy betul anak menantu aku siang malam mengadap komputer..bisness banyak masyuk kot ".Ibu Mertua sibuk di dapur menyediakan masakan menantu pula terperap dalam bilik melayan komputer.Berkunjung ke rumah menantu, ibu mertua juga yang sibuk di dapur.Demi menjaga hubungan baik maka perasaan buruk sangka dibuang jauh-jauh meskipun dalam hati terdetik persoalan "sibuk sangat ke menantu aku ni..sampai langsung tak ada masa nak sembang dengan aku ni".

Apabila tiba masanya seiring dengan peningkatan usia maka akan berlaku peralihan zaman, setiap yang bernyawa akan kembali kepada penciptanya apabila tiba ajalnya.Yang muda akan berganjak menjadi tua dan akan tiba masanya dari seorang menantu kita pula akan terima menantu.Jika dahulu mertua tidak tahu apa yang menantunya lakukan ketika leka mengadap komputer, mertua akan datang pula lebih masak dengan apa yang menantu mereka lakukan di depan komputer.

Mertua akan datang lebih arif dan masak dengan dunia IT.Mereka lebih dahulu menempuh asam garam dalam dunia IT yang kadangkala dirasakan boleh melekakan.Mereka lebih dulu merasai apa itu facebook dan mereka juga mungkin pernah menempuh saat suka dan duka apabila bergelar seorang blogger.Pastinya perasaan mereka turut berbeza apabila melihat menantu terperap di dalam bilik sedang leka mengadap komputer.Apabila diselidik "oh...menantu aku seorang blogger rupanya".Pastinya apa yang bermain dalam fikiran menantunya sibuk untuk update blog apatah lagi jika dia sendiri seorang blogger dan berjaya mengesan menantunya aktif mengupdate blog sehingga lima entry sehari!! belum dikira masa untuk blogwalking dan belum lagi dikira masa untuk melayan facebook..."Bila masa menantu aku ni buat kerja rumah, membasuh,memasak,kemas rumah? hmmm...hampeh"

Apakah persoalan ini akan menjadi salah satu kriteria dalam memilih menantu meskipun ramai yang tahu ada yang memperolehi pendapatan sampingan yang lumayan melalui blog tetapi adakah ramai yang setuju melihat banyak masa menantunya dihabiskan di depan komputer atau apakah dialog ibu mertuaku akan berubah menjadi "Blogger ?..memang pantang datuk nenek aku dengan seorang blogger"...

ozzy - lambat lagi terima menantu...

22 Februari 2011

JANGAN PILIH JALAN HITAM

Dalam kehidupan ini ada kalanya kita melalui saat-saat atau detik yang mengecewakan.Mungkin kerana kita gagal mencapai apa yang kita impikan atau yang kita hajati.

Apabila berhadapan dengan masalah mungkin ramai antara kita memilih jalan mudah untuk melupakan masalah tersebut meskipun kita sedar tindakan tersebut hanya dapat melupakan masalah hanya dengan seketika.Setiap manusia juga pastinya mempunyai cara tersendiri apabila berhadapan dengan masalah.

Ada yang mencuba dengan berbagai cara untuk mengatasi masalah tersebut atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban yang menimpa.Ada yang gemar berkongsi dengan orang lain seperti rakan umpamanya dengan meluahkan masalah yang terpendam.Cara ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan sedikit beban yang di tanggung meskipun ia bukan jalan penyelesaian yang mutakhir.Namun jika kita memilih cara ini pastikan rakan atau individu tersebut adalah orang yang boleh kita percayai.

Walau apa jua caranya pastikan jangan pilih jalan hitam (tetapi tidak salah kalau pilih kambing hitam asalkan jangan jadi kambing hitam) kerana ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah malah mungkin menambahkan lagi masalah yang sedia ada.Sikap orang muda yang kurang sabar dan kurang pertimbangan menyebabkan ramai antara mereka cuba lari atau melupakan masalah dengan memilih untuk berkunjung ke pub untuk minum arak, mengambil dadah atau lari dari rumah.Dengan mengambil dadah atau minum arak masalah hanya hilang untuk seketika kerana ketika itu kewarasan kita turut lenyap.Untuk seketika kita berjaya menghilangkan masalah tapi apabila diri kita kembali stabil masalah tetap wujud di tempatnya dan kembali menghantui hidup kita..maka kita kembali mengulangi perbuatan yang sama dan akhirnya jadilah kita sebagai seorang penagih.

Berhadapan dengan beban masalah yang bertimpa-timpa membuatkan ramai antara kita mengeluh dan implikasinya boleh menyebabkan hilang selera makan.Kesannya kita menjadi murung, gangguan emosi dan akhirnya ditimpa pula penyakit..timbul satu lagi masalah kerana kita perlu mencari jalan untuk mengubati pula penyakit tersebut.

Justeru itu ingatlah bahawa setiap manusia tidak dapat lari dari berhadapan dengan masalah.Jika kita merasakan beban masalah kita amat berat mungkin beban yang ditanggung oleh orang lain lebih berat dan lebih hebat dari apa yang kita sedang kita alami.Terdapat banyak lagi cara yang lebih baik untuk kita berhadapan dengannya.Apa jua tindakan yang bakal kita lakukan pastikan ianya tidak memudaratkan diri kita dan tidak menyusahkan orang lain.Mungkin ada antara kita juga gemar mengheret orang lain untuk turut serta berkongsi masalah yang berpunca dari diri kita sendiri. Tindakan sebegini hanya mengundang persepsi buruk orang lain terhadap kita menyebabkan orang lain mula menjauhkan diri maka tanpa kita sedari kita sebenarnya menghimpunkan lagi masalah demi masalah.

Berusahalah untuk menghadapinya dan jangan kita lupa untuk berdoa dan memohon bantuan dengan Allah yang maha esa kerana sesungguhnya Allah maha penyayang lagi maha mengasihi.Setelah berusaha untuk mengatasinya selebihnya kita berdoa dan bertawakkal kepadanya... insyaallah... ceria-ceriakan dirimu.

ozzy - Tidak lepas dari dilanda masalah...gambar dengan kambing bakar tu hanya sekadar hiasan masa sambut harijadi boss last week.

WANG DERMA

Biasanya apabila kita berkunjung ke masjid atau surau terutamanya golongan lelaki pasti kita nampak tabung untuk derma duit samada untuk tujuan penyelengaraan masjid atau dibuat simpanan untuk digunakan apabila diperlukan.Samada tabung ini ditempatkan di pintu masuk atau pihak AJK masjid akan membawanya mengikut deretan saf bertujuan untuk mengutip derma dari para jemaah terutama ketika sembahyang jumaat.

Bagi penganut agama lain mereka diminta untuk membayar mengikut jumlah yang telah ditetapkan berbeza dengan kita yang memberi sumbangan dengan seikhlas hati.Apabila dikatakan seikhlas hati maka berapapun nilai sumbangan yang kita berikan tiada siapa yang akan pertikai kerana kita katakan sumbangan tersebut adalah ikhlas dari kita.

Jika dahulu sering kedengaran bunyi duit syiling memasuki tabung apabila tabung tersebut mula 'bergerak' tapi hari ini sudah jarang sangat kedengaran bunyi syiling itu.Mungkin ketika itu kerana ada duit syiling satu ringgit bermakna jika kedengaran bunyi duit syiling kita beranggapan mungkin syiling tersebut adalah duit satu ringgit. Hari ini kalau tabung tersebut berbunyi syiling pasti ada yang akan memandang siapa pemberinya.

Jika wang kertas nilai yang paling rendah juga adalah duit satu ringgit.Tiada beza jika masukkan wang kertas satu ringgit dengan duit syiling satu ringgit kerana nilainya adalah sama hanya bunyi sahaja yang tidak akan kedengaran.Kerana itu duit paling banyak yang kita dapat lihat di dalam tabung adalah duit satu ringgit.

Teringat pada cerita P.Ramlee Nujum Pak Belalang yang menjawab soalan ke 3 dan jawapannya adalah kahwin.Jawapan lain selain dari kahwin adalah Wang Derma ini ..sebabnya

1 - Banyak-banyak - Duit yang bewarna biru dan bernilai satu ringgit itulah paling banyak.Jika dulu banyak yang kita lihat duit syiling tapi sekarang kita dah segan sebab kalau masukkan duit syiling orang akan dengar.
2 - Sikit-sikit - Duit berwarna hijau bersamaan dengan nilai lima ringgit kita cuma dapat lihat sikit-sikit sahaja.
3- Kadang-kadang - Kadang-kadang sahaja kita akan dapat lihat duit yang berwarna merah bersamaan dengan nilai sepuluh ringgit.
4- Jarang-Jarang - Jarang-jarang sangat kita dapat lihat duit lima puluh sekeping di dalam tabung tersebut dan amat susah-susah kalau nak tengok duit kertas seratus ringgit.

Mungkin ia hanya dialog di dalam sebuah lakonan tetapi memberi makna.Walau apapun jawapannya kita tetap beranggapan keikhlasan itu penting dan niat juga kerana Allah...itulah yang sering kita ucapkan.Kita kata kalau derma beribu pun tetapi kalau niat hanya nak menunjuk apa gunanya.Kita kata lagi "bagi sikit orang mengata ...bagi banyak pun orang mengata".

Ada orang kata " Rokok sekotak harga 8 ringgit hari-hari kau beli tapi derma kat masjid seminggu sekali seringgit je kau beri "...erkk apa nak jawab..hhmmmm.

ozzy - Ada lebih beri lebih..ada sikit beri sikit..tak ada hari ni lain kali boleh beri.

21 Februari 2011

HIDUP IBARAT RODA IMPIAN

Pasti kita semua biasa mendengar ungkapan " hidup bagaikan roda..ada masa kita di atas ada masa kita di bawah "Sebagaimana janji Allah kepada semua manusia di muka bumi ini bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan akan menerima pembalasan darinya samada di dunia mahupun di akhirat dan ingatlah ada masanya Allah akan balas segala perbuatan kita secara tunai.

Apabila disebut hidup ibarat roda mungkin ada antara kita yang membayangkan sebuah roda yang berputar contohnya roda kereta atau roda motorsikal.Kalau roda kereta apa yang kita nampak? hanya beberapa tulisan halus yang mencatatkan specifikasi tayar tersebut.Begitu juga dengan roda motorsikal mungkin bezanya samada ia menggunakan sport rim ataupun jejari.

Jika ingin membayangkan sebuah roda yang memberi maksud pada ungkapan tersebut dengan jelas adalah dengan melihat contoh pada roda impian.Terkandung berbagai pecahan yang mencatatkan peristiwa berbeza yang bakal kita alami dalam kehidupan ini.Hari ini mungkin kita sedang gembira apabila roda tersebut berhenti di ruang yang mungkin tertulis "boss menaikkan pangkat dan gajimu..seseorang akan menghadiahkan kamu sebuah jam tangan bernilai 3 ribu ringgit".

Hari esok mungkin perjalanan hidup kita berbeza apabila roda tersebut berhenti di ruangan yang mungkin tertulis " ketika memandu kamu membaca sms dan menyebabkan kamu terlanggar sebuah kereta.Tuan punya kereta menuntut ganti rugi sebanyak 2 ribu ringgit..ketika berjalan-jalan hand set kamu yang bernilai 1200 ringgit tercicir dan tidak dapat di kesan "

Begitulah dengan hari seterusnya roda tersebut akan terus berputar tanpa kita ketahui di ruangan manakah roda tersebut akan terhenti.Hari ini mungkin kita mengata, menghina atau menganiaya orang lain, mungkin hari esok sekiranya Allah ingin membalas perlakuan kita secara tunai maka kita juga akan terima pembalasan atas apa yang kita lakukan malah mungkin lebih teruk dari apa yang kita lakukan pada orang lain.

Mungkin hari ini kita gembira dengan wajah yang cantik, tenaga yang kuat , wang yang banyak serta anggota badan yang sempurna semuanya tapi hari esok belum menjamin segalanya kekal sebagaimana yang kita kecapi hari ini.Mungkin esok kita meratap hiba apabila sebelah kaki kita hilang kerana terpaksa dipotong atau ditimpa kemalangan.Tiada siapa yang dapat menentukan dan memastikan roda tersebut sentiasa berhenti di ruang yang menggembirakan kita.

Hanya Allah sahaja yang tahu dan menentukannya..

ozzy - hanya mampu berdoa..

20 Februari 2011

SALINGSAPA SAINGAN FACEBOOK

Sekian lama laman sosial facebook bertapak kukuh tanpa ada saingan kini tampil satu laman yang mirip dengan konsep facebook.
Menariknya Ia dicipta oleh seorang pelajar berusia 13 tahun bernama Muhamad Yahya Harlan yang belajar di Sekolah Alam Bandung Indonesia.


Meskipun rupabentuk dan konsep ciptaannya diasaskan berdasarkan facebook tetapi terdapat sedikit penambahan yang dibuat pada struktur laman tersebut antaranya siaran radio dan pembahagian mengikut kategori seperti ruangan mendengar ayat suci Al-Quran lengkap dengan terjemahannya dan rakaman ceramah dari ustaz yang terpilih.

Sementara ciri-ciri lain masih menyerupai sepertimana yang terdapat di dalam facebook seperti ruangan foto, video , even , group dan lain-lain kecuali ruangan chatting atau ruangan 'friend on line'.Berdasarkan applikasi yang dibangunkan ini beliau yang dibantu oleh ayahnya cuba menerapkan ciri-ciri islamik ke dalam laman sosial ini.Konsep yang cuba diperkenalkan selain untuk menambah kenalan, mereka turut menekankan dan memberi galakan pada pengikutnya untuk belajar dan mendalami ilmu agama melalui ruangan yang disediakan.Dalam erti kata lain ciptaan ini cuba mengajak pengikutnya ke arah jalan kebaikan setelah ramai yang memperkatakan tentang keburukan facebook.

Bagi yang telah mendaftar pasti mereka akan merasai sedikit kelainan pada 'fronpage' laman Salingsapa (community activities) di mana akan kelihatan deretan teman lain yang tidak anda kenali muncul bersilih ganti dan setelah diamati aku beranggapan ciri-ciri ini lebih disukai oleh golongan muda atau remaja.Setting atau susunan pada wall Salingsapa ini juga sedikit menyerupai seperti laman sosial MySpace.Di Bahagian tepi sebelah kiri turut di letakkan 'widget people online' yang memaparkan jumlah pengunjung sementara di bahagian bawah turut memaparkan 'hitcounter' sepertimana yang sering digunakan oleh blogger.

Mungkin 'produk' ini baru saja dilancarkan maka proses penambahbaikan sedang dipantau oleh mereka yang terlibat.Apapun tahniah atas usaha mereka yang berjaya mewujudkan laman web ini meskipun masih lagi terdapat beberapa kekurangan.Bagi yang berminat untuk tahu lebih lanjut boleh klik di SINI.

Bagaimana pula dengan negara kita Malaysia?.Tidakkah ada antara kita yang rasa tercabar apatah lagi ia dihasilkan oleh seorang pelajar yang hanya berusia 13 tahun.Mungkin sedikit masa lagi akan muncul facebook versi Malaysia yang dihasilkan oleh anak muda tempatan.Negara kita juga tidak kurang hebatnya dengan barisan pakar IT atau mungkin ia juga akan turut dihasilkan oleh pelajar kita atau anak-anak kita.Sama-sama kita nantikan kemunculannya.Bagi yang berminat untuk mencuba mungkin sedikit tips yang diberikan di SINI dapat membantu.

ozzy - pernah dengar 'facecrook' di Malaysia..

17 Februari 2011

SAMA TAPI TAK SERUPA

Sebelum ada yang keliru aku ingin maklumkan bahawa antara aku dengan empunya produk ini adalah BUKAN orang yang sama.
Kami menggunakan nama yang sama tetapi membekalkan product yang berbeza.Mungkin beliau mempunyai sebab atau alasannya yang tersendiri kenapa beliau memilih untuk menggunakan nama ozzy.

Pada yang sudah mengenalinya atau sesiapa yang ingin mengetahui produknya boleh singgah di blognya di http://ozzyorange9768.blogspot.com/. Terdapat berbagai resepi yang menarik boleh anda temui di blognya.Lokasinya terletak di Seri Kembangan sementara aku pula di Petaling Jaya.

Beliau membekalkan berbagai jenis kuih dan kek sementara aku membekalkan produk serai wangi jenama OZZY.
Di harap dengan penjelasan ini tidak ada yang keliru diantara dua jenama ini dan kami juga tidak mengenali antara satu sama lain.Walau apapun aku tetap menyokong usahanya untuk mengembangkan bisnessnya meskipun melalui blog dan semoga produknya laris dan maju.

Entry ringkas untuk kali ini (pinjam pc rakan) dan aku kembali berehat kerana masalah laptop aku masih tidak selesai sejak minggu lepas.Laptop langsung tak boleh start dan appear mesej " HDD problem".HDD atau Hard Disc Drive ni ibarat jantung manusia kalau tak boleh berfungsi bermakna anggota lain juga tak dapat berfungsi.

Sehingga hari ini masih menunggu boss decide samada nak ganti Hard Disk baru atau nak order lappy baru...lamanya mikir.Tadi boss kata " you choose which model you want and pass to me but only brand Dell ".Ada sesiapa boleh rekemen apa model yang paling power?...any suggestion base on your's experience?.

Terima kasih pada rakan-rakan yang sudi berkunjung.Insyaallah aku akan kembali aktif sedikit masa lagi sekiranya masa mengizinkan dan membalas kunjungan rakan-rakan.

ozzy - boss baru beli laptop untuk dia tapi guna brand Apple..fuhh mmg slim tapi harganya hmmm...

16 Februari 2011

SAFEE SALI KINI BERGELAR SASA

Selepas menjuarai piala AFF Suzuki Cup nama penyerang utama negara Safee Sali mula meniti di bibir peminat di Indonesia dan menjadi buruan kelab di sana untuk mendapatkan khidmatnya.
Pemain yang berusia 27 tahun dan menyarung jersi negara dengan memakai jersi nombor 10 pernah dilabel setanding dengan lagenda bolasepak negara Allahyarham Mokhtar Dahari.

Setelah perbincangan dibuat melalui wakil yang dilantik akhirnya majikannya Persatuan Bolasepak Selangor FAS mengumumkan Safee Sali kini disahkan akan bermain dengan kelab Pelita Jaya, sebuah kelab yang berpengkalan di Karawang, Jawa Barat.Kelab tersebut kini menghuni tangga terbawah dalam liga super Indonesia, kerana itu khidmat Safee Sali amat ditagih untuk mempertajamkan bahagian serangan sekaligus diharap dapat menjaringkan gol untuk menaikkan semula nama kelab tesebut.Melalui persetujuan tersebut bermakna Safee kini terikat dengan kelab tersebut sehingga penghujung tahun ini.

Dengan perpindahan ini bermakna beliau adalah pemain pertama dari negara malaysia yang mewakili kelab dan bermain di Indonesia.Meskipun ada yang tidak setuju dan mempersoalkan tindakan beliau berhijrah ke kelab tersebut namun pastinya pihak pengurusan mempunyai alasan tersendiri kenapa kelab tersebut dipilih antaranya kelab tersebut tidak mempunyai penyerang berkaliber sekaligus memberi peluang kepada penyerang ini untuk diturunkan dengan lebih kerap dan diharap dapat mengekalkan prestasinya.

Sebagai rakyat Malaysia pastinya kita merasa bangga apabila ada anak tempatan menjadi pilihan dari kelab negara luar untuk mewakili kelab mereka.Ini membuktikan pemain kita juga berkebolehan dan setanding dengan negara lain khususnya di rantau Asia Tenggara.Di sebalik kecaman dan cemuhan dari peminat tempatan, pemain kita membuktikan dengan kesungguhan dan latihan yang berterusan mereka juga boleh mempamerkan skill dan mutu permainan yang berkualiti.Malaysia boleh...

Petanda positif kehadiran beliau diterima oleh peminat bolasepak di sana adalah nama beliau kini bertukar dengan gelaran SASA ringkasan dari SAfee SAli.Pastinya gelaran ini membuka dimensi baru dalam kamus hidupnya sebagai pemain yang tidak lagi dibayangi sebagai pemain di dalam Liga Piala Malaysia.Apapun walau kemana jua hala tujunya apa yang penting adalah gaya dan kualiti permainannya diharap akan terus meningkat kerana khidmatnya dalam pasukan negara amat diperlukan.

Aku sebenarnya begitu mengharapkan untuk melihat aksinya bergandingan dengan seorang lagi penyerang berbisa negara Aidil Zafuan suatu hari nanti.Dari pemerhatian, aku beranggapan kedua-duanya mempunyai penyudah yang tajam dan bijak menghidu peluang apabila berada di depan pintu gol.Justeru itu aku berpendapat tidak syak lagi gandingan mereka berdua bakal memberi ancaman yang lebih besar pada pihak lawan.

Tahniah pada SASA semoga kehadirannya di sana menjadi perintis untuk membuka jalan pada rakan lain mengikuti jejak langkahnya sekaligus membuka mata semua pihak agar tidak lagi memperlekehkan pemain negara.Ini juga diharap menjadi inspirasi kepada pemain muda untuk meningkatkan lagi mutu permainan bolasepak negara kerana mereka adalah pelapis kepada skuad yang ada.Majulah sukan untuk negara.

ozzy - Nak tukar gelaran pada BISA ...

14 Februari 2011

VALENTINE DAY DAN HARI INI DALAM SEJARAH

Satu dunia sedia maklum 14 feb adalah hari valentine day atau hari memperingati kekasih.Di sesetengah tempat hari ini disambut penuh gemilang terutamanya bagi pasangan muda atau remaja.
Bagi umat Islam khususnya di negara kita, kita tidak menggalakkan sambutan ini dibuat terutamanya dikalangan remaja kerana bimbang implikasi buruk yang bakal berlaku apabila mereka duduk berdua-duaan lebih-lebih lagi di tempat sunyi.

Meskipun seringkali diingatkan dan saban tahun operasi untuk membanteras perlakuan maksiat pada hari tersebut dijalankan, namun setiap kali itu juga operasi tersebut berhasil dengan 'cemerlang' apabila tangkapan pasangan Melayu yang beragama Islam tercatat dengan penuh 'gemilang'. Apabila valentine day ini seringkali diperkatakan ia bagaikan memberi promosi dan masyarakat semakin mengiktiraf ia sebagai hari yang penting dan perlu diingati.Peranan dan promosi yang dibuat oleh pihak media massa dengan mempamerkan mesej yang menarik minat golongan remaja turut menjadi penyumbang hari tersebut bagaikan hari keramat untuk mereka memadu kasih.

Walau apa jua peringatan dan cemuhan yang diberikan, bagi golongan remaja apa yang dilarang itulah yang mereka suka.Contohnya isu lain seperti gejala mat rempit, bohsia atau mat gian.Mereka semakin bangga dengan gelaran tersebut tambah lagi apabila banyak yang menonton aksi mereka. Maka tidak hairanlah hari valentine day adalah hari yang mereka nantikan kerana ia juga tersenarai antara perkara yang masyarakat tidak suka.Jika hari biasa aksi mereka agak longlai, maka inilah hari untuk mereka menonjolkan kejaguhan mereka..tonjol apa yang boleh tonjol biar sampai benjol asalkan jangan sampai kojol.Aku percaya sekiranya esok diisytiharkan hari 'melepak sedunia' maka berduyun-duyunlah remaja melayu yang akan berpesta di pusat membeli belah untuk melepak.

14 feb jika disingkap hari ini dalam sejarah merupakan hari gugurnya seorang wira negara dalam mempertahankan tanah air dari penjajah.Pada tarikh 14 feb 1942 kita kehilangan seorang wira negara leftenan (Lt.) Adnan Saidi yang terkorban akibat serangan tentera Jepun.
Pada tarikh keramat ini leftenan Adnan baru berusia 27 tahun dan tergolong sebagai golongan belia sekiranya disamakan dengan pemuda hari ini.Namun berapa ramai antara kita khususnya bangsa Melayu yang mengingati hari bersejarah ini sekaligus memperingati pahlawan dan pejuang negara ini.

Jika Allahyarham tumbang dan gugur menyembah bumi dengan penuh bermaruah pada tarikh keramat ini, pemuda dan pemudi hari ini turut tumbang di 'medan pertempuran' samada di hotel murah ataupun rumah sewa.Gadis remaja tewas dalam mempertahankan maruah mereka demi merealisasikan pengorbanan yang dituntut demi membuktikan cinta sejati.Pahlawan Melayu yang terkenal gagah bersama tongkat Ali pastinya ingin membuktikan kehebatan dan kejantanan terus berjuang habis habisan.Hasilnya kita dapat lihat sembilan bulan selepas ini...berapa ramai lagi bayi akan dibuang merata-rata.Mungkin juga tiga bulan selepas ini klinik untuk menggugurkan bayi akan terima labanya... masyukkkk kata doktor. 

Bagi diri aku dan keluarga tarikh ini juga merupakan tarikh keramat buat kami.Pada tarikh inilah kami menyambut kelahiran anak pertama atau anak sulong kami.
Sebagai seorang bapa pastinya inginkan yang terbaik buat anaknya di dunia mahupun akhirat kelak.Semoga anakku menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Semoga masa depannya cerah , kuat semangat dan tidak mudah putus asa dalam mengharungi hidup yang semakin mencabar.Satu perkara yang aku sering ingatkan dan tegaskan agar sentiasa menghormati orang yang lebih tua.

Tidak lupa juga diucapkan kepada seluruh umat Islam selamat menyambut hari Maulidurrasul sempena hari keputeraan nabi Muhammad S.A.W yang akan disambut pada hari esok 15 feb 2011 bersamaan dengan 12 rabiul awwal 1432 Hijrah.Mungkin kita di sini tidak berpeluang untuk menziarahi makam baginda namun memadai kiranya kita bersama-sama mengingatinya dengan membaca tahlil dan berzikir serta berdoa.

" 1 MALAYSIA 1 UMMAH "

ozzy - 14 feb dalam kenangan..

11 Februari 2011

BLOGGER CUCUMATKILAU UMUM KELUAR PKR

Cucumatkilau satu nama yang sinonim dengan parti PKR, hari ini mengumumkan dengan secara rasminya telah keluar dari parti PKR.
Lebih dikenali dengan panggilan ringkas CMK beliau antara yang lantang bersuara melalui laman blognya di SINI dan juga di laman facebooknya mewakili parti PKR sejak dari awal penubuhan parti ini.

Setelah sekian lama berjuang sejak lebih dari 12 tahun, satu tempoh dan jangkamasa yang agak lama akhirnya CMK mengumumkan keluar dari parti ini setelah menyedari dan mengakui parti ini semakin tersasar dari landasan dan matlamat asalnya selain dari alasannya untuk memberi tumpuan yang lebih kepada kerjayanya sebagai seorang DJ.Untuk berita lanjut sila klik di SINI
Pastinya telah banyak pengalaman suka dan duka, pahit dan manis pernah beliau harungi sepanjang tempoh tersebut apabila terjun ke dalam dunia politik.Satu tempoh yang boleh disamakan dengan seorang bayi yang dilahirkan hinggalah bersekolah sehingga darjah 6.

Cucumatkilau atau nama sebenarnya Mohd Shukri bin Mohd Ramli ( seingat aku bin Jamaludin ) bukan seorang yang asing pada aku.Kami bersekolah di sekolah yang sama sejak dari tingkatan satu tetapi kelas yang berlainan dan kemudiannya sama-sama tinggal di asrama ketika berpindah ke sekolah aliran sains selepas peperiksaan SRP yang sekarang dikenali sebagai PMR.

Tidak banyak kenangan dengannya sewaktu sama-sama tinggal di asrama kerana kami tidaklah terlalu rapat dan tinggal di dorm yang berlainan.Antara yang aku masih ingat dia melukis gambar aku yang cuba menyorok dalam almari untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.Ketika itu aku di tangkap oleh cikgu kerana membuat makeup ala Boy George si lembut yang popular ketika itu.
Belum sempat aku tanggalkan makeup tiba-tiba cikgu masuk ke bilik dan aku cuba menyorok di dalam almari tapi malangnya tidak berjaya kerana cikgu dah nampak kelibat aku yang cuba menyorok.Mujurlah cikgu hanya beri nasihat sambil turut ketawa melihat wajah aku hehe..kebetulan pula Shukri pun turut berada di situ maka kejadian ini beliau terbitkan dalam lukisan kartun dan dimuatkan dalam majalah sekolah.

Waktu pagi ketika orang lain berebut-rebut untuk mandi kelibat Shukri atau lebih dikenali dengan panggilan 'Jalut' dikalangan kami ini sering tidak kelihatan.Bagi mereka yang tahu ke mana dia menghilang tidak susah untuk dikesan kerana kami tahu di mana port dia hehe..kerana itu beliau antara yang paling lewat ketika orang lain dah pun selesai mandi.Inilah akibatnya kerana sering berjaga sehingga lewat malam untuk study.Apapun semua itu hanya tinggal kenangan di zaman persekolahan.

Tamat sekolah kami kemudiannya memilih haluan masing-masing dan kali terakhir aku bersua dengannya adalah ketika beliau menjadi DJ di sebuah pasaraya di Temerloh.Bertemu dengannya ketika itu bersama kerjayanya sebagai seorang DJ bukanlah suatu yang asing kerana aku beranggapan beliau memang berbakat dan meminati kerjaya ini.Jika dikenang dan diamati pada keperibadian dan tingkahlakunya ketika di zaman sekolah beliau sememangnya dikenali sebagai seorang yang periang dan peramah.Setiap hari akan kedengaran celoteh bersama gelak tawanya.

Selain dari DJ apa yang aku masih ingat adalah beliau seorang yang berkebolehan dan berbakat dalam bidang lukisan.Beliau juga seorang yang agak kreatif dan mungkin itu semua adalah bakat semulajadi yang dianugerahkan kepadanya.Apa yang penting bakat yang ada jangan dipersiakan dan gunakan sebaik mungkin selagi tidak menindas dan memusnahkan hidup orang lain.Sesuatu yang kita minat apabila dijadikan kerjaya maka hasilnya pasti memuaskan hati kita kerana segala idea dan fokus akan dikerahkan sepenuhnya.

Aku tidak mahu mengulas tentang kerjayanya sebagai seorang ahli politik meskipun aku beranggapan beliau agak cemerlang dalam bidang ini sehingga ke tahap menjadi calon dan bertanding atas tiket PKR dalam pilihanraya yang lalu.Menyentuh tentang politik memang tiada kesudahannya kerana dalam politik boleh berlaku apa saja, hari ini menjadi kawan esok lusa menjadi lawan.Justeru itu aku lebih selesa menyentuh dan memperkatakan tentang kenangan dan hubungan sebagai seorang rakan.Mungkin lebih menarik untuk diperkatakan tentang bisness yang beliau ceburi dan bagi yang ingin tahu boleh klik di SINI

Walau apajua keputusannya, sebagai rakan aku hanya mampu mendoakan yang terbaik buat dirinya serta keluarganya dan selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang akan beliau ceburi selepas ini. Semua pihak juga perlu menghormati keputusannya meskipun beliau tidak dapat lari dari menerima cemuhan dan kritikan dari pihak yang tidak setuju dengan keputusannya.Situasi yang normal dalam politik kerana dalam politik ibarat --- > 


                        

        " JIKA TAKUT DI LAMBUNG OMBAK, JANGAN BERUMAH DI TEPI PANTAI ".

 ozzy - teringin nak jumpa dan rasa teh tarik yang 'Jalut' belanja hehe...

10 Februari 2011

MITOS TENTANG IKAN PELIHARAAN

Mungkin ramai diantara kita yang mempunyai hobi atau minat memelihara ikan samada di dalam akuarium ataupun kolam yang dibuat di halaman rumah.
Antara ikan yang popular adalah ikan arowana,ikan emas,ikan flowerhorn,ikan kap dan bermacam lagi spesis ikan bergantung pada minat seseorang selain dari kecantikan rupa dan bentuk ikan tersebut.
Harga ikan juga bergantung pada jenis atau spesis ikan tersebut dan spesis ikan arowana adalah diantara yang menawarkan harga yang agak tinggi.Selain itu kos makanan untuk ikan ini juga agak tinggi tetapi kerana rupabentuk dan warnanya serta ciri fizikalnya yang menarik, ramai penggemar ikan ini tidak kisah untuk berkorban wang ringgit atas faktor minat.

Ikan Flowerhorn juga pernah popular suatu ketika dulu terutamanya bagi kaum cina kerana pada badannya tertera ukiran yang berbentuk seperti nombor atau tulisan cina.Nombor atau abjad yang terbentuk dikatakan memberi maksud yang membawa tuah pada mereka.Atas faktor ini ia kemudiannya menjadi ikutan pada kaum Melayu untuk turut sama merasai 'tuah' tersebut meskipun abjad tersebut tidak wujud dalam kamus dewan bahasa.

Ikan laga atau di sesetengah tempat disebut ikan karing atau ikan sepilar turut menjadi pilihan kerana warna dan bentuknya yang cantik.Namun kerana ikan ini agak garang dan suka berlaga maka agak sukar untuk memelihara banyak ikan jenis ini di dalam satu akuarium.Ikan ini dikatakan tidak sesuai dijadikan ikan peliharaan di dalam rumah kerana ia dikatakan penarik untuk 'membawa' masuk hantu ke dalam rumah.

Dalam ertikata lain ikan ini menggalakkan hantu untuk bertandang ke rumah.Mungkin hantu juga suka melihat atau bermain-main dengan ikan ini..mungkin hantu air.Samada benar atau hanya satu mitos khususnya dari masyarakat Melayu, hanya ikan dan hantu tersebut sahaja yang tahu.

Jika ikan pelaga dikatakan membawa hantu ikan puyu pula dianggap sebagai penghalau hantu.Teorinya sekiranya ada yang ingin memelihara ikan pelaga pastikan juga ada ikan puyu.
Mungkin kerana ciri fizikalnya yang bersisik dan berduri membuatkan hantu takut padanya.

Bagi mereka yang memelihara ikan ini juga perlu berhati-hati kerana sifatnya yang aggresif dan suka melompat.Ada kes yang telah dicatatkan dimana mangsa maut akibat tercekik ikan puyu.Perlu diingatkan ikan ini sukar atau liat untuk mati dan dalam keadaan terdesak atau untuk menyelamatkan diri ikan ini menggunakan sirip dan insangnya iaitu dengan mengembangkannya.Cara ini akan menyebabkan kecederaan atau mangsanya akan tercekik contohnya apabila ia masuk ke dalam kerongkong.Kerana itu berhati-hati ketika memberi ikan ini makan dan pastikan mulut anda tidak terbuka luas.

Ikan emas juga antara ikan yang paling popular dijadikan sebagai ikan peliharaan kerana bentuk dan warnanya yang menarik.
Ia menjadi bertambah menarik apabila diserikan dengan cahaya lampu dan perhiasan di dalam akuarium.Namun ikan ini dikatakan amat sensitif dan memerlukan penjagaan yang rapi kerana ia mudah mati.

Fakta ataupun mitos mengenai ikan ini adalah ia satu-satunya ikan yang dapat mengesan cahaya ultrakiasu ultraungu dan infrared.Ikan ini juga dikatakan dapat mengesan sekiranya akan berlaku gempabumi.Ikan emas ini akan segera melompat keluar dari akuarium ataupun kolam apabila ada tanda-tanda akan berlakunya gempa bumi.

Dari fakta atau mitos tersebut, anda pilih ikan mana yang anda suka atau sesuai untuk dipelihara samada nak ikan yang boleh bawa hantu, ikan yang halau hantu , ikan yang bawa tuah atau ikan yang boleh kesan gempabumi.

ozzy - nak ikan yang boleh bercakap dan menjerit minta tolong...

9 Februari 2011

APA YANG KITA FIKIRKAN

Ketika kita memandu kita akan berhenti apabila tiba di lampu isyarat yang menyala warna merah.Sementara menantikan ia bertukar hijau kita menoleh ke kiri atau kanan untuk melihat keadaan sekeliling.
Apabila terlihat di sebelah kita sebuah kereta sport yang kelihatan canggih dan mahal apakah ada sesuatu yang bermain dalam fikiran kita? atau sekadar melihatnya dengan pandangan kosong.

Sambil melihat mungkin kita bertanya dalam hati " Apa kerja dia ni? mana dia dapat duit beli kereta ni? bilalah agaknya aku dapat pakai kereta macam ni..hmm ". Sekiranya timbul persoalan sedemikian ia adalah normal dan bermakna masih ada ciri-ciri positif dalam diri kita untuk turut sama menyimpan impian agar dapat memilikinya suatu hari nanti.

Menyusuri jalan seterusnya sambil melihat kiri dan kanan jalan mata kita terpaku melihat rumah mewah yang tersergam indah.
Hati kita berkata lagi "wahh..cantiknya rumah dia..mana dia dapat duit beli rumah macam ni ye..mau juta-juta harganya.Bilalah aku nak merasa dapat rumah besar macam ni.Ini baru tengok kat luar kalau masuk dalam entah apa lagi agaknya".

Kadangkala pemandangan sebegini juga bagus bagi meransang minda kita agar berusaha lebih gigih bagi mencapai dan memiliki apa yang orang lain miliki atau sekurang-kurangnya menghampiri taraf tersebut.Namun sekiranya terlalu ingin menawan dan memilikinya ramai antara kita juga seringkali tersasar dari jalan yang sepatutnya semata-mata ingin mencapai impian tersebut.Tidak kurang juga yang hidup mewah hasil dengan menindas dan menipu orang lain dan ramai juga yang kecundang akibat terpedaya dengan skim cepat kaya.

Leka melihat pemandangan tersebut sambil memandu tanpa disedari kita memasuki satu lorong yang agak sunyi dengan keadaan jalan yang berlopak.
Jika pemandangan sebelum ini bagaikan satu motivasi untuk kita menggapai sesuatu yang setiap manusia ingin miliki pemandangan kali ini bagaikan meneutralkan semula apa yang ada bermain dalam fikiran kita sebelum ini.

Sambil melihat keadaan rumah mereka yang serba serbi tidak sempurna kita kembali merenung apa yang kita miliki.Kita bersandar dikerusi sambil tangan memegang stereng kereta bersama udara sejuk dari hembusan air cond. yang terpasang.Waktu ini kita kembali bermuhasabah pada diri dan berkata dalam hati "Sekurang-kurangnya hidup aku lebih selesa dan tidak susah macam dia.. syukur... agaknya apa kerja dia?Apa yang dia dan anak-anaknya makan setiap hari?."

Akhirnya kita kembali memandu sambil berkata "hmm..tak apalah bersyukurlah dengan apa yang ada" Hakikatnya apakah itu yang kita semua fikirkan....

ozzy - manusia di anugerahkan akal untuk berfikir..fikir-fikirkanlah.

8 Februari 2011

HATI-HATI MENOREH

Harga getah ada kalanya melonjak bergantung pada permintaan dan pasaran semasa sekaligus meningkatkan pendapatan kepada pengusaha tanaman ini.Suatu ketika penoreh getah bagaikan sudah berputus asa dan mula hilang sabar apabila melihat kejatuhan harga komoditi ini pada paras yang sangat rendah menyebabkan berlakunya demonstrasi pada tahun 1974.

Keadaan mula berubah apabila harga getah kembali menunjukkan peningkatan sejajar dengan perkembangan ekonomi dunia khususnya permintaan dari negara China yang semakin pesat membangun selain Amerika Syarikat,Jerman,Jepun dan Brazil.Situasi semasa turut menyaksikan permintaan pada produk yang berasaskan getah terus melonjak dan memberi pulangan lumayan pada mereka yang terlibat khususnya pengusaha tanaman ini.

Negara kita Malaysia sehingga kini kekal sebagai pengeluar getah ketiga terbesar di dunia selepas Thailand dan Indonesia dengan pengeluaran sebanyak 900,000 tan setahun.Fenomena ini turut menyaksikan pendapatan kepada pengusaha tanaman ini semakin meningkat dan memberi pulangan lumayan kepada mereka.Bau getah yang satu ketika dulu menjadi bahan ejekan kini bagaikan sama dengan bau sekeping duit malah pendapatan mereka boleh mencecah rm 2 ribu dalam masa seminggu bergantung pada keluasan tanaman yang mereka miliki.Mungkin harga pasaran untuk anak dara penoreh getah turut melonjak selepas ini sebagaimana harga pasaran anak pesawah padi yang pernah melonjak suatu ketika dulu.

Saingan utama bagi industri ini sudah semestinya dari pengeluar atau pembuat getah Sintetik.Getah ini yang juga dikenali sebagai getah tiruan diperbuat dari campuran bahan kimia sehingga menyerupai getah asli yang kenyal dan lebih murah.Meskipun ia masih tidak dibenarkan untuk digunakan sebagai bahan asas khususnya sebagai tayar kenderaan namun ia dilihat sebagai ancaman utama akan berlakunya penyelewengan ini apabila faktor sikap tamak dan mahukan keuntungan tinggi mula tertanam pada akal peniaga.Ancaman lain adalah pencuri getah yang mencuri hasil dari penat lelah orang lain.

Satu perkara yang perlu diingatkan adalah pokok ini agak sensitif dan perlukan skill atau cara yang betul semasa menoreh.Jika tersilap kulit pokok akan rosak dan ia tidak akan mengeluarkan hasil yang diharapkan.Kerana itu jika ingin mengupah pekerja pastikan mereka mahir dan tahu teknik menoreh yang betul.

Begitu juga dengan hati manusia yang turut mudah sensitif apabila ditoreh.Tersilap toreh boleh mengundang berbagai tindakbalas dan kesan yang berpanjangan.Sebaiknya hati-hati bila menoreh dan sesekali berfikirlah sebelum kita menoreh hati orang lain kerana kita juga tidak suka apabila hati kita ditoreh.

ozzy - tak pandai menoreh getah...

7 Februari 2011

KALAU BERPACARAN

           

< ---------------------------------------------------------------------------------------------------- >

Sambil layan miming dari youtube cikgu Shida mungkin besar ertinya bila kita hayati lirik lagu nyanyian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali.

Berita dari muka depan harian metro hari ini antara salah satu sebab bila manusia leka dan lupa kalau berpacaran.Untuk berita selanjutnya boleh klik di SINI.

Namun ia lebih serius kerana melibatkan isteri orang yang bukan hanya berpacaran malah boleh jadi bercakaran.Kalau anak muda perlu hati-hati bila berpacaran, yang dah berkahwin juga tidak terlepas dari dugaan ini.

Lebih memilukan bukan hanya ditangkap oleh suaminya sendiri malah anak gadisnya yang berusia 18 tahun turut menjadi saksi ketika diserbu.Sebagai seorang suami pasti perasaannya turut kecewa dengan apa yang berlaku dan antara petikan kata-katanya :

“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya apabila melihat isteri berasmara dengan lelaki itu. Lebih menyakitkan hati, lelaki terbabit turut berlagak samseng apabila mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya di hadapan anak perempuan saya,” katanya.
 “Kami sudah berkahwin selama 20 tahun dan dikurniakan lima anak. Sekarang keluarga serta anak-anak kucar-kacir disebabkan perbuatan isteri saya yang melampau ini,” katanya.

Apapun kita tidak tahu masalah sebenar yang berlaku antara mereka kerana terdapat banyak faktor yang menyumbang pada perlakuan ini.Walau apajua penyebabnya sememangnya pihak ketiga seperti dalam lagu ini  tidak akan melepaskan peluang untuk melaksanakan peranannya sebagai penambah perisa.

ozzy - tak berani komen...

3 Februari 2011

SAFETY HELMET DAN WARNANYA

Pasti ramai antara kita pernah melihat pekerja yang memakai safety helmet ini.Apa yang bermain di fikiran kita adalah sudah tentu mereka ini terdiri dari pekerja kontrak atau pekerja binaan atau mungkin juga seorang kontraktor.

Lebih menarik perhatian adalah apabila kita sering perhatikan topi ini diletakkan di cermin belakang kenderaan.Mungkin bagi yang tidak tahu mereka akan beranggapan topi tersebut diletakkan di situ bagi memudahkan mereka mengambilnya apabila mahu memulakan tugas.

Namun bagi mereka yang memahami maksud tersirat dan tersurat tujuan topi tersebut diletakkan di cermin belakang pastinya memberikan persepsi yang berbeza.Bayangan awal pastinya mereka berkata " wahhh..kerja bagus ni..kontraktor".Ramai pula yang mencebek sambil berkata " tak payah lah menunjuk..simpan je dalam bonet ".Topi tersebut sebenarnya tak perlu diletakkan di cermin belakang pun kerana kalau nak capai atau ambil boleh letakkan di atas kerusi belakang ataupun letak saja dalam bonet.Maka untuk mempamerkan apa yang tersirat sebagai lambang status dan bidang pekerjaannya inilah yang dapat kita perhatikan.

Apa yang sering kita perhatikan adalah topi yang dipamerkan adalah topi yang bewarna putih.Ini adalah kerana topi ini biasanya hanya dipakai oleh Main Contractor atau sering disebut Main Con. atau pihak pengurusan ataupun Jurutera.Kerana itu kalau di site mereka yang pakai helmet putih ni gaya jalannya pun lain macam sikit maklum saja mereka dianggap yang paling berkuasa.

Selain warna putih terdapat beberapa lagi warna yang disediakan dan diberikan penkelasan yang berbeza.Warna merah dipakai oleh safety officer yang bertanggungjawab untuk memeriksa sistem keselamatan dipasang dan berfungsi mengikut piawaian yang ditetapkan.
Topi yang bewarna biru biasanya dipakai oleh site supervisor atau penyelia manakala topi yang bewarna kuning pula dipakai oleh sub contractor,general worker ataupun pekerja am.

Atas faktor pengkelasan inilah menyebabkan kita sering perhatikan topi bewarna putih dipamerkan di cermin belakang kereta sebagai simbol pekerjaannya namun ada pula yang sekadar menjadi pak turut untuk turut sama mempamerkan topinya tanpa mengetahui sebab dan tujuan orang lain letakkan topi di situ.Orang lain letak topi bewarna putih dia pun ikut letakkan topinya walaupun yang bewarna kuning.

Walau apapun perbezaan warna ini juga sebenarnya bukanlah satu standard yang telah ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan oleh pihak CIDB (Construction Industry Development Board Malaysia) bahawa mereka juga tidak tahu siapa yang menentukan warna tersebut.Persoalan ini ada ditanya oleh salah seorang dari peserta ketika aku menghadiri kursus tersebut yang dijalankan selama satu hari beberapa tahun dulu.Menurutnya mungkin ia menjadi ikutan setelah ramai yang memberi tafsiran tersebut.

Di sesetengah tempat contohnya pekerja di pelantar minyak seperti Petronas mereka yang memakai topi yang bewarna kuning dikhaskan untuk Operation Department yang dianggap unit paling penting dan terdiri dari Engineer yang berkelayakan.Maka dikalangan mereka di sini topi bewarna kuning merupakan status atau kelas yang paling tinggi manakala di tempat construction topi bewarna kuning adalah golongan paling rendah iaitu pekerja am termasuklah cleaner.

Begitu juga dengan topi yang bewarna biru yang sering dianggap digunakan oleh site supervisor atau penyelia tetapi disesetengah projek warna topi ini dikhususkan kepada electrical contractor.Kerana itu topi ini juga kurang popular berbanding dengan topi yang bewarna putih.

Aku berpendapat tak perlulah nak tayang helmet tu kerana semasa menghadiri kursus dulupun (untuk mendapatkan kad CIDB yang bewarna hijau) mereka berikan aku topi bewarna putih tapi aku simpan saja bawah katil.Kalau pergi site aku lebih selesa pakai yang bewarna biru atau kuning yang disimpan dalam bonet kereta.Apa yang penting safety helmet tidak kira apa jua warnanya perlu dipakai dengan kemas dan betul kerana fungsinya adalah untuk melindungi kepala dari ditimpa kecederaan.Begitu juga dengan safety boot perlu juga dipakai apabila kita berada di kawasan construction untuk melindungi kaki dan sebaiknya pilih safety boot yang tapaknya dipasang dengan besi untuk mengelakkan kasut tersebut tembus apabila terpijak bahan tajam.Bagi aku tak kira warna apapun kalau letak kat cermin belakang nampak macam semak je...

ozzy - tayang helmet bila naik motor...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...