30 Jun 2011

SITI MUSLIHA INSAN ISTIMEWA

Mungkin ramai diantara kita yang masih ingat pada kelibat seorang kanak-kanak kecil yang dilahirkan cacat dengan bentuk wajah yang kurang sempurna.
Bagi generasi baru pada hari ini nama Siti Musliha agak asing pada mereka kerana namanya terus tenggelam setelah kali terakhir muncul di kaca TV membawakan lagu hitnya ketika itu 'Hujan Air Mata'.

Ketika itu tiada siapa yang tidak merasa sayu dan tiada siapa yang tidak tersentuh hatinya apabila mendengar dan melihat lagu ini dibawakan oleh seorang anak kecil dengan suara yang penuh syahdu bersama nada yang pilu hingga ada yang tidak mampu menahan dari mengalirkan air mata.

Ketika tersiarnya kisah anak kecil ini yang dilahirkan cacat, bagi dirinya pula cacat bukan penghalang untuk beliau meneruskan hidup seperti orang lain.Tanpa bersandarkan pada paras rupa Siti Musliha tampil bersama album yang diterbitkan oleh komposer Adnan Abu Hassan seterusnya layak ke anugerah juara lagu pada tahun 1995 ketika berusia 12 tahun.Album tersebut bagi mengutip dana pembedahan yang beliau akan jalani ketika itu.Seterusnya beliau menjalani beberapa kali lagi siri pembedahan menjadikan jumlah pembedahan yang pernah beliau jalani adalah sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1984 (setahun selepas kelahirannya),1988,1994 dan 1996.

Kini Siti Musliha telah pun berusia 28 tahun dan masih mengekalkan sikapnya seperti 16 tahun dulu, masih bersemangat dan sentiasa merendah diri meskipun beberapa siri pembedahan yang dilakukan masih belum mampu menjadikan wajahnya normal seperti orang lain. Walau dilahirkan cacat gadis ini dikurniakan kelebihan yang jarang dimiliki oleh insan lain termasuk insan yang sempurna rupa bentuk serta fizikalnya.Siti Musliha dikatakan mampu menghabiskan 30 juzuk surah al-quran dengan hanya mendengar dan menghafalnya.Ia adalah sesuatu yang amat sukar jika tidak diiringi dengan minat serta kesungguhan.

Ketika kita mengeluh melihat kekurangan yang ada pada diri kita, lihatlah pada insan istimewa ini yang menerima kecacatan dirinya dengan redha dan terus tabah menjalani hidup ini.Siapa lagi yang terus meniupkan semangat dan menjadi pendorong untuk beliau terus tabah jika bukan ibu dan ayahnya.Mereka tetap redha dan menerima anak ini meskipun ia bukan kehendak mereka kerana mereka sedar itu semua adalah anugerah dan ketentuan Ilahi.

Bersyukurlah kerana kita dilahirkan dalam keadaan fizikal yang lebih sempurna meskipun tetap ada kelemahan dan sedikit kekurangan berbanding orang lain yang jauh lebih sempurna.Apa yang penting jangan kita jadikan kelemahan tersebut sebagai punca kegagalan dan menjadikan ia sebagai alasan untuk kita tidak berusaha menjadi yang lebih baik dan sekiranya nasib kita lebih baik jangan pula menghina pada golongan yang kurang bernasib baik.

Pada mereka yang tidak pernah mendengar lagu tersebut, hayatilah..

HUJAN AIR MATA ~ Siti Musliha

Mendung berarak dalam hidupku
Tak siapa tahu derita kalbu
Tiap jelmaan malam dan siang
Airmataku bagaikan hujan

*
Usahlah diri ini di bezakan
Usahlah diri ini di sisihkan
Kita semua di pentas dunia yang sama

Ku sedar diri serba kekurangan
Meratap dan mencari perlindungan
Darimu insan ku gantung setinggi harapan
Pada mereka yang membantu redhakanlah aku

Setiap budi yang di beri ku bawa ke mati 


Terima kasih pada mu teman
Selamat tinggal aku ucapkan
Di malam sunyi yang memisahkan
Airmataku bagaikan hujan







ozzy - bersyukurlah kita dengan setiap kurniaannya...

29 Jun 2011

WORDLESS WEDNESDAY - APA MAKSUDNYA ?




Aku tertanya-tanya juga apa maksud Wordless Wednesday ni.Apa tujuannya? kenapa? apa sebabnya? apakah makna disebaliknya atau hari untuk memperingati siapa?...Dalam erti kata lain hari rabu adalah hari yang bisu.

Kalau aku tanya dengan Wan Kamaruddin Wan Ibrahim pengacara edisi siasat ntv7 tu pun mungkin dia akan jawab " Apa ke jadah semua ni.." 

Apapun aku tetap nak ucapkan " Selamat Menyambut hari Israk Mikraj pada seluruh umat Islam di dunia "...yang menyambutnya pada hari ini bersamaan 27hb Rejab 1432 Hijrah.


ozzy - syyyyyyyy......

28 Jun 2011

TV PLASMA ATAU TV LED

Television kini menjadi satu keperluan yang perlu ada pada setiap isi rumah dan bukan lagi sesuatu yang dianggap eksklusif sepertimana diawal kemunculannya dulu TV dianggap sebagai satu peralatan mewah yang hanya mampu dimiliki oleh mereka yang berkemampuan.

Bermula dari TV hitam putih kemudiannya beralih setingkat lagi kepada TV warna kini kemajuan teknologi menyaksikan kemunculan berbagai terknologi terbaru bagi menggantikan TV konvensional yang menggunakan gelombang elektromagnetik.

Kemunculan TV Plasma bersama rekaan skrin TV yang leper mencetuskan fenomena baru dalam industri yang berasaskan sistem elektronik ini.Dengan rekabentuk serta kualiti gambar yang lebih berkualiti pengguna mula beralih pada TV Plasma bagi menggantikan TV lama yang lebih bulky.Baru beberapa tahun ianya dilancarkan muncul pula TV LCD (Liquid Crystal Display) bagi menghasilkan resolusi yang lebih tinggi serta sistem gambar yang lebih tajam atau halus.Namun ternyata kedua-dua teknologi ini menonjolkan beberapa kelemahan yang agak ketara.

TV Plasma merupakan teknologi berasaskan liquid atau cecair yang menggunakan gas neon/xenon (seperti yang digunakan pada mentol lampu fluorescent).Kelemahan paling ketara adalah TV ini akan menghasilkan haba yang agak panas pada skrinnnya.Lebih besar skrin bermakna haba yang dikeluarkan lebih banyak dan boleh mengakibatkan ruang untuk menonton television menjadi lebih panas kecuali jika ruang tersebut dipasang air cond.Ramai yang tidak tahu bahawa liquid ini akan habis dan perlu di refill semula namun jangka hayatnya agak lama sekitar 12 hingga 15 tahun dan mungkin ketika itu TV tersebut sudahpun sampai masa untuk ditamatkan riwayatnya.

Kerana itu dapat kita lihat penurunan harga secara mendadak pada semua model TV Plasma ini. Jangan terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan kerana tidak semua penjual yang akan menerangkan tentang kelemahan ini.Jika tak percaya dekatkan tapak tangan atau pipi pada skrin tersebut dan kita akan dapat rasakan bahang kepanasannya.Seterusnya ia digantikan dengan TV LCD tetapi bahang kepanasan tetap dirasakan walaupun berjaya dikurangkan.

Terbaru muncul TV LED (Light Emitting Diode) dengan kualiti warna dan gambar yang lebih tepat, natural atau real berbanding TV Plasma yang lebih banyak menggunakan warna tambahan.Teknologi ini menggunakan backlight bagi menggantikan TV plasma yang menggunakan liquid dan teknologi kali ini dilihat lebih berjaya mengatasi masalah kepanasan tetapi tetap ada kelemahannya namun kelemahan tersebut tidak terlalu ketara seperti lampu LED itu terbakar yang boleh mengakibatkan terjadinya satu garis halus pada TV.Kelebihan lainnya adalah dari segi penjimatan tenaga elektrik sebanyak 50% berbanding dengan TV model lain tetapi sebelum membuat pilihan ada beberapa perkara penting yang perlu anda tahu seperti yang aku nyatakan DI SINI

Seterusnya kita beralih pada jenama apa pula yang menjadi pilihan?.Terdapat berbagai jenama bertaraf antarabangsa yang gah dalam industri elektronik ini antaranya National Panasonic dan Sony.Sebelum ini aku juga turut akui barangan elektronik yang menjadi pilihan adalah dari jenama Sony.Namun kini jenama Samsung semakin mendapat tempat di hati pengguna.Samsung merupakan pengeluar dan pembekal utama skrin TV di dunia dan di negara kita.

Ini bermakna jika kita memilih model lain sekalipun skrin tersebut tetap skrin yang ditempah dari Samsung.Syarikat dari Korea Selatan ini juga dilihat semakin bergerak pantas dengan menghasilkan model terkini bersama harga yang lebih kompetitif berbanding jenama lain.Begitu juga dengan telefon bimbit turut menyaksikan Samsung kini bersaing hebat dengan jenama lain.Sesuatu yang menarik adalah belum ada lagi jenama tiruan mahupun AP set dari jenama Samsung dalam pasaran kerana Samsung hanya membekalkan unit yang telah siap dipasang.

AP set bermaksud komponan handset seperti skrin, bateri, ic, board dan sebagainya dibawa masuk secara berasingan atau terlerai satu persatu oleh syarikat handphone berdaftar lalu dipasang di dalam negara.Kerana itu AP set adalah lebih murah berbanding handphone complete atau original set kerana tidak dikenakan duti import atau cukai serta warranty dari jenama tersebut.Justeru itu pengguna tidak merasa bimbang takut terbeli handphone tiruan seperti yang berlaku pada jenama lain serta harga yang ditawarkan juga lebih murah berbanding jenama lain yang menampilkan model yang sekelas dengannya.

Bagi barangan elektronik yang lain jenama Sharp masih lagi dominan dengan peti sejuk dan York masih unggul sebagai peneraju sistem penghawa dingin.Untuk Audio sistem seperti home teater atau radio jenama Sony masih lagi menjadi pilihan.Anda bagaimana?..jadilah pengguna yang bijak kerana setiap apa yang kita belanjakan itu adalah menjadi hak kita sebagai pengguna.

ozzy - Puas hati dengan TV LED Samsung dan handphone Samsung...kena minta komisen dari Samsung ni sebab tolong promote.

27 Jun 2011

UMPAMA BAJI

Apabila disebut BAJI pasti ramai yang tertanya-tanya apa benda ni?. Sekali dengar macam nama orang atau nama sebuah kumpulan penyanyi.Sebutannya hampir seperti Taji iaitu senjata yang ada pada kaki ayam jantan yang digunakan untuk menyerang musuh atau mempertahankan dirinya tetapi Baji pula adalah sejenis alat yang digunakan untuk memecah belahkan sesuatu objek seperti kayu.

Sesuai dengan fungsinya untuk memecah belahkan sesuatu objek, baji secara semulajadi akan memecah belahkan apa saja objek yang ada tanpa mengira objek tersebut kukuh ataupun reput. Sekiranya objek tersebut reput maka tugas baji lebih mudah untuk memecahkannya dan baji menjadi lebih bangga apabila berjaya memecahkan sesuatu objek yang kuat dan teguh.

Baji tidak mengenal kawan ataupun lawan.Bagi dirinya tugas utama adalah untuk memecah belahkan apa saja objek yang diingininya dan baji akan merasa puas setelah objek tersebut terbelah walaupun hanya sekadar serpihan.Baji amat memerlukan sokongan untuk sentiasa diasah supaya kekal tajam dan ia juga memerlukan tenaga yang kuat bagi menghasilkan momentum secara maksimum.Baji tidak akan berfungsi sekiranya tiada sokongan kerana ia akan longlai dipermukaan objek tersebut. Kerana itu tugas baji lebih mudah sekiranya ia diketuk atau mendapat sokongan yang kuat untuk terus berkhidmat bagi memecah belahkan apa saja objek yang menjadi sasaran.

Ketika berada dipuncak baji merasakan dialah yang paling hebat.Baji dengan bangganya akan mencari apa saja untuk dibelah meskipun tahu sasarannya itu akan membuatkannya sumbing.Setiap kali mata baji dihalakan pada sasaran ia mendapat tepuk sorak agar misinya tercapai tetapi baji lupa apabila tiba masanya khidmatnya tidak akan diperlukan lagi apabila matanya menjadi semakin sumbing dan tiada siapa lagi yang mahu mengasahnya.Ketika itu baji tidak berdaya lagi untuk memecahkan apa saja objek walau hanya sebatang ranting yang kecil dan baji akan dibiarkan terpinggir dengan hina bersama karatnya.

Baji akan berkarat kerana ia diperbuat daripada besi walaupun baji menganggap dirinya bagaikan emas kerana sering dipuji.Baji akhirnya hanya laku untuk dijual sebagai besi buruk dan sumbangannya tidak lagi dihargai malah akan hanya dikenang sebagai alat untuk memecah belahkan sesuatu objek dan sebagai perosak yang tiada nilai.

ozzy - baji kini menjelma menjadi 'manusia' untuk mengambil alih tugasnya...

24 Jun 2011

PENTINGNYA JENAMA

Jenama merupakan satu ikon atau sebagai simbol yang memainkan peranan penting untuk memperkenalkan sesuatu barangan atau produk.Untuk melahirkan sesuatu jenama yang dikenali di seluruh dunia dan di peringkat antarabangsa bukanlah satu tugas yang mudah kerana jenama tersebut mewakili imej,kualiti serta keberkesanannya kepada semua pengguna.

Paling menarik adalah apabila sesuatu jenama itu bertukar menjadi satu produk dan inilah yang diimpikan oleh setiap dari mereka yang mempunyai jenama.Sebagai contoh sewaktu zaman kanak-kanak dulu emak akan menyuruh aku pergi ke kedai untuk membeli ubat gigi dengan berkata " nanti jangan lupa beli colgate satu ". Colgate merupakan satu jenama kepada produk ubat gigi tetapi penggunaan jenama bagi mewakili kata nama ubat gigi menjadikan jenama tersebut lebih terkenal meskipun semakin banyak jenama lain yang muncul dalam pasaran.Walau tidak semestinya kita membeli jenama colgate tetapi apabila menyebut ubat gigi kita lebih selesa menyebutnya sebagai Colgate.

Itulah hasrat dan impian aku pada produk serta jenama yang aku tampilkan.Aku mencari sesuatu yang belum popular atau terkenal untuk dijadikan sebagai ikon kepada produk tersebut.
Maka aku memilih satu jenama lalu muncullah jenama ozzy kepada produk pencuci lantai serai wangi yang ketika itu masih agak asing kepada pengguna yang menggunakan produk pencuci lantai lain yang sedia ada.

Impian aku adalah untuk menjadikan ozzy sama seperti colgate contohnya kalau isteri ingin memesan pencuci lantai serai wangi dia akan berkata " bang, nanti jangan lupa beli ozzy satu, dah nak habis dah ni..tak bestla kalau ozzy tak ada ".Maksudnya ozzy adalah satu jenama tetapi digambarkan sebagai satu produk.Apabila jenama telah kukuh maka lebih mudah untuk kita perluaskan lagi pasaran dengan menghasilkan produk yang lain menggunakan jenama yang sama.Sama seperti Ramli burger, apabila disebut burger kita akan terbayangkan 'Ramli Burger' walaupun mungkin jenama 'Ramlah Burger' lebih enak tetapi kita lebih mengenali 'Ramli Burger' kerana jenama tersebut telah mewujudkan satu ikon kepada industri membuat daging burger.

Malangnya hasrat aku nampaknya tidak kesampaian apabila menerima saingan yang kuat dari pesaing aku yang semakin bertapak kukuh dalam pasaran sebagai pembekal utama produk pencuci lantai serai wangi ini.Ini bermakna jenama aku terlucut dan terlepas untuk membina jenama yang mewakili produk tersebut kerana aku terpaksa akur kepada masalah kekurangan modal serta karenah pembekal tapi aku tidak akan menganggap ozzy akan terus berkubur kerana mungkin ia bukan ditakdirkan menjadi milik aku.Tahniah pada syarikat tersebut semoga terus maju dalam perniagaan ini. Apapun aku beranggapan ia sebagai satu percubaan ke arah yang lebih positif dan jika ingin melihat produk ozzy serai wangi sila klik  DI SINI

Trend terkini menyaksikan pemilihan domain atau website pula menjadi buruan kerana ia mampu menampilkan satu jenama yang kukuh dan menjadi sebutan memandangkan dunia cyber kini menjadi medium utama samada untuk mencari atau memperkenalkan sesuatu produk.Mungkin website tersebut mempunyai sebutan yang unik atau sama dengan jenama yang ingin dikeluarkan maka pemilik produk tersebut bersedia untuk membeli domain tersebut dengan tawaran harga yang tinggi semata-mata kerana inginkan domain tersebut menjadi hak milik eksklusif.

Terbaru domain yang menggunakan nama lina.cn telah ditawarkan untuk dibeli dengan harga hampir Rm 50 ribu.Satu berita baik pada pemilik domain atau website yang mempunyai nama yang mungkin membawa tuah.Pada sesiapa yang berminat dengan domain ozzy2u.blogspot sila tinggalkan pesanan pada ruangan komen di bawah..harga boleh runding hehe...siapa tahu mungkin website atau domain anda juga berharga atau mungkin juga 'kerana dirimu begitu berharga'.

ozzy -  suka dengan jenama F & N ......

23 Jun 2011

RANKING BLOGGER YANG POPULAR

Mungkin ada antara blogger yang tertanya-tanya sejauh mana populariti blognya sendiri dan sekiranya anda berpendapat blog anda popular dimanakah kedudukan blog anda mengikut ranking yang dikeluarkan berdasarkan analisis serta data yang diberikan.

Berikut adalah beberapa blog yang tersenarai antara blogger yang popular ketika ini.Ternyata populariti mereka sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi berdasarkan statistik serta data yang diperolehi.

Blogger yang dikatakan popular Ben Ashaari kini berada pada kedudukan yang ke 310 di dalam negara kita menurut ranking tersebut dan websitenya bernilai Rm225 ribu atau bersamaan dengan harga Mercedes Benz C200 Kompressor Elegance terbaru.Kepada mereka yang sering mempertikaikan populariti Ben Ashaari sila lihat fakta tersebut.

Redmummy terus mengekalkan popularitinya dan kedudukan terkini menyaksikan blognya berada di ranking yang ke 226 dengan nilai websitenya Rm183 ribu dalam negara kita.Rankingnya lebih tinggi dari segi pageview berbanding Ben tapi website Ben berjaya mengatasi website redmummy dari segi valuenya.


Blogger Hanis Zalikha pula kini berada pada ranking yang ke 398 dengan nilai websitenya Rm188 ribu sedikit mengatasi value Redmummy tetapi tewas dari segi ranking.

Walau apapun website ini bukan untuk mencari atau meletakkan blog yang paling popular tetapi menyediakan data tentang sesuatu website seperti jumlah pengunjung atau pembaca.Berada pada kedudukan pertama adalah google.com tetapi ia berada dikedudukan ke 3 dalam negara kita manakala Yahoo.com di tempat ke 4 dunia dan ke 5 dalam negara kita.Jika anda ingin semak kedudukan blog anda sila klik DI SINI dan masukkan URL blog anda sendiri atau sesiapa saja.Tekan butang 'reload' (anak panah berputar) untuk melihat data keseluruhannya dengan lebih detail.

Kalau anda perasan beranggapan bahawa anda lebih popular sila pergi ke link tersebut dan semak sendiri kedudukan anda dan selepas itu baru boleh canangkan pada satu dunia bahawa anda paling popular kerana ada bukti dan fakta.Jangan asyik nak berdengki atau menuduh orang lain tanpa ada bukti kerana melalui website tersebut kita boleh semak website sesiapa saja.

ozzy - blog ozzy2u bernilai rm15 ribu dan berada pada ranking yang ke 6 ribu hehe...ok la tu masuk juga dalam senarai kan.

22 Jun 2011

ANONYMOUS BERI PELUANG BISNESS

Populariti hackers atau penggodam yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Anonymous' atau dalam bahasa Malaysia bermaksud 'tanpa nama' tiba-tiba melonjak dan menjadi bualan masyarakat dunia setelah mereka berjaya menceroboh bukan hanya laman web kerajaan Malaysia tetapi juga turut menyerang Sony Playstation yang berpengkalan di New York serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Walau apa jua tujuan mereka, apa yang pasti kumpulan 'anonymous' ini pastinya terdiri dari mereka yang genius dalam bidang IT jika tidak masakan begitu mudah mereka melakukan pencerobohan ini.

Satu ketika dulu dunia cyber juga heboh apabila munculnya virus yang menyerang dan merosakkan sistem computer.Ramai yang mengeluh apabila kehilangan data-data penting dan ia turut merosakkan sistem yang ada di dalam computer.Selepas itu langkah pencegahan dibuat untuk menghalang serangan virus ini iaitu dengan memperkenalkan software 'Antivirus'.Ini bermakna virus yang dicipta menghasilkan bisness 'Antivirus' yang sungguh lumayan kerana terdapat berjuta pengguna internet di seluruh dunia diperingkat global yang menggunakan computer.

Ianya tidak habis di situ saja apabila munculnya virus lain yang masih boleh menembusi kekebalan 'Antivirus' ini, lalu muncul pula versi 'Antivirus' baru yang dikatakan telah di up grade untuk menghalang virus terbaru dengan lebih effisen.Maka terhasillah berbagai versi dan jenama 'Antivirus' yang tiba-tiba muncul di pasaran.Fenomena ini menimbulkan persoalan apakah kemunculan virus sememangnya dirancang untuk menghasilkan 'Antivirus'?.

Ketika ramai pihak yang menjadi mangsa serangan hackers ini, aku percaya ada pihak sedang mencari formula untuk menghalang serangan hackers atau penggodam ini dan sedang mencongak keuntungan lumayan yang bakal mereka perolehi nanti dengan menghasilkan perisian 'Anti Hackers'.Meskipun ia telah pun berada di pasaran tetapi software ini belum lagi popular atau dianggap sebagai one of compulsary item untuk di install pada setiap computer terutamanya yang melayari internet.

Mungkin selepas serangan besar-besaran ini maka setiap pengguna terutamanya syarikat-syarikat besar akan mewajibkan setiap computer mesti di pasang dengan software 'Anti hackers'.Selepas itu barulah sasaran mereka akan ditujukan pada peringkat pengguna bawahan.Jika ianya benar ternyatalah 'Anonymous' ini telah membuka peluang bisness yang lumayan buat mereka yang juga terdiri dari golongan yang genius.

Jika kita lihat dalam kehidupan kita hari ini, ia seolah-olah turut berlaku perkara yang sama.Muncul berbagai penyakit yang mungkin sebelum ini tidak pernah kita dengar dan kemudiannya muncul pula vaksin atau ubat untuk mencegah penyakit tersebut.Bukan hanya muncul ubat malah kemunculan bomoh moden yang mengambil kesempatan turut memeriahkan lagi dunia hari ini.

ozzy - belum berpeluang untuk rebut peluang...

21 Jun 2011

SEMINAR BERSAMA JUTAWAN EMAS SYUKOR HASHIM

Kali ini aku menerima jemputan untuk menghadiri seminar berkenaan perniagaan emas di bawah syarikat emas terkemuka di negara kita Public Gold dan anak syarikatnya Public Dinar.

Buat pertama kalinya aku didedahkan dengan perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan dan disampaikan oleh jutawan emas En Syukor Hashim yang juga bertindak selaku admin di jutawanemas.com.Jika sebelum ini aku langsung tidak tahu bagaimana perniagaan ini dijalankan dan bagaimana ia di urus niaga tetapi setelah menghadiri seminar ini sedikit sebanyak memberi pendedahan serta ilmu pengetahuan yang sangat berguna.

Inilah juga kali pertama aku memegang sekeping emas tulen 999 seberat 100 gram yang dibawa oleh En Syukor dan aku abadikan ketika bergambar bersama dengannya selepas seminar itu tamat.Menurut En Syukor beliau dahulunya adalah seorang lecturer yang mengajar di MMU selama 10 tahun sebelum menceburi perniagaan ini secara sambilan tetapi setelah mendapati  pendapatan yang beliau perolehi 3 kali melebihi gajinya ketika itu maka beliau tidak menoleh lagi dan terus menjadikan perniagaan ini sebagai kerja tetap atau kerjaya sepenuh masa sehinggalah beliau kini bergelar jutawan emas dan dianggap mentor kepada orang melayu yang semakin ramai membuka mata tentang prospek yang ada dalam perniagaan ini.

Kesemua peserta yang hadir turut dibenarkan memegang emas tersebut yang mungkin jarang sekali ditemui kecuali mereka yang terlibat dalam perniagaan ini.Emas seberat 100gram yang nampak kecil tetapi padu itu bernilai rm16000 (16 ribu) mengikut harga pasaran semasa.Ini bermakna 1 gram emas tersebut nilainya rm 160 ketika ini dan menurut keadaan pasaran semasa harga emas dikatakan bakal melonjak pada paras tertinggi sehingga rm 200 untuk 1 gram sekitar ogos ini.

Bagi mereka yang tercari-cari peluang perniagaan ataupun pelaburan maka rebutlah peluang ini yang menjanjikan keuntungan lumayan.Walaupun jongkong emas tersebut hanya disimpan dan tidak diguna oleh pembeli atau penyimpan, mereka bakal memperolehi dividen yang dibayar sebanyak 23% setahun mengikut jumlah dan nilai emas tersebut.Sekiranya emas tersebut diniagakan maka pastinya keuntungan yang diperolehi menjadi lebih lumayan.

Bagi mereka yang kecewa atau sangsi dengan perniagaan MLM atau jualan langsung tetapi mempunyai modal yang mencukupi untuk melabur maka aku sarankan agar anda pilih perniagaan ini.Tetapi sebelum itu pastikan anda tahu serba sedikit selok belok bagaimana perniagaan ini dijalankan kerana harga emas ada masa naik dan ada masa turun.Ia ada sedikit persamaan seperti urusniaga dalam pasaran saham.Konsepnya apabila harga naik kita jual dan apabila harga jatuh kita beli dan kita juga perlu tahu bilakah masa yang paling tepat untuk membeli emas ini.

Apabila terbaca di dalam akhbar tentang kekecohan dan perletakan jawatan artis yang bernaung di bawah syarikat perniagaan AC Mizal, aku sarankan artis tersebut seperti Khai, Rosma, Alif dan Razlan (Lan kristal) untuk melabur di sini.Dengan pengaruh sebagai selebriti aku dapat rasakan peluang untuk mereka lebih cerah dalam menarik pelabur.Rebutlah peluang menjadi artis pertama memegang title 'selebriti jutawan emas' dan menjadi perintis dari golongan artis seterusnya muncul sebagai mentor dalam perniagaan ini sebelum direbut oleh artis lain.Artis 'warga emas' memang dah ramai cuma 'artis jutawan emas' belum ada lagi.Amacam ada berani??...

Sekiranya anda berminat untuk menjadikan perniagaan ini sebagai kerjaya atau menambahkan lagi cabang perniagaan anda, anda boleh menjadi agen kepada Public Gold dengan modal sebanyak rm 20,000 samada bayaran tunai atau boleh dibuat easy payment dengan 4 kali bayaran ansuran dan anda boleh memilih apa saja produk keluaran dari Public Gold mengikut harga semasa (samada jongkong emas, dinar emas, jongkong perak atau barang kemas) asalkan nilainya adalah RM20k.Dengan itu anda juga layak mendapat komisen sebanyak 1% dari pihak Public Gold.

Sekiranya anda berjaya melantik 3 orang lagi sebagai ejen maka anda layak menerima komisen sebanyak 1.5% dari Public Gold dan melayakkan anda dilantik sebagai Autority Dealer.Tidak seperti Direct Selling (MLM) yang mempraktikkan sistem piramid dimana anda tidak akan memperolehi apa-apa lagi komisen selepas itu walau beribu yang mendaftar kepada agen di bawah anda.Kita biasa mendengar ada yang sampai menjual tanah kerana melabur dalam MLM kerana inginkan atau dijanjikan dengan pulangan yang cepat tetapi akhirnya semua tergadai tetapi perniagaan ini tidak menjanjikan pulangan yang cepat tetapi menjanjikan pulangan yang lumayan tetapi sekiranya ia diniagakan pulangannya juga akan menjadi cepat.Sekiranya ada yang berminat boleh email pada aku di ozzy2u@gmail.com atau sekiranya anda berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut tentang perniagaan ini sila klik DI SINI.

ozzy - tengah fikir mana nak cari 20 ribu...

19 Jun 2011

BLOGGER MESTI BACA : SENARAI BLOG YANG BAKAL DI HACK

Ketika negara baru saja dikejutkan dengan serangan hackers yang menyerang dan menceroboh laman web milik kerajaan, aku terbaca info dari beberapa rakan blogger bahawa sasaran mereka selepas ini adalah pada blogger.


Berdasarkan senarai blog yang akan di hack, kebanyakannya adalah pada mereka yang menggunakan blogspot.Samada berita tersebut benar atau hanya khabar angin terpulang pada anda semua untuk mempercayainya ataupun tidak.Sumber sila klik DI SINI.

Setelah meneliti senarai blog yang bakal digodam terdapat beberapa senarai blog yang agak familiar dengan aku dan ada antaranya merupakan blog rakan aku sendiri.Terdapat beratus-ratus blog yang tersenarai sebagai blog yang bakal di godam.Walaupun blog aku tidak tersenarai dalam list tersebut namun langkah berjaga-jaga perlu dibuat seperti menukar password yang lebih panjang bersama campuran abjad dan huruf.Jika rakan-rakan ada cara lain untuk mengelakkan hackers ini diharap dapat sama-sama berkongsi tips tersebut.Antara blog yang aku temui secara rawak :








http://denaihati.com
http://www.kujie2.com <-tak dapat access blog ini ketika entri ini diterbitkan
http://chybeelila.com
http://mzhany.blogspot.com
http://cikyuyu.blogspot.com
 
http://cheqppjoy.blogspot.com/
http://abanglongonline.blogspot.com/
http://teknikbuatblog.blogspot.com
http://zulkbo.blogspot.com
http://angahsayang2314.blogspot.com/
http://asleenda.blogspot.com
http://annazanariah.blogspot.com

http://cikgufarha.blogspot.com/
http://tiefazatie.blogspot.com/
http://diariummi.blogspot.com
http://mymijie.blogspot.com
http://perondajaketbiru74.blogspot.com/
http://chenurulhusna.blogspot.com
http://qamarguyz.blogspot.com
http://fiverobindas.blogspot.com
http://koianakpahang.blogspot.com
http://al-lavendari.blogspot.co
http://facebook.com
< - turut berada dalam senarai

Terima kasih pada Cik Shinju yang memaklumkan perkara ini kepada aku tapi malangnya blog beliau turut berada dalam senarai blog yang bakal di hack.Untuk melihat kesemua blog yang tersenarai sila klik DI SINI

Oleh kerana senarainya terlalu panjang, cara mudah untuk mengesan samada blog anda tersenarai atau tidak adalah dengan menekan 'control + f ' dan taipkan nama blog anda.Persoalannya kenapa mereka nak hack blogger?Apakah yang mereka mahu dari blogger atau apakah kumpulan mereka ini tidak berpuashati dengan blogger? atau ia hanya kerja sekumpulan budak-budak nakal yang sengaja ingin menimbulkan kekecohan...hanya mereka yang terlibat saja tahu sebabnya.

               

ozzy - sila buat langkah berjaga-jaga kalau sayangkan blog anda..

17 Jun 2011

SEMINAR BERSAMA IRFAN KHAIRI

Sebut saja nama Irfan Khairi pasti kita semua membayangkan wajah anak muda yang bergelar jutawan internet ini.Nama yang begitu sinonim dengan perniagaan melalui internet sehingga bergelar jutawan.

Sewaktu menerima panggilan dari seorang rakan petang semalam yang mengajak aku turut serta dalam seminar percuma ini tanpa berfikir panjang aku terus setuju.Mana mungkin aku lepaskan peluang ini meskipun aku agak kepenatan dengan tugas di pejabat kerana peluang sebegini bukan selalu muncul.Seminar yang diadakan di tingkat satu Hotel Vistana yang berhampiran dengan Stesen bas Pekeliling ini ditaja oleh 'Salam Phone' yang turut memberikan sim pack bernilai rm 10 dengan percuma pada mereka yang hadir.

Seminar dimulakan kira-kira jam 8.15 malam selepas kami semua selesai menunaikan solat maghrib di hotel tersebut.Anggaran yang hadir mungkin sekitar 100 orang kerana dewan tersebut juga kecil untuk menampung jumlah yang ramai.Apabila Irfan muncul untuk memberikan ucapan, tiada langsung gambaran atau tafsiran negative pada anak muda yang bergelar jutawan ini samada dari segi penampilan mahupun gayanya berucap.Gaya santai yang digunakan ternyata amat berkesan untuk membuatkan semua mata terpaku dengan penyampaiannya.

Seminar ini hanyalah memberikan sedikit tips atau basic bagaimana untuk merebut peluang perniagaan melalui internet melalui langkah-langkah mudah dan berkesan termasuk melalui laman facebook.

Ternyata pengalaman yang dimiliki oleh anak muda ini membuatkan semua peserta ternanti-nanti penerangan step ke step yang seterusnya hinggakan tidak sedar masa selama 2 jam bagaikan begitu pantas berlalu.Apabila seisi ditamatkan kira-kira jam 10.30 malam barulah aku terasa lapar dan barulah aku sedar yang aku rupanya belum lagi makan malam.

Two thumbs up pada Irfan yang berjaya menakluki minda peserta untuk menumpukan sepenuhnya pada setiap tips yang diberikan dengan penerangan yang jelas dan tersusun serta mudah difahami. Seminar ini turut mempromosikan satu lagi seminar yang lebih besar bakal diadakan pada 15 oct  ini bertempat di KLCC Convention Centre.Seminar yang diberi tema "Revolusi Media Sosial" ini dikenakan bayaran sebanyak rm 490 (pada peserta yang hadir pada seminar malam ini) berbanding bayaran sebenar iaitu rm 690.Setiap peserta akan diberikan 3 CD secara percuma yang mengandungi rakaman teknik menjana pendapatan melalui internet.Seminar ini bakal menampilkan 66 strategi pemasaran melalui internet berbanding apa yang diberikan pada paserta yang hadir pada malam ini hanya 3 strategi diberikan kerana kesuntukan masa.Bermakna ada lagi 63 strategi yang masih belum diketahui.

Pada seminar selama satu hari itu juga nanti turut menyaksikan kehadiran pelakon Fahrin Ahmad yang akan turut sama bergabung dan mendedahkan strateginya nanti.Kehadiran Fahrin pada malam ini sekadar memberikan sedikit ucapan bagi tujuan mempromosikan project tersebut.Pastinya Fahrin akan menggunakan sepenuhnya pengalamannya sebagai artis untuk berinteraksi sekaligus menjadikan seminar itu nanti sebagai gabungan yang amat menarik bersama versi yang berlainan tetapi ke arah matlamat yang sama iaitu untuk memberi peluang dan sama-sama berkongsi formula bagaimana menjana pendapatan melalui internet.

Pada yang berpeluang atau teringin untuk mengikuti seminar yang dianjurkan oleh Irfan Khairi atau di panggil " I..K " ini, aku amat alu-alukan dan aku pasti anda semua tidak akan menyesal.Faktor paling penting adalah cara penyampaiannya yang tenang, jelas, menarik, serta mudah difahami dan paling penting lagi adalah keikhlasan yang terpancar pada wajahnya untuk sama-sama membantu orang lain agar merebut peluang dan berjaya sepertinya.Itulah Aura yang dimiliki oleh Irfan Khairi..syabas!! dan pada yang ingin membaca mengenainya sila klik DI SINI.

Sewaktu melangkah untuk balik, aku dan rakanku dijemput pula untuk menghadiri satu lagi seminar oleh salah seorang peserta yang hadir di situ.Seminar yang diadakan pada hari sabtu ini (esok) jam 8 malam adalah berkenaan perniagaan emas (dinar) melalui authorised dealer dari syarikat terkemuka Public Gold yang menjual jongkong emas.Seminar ini juga nampak menarik kerana aku memang tak pernah terlibat atau ambil tahu mengenainya.Pada yang ingin mengetahui websitenya sila klik DI SINI ..berkelip dan berkilauan websitenya.

Pada rakan-rakan yang berminat untuk turut serta ke seminar yang dibuat secara percuma ini di Sekitar Sunway P.Jaya, boleh tinggalkan pesanan atau emailkan kepada ozzy2u@gmail.com.Apa salahnya kita berkongsi info, siapa tahu melalui seminar tersebut bakal menjadi perintis atau membuka peluang pada anda semua untuk berjaya dan jika berjaya jangan lupa pada 'bicara ozzy'.

** Pesanan penaja - Daripada merayau menghabiskan duit lebih baik merayau mencari peluang untuk tambahkan duit walaupun belum tentu jadi duit dan daripada merapu untuk mencari kelemahan serta kesalahan orang lain, lebih baik merapu untuk memberi jalan dan membuka peluang pada orang lain.

ozzy - bukan senang untuk jadi senang dan bukan susah untuk jadi susah...

16 Jun 2011

RAWATAN BEKAM LINTAH

Lintah atau nama saintifiknya Hirudo Medicinalis merupakan sejenis spesis cacing yang yang suka menghisap darah.Jika dulu lintah banyak ditemui samada di dalam paya, sawah atau di kawasan hutan yang lembap dan sejuk tetapi hari ini lintah boleh ditemui dengan banyak setelah ia diternak bagi tujuan komersial.Berikutan permintaan yang tinggi di pasaran, kursus untuk menjadi usahawan menternak lintah turut ditawarkan kepada mereka yang berminat.

Siapa sangka lintah yang sebelum ini sering ditakuti kerana sifatnya yang suka menghisap darah serta dikeji kerana rupa bentuknya yang menggerutu serta hodoh kini boleh menjadi sumber untuk menambahkan pendapatan.Tidak kurang juga yang menjadikan ternakan lintah sebagai sumber utama dengan penglibatan sepenuh masa sebagai penternak lintah.

Apa yang menjadi tanda tanya adalah, betul ke lintah gemarkan darah kotor? dan yang lebih menimbulkan persoalan adalah kenapa lintah dikatakan tidak akan menghisap darah mereka yang dijangkiti AIDS?.Jika selama ini kita menganggap lintah main sedut je tak kira apa jenis darah sekalipun ternyata anggapan kita silap sekiranya benar lintah tidak akan menghisap darah mereka yang dijangkiti AIDS.Ini bermakna lintah juga mempunyai deria rasa atau selera dan lintah juga boleh digunakan untuk mengesan samada seseorang itu telah dijangkiti virus AIDS!.

Sekarang ini bakal pengantin diminta untuk menjalani ujian darah bagi mengesahkan mereka tidak mempunyai atau membawa virus AIDS, maka alternatif yang boleh digunakan adalah dengan merendamkan kaki pengantin di dalam besen yang mengandungi beberapa ekor lintah.Jika lintah tersebut hinggap dan menghisap darah pengantin bermakna pengantin tersebut bebas dari AIDS tetapi jika lintah TIDAK hinggap bermakna kemungkinan besar bakal pengantin adalah pembawa virus AIDS.Amacam?? ada berani ke dengan idea aku ni terutamanya kepada mereka yang berkeras atau malas untuk pergi buat 'blood test'.

Sebenarnya aku nak ceritakan pada malam minggu yang lepas, aku dan bersama seorang kawan pergi menjamu selera di Up Town Kota Damansara.Biasanya kalau aku datang ke sini itu bermakna tekak aku sedang mengidam Char Kuey Teow.Memang sedap kalau tak percaya boleh singgah gerainya nombor 3 dari pintu masuk dan signboardnya berwarna hijau.

Selepas menjamu mata selera kami berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut yang menyediakan gerai jualan sambil melihat berbagai barangan yang dijual oleh peniaga.Tiba di satu gerai aku terpandang beberapa orang pemuda dan pemudi sedang menjalani rawatan 'bekam lintah'.Oleh kerana mereka duduk ditempat yang terbuka maka agak ramai juga yang singgah untuk melihat 'Lin dan Tah' sedang ghairah menyedut-nyedut.



Gambar di atas adalah gambar mereka yang pernah menjalani rawatan di situ dan aku snap gambar tersebut untuk paparan kita bersama.Begitulah rupa mereka yang dapat kita semua lihat semasa menjalani rawatan cuma aksi saja mungkin berbeza.Asalnya saiz lintah cuma leper dan sebesar anak jari budak tapi kita dapat lihat bagaimana ia membesar hampir 3 kali ganda.Awek yang sorang tu dah macam tumbuh misai melenting dan yang sorang lagi tu pulak kata 'peace no war' tapi lintah tu tetap tak peduli, war ke tak war ke dia tetap sedut sampai kenyang.Niat di hati memang aku nak cuba tetapi rasa segan sebab kita kena duduk di situ macam model lintah sambil diperhatikan oleh orang ramai yang lalu lalang.Silap-silap ada yang ambil gambar esoknya keluar paper Harian Metro.

Bagi rawatan membuang darah kotor seperti di atas charge yang dikenakan mengikut berapa jumlah lintah yang digunakan.Biasanya untuk bahagian muka sahaja sebanyak 4 ekor lintah akan disediakan dengan bayaran rm 50 untuk kesemua lintah tersebut.Seekor lintah dikatakan menghisap diantara 10ml ke 25ml darah kotor dan masa rawatan pula  diantara 1 hingga 2 jam (untuk habiskan 4 ekor lintah) dan bergantung pada lintah tersebut yang akan jatuh dengan sendirinya setelah dia kenyang. Kalau dapat jenis lintah yang tamak dan tak mahu lekang jawabnya tunggulah sampai perut lintah tu meletup hehehe..

Bagi mereka yang ingin menjalani rawatan 'breast cancer' melalui bekam lintah ini pula, mereka akan di tempatkan di sudut tepi yang di tutup dengan tirai bagi menutup pandangan orang ramai.Untuk rawatan 'breast cancer' ini sebanyak 40 ekor lintah akan digunakan.Diulangi empat puluh ekor lintah akan digunakan untuk menyedut darah tersebut.Menurut akak yang menguruskan perniagaan tersebut kaedah ini amat berkesan untuk menghapuskan penyakit tersebut selagi mereka belum menjalani rawatan kimoterapi.Menurutnya lagi lintah tersebut akan mematikan terus 'akar' penyakit tersebut.Nak tahu lebih lanjut atau ingin mencuba silalah ke Up Town Kota Damansara dan bila aku teliti semula 'flyer' yang aku ambil rupanya dia ada websitenya sendiri sila klik DI SINI. ..siap dengan harga USD lagi tau.

ozzy - biar lintah tu sedut asalkan jangan lintah darat yang sedut.

NAK PANJANG ATAU PENDEK

Penulisan di dalam blog mempunyai berbagai versi yang berbeza.Ada yang suka mengarang dan bercerita berbagai kisah yang digemari samada kisah peribadi, isu-isu semasa, skandal artis dan bermacam lagi topik bergantung pada citarasa masing-masing.Pembaca pula terdiri daripada berbagai peringkat usia dan golongan yang berbeza.Setiap individu mempunyai minat yang berlainan dan lebih cenderung mencari sumber berdasarkan apa yang mereka gemari.

Kewujudan blog turut menyumbang berbagai variasi dalam bentuk informasi bagi menyalurkan maklumat melalui dunia siber.Segala info boleh dicari melalui enjin carian di internet dan ianya tidak akan hilang selagi tidak dihapuskan.Jika kita menyimpan buku atau keratan akhbar mengenai sesuatu info atau berita, ianya mungkin akan pudar atau hilang.Inilah perbezaan diantara berita yang kita simpan dari cetakan dengan berita yang ada di dalam internet.Namun ada juga yang gemar menyimpan keratan akhbar kerana beranggapan ianya lebih klasik dan lebih tepat untuk dibuat sebagai bukti atau rujukan berbanding berita di internet yang boleh diedit bila-bila masa.

Dengan kemunculan dan pertambahan blogger setiap hari menyebabkan persaingan sesama blogger untuk merebut kehadiran pembaca atau 'traffic ranking' menjadi semakin sengit apatah lagi ia turut menyumbang pendapatan sampingan.Kerana itu dapat kita saksikan timbul berbagai idea atas tujuan tersebut dan ini mewujudkan persaingan yang semakin rancak diantara sesama blogger.Cuma sesuatu yang tidak bagus adalah apabila wujudnya perasaan dengki atau tidak puas hati sesama blogger menyebabkan timbulnya konflik dalam bentuk hinaan dan cacian.

Diantara sesama blogger pula mungkin ada yang suka singgah pada mana-mana blog yang digemari samada untuk membaca atau memberikan komen.Blog yang terpilih sebagai blog yang digemari mungkin mempunyai tarikannya yang tersendiri samada dari gaya penulisannya atau info yang diberikan atau mungkin juga atas sebab-sebab lain.Namun kebanyakannya tidak menggemari blog yang memaparkan entri yang panjang berjela dan lebih suka pada blog yang mengandungi entri pendek tetapi padat.Ada juga suka yang panjang kerana kalau pendek sangat rasa tak puas membaca dan ayatnya macam tergantung.Aku juga suka menulis panjang-panjang walaupun aku tahu mungkin ramai yang tak suka tetapi bagi aku, aku suka dengan cara aku kerana aku rasa lebih puas apabila menulis cuma sesekali ada juga aku terbitkan entri pendek.

Walau apapun ada satu benda yang walaupun pendek tetapi tetap dipanggil panjang.Pasti ramai yang tahu jawapannya iaitu 'kacang panjang', walau pendek ia tetap dipanggil kacang panjang. Apakah ada blog yang dianggap sama seperti kacang panjang dan menjadi trademark? walau entrinya pendek tetapi bila sebut blognya ia akan dikatakan blog panjang.

ozzy - asalnya nak tulis pendek tapi tetap jadi panjang..

14 Jun 2011

KL GANGSTER SYAMSUL YUSOF BUKTIKAN DIA ANAK BAPAK

Setiap ibu bapa pastinya mengharapkan kejayaan yang cemerlang dalam hidup anaknya.Ibu bapa mana yang tidak bangga apabila melihat anaknya berjaya apatah lagi jika kejayaan anaknya mendapat liputan, pujian serta menjadi bualan daripada masyarakat sekeliling.

Kata pepatah 'benih yang baik jika dicampak ke laut akan menjadi pulau' dan itulah yang dikatakan sebagai anak bapak.Syamsul Yusof anak kepada Dato Yusof Haslam kini menggenggam title anak bapak setelah dilihat semakin menempa kejayaan melalui filem arahannya.

Berbeza dengan perjalanan yang pernah dilalui oleh ayahnya yang pernah melalui saat suka dan duka sebagai anak wayang, Syamsul tidak perlu melalui itu semua kerana modal serta populariti telah tersedia dan dia hanya perlu teruskan saja legasi tersebut.Dato Yusof Haslam pernah melalui zaman perit sebelum namanya terkenal sebagai pengarah filem.Beliau pernah bekerja sebagai konduktor bas dan beliau juga pernah bekerja di kilang besi sebelum menjadi terkenal sebagai pelakon dan pengarah filem.

Jika sebelum ini aku amat kagum dengan kejayaan trio adik beradik kumpulan KRU serta Rosyam Nor, kini nama Syamsul turut tersenarai antara pengarah yang kreatif dan semakin aku kagumi. Meskipun jalan hidupnya nampak lebih mudah tetapi jika tidak diiringi dengan usaha dan kesungguhan 'mimpi tidak mungkin akan mejadi kenyataan' walau siapapun kita.Biarpun sebelum ini beberapa filemnya pernah dikritik tetapi sekiranya segala kritikan di terima secara positif maka hasilnya juga akan cenderung ke arah yang lebih positif.

Sejujurnya aku kurang meminati lakonan Syamsul dalam setiap filem lakonannya kerana dilihat 'Poyo' istilah anak muda sekarang ini yang bermaksud 'syok sendiri atau berlagak bagus'.Beliau aku lihat sering 'control macho' dan kurang memberi kesan pada setiap babak yang dilakonkannya.Kerana itu aku beranggapan beliau hanya lebih sesuai menjadi seorang pengarah filem dan menyerahkan pada pelakon lain untuk membawa watak yang diingini.Antara pelakon hebat yang boleh membawa berbagai watak dengan berkesan adalah Rosyam Nor, Nasir Bilal Khan, Adi Putra , Zul Huzaimie dan Shaheizy Sam (sekadar menyebut beberapa nama pelakon favourite aku).

Filem terbaru arahannya Kl gangster yang dibarisi barisan pelakon yang berwibawa seperti Adi putra, Aaron Aziz , Adam Corrie serta kemunculan Zizan (raja lawak) yang membawakan watak komedi menjadikan filem ini sungguh mantap meskipun tanpa heroin yang 'meletup'.Jika filem arahannya sebelum ini pernah dibintangi oleh Aqasha, Zul Huzaimi dan Shaheizy Sam barisan pelakon untuk filem ini tetap hebat dengan sekali lagi mempertaruhkan ketampanan dan lakonan berkesan Aaron Aziz serta kehadiran Adi Putra salah seorang pelakon yang aku minati.

Jika sebelum ini filem Kongsi arahan Farid Kamil yang dikatakan sebagai pencabar utama dalam genre filem aksi sebegini ternyata hidangan yang disajikan oleh Farid Kamil kali ini kurang menyelerakan bagaikan kurang perencah dan perisa.Ketara dengan jelas hanya Shaheizy Sam yang menjadi penyelamat sebagai ayam sabung untuk filem tersebut.Walau berjuta keuntungan yang dikaut masuk ke dalam kantung pemilik atau penerbitnya David Teoh tetapi hidangannya tidak seperti apa yang penonton harapkan dan yang tinggal kenangan hanyalah 'lu langsi lu mati' ( maksudnya lu sombong/berlagak lu mati).Buah tangan Farid Kamil kali ini bakal kuyup dengan air basuh tangan Syamsul tetapi sekalung tahniah juga kepada Farid yang telah berusaha menyajikan hidangan yang terbaik dan harapan aku semoga dia berjaya melangkah lebih jauh lagi dengan menubuhkan syarikat produksi miliknya sendiri..milik bumiputera tentunya.

Apa yang membanggakan adalah Syamsul yang bernaung di bawah syarikat Skop Production milik ayahnya merupakan syarikat Bumiputera sepenuhnya sekaligus membuktikan bahawa bangsa kita juga berkebolehan untuk menjadi pengarah dan penerbit.Telah sekian lama mereka yang berada dalam industri perfileman ini diperah dan dikerah untuk menghasilkan filem yang mampu meraih keuntungan jutaan ringgit kepada penerbitnya dari kaum lain.Mereka kata "we share a piece of cake" tapi yang banyak kita dapat cumalah serdak.Mereka kemudiannya ditabur 'gula-gula' seperti menunaikan umrah atau melancong ke luar negara tetapi penerbitnya bersandar 'kekenyangan' bersama aset yang semakin menggunung.

Sejak dari zaman Tan Sri P.Ramlee industri perfileman di negara kita dikuasai oleh penerbit bukan Melayu terutamanya dari negara Hong Kong.Kini syarikat Metrowealth (MIG) milik David Teoh banyak menghasilkan filem yang kutipannya sering 'pecah panggung' dan pengarah serta pelakonnya terdiri dari orang Melayu.Namun apabila syarikat Melayu menjadi penerbit atau pengeluar produk, yang ingin menjatuhkannya juga adalah orang Melayu itu sendiri.Apabila filem yang dihasilkan 'pecah panggung' mereka mula terasa macam nak pecah punggung sebab tak senang duduk kerana dijangkiti demam PHD.

Tidak dinafikan ada juga pengarah filem melayu yang menampilkan filem yang tidak sesuai dengan budaya kita atau aksi yang kurang sopan, maka filem sebegini wajar dikritik dan dibantah meskipun setiap hari kita disajikan dengan sekuel yang sama dari filem negara luar.Tetapi apa salahnya kita memberi pujian dan sokongan kepada bangsa kita sendiri apabila mereka menghasilkan karya yang bermutu setanding dengan karya dari negara lain.Bezanya filem dari negara luar mempunyai kelengkapan dan modal yang lebih besar serta penampilan pelakon yang tidak 'terhad' atau terbatas berbanding kita yang mempunyai kritikan yang lebih besar dari bangsa kita sendiri berbanding modal atau sumbangan.

ozzy - teringin nak mengarah filem.....

12 Jun 2011

MENGATASI MASALAH PADI ANGIN

Entri berkenaan padi angin pernah aku terbitkan pada awal Mac tahun 2010 dan pada hari ini 8 jun 2011 aku menerima satu pesanan yang mungkin dapat membantu para petani yang mengalami masalah tersebut sejak sekian lama.Terima kasih aku ucapkan pada saudara/saudari 'anonymous' (tanpa nama) ini yang meninggalkan komen tersebut bersama jenis baja yang dicadangkan iaitu jenis bio agoplus decomposer.

Aku belum lagi menghubungi beliau untuk bertanya lebih lanjut terutamanya tentang harga, penghantaran,specifikasi,cara penggunaan dan sukatannya serta lain-lain maklumat.Sekiranya ada diantara para pembaca samada anda seorang petani yang mengusahakan tanaman padi atau mungkin ada dikalangan rakan atau saudara mara yang telah lama berdepan dengan masalah ini, anda boleh terus menghubunginya melalui nombor yang tertera di dalam ruangan komen yang aku printscreen di bawah ini.

Sekiranya baja yang beliau cadangkan benar-benar efektif, maka pengusaha tanaman ini boleh menarik nafas lega kerana masalah ini telah berlarutan sejak sekian lama tanpa ada sebarang solution samada dari jabatan pertanian seperti MARDI ataupun MADA.Apa yang penting adalah kita berusaha mencari jalan penyelesaian dari hanya menantikan miracle berlaku kerana padi angin memang diketahui amat sukar untuk dihapuskan.

Untuk membaca entri yang pernah aku terbitkan berkenaan Padi Angin sila klik DI SINI 

ozzy - psstttt!!!..saudara, kalau banyak tempahan boleh share profit ..consider promosi dah ni.

10 Jun 2011

ASB / ASN HARAM ?

Skim amanah saham bumiputera ditubuhkan untuk memberi peluang kepada bumiputera untuk melabur di dalam saham amanah di samping mendidik budaya menyimpan, terutamanya di kalangan pelajar-pelajar Bumiputra.Melalui skim ini ia banyak memberikan keistimewaan kepada golongan bumiputera terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah atau sederhana untuk melabur demi masa depan mereka.
Dengan adanya skim ini ramai yang mula menabung dengan membuka buku akaun untuk anak-anak mereka dan memasukkan duit simpanan seperti baki dari duit belanja sekolah yang dikumpul atau duit yang diperolehi oleh anak-anak ketika di hari raya.Walaupun amaun atau jumlahnya nampak kecil tetapi jika disimpan secara konsisten lama kelamaan dari sikit-sikit ia akan menjadi bukit.

Sekiranya simpanan bermula sejak anak kita berusia enam tahun iaitu ketika di sekolah tadika maka apabila usianya mencapai umur 12 tahun iaitu ketika akaun tersebut akan digantikan dengan namanya mungkin jumlahnya telah pun banyak.Contohnya setiap tahun kita menyimpan rm 100 bermakna telah ada rm 700 di dalam akaunnya tidak termasuk dividen yang diperolehi setiap tahun menjadikan jumlahnya lebih banyak.

Ketika ramai bumiputera yang memilih dan merebut peluang untuk melabur di dalam skim tersebut ia kemudiannya menimbulkan keraguan dan tanda tanya mengenai status skim tersebut yang di isyhtiharkan tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak seperti yang dinyatakan di dalam lampiran di bawah ini oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 12 Mei 2011.

Fatwa dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 1 Mac 1993 pula mengatakan bahawa skim ini Tidak haram.Mana satu yang betul ni?.Untuk info selanjutnya sila baca dan klik DI SINI.

Untuk membicarakan dan mengkaji tentang halal haram menerusi skim ini bukanlah kepakaran aku dan lebih baik biarkan saja pada yang pakar untuk menentukannya termasuklah mereka yang pakar AUTA sekali.Pada aku apa yang baik kita ambil atau ikut dan jika sebaliknya elok kita jauhkan.Jika merasakan skim ini haram maka simpanlah di tempat lain yang dirasakan lebih halal.

Pada aku apa yang lebih penting apakah sumber yang kita perolehi selama ini benar-benar halal?. Kerana melalui sumber tersebut kita memberi keluarga kita makan dan membeli semua barang keperluan termasuk songkok dan sejadah untuk kita beribadat.Ketika membeli barang keperluan apakah kita memeriksa dengan teliti dari mana dan apakah bahan yang digunakan untuk membuat barang tersebut?.Barang tersebut mungkin dijual oleh orang Islam tetapi pengeluarnya atau yang membuat bahan asasnya adalah mungkin orang kafir yang kita sendiri tidak ketahui campuran sebenarnya. Begitu juga dengan perlakuan kita apakah segalanya telah terhindar dari segala yang haram mata, mulut, telinga dan seluruh anggota kita apakah cukup sempurna mengerjakan yang halal dengan selengkapnya?.

Paling mudah adalah ikan yang hari-hari kita makan.Ramai yang mengetahui bahawa kebanyakan ikan yang kita beli di pasar adalah ikan yang diimport dari negara luar seperti Thailand.Ramai juga sedia maklum bahawa ikan tersebut telah disuntik dengan sejenis bahan kimia dikenali sebagai FORMALIN.Bahan ini merupakan sejenis bahan kimia yang disuntik pada mayat supaya tahan lama dan bahan kimia ini pula telah diharamkan disuntik pada mayat orang Islam.Jika mayat diharamkan apakah ikan yang telah disuntik dan kita makan itu halal?.Jika kita makan di kedai sekalipun apakah kita pasti makanan yang dihidangkan itu benar-benar halal? Kita tutup sebelah mata...

Kemudian apabila duit 'terlebih' barulah kita ke peringkat seterusnya untuk memikirkan tentang menabung  atau menyimpan.Tapi sebelum itu kita perlu sediakan dan beli kenderaan untuk memudahkan kita bergerak dan membawa keluarga ke sana sini.Apabila membeli kenderaan ramai diantara kita yang membayar secara ansuran tetapi apakah bank atau institusi yang memberi pinjaman itu berlandaskan hukum Islam serta bebas dari riba?Jika kita beli apakah bermakna yang kita juga bersubahat dan menggalakkan mereka terus mengamalkan riba? Untuk menghindarinya maka simpanlah duit sampai cukup kemudian baru beli secara tunai tetapi apa yang terjadi nak tunggu duit cukup entah bila dapat beli maka terpaksalah kita beli secara ansuran.Kita tutup lagi sebelah mata.. 

Sekiranya selama ini duit yang kita perolehi pun dari sumber yang haram atau duit tersebut 'separuh halal' atau mungkin bercampur antara yang halal dengan yang haram maka skim mana yang terbaik untuk kita?.Dalam dok sibuk haram ramai pulak yang pilih skim cepat kaya...akhirnya sampai sudah HARAM tak kaya kaya.Kalau banyak masyuk lupa pula nak tanya duit tu halal ke haram.Kita boleh kata apa jua skim itu dan ini adalah haram kerana kita boleh nampak dan kita juga boleh katakan sumber pendapatan kita adalah halal kerana orang lain tak nampak tetapi kita lupa bahawa Allah tetap nampak dan tetap tahu setiap apa yang kita lakukan.Kalau duit yang kita dapat pun dah 'separuh halal' atau haram maka jika disimpan di tempat yang halal dan suci selama seribu tahun sekalipun duit tersebut tetap dikira sebagai haram atau 'separuh halal'. Akhirnya kita menutup kedua-dua belah mata...

ozzy - sana kata halal sini kata haram..sini kata haram sana kata halal..makin celaru.

9 Jun 2011

GAMBIT VS GAMBIR

Isu panas berkenaan kontroversi video klip Prema Yin dengan pasangannya Shah Jaszle menjadi topik hangat pada ramai blogger ketika ini.Pihak akhbar turut melaporkan perkara yang sama dengan menamakan blogger sebagai pencetus yang menghangatkan isu tersebut.

Pada awalnya aku tak tahu pun siapa Prema Yin ni, tetapi setelah membaca dan melihat isu ini barulah aku tahu rupanya dia adalah juara Who Will Win pada tahun 2004 dan naib juaranya adalah penyanyi yang semakin popular ketika ini iaitu Faizal Tahir.

Melalui bakatnya nama Faizal Tahir terus melonjak selepas itu manakala nama Prema Yin terus tenggelam atas alasan ingin menumpukan perhatian pada pelajaran.Tiba-tiba namanya kembali melonjak dengan kemunculan video klip panas yang menjadi topik hangat ketika ini.Saksikan..

            

Pastinya topik hangat ini turut memanaskan dan merimaskan kepala pengarah video klip tersebut saudara Gambit Saifullah yang dikatakan telah pergi menunaikan umrah pada tahun lepas.
Mungkin ketika menunaikan umrah cuaca di sana panas, maka bila balik ke sini bahang kepanasan itu masih terasa kerana itu video klip yang dihasilkan pun agak panas juga walaupun suam-suam je sebenarnya.

Kisahnya yang pernah mengerjakan umrah kemudian dikaitkan pula dengan video klip ini menjadikan ramuan untuk mensensasikan isu ini semakin merebak dan membara.Akibat dari kepanasan tersebut Gambit akhirnya hilang sabar dan menghadiahkan blogger 'middle finger on your face bitch' melalui twitternya ..tapi ramai blogger yang sempat mengelak dan terkena pada muka tuan director Ahmad Nisfu. Berkat tu dia punya middle finger sebab dah pernah pergi melawat buat umrah!!!!.

Aku pun tak mahu mengulas panjang just baca apa yang orang lain dah ulas berkenaan isu ini walaupun dalam hati aku tetap tidak bersetuju dengan cara dia mengarah video klip tersebut.Biarpun alasannya untuk tayangan ke Amerika ke, ke Africa ke atau ke mana sekalipun selagi ianya dilakukan oleh kita yang beragama Islam kesannya turut dirasakan oleh orang lain juga terutamanya pada kita bangsa Melayu.Apa yang nyata semakin lama kita semakin disajikan dengan kisah kontroversi seperti ini untuk melonjakkan nama seseorang artis.

Gambir pula biasanya dimakan dengan daun sirih dan dikatakan amat berkhasiat untuk mengubati masalah cirit-birit serta menjadikan gigi kita kuat dan bersih.
Sejenis lagi gambir yang amat popular terutamanya pada kaum lelaki yang gemar pergi 'memburu' adalah gambir Sarawak.Gambir ini bukan untuk dimakan tetapi kegunaannya untuk mengubat sakit gigi atau disapu bila terkena sengatan serangga yang berbisa.


Gambir diperolehi dari kulit pokok gambir yang banyak ditemui di Sarawak dan kerana itu ia digelar gambir Sarawak.Apabila disapu kulit akan terasa panas dan kebas seperti dibius.Kalau terlebih sapu kulit akan melecet dan kepanasannya mengambil masa yang lama untuk hilang.

Kerana itu kalau sesiapa yang rasa tak cukup panas, bolehlah sapu gambir ni banyak-banyak tapi jangan sapu kat 'middle finger' pulak takut nanti 'orang lain' yang rasa panas.Lagipun 'middle finger' tu kan jari hantu kalau sapu panaslah hantu tu.Sesiapa juga boleh sapu termasuklah pelakon dalam video klip tu tapi cuma digalakkan untuk pelakon lelaki je sebab pelakon perempuan tu tak panas cuma 'hot'.

Kalau Gambit vs Gambir ..mana yang lebih panas
ozzy - stok gambir dah 15 tahun habis..

7 Jun 2011

TOKEK UNTUK DI JUAL





Haiwan yang digelar Tokek atau nama saintifiknya "Gekko gecko" pernah mencetuskan fenomena yang luar biasa apabila tiba-tiba menjadi buruan setelah haiwan ini dikatakan mampu menyembuhkan penyakit AIDS.


Sejauh mana keberkesanannya atau bagaimana kaedah yang digunakan untuk mengubati penyakit tersebut dengan menggunakan tokek ini masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sumber yang sahih mengenainya. Ramai yang mendakwa enzim yang terdapat pada hempedu tokek merupakan bahagian yang paling penting untuk bertindak sebagai penawar.

Menerusi sumber yang diperolehi melalui internet harga tertinggi seekor tokek ini dikatakan mencecah 64 juta dengan beratnya 64kg yang telah ditemui di Kalabakan Sabah dan dikatakan telah dijual pada seorang pembeli dari negara Cina.Sumber dipetik dari SINI.Ini bermakna harga seekor tokek seberat 1kg adalah bersamaan dengan rm1 juta...wowww!!! Namun aku sebenarnya masih meragui dengan sumber tersebut yang kelihatan agak samar akan kesahihannya.

Bagi mereka yang benar-benar ingin mendapatkan makhluk yang dikatakan istimewa ini samada untuk tujuan perubatan atau telah mendapat tempahan dari mana-mana pihak, aku ingin menyampaikan satu berita baik untuk anda semua.
Aku bersedia membekalkan tokek sekiranya anda berminat dengan harga serendah Rm 500 seekor.Beratnya aku anggarkan sekitar 200 gram dan beberapa ekor lagi antara 100gram ke 150gram.Jika ada yang berminat sila tinggalkan pesanan di dalam ruangan komen di bawah atau emailkan kepada ozzy2u@gmail.com sementara stok masih ada.

Untuk harga tersebut ingin aku tegaskan bahawa anda perlu datang mengambilnya sendiri di tempat tinggal aku di sekitar Petaling Jaya dan tiada khidmat penghantaran disediakan untuk 'produk' ini.
Harga yang dinyatakan juga adalah sama untuk setiap satu dari tokek tersebut tanpa mengira beratnya.Ini bermakna siapa cepat dia mungkin akan dapat yang lebih besar dan siapa lambat mungkin akan dapat yang bersaiz lebih kecil.Harga adalah tetap dan tawar menawar tidak akan dilayan.Jika anda berminat untuk memelihara haiwan ini pastikan ia dipelihara di kawasan yang tidak mengganggu orang lain kerana suaranya agak nyaring apabila ia menyebut 'TOKEK'.

Bagi mereka yang tidak pernah melihat atau belum mengenali haiwan ini sila tonton klip video ini dan dengarkan suaranya.Mungkin kerana ini juga menyebabkan haiwan istimewa ini di gelar 'TOKEK' kerana hanya itu sahaja perkataan yang disebut.Kebiasaannya tokek jantan akan memanggil pasangannya dengan menyebut "Tokek" dan ini bermakna nama pasangannya itulah yang bernama 'Tokek' jadi apakah nama sebenarnya? Saksikan...

                     


ozzy - jadi tokey tokek pulak...

GILIRAN MAKCIK HAJJAH SITT AL-WUZARA PULA MENGHINA ISLAM

Keghairahan terhadap kemajuan teknologi maklumat menyaksikan munculnya berbagai individu yang sengaja menimbulkan provokasi melampau bagi tujuan peribadi atau mempunyai agenda yang tersembunyi.
Sebelum ini berbagai bentuk serangan samada secara nyata atau tersembunyi dilemparkan kepada agama Islam, kali ini tampil seorang lagi yang menggelarkan dirinya sebagai Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara mengambil alih takhta sebagai individu yang paling lantang menghina Agama Islam.

Segala medium di laman sosial dipergunakan seluruhnya secara maksimum untuk menyerang dan menghina agama Islam samada menerusi Facebook, Blog atau mahupun Twitter.Membaca laman blognya, boleh dibuat andaian bahawa beliau banyak membaca dan mengkaji ajaran Islam dengan agak mendalam.Melalui pengetahuan dan bacaan tersebut beliau kemudiannya membina kata-kata hinaan mengikut terjemahannya sendiri.Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hinaan dan cacian yang dilemparkan sila klik DI SINI

Aku turut menjejaki dan menjadi followernya menerusi twitter yang menggunakan nama @Sitt Al-Wuzara, ternyata ia turut dipenuhi dengan hinaan dan cacian samada pada Allah, Nabi Muhammad, Ulama serta pemimpin negara termasuk umat Islam seluruhnya.Selain dari itu beliau turut mengutuk dan mengecam IKEA yang dikatakan sebagai kafir laknat dan terbaru beliau mengisytiharkan hari ini 6 jun 2011 beliau murtad dari Islam.Siapakah dirinya yang sebenar? apakah beliau adalah seorang yang beragama Islam dan mengalami masalah mental kerana terlalu kecewa dengan agama Islam? atau beliau sememangnya seorang bukan Islam yang sengaja ingin menyakitkan hati umat Islam?.


Sememangnya agak sukar untuk aku menentukan siapakah sebenarnya individu yang memperkenalkan identiti dirinya sebagai Makcik Hajjah Al-Wuzara ini samada beliau seorang Islam ataupun bukan Islam kerana gaya bahasanya yang kelihatan tidak canggung seperti orang melayu (orang melayu pastinya agamanya islam) samada di dalam blog mahupun ketika menjawab pertanyaan di twitter dan kadangkala dia gemar gunakan loghat Negeri 9.Sekiranya beliau berasal dari Indonesia pastinya akan ada sedikit slanga bahasa Indonesia.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini turut melaporkan tajuk berita yang sama bagi mengesan siapakah individu yang bertanggungjawab ini menerusi kerjasama antara Polis dan SKMM ( Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ).Oleh kerana ia di dalam siasatan pihak polis maka lebih baik kita serahkan saja pada pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas mereka daripada kita membuat sebarang spekulasi yang mungkin boleh mengganggu tugas mereka.Untuk berita selanjutnya sila klik DI SINI


Apa yang sering aku fikirkan adalah kenapa agama Islam sering menjadi sasaran seperti ini?. Berbagai provokasi dilakukan untuk meningkatkan kemarahan umat Islam dan apabila ada umat Islam yang bertindakbalas seluruh umat Islam dilabel sebagai pengganas.Lebih menyedihkan lagi dikalangan umat Islam itu sendiri terus bersengketa sesama sendiri seperti yang kita lihat peperangan dan pergolakan terkini yang masih melanda Yemen.Di mana silapnya???....

ozzy - masih menanti bilakah umat Islam di seluruh dunia akan bersatu....

5 Jun 2011

ADINDA EVANS DI HARIAN METRO

Populariti seorang blogger semakin meningkat gara-gara pengakuan beraninya menyebabkan berita panas tentang dirinya turut mendapat liputan dari akhbar harian Metro semalam.
Meskipun wajah dan namanya tidak disebutkan namun ramai pasti tahu terutamanya dikalangan blogger siapakah individu tersebut.Selain dari laman blog, remaja ini juga turut popular di dalam facebook dan twitter. Namun Harian Metro hanya melaporkan berita mengenainya setelah gagal menghubungi remaja tersebut.

Sehari sebelum berita mengenainya disiarkan di Harian Metro, beliau baru saja menyambut hari jadinya yang ke 14.Mungkin dengan tersiarnya berita yang memapaparkan kisah tentang dirinya, ianya mungkin antara hadiah harijadi yang paling 'berharga' buat dirinya untuk dikenang.Sumber dari SINI


Berita tersebut turut mendapat ulasan dari Pensyarah Program Kaunseling dari Universiti Sains Islam, Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon antaranya berkata, faktor usia yang masih muda menyebabkan pelajar itu berani berterus terang dan bangga dengan apa yang dilakukan tanpa memikirkan kesan terhadap dirinya.

Datin Dr Sapora menambah " Mungkin dia juga mahu dikenali dengan cara sedemikian yang dilihat berbeza dan mahu memberitahu dia tidak peduli pandangan negatif orang lain terhadap dirinya".Namun Dr Sapora turut bersetuju bahawa remaja tersebut telah melakukan kesalahan tetapi di usia muda dia sepatutnya dibimbing agar menyedari kesilapan dari perbuatannya dan bukannya dihukum.

"Jika menghukum dengan kata-kata kesat kemungkinan dia akan mengulangi perkara yang sama kerana marah.Sepatutnya sebagai orang yang lebih dewasa kita patut menasihatinya ke arah kebaikan kerana kita tahu dia melakukan hubungan seks dan bangga mendedahkannya disebabkan tidak berfikir panjang" katanya lagi.

Aku turut setuju dengan kata-kata Dr Sapora kerana golongan remaja seperti ini masih berdarah panas dan gemar memberontak.Ramai diantara kita juga pernah melalui zaman remaja dan mungkin kita juga pernah melakukan perkara yang tidak baik ketika itu kerana beranggapan apa yang kita lakukan itu adalah betul sedangkan perbuatan tersebut adalah salah samada disisi agama atau undang-undang.Bezanya kesalahan tersebut kita simpan untuk dijadikan pengajaran atau pengalaman bukannya mendedahkan sepertimana yang Adinda ini lakukan.

Golongan remaja seperti ini juga jarang memikirkan akibat dan kesannya dari perbuatan tersebut pada masa yang akan datang, selepas 20 tahun akan datang contohnya.Begitu juga kesannya pada orang lain terutamanya ahli keluarganya sendiri yang mungkin akan turut dikecam akibat dari pendedahannya ini serta sedikit sebanyak tempiasnya turut akan dirasai di tempat dia bersekolah. Walau apapun, pendirian aku tetap tidak bersetuju dengan tindakannya menghebahkan pengakuannya secara terbuka kerana selain dari perbuatan tersebut adalah salah ia juga boleh menjadi ikutan pada remaja lain untuk mengikuti jejak langkahnya terutama remaja yang ingin menarik perhatian ramai atau ingin meraih populariti dengan cara mudah.

                                  


ozzy - kalau nak popular boleh masuk jadi maharaja lawak...

3 Jun 2011

KENAPA SAMPAI MACAM NI ADINDA EVANS

Dunia blogger tiba-tiba dikejutkan dengan kemunculan sebuah blog yang aku anggap baru saja dibina.Blog yang mencetuskan kontroversi dan sedang hangat diperkatakan oleh ramai blogger khususnya blogger Melayu.

Dalam masa yang singkat sahaja blogger yang menggelarkan dirinya sebagai Adinda Evans' atau nama sebenarnya Nadia Elliza ini menjadi popular dan mengumpul begitu ramai follower yang berminat untuk mengikuti kisah peribadi yang beliau paparkan.

Pemilik blog ini baru berusia 14 tahun dan masih menuntut tetapi entri yang dipaparkan cukup panas dengan pengakuan beraninya.Antara petikan yang popular dan dianggap panas adalah pengakuan beliau bahawa beliau sudah tak ada DARA.Ini terbukti apabila ramai blogger yang mengupas dan menampilkan petikan yang sama di dalam blog mereka.Berikut adalah petikan tersebut : sumber dari SINI.


Namun entri tersebut telah dipadam setelah mendapat komen, teguran serta kritikan dari ramai pembaca hinggakan ada yang buat fanpage 'adinda milano evans' di Facebook untuk mengutuknya. Aku sendiri sebenarnya turut ingin mengulas dan menyampaikan rasa terkejut dan kecewa tetapi terasa berat lebih-lebih lagi beliau tidak aku kenali.Kenapa sampai macam ni wahai Adinda? Nak nasihat pun aku tak berapa reti, nak mengutuk juga aku tak sampai hati.Jika itu pendirian dan cara kehidupannya aku sekadar mampu memungut coretannya agar tidak diikuti oleh kaum keluarga aku dan sesungguhnya aku berdoa semoga kaum keluarga aku dijauhkan dari melakukan perkara sebegini.

Biar apapun tafsirannya sebagai satu bangsa dan satu agama meskipun beliau bukan darah daging aku namun jauh disudut hati aku tetap terselit rasa kecewa dan sedih.Beliau masih terlalu muda dan lebih muda dari anak sulong aku yang masih mentah untuk mengenali erti sebenar kehidupan ini. Sesungguhnya perjalanan untuk beliau lalui masih terlalu panjang dan mungkin juga akan penuh dengan onak dan ranjau untuk ditempuhi.Cukup sukar untuk aku luahkan di sini kerana anak muda zaman ini bukan mudah untuk dinasihati tambahan lagi jika kita bukan di kalangan keluarga atau adik beradik mereka.



Entri terbaru beliau aku printscreen dan paparkan di sini dan kalau nak cari blognya boleh cari sendiri dari enjin carian.


Satu persoalan lain yang berlegar dalam fikiran aku adalah, benarkah kesemua coretan serta gambar yang dipaparkan adalah dirinya yang sebenar? kerana mungkin juga ada pihak yang sengaja membuat blog tersebut atas sebab-sebab dan tujuan tertentu, mungkin sakit hati atau dendam contohnya.Macam mana jika tiba-tiba terbit pengakuan bahawa beliau sebenarnya telah dianiaya dan menjadi mangsa fitnah sedangkan kita dengan lantang telah mencaci dan menghinanya? nahh..sia-sia je kan dapat dosa.Justeru itu janganlah cepat melatah dan menuduh yang bukan-bukan selagi belum ada bukti yang benar-benar kukuh bahawa beliau adalah individu yang sebenarnya.Dengan teknologi yang ada sekarang ini bermacam perkara yang manusia boleh buat...macam-macam ada.

Terakhir sekali yang aku nak cakap adalah "HAPPY BIRTHDAY ADINDA" kerana dia tulis dalam blognya hari ini 3 jun adalah harijadinya.
                         
ozzy - nantikan kemunculan bintang filem porno melayu pulak kot buat blog lepas ni..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...