28 Julai 2011

JANGAN TERLALU LEKA

Ketika berada ditempat awam ataupun ketika berada di stadium yang dipenuhi dengan lautan manusia samada untuk menyaksikan konsert ataupun perlawanan bolasepak jangan kita terlalu leka kerana terdapat bermacam kerenah manusia yang ada di sana.
Pastikan barangan yang dibawa dijaga dengan baik terutamanya barangan yang bernilai seperti dompet yang mengandungi wang tunai dan juga kad pengenalan untuk mengelakkan dari tercicir atau diragut.

Dalam menjaga barangan peribadi jangan lupa untuk menjaga keperibadian  terutama pada golongan wanita.Bagi yang sengaja ingin mendedahkannya untuk santapan umum pasti bangga apabila ia berjaya menarik perhatian tetapi bagi yang menjaga penampilan kadangkala tidak terlepas dari menjadi habuan ribuan mata yang memandang.Akibat terlalu leka kadangkala kita tidak sedar ada bahagian yang sepatutnya ditutup tetapi terdedah untuk dijamu pada mereka yang menanti peluang yang terhidang.

Mungkin kita beranggapan pakaian yang kita pakai sudah dianggap sopan dan sesuai atau selesa untuk kita  berada di tempat seperti itu tetapi akibat terlalu leka kita lupa untuk menutup tempat yang sepatutnya tidak terbuka.Zaman ini zaman IT, kalau gambar kita dah terhidang dalam internet dengan gaya yang memalukan ianya tidak dapat dihapuskan lagi dan terus kekal menjadi hidangan percuma.

Apapun aku ingin ucapkan selamat berjuang pada pasukan bolasepak Harimau Malaya kita yang akan turun menentang pasukan Singapura untuk perlawanan kedua pada malam ini yang akan turut disaksikan oleh perdana menteri kita Dato Seri Najib Tun Abdul Razak.

Kepada semua pemain turut diingatkan agar jangan terlalu leka untuk memburu gol sehingga membiarkan pintu gol kita terdedah dan dapat dibolosi dengan mudah.Kalau dah terdedah lebih mudah untuk diratah dan lebih senang untuk di bolosi.Kepada peminat juga jangan terlalu leka menonton hingga lupa menutup bahagian yang terdedah.

Melihat pada jualan tiket yang habis dijual ia adalah petanda bahawa peminat masih mengharapkan kebangkitan skuad kebangsaan kita meskipun sebelum ini sering menjadi bahan cemuhan.Peminat juga amat mengharapkan aksi menarik serta semangat juang yang tinggi dari semua pemain negara dan jika tewas sekalipun biarlah kita tewas dengan bermaruah setelah berjuang habis-habisan. Selamat berjuang pada semua pemain negara.

Pesanan pada semua pemain, jurulatih dan juga peminat ..Jangan Terlalu Leka.

ozzy - Kadang-kadang terleka juga...

SEMAKIN MENJADI-JADI

Perbuatan budak-budak nakal seringkali menyebabkan kemusnahan dan juga kesusahan pada pihak lain.Perbuatan mereka ini bukan hanya melibatkan kerosakan kemudahan awam malah turut melibatkan harta milik persendirian.Pada yang menjadi mangsa pasti tertanya-tanya apa salah dan silap mereka tetapi pada yang terlepas mereka juga perlu membuat langkah berjaga-jaga agar mereka tidak menjadi mangsa seterusnya.
Jika sebelum ini kereta aku menjadi mangsa, pagi ini kami dikejutkan pula dengan sebuah lagi kereta penduduk di sini yang turut menjadi mangsa khianat.Minggu lepas lampu depan dan signal kereta aku dipecahkan, mangsa kali ini telah dipecahkan cermin depan keretanya.Harga untuk menukar cermin depan pun boleh tahan juga mahalnya tambah lagi dalam keadaan sekarang ketika kita sedang mencongak budget untuk membuat persediaan untuk menyambut Hari Raya yang semakin menjelang tiba.


Belum puas cermin depan dipecahkan, tayar turut menjadi sasaran apabila paku pula dipacakkan.Jika dilihat keadaan paku tersebut memang jelas ia sengaja dipacakkan oleh seseorang kerana dalam keadaan biasa paku biasanya melekat dipermukaan tayar dan bukan di tepi tayar seperti ini.

Kalau setakat diletakkan paku seperti ini tidaklah menjadi masalah besar kerana kos untuk menampal tayar pun taklah sampai rm10 pun tetapi cermin depan yang pecah paling kurang pun dalam anggaran rm400..banyak juga tu.

Apabila melihat keadaan seperti ini rata-rata penduduk akan bertanya "Anak siapalah yang buat kerja ni..kurang ajar sungguh".Maka adalah yang mula menuduh anak si polan itu dan anak si polan ini yang telah dikenalpasti sebagai mat gian atau penagih gam.Yang disebut adalah "anak siapa" bermakna nama ayahnya turut dilibatkan kerana perlakuan jahat anaknya.Jika dapat ditangkap maka ayahnya juga turut perlu bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi.Kerana sikap anak-anak nama keluarga turut tercemar dan mendapat malu tetapi bagi mereka yang terlibat mereka tidak fikirkan semua itu kerana fikiran mereka masih cetek dan terikut dengan darah muda.Mereka hanya fikirkan diri mereka tanpa memikirkan perasaan orang lain.

Sebelum ini pernah dibuat cadangan untuk memasang CCTV di kawasan parking tapi tidak mendapat sambutan kerana rata-rata penduduk di sini adalah terdiri dari mereka yang menyewa. Pemiliknya pula langsung tidak memberi respon dan tak mungkin penyewa sanggup menambah lagi kos untuk CCTV kerana kadar sewa yang tinggi.Nampaknya terpaksalah cari jalan lain..

ozzy - sabar dan terus sabar...

27 Julai 2011

CUCI KAKI

Orang tua atau ibu bapa seringkali berpesan kepada anak-anaknya supaya cuci kaki sebelum tidur untuk mengelakkan mimpi yang pelik atau gangguan dari syaitan.Selain dari sebab tersebut ia sebenarnya bagus agar kita tidur dalam keadaan bersih dan mengelakkan tempat tidur atau tilam kita kotor.

Cuci kaki turut dikaitkan dengan istilah seorang gadis atau perempuan yang mendapat pasangan dari keluarga yang berada ataupun pasangannya itu telah menyediakan segala kelengkapan isi rumah termasuk perabut, barangan elektrik dan segala keperluan yang lain.Maksudnya perempuan tersebut hanya perlu cuci kaki untuk masuk kedalam rumah yang telah lengkap segalanya.Kalau orang gaji pun turut disediakan mungkin sebelum masuk cuci kaki, bila dah masuk cuci tangan jelah kan.

Siapa yang tidak suka dan terasa betapa beruntungnya kalau hanya datang cuci kaki kerana tak perlu nak fikir apa lagi yang nak dibeli.Jika adapun mungkin sedikit penambahan mengikut citarasa dan selera sendiri.Jika di zaman dahulu istilah cuci kaki ni agak popular kerana amat jarang yang bernasib baik untuk menjadi calon cuci kaki tetapi di zaman ini mungkin pihak lelaki juga bakal bergelar calon cuci kaki kerana wanita sekarang ramai yang mempunyai kerjaya yang baik dan mengumpul aset yang lengkap seperti rumah dan kenderaan.Kalau dulu calon perempuan digelar cuci kaki tapi sekarang calon lelaki nak gelar apa pula?...samalah kan.

Walau apapun tak kiralah samada lelaki atau perempuan kalau dah jodoh untuk 'cuci kaki' maka cucilah kaki dengan sebersihnya.Jangan dikotorkan rumah yang disediakan bersih dengan perangai dan hati kita yang kotor.Jangan hanya kaki yang bersih tapi hati kita kotor kerana ada niat lain disebaliknya.Jangan pula nanti kita datang hanya cuci kaki tapi kemudiannya dihalau keluar dan tak sempat nak cuci kaki.

ozzy - teringat gayung kat kampung untuk cedok air buat cuci kaki...

22 Julai 2011

ULAT DALAM BATU PUN BOLEH HIDUP

Seringkali kita dengar perumpamaan "Ulat dalam batu pun boleh hidup, inikan pula kita manusia" sebagai perbandingan kepada kita manusia agar jangan mudah berputus asa dan jangan malas untuk berusaha.Maksudnya orang yang rajin berusaha tidak akan mati kelaparan tetapi bukannya bermaksud kita hanya duduk atas batu dan tidak perlu berbuat apa-apa.

Perumpamaan ini juga boleh disamakan dengan peribahasa "di mana ada kemahuan di situ ada jalan" yang bermaksud jika seseorang itu mempunyai keinginan atau iltizam yang kuat dia akan berusaha dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya walaupun berdepan dengan berbagai cabaran dan rintangan.

Bagi sesebuah negara yang mempunyai taraf ekonomi yang kukuh mungkin sukar untuk ditemui ulat yang hidup di dalam batu kecuali jika habitatnya memang di dalam batu tetapi jika kebanyakan batu pun telah dihancurkan untuk memberi laluan pada pembangunan mungkin habitat ulat tersebut akan beralih ke tempat lain.Bagi negara yang masih mundur maka batu merupakan tempat paling selesa dan selamat untuk ulat ini terus tinggal di dalamnya manakala manusia pula terpaksa menjadi seperti ulat yang hidup di dalam batu dan berusaha sedaya upaya dengan apa juga cara untuk mendapatkan makanan dan mencari rezeki.

Apabila habitatnya diceroboh maka ulat-ulat ini akan mencari alternatif lain untuk terus hidup seperti hidup dalam kayu, dalam tanah, dalam simen dan mana-mana tempat yang boleh dijadikan tempat tinggal.Kadangkala mereka memilih tempat yang tidak dijangka seperti di sini...sila saksikan


                               

" Walaupun rupamu tidak ku kenal tetapi lobang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku " - kata Aziz Satar dalam filem Seniman Bujang Lapuk.

ozzy - biasa tengok ulat tiket....

21 Julai 2011

HINAKAH LELAKI LEMBUT

Lelaki lembut atau diistilahkan sebagai lelaki yang dilahirkan sebagai lelaki tetapi memiliki sifat-sifat atau naluri seperti seorang wanita.
Antara gelaran yang diberi pada golongan ini adalah pondan,bapuk atau mak nyah dan dalam bahasa cina mereka menggelarkannya sebagai Aqua.Sifat kewanitaan ini biasanya mula dikesan sejak di zaman kanak-kanak lagi yang mana mereka lebih cenderung untuk bersifat atau bergaya seperti seorang wanita contohnya gaya dia berjalan, gaya berpakaian atau gayanya ketika berinteraksi.


Kes terbaru seorang lelaki yang bernama Mohd Ashraf Hafiz telah menukar jantina kepada wanita telah dikutuk dan dicerca.Hinaan dan cercaan kepada golongan ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kelompok masyarakat kita yang tidak dapat menerima perlakuan golongan ini.Namun apa yang dikesali apabila ada hinaan tersebut yang boleh dianggap keterlaluan kerana mendoakannya supaya lebih baik dia cepat mati.Memang benar perbuatannya adalah salah disisi agama tetapi siapa kita untuk menjatuhkan hukuman seperti itu pada seorang insan dan makhluk ciptaan tuhan sepertinya?.

Aku percaya mereka semua tidak meminta untuk dilahirkan seperti ini dan ibu bapa mereka juga tidak meminta agar mereka dianugerahkan anak seperti itu.Memang mudah untuk kita menyatakan bahawa ia perlu diasuh dan dibentuk sejak kecil tetapi sekiranya hormon wanitanya yang semulajadi melebihi dari hormon lelaki apakah yang perlu dilakukan?Setakat ini ramai yang hanya memberikan teori itu dan ini tetapi sejauh manakah keberkesanannya?.Jika terbukti kaedah tersebut benar-benar berkesan maka formula tersebut perlu disampaikan dan diaplikasikan kepada keluarga kanak-kanak yang malang itu.Inilah cara yang betul untuk kita membantu sebagaimana yang dituntut oleh agama kita agar saling membantu bukan membuka lorong dan mendorongnya untuk membunuh diri. Bukankah membunuh diri itu dilarang oleh Islam?.

Jika kita tidak dapat memahami isi hati kedua ibu bapanya sekurang-kurangnya kita menghormati dan menjaga perasaan mereka.Walau selembut mana, walau sejahat mana dan walau seburuk mana sekalipun ia tetap darah daging mereka.Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul dan berat mulut menghukum berat lagi derita yang mereka tanggung dan ini terbukti apabila kedua ibu bapanya lebih rela nyawa mereka dicabut sebelum nyawa anaknya diambil kerana mereka juga adalah sebahagian daripadanya dan tanpa mereka tidak akan wujud anaknya ini.Sebelum itu lihatlah pada diri kita apakah langsung tiada walau sekelumit dosa?apakah langsung tiada walau secalit noda?Jika ada bersediakah kita menanti hukumannya sebelum kita melihat orang lain dihukum.

Kita perlu ingat bahawa kita juga bakal menjadi ibu atau ayah yang mempunyai zuriat.Mungkin kita lebih bernasib baik kerana tidak dikurniakan anak seperti ini tetapi kita jangan lupa bahawa Allah maha berkuasa.Mungkin anak-anak kita dilihat cukup sempurna tetapi lupakah kita bahawa kita juga bakal menimang cucu dan jika ditakdirkan cucu tersebut dilahirkan dengan sifat sebegini apakah sanggup kita membunuh cucu kita sendiri?Apakah sanggup kita mendoakan agar cucu kita cepat mati?dan apakah hanya itu penyelesaiannya?.

Aku bukan menyokong atau menyebelahi golongan ini kerana sebagai lelaki aku turut mengakui bahawa aku juga geli apabila didekati oleh golongan seperti ini tetapi tidaklah sampai menghina mereka begitu sekali cukuplah sekadar menjauhkan diri dari mereka dan sebagai manusia mereka turut memahami isyarat tersebut bahawa kita tidak sukakan mereka sekiranya kita menjauhkan diri. Sewaktu bersekolah dulu pun ada antara yang kami kenali turut bersifat seperti ini dan aku berharap mereka semua berjaya dan memilih arah hidup yang diberkati serta diredhai.

Satu perkara yang aku tidak setuju adalah apabila mereka ini terjebak dengan memilih untuk menjual tubuh.Alasan seperti "kerja apa lagi yang kami boleh buat selain dari kerja ini" tidak boleh diterima kerana terdapat berbagai pilihan yang boleh mereka pilih untuk dijadikan kerjaya seperti menjadi jurujual di pasaraya, bekerja di kedai makan, menjahit , melukis atau kerja-kerja lain yang tidak memerlukan kekuatan fizikal.Namun aku percaya sekiranya ada produk tetapi tiada pelanggan atau tiada permintaan maka tidak akan wujud perniagaan ini tetapi bagaimana pula jika permintaan melebihi pasaran?.

Permintaan tersebut pula datangnya daripada siapa?Apakah spesis yang sama sepertinya atau terdiri dari manusia normal seperti kita tetapi mempunyai sifat dwisexsual?atau apakah mereka ini sebenarnya abnormal?Sekiranya ada yang mendoakan agar golongan ini cepat mati apakah wajar jika golongan yang melanggan mereka turut didoakan agar cepat mati atau yang melanggan itu sepatutnya yang lebih dulu mati?kerana mereka turut bersubahat dalam merancakkan lagi industri ini..fikir-fikirkan dan renung-renungkan.

<------------------------------------------------------------------------------------------------->
30 July 2011 (Update) - Akhirnya Mohd Ashraf meninggal dunia pada jam 4.50 pagi tadi setelah dimasukkan ke wad ICU kerana mengalami serangan jantung (komplikasi jantung) dan jenazah beliau dikebumikan sebagai seorang lelaki.Al-fatihah..dan semoga mendapat keampunan dari Allah s.w.t atas segala apa yang dilakukannya di dunia ini.Mungkin ada bahagian yang baik darinya dan segalanya kita serahkan pada yang maha esa untuk mengadilinya.

Ini bermakna permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana tidak menjadi kenyataan kerana ia lebih dahulu pergi menghadap Ilahi.

20 Julai 2011

PENYOKONG FANATIK BOLASEPAK

Umum mengetahui bahawa bolasepak merupakan sukan nombor satu dunia.Di mana-mana sahaja pasti akan ada yang menyebut dan memperkatakan tentang bolasepak samada di dalam liga tempatan mahupun luar negara.
Jika direnungkan kembali kenapa permainan ini begitu popular dan boleh menyebabkan seseorang itu begitu fanatik sedangkan ia hanya satu permainan untuk merebut sebiji bola di atas padang.

Biasanya persoalan tersebut dilontarkan oleh mereka yang tidak minat terhadap sukan ini.Bagi peminat sukan bolasepak biasanya mereka mempunyai berbagai alasan dan sebab.Antaranya gaya atau skill seseorang pemain serta mutu yang dipamerkan oleh sesebuah pasukan.Dalam negara kita sikap fanatik penyokong bolasepak ini masih terkawal dan tidak seagresif seperti di luar negara hingga menyebabkan berlakunya rusuhan serta pergaduhan dan mengakibatkan kematian.

Dalam liga tempatan sikap penyokong fanatik ini hanya boleh dilihat untuk beberapa negeri sahaja seperti Kelantan, Kedah, N.Sembilan dan Selangor.Bagi negeri-negeri lain sikap fanatik penyokongnya tidak terlalu ketara dan ada antaranya bukanlah fanatik terhadap sukan bolasepak tetapi lebih terarah kepada semangat kenegerian.

Peminat fanatik untuk pasukan negara kita juga jumlahnya agak kecil mungkin kerana prestasi pasukan negara kita yang tidak konsisten.Walau bukan sebagai peminat fanatik sekalipun apa yang penting kita tetap menyokong pasukan negara kita atas semangat warganegara Malaysia kerana tak mungkin warganegara lain akan menyokong pasukan kita.Senario ini jauh berbeza jika kita bandingkan sokongan terhadap pasukan dari luar negara.Macam biasa kita lebih suka mengagungkan 'produk' luar negara berbanding 'produk' kita sendiri mungkin disebabkan kualitinya yang berbeza.

Seseorang yang menjadi fanatik sanggup berbuat apa sahaja dan agak merbahaya jika beliau tidak dapat mengawal diri dan perasaannya.Kerana bola mereka sanggup berjaga hingga ke pagi, kerana bola mereka sanggup putus sahabat dan kerana bola mereka sanggup membunuh.Berpada-padalah bukan hanya pada bola sepak tetapi juga perkara yang lain...

                                  
~ sengaja cari pasal ~

ozzy - bukan penyokong fanatik  cuma sokong Malaysia...

19 Julai 2011

TV PLASMA ATAU TV LED - SESUATU YANG RAMAI PERLU TAHU

Berdasarkan traffic yang masuk melalui enjin carian, aku dapati ramai yang mencari info berkenaan pilihan antara TV plasma, LCD mahupun LED.Entri berkenaan TV LED pernah aku terbitkan DI SINI.

Aku pasti majoriti dari golongan tersebut adalah terdiri dari golongan yang berpendapatan sederhana yang rata-ratanya amat berhati-hati dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih model mana yang menjadi pilihan terbaik.

Mungkin ramai antaranya sedang berkira-kira untuk menggantikan TV baru maklum saja Hari Raya dah semakin hampir.Mungkin juga ada yang teringin ikut sama memilikinya selepas melihat rakan lain ramai yang dah guna atau bergaya dengan model TV yang terkini.Hati kecil mula berbisik "mana boleh jadi orang lain pakai TV LCD, aku masih pakai TV lama..malulah kalau orang datang rumah".

Ramai yang mula keliru apabila ingin membuat pilihan antara TV plasma,LCD ataupun LED.Pastinya model LED lebih mahal kerana ia adalah model terbaru ketika ini.Tidak kira apa jua model yang dipaparkan pasti kita akan terpesona dengan kualiti gambar yang dipamerkan.Lebih tinggi harganya lebih cantik dan terang gambarnya.Bagi yang mempunyai budget yang tinggi pasti pilihannya adalah yang paling cantik dan terang atau sharp gambarnya dengan saiz skrin yang besar.

Namun ramai yang mula mengeluh apabila ia dipasang di rumah kualiti gambarnya tidak sama sepertimana yang dilihat di kedai.Perasaan kecewa tidak dapat disembunyikan lagi apabila melihat setiap siaran termasuk siaran Astro tidak clear seperti yang dipamerkan di kedai sedangkan spesifikasinya adalah sama.Apabila disambungkan dengan DVD untuk melihat movie kualiti gambarnya juga masih menghampakan.Lalu ramai yang berang kerana merasakan mereka seolah-olah telah ditipu.

Sebenarnya kita bukan ditipu dengan barangan tersebut kerana produk yang diberi adalah produk yang sama spesifikasinya tetapi kita tidak dijelaskan secara terperinci kenapa di kedai gambarnya terang dan kenapa bila dipasang di rumah gambarnya kabur walaupun setting telah dibuat.

Sesuatu yang ramai perlu tahu adalah, apakah sistem yang mereka (penjual) gunakan sama sepertimana yang kita gunakan di rumah.Memang benar mereka menyatakan bahawa siaran yang mereka pasang adalah siaran Astro tetapi ramai yang tidak tahu bahawa siaran tersebut adalah siaran HD (high defination) yang hanya terdapat dalam beberapa channel astro sahaja dan charge sebanyak rm20 setiap bulan akan dikenakan untuk menambah siaran ini.Jika dialih channel lain selain daripada channel HD gambarnya adalah gambar biasa yang kurang clear atau sharp.

Untuk lebih cantik lagi mereka akan pasangkan DVD dan kita pasti terpesona dengan kualiti gambar yang cukup terang hinggakan rambut boleh dikira satu persatu.Sesuatu yang ramai perlu tahu adalah DVD player yang mereka gunakan adalah dari jenis 'Blu Ray' yang memancarkan gambar HD sedangkan DVD yang kita gunakan adalah dari jenis DVD player yang biasa (tiada HD).Harga sebuah player DVD 'Blu Ray' tidaklah terlalu mahal dalam anggaran rm200 - rm300 bergantung pada jenama tetapi untuk mendapatkan cakera padat (DVD) dari jenis HD yang hanya boleh dipasang pada DVD Blu Ray ini agak sukar kerana pasarannya masih baru dan harganya juga agak mahal antara rm20-rm30 sekeping tetapi kualiti gambarnya memang tip top.

Bermakna sesuatu yang ramai perlu tahu adalah untuk mendapatkan gambar yang betul-betul terang dan jelas sepertimana yang kita lihat di kedai adalah dengan bertanya sistem apa yang mereka gunakan, jika tidak hanya penyesalan dan rasa tidak puas hati akan bersarang di jiwa anda.Sesuatu yang ramai perlu tahu juga ia akan melibatkan peningkatan kos sebelum kita benar-benar puas hati.

Sedang mencari-cari atau sedang berkira-kira untuk menukar TV anda? fikir-fikirkanlah sekiranya TV lama anda masih dalam keadaan baik.

ozzy - dah tambah HD...

18 Julai 2011

GILIRAN AKU MENJADI MANGSA

Dalam kehidupan ini kita tidak akan lepas dari diduga dan menduga, diuji dan menguji, disakiti dan menyakiti dan mungkin juga pernah dihina dan dikeji.
Itulah realiti dan hakikat dalam kehidupan ini, kadangkala kita cuba menjaga hati dan perasaan insan lain dengan sebaiknya tetapi tidak semestinya hati dan perasaan kita diberikan layanan yang baik oleh insan lain.

Setiap dari kita pasti pernah menempuh pengalaman pahit dan manis dalam kehidupan ini.Bezanya apa yang kita tempuhi mungkin tidak sama antara satu sama lain.Ada yang diuji dengan ujian yang sangat berat dan ada yang hanya diuji dengan halangan yang mudah.Namun ada kalanya mereka yang diuji dengan ujian yang amat berat masih mampu mengharunginya dengan hati dan semangat yang cekal serta tabah sebaliknya pula ada yang diuji dengan ujian yang mudah tetapi mereka merasakan kehidupan ini bagaikan tiada ertinya lagi.

Dua minggu lepas aku ke hospital Melaka untuk menziarahi anak kakak aku yang baru saja kemalangan motorsikal.Keadaannya agak teruk juga dimana kedua-dua belah kakinya akan dibedah untuk dimasukkan besi.Balik dari hospital aku nyaris dilanggar oleh sebuah kereta sewaktu membayar tol di lorong tambahan di plaza tol Sungai Besi.Sepatutnya pemandu tersebut perlu melihat dahulu kenderaan lain di sebelah kiri sebelum dia bergerak kerana lorong tambahan tersebut agak rapat.

Minggu lepas pula aku mengajak salah seorang rakan untuk bersama kami ke perjumpaan rakan-rakan lama yang telah lama terpisah.Agak terkejut juga bila dia menyatakan tangannya masih sakit dan berbalut,sangkaku mungkin dia juga kemalangan tetapi menurutya hanya terhiris pisau dan nyaris terhiris urat di lengan.Bermakna perjumpaan pada malam minggu itu antara aku dengan 7 lagi rakan yang lain tanpa kehadirannya.Biasalah kalau dah jumpa kawan lama yang dah lebih 20 tahun terpisah pasti banyak perkara yang kami bualkan sedar tak sedar jam sudahpun menunjukkan satu pagi sebelum kami semua mengakhiri pertemuan tersebut.

Keesokan paginya bila aku turun ke bawah alangkah terkejutnya bila aku lihat lampu depan kereta aku telah dipecahkan.
Melihatkan pada keadaannya aku pasti ia sengaja dipecahkan menggunakan objek yang keras dan sasarannya memang pada lampu serta signal kerana bahagian lain tidak meninggalkan apa-apa kesan.Jika dilanggar pastinya bumper serta bonet akan kemek.

Sebelum ini telah beberapa kali berlaku kereta penduduk di sini telah dirosakkan samada lampu atau cermin dipecahkan atau kereta dicalar dan aku tidak pernah lagi menjadi sasaran tapi kali ini nampaknya tiba giliran aku pula menjadi mangsa.Motifnya hanya perangai budak-budak jahat yang hanya suka-suka rosakkan kereta orang lain.Boleh dikatakan setiap pagi pasti ada tin gam yang dibuang merata dan kerja ini mereka lakukan pada awal pagi sewaktu orang lain sedang nyenyak tidur.

Sebelum ini pencuri motorsikal telah berjaya kami tangkap bersama sedikit 'habuan' untuknya dan selepas itu kes kecurian motorsikal tidak lagi kedengaran.Untuk kes pecahkan kereta seperti ini agak sukar dipasang jerat kerana perbuatan mereka tidak dapat dijangka kerana ia dilakukan tanpa apa-apa tujuan.Memang kerja yang tak ada berfaedah tetapi kalau dapat tangkap mungkin dia bakal akan dapat 'faedah'.

Bila aku pandang ke cermin kereta..hmmm cukai jalan akan tamat tempoh awal bulan depan.Bulan depan juga kita akan mula berpuasa dan hujung bulan pula kita akan sambut Hari Raya.Kalau nak sambut raya bermakna nak kena sediakan duit raya,nak beli baju raya untuk anak-anak dan segala perbelanjaan untuk menyambut hari raya.

Begitulah kehidupan ....Ada yang tak sakit tapi sengaja mencari penyakit.

ozzy - boleh tahan juga harga signal dan lampu origional yang pecah tuu..ohh July.

15 Julai 2011

BISIK-BISIK

Waktu zaman kanak-kanak kita suka bisik-bisik dengan kawan yang seusia kononnya ada rahsia yang ingin disembunyikan dari kawan lain padahal ia bukan rahsia sangat pun cuma nak mengusik kawan-kawan lain agar mereka tertanya-tanya apa rahsia tersebut.
Bagi golongan dewasa apabila mereka berbisik biasanya ia membawa mesej atau isyarat yang lebih serius tentang rahsia tersebut dan kebiasaannya golongan wanita lah yang suka sangat bisik-bisik ni kan hehe..

Seringkali terjadi selepas berbisik mereka akan kata "jangan beritahu orang lain tau..ni rahsia kita berdua je" tetapi seringkali juga terjadi apabila adegan berbisik tersebut berlanjutan pula pada rakan lain dan disudahi dengan ayat yang sama.Kerana itulah ia disebut bisik-bisik maksudnya banyak kali bisik.Kalau sekali kena sebut bisik jelah kan..betul tak? hehe..pepandai je aku buat terjemahan sendiri.Murid-murid sekolah sila gunakan ayat bisik-bisik ok nanti markah kena potong.

Paling popular dan yang paling suka bisik-bisik ni adalah mereka yang suka mengumpat hehe.. jangan marah haa..kalau marah maksudnya pernah buat la tu hehe..Kalau cakap kuat-kuat nanti orang lain dengar pulak yang kita ni tengah mengumpat betul tak? kalau waktu dah tengah malam pun takkan nak cakap kuat-kuat so terpaksalah bisik-bisik juga kan, kata orang tu berbaik sangka lah kerana tak semestinya kalau bisik-bisik tu tandanya orang tu tengah mengumpat kan..

Entri kali ni pun bisik-bisik juga sebab tadi ada rakan datang berbisik "psst..pstt..lewat hari ni update blog" hehe..biasanya aku suka menulis atau update blog pada waktu tengah malam dan dipostkan pada keesokan harinya kerana ketika ini aku rasa lebih selesa menulis dan banyak idea yang masuk.Kalau waktu kerja memang rasa kurang selesa walaupun kadang-kadang ada juga waktu free dan kalau waktu sibuk memang tak ada chance lah, setakat nak balas kunjungan beberapa orang rakan tu boleh laa.

Awal pagi tadi pun sewaktu masuk ofis sedang aku leka belek-belek kerja aku ni tiba-tiba adik boss masuk dan terus datang ke meja aku.Dari pintu masuk aku dah nampak dia senyum dan lepas tu terus merapati aku.Kemudiannya dia mengangkat sebelah tangan dan merapatkan tangan pada mulutnya seperti orang yang sedang berbisik sambil berkata " have you choose the date you want to go? " aku membalas sambil berbisik " ya " dan dia berbisik lagi " where " aku membalas dengan senyuman " I choose Swiss Garden Kuantan..".Dia berkata " faster give me the date, must book early if not you will miss it again like last year "...kali ini aku lupa berbisik bila aku berkatathank youuuu.." sambil dia senyum dan terus berlalu.

See..kalau nampak orang bisik-bisik tu tak semestinya orang tu tengah mengumpat kan...Tahun lepas agak mengecewakan apabila aku memilih percutian DI SINI  sebab dah terlewat untuk membuat pilihan.Tahun ini aku akan pastikan tempat ini berjaya aku tempah.okeylahh!! nak pilih date kejap semestinya waktu cuti sekolah bulan Dec nanti..see u there.

Psstt!!!..meh sini nak bisik " jangan jeles tau hehe..".

ozzy - ssyyyyy!!!..kita bisik-bisik je tau.jangan beritahu orang lain..kita-kita je tahu hehehe.....

14 Julai 2011

JULAI DATANG LAGI

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, sedar tak sedar kita kini telahpun berada di dalam bulan Julai atau bulan 7.

Pada mereka yang lahir pada bulan julai aku ucapkan selamat menyambut hari lahir serta selamat menyambut hari ulang tahun perkahwinan pada mereka yang menyambutnya pada bulan ini.

Selain itu apa yang menariknya dengan bulan Julai?.Apa yang aku perhatikan setiap tahun bulan Julai banyak mencatatkan insiden yang menyedihkan atau kemalangan yang mungkin antaranya turut melibatkan kehilangan nyawa tetapi itu bukan bermakna bulan Julai dianggap sebagai bulan yang membawa malang kerana mungkin juga apa yang berlaku atas kecuaian kita sendiri atau mungkin insiden itu berlaku secara kebetulan.Mungkin sesiapa yang mempunyai catatan diary peribadi, cuba perhatikan catatan pada bulan Julai setiap tahun...

Namun seringkali juga aku perhatikan, apabila tibanya bulan Julai ramai yang mengeluh kerana serba serbi bagaikan tidak kena atau tidak menjadi.Kereta tiba-tiba meragam, barangan elektrik tiba-tiba rosak, perancangan tidak berjalan seperti yang dirancang dan bermacam perkara yang melibatkan kos atau duit.Apabila terjadinya perkara ini ia pastinya akan mengganggu emosi serta turut mempengaruhi mood seseorang itu.Kerana itu bukanlah sesuatu yang pelik apabila kita perhatikan ketika tibanya bulan Julai rakan-rakan akan mula menyepi atau mendiamkan diri.

Paling mudah cuba perhatikan juga status rakan-rakan anda di dalam facebook.Jika sebelum ini riuh-rendah tetapi suasana tiba-tiba mula suram dan masing-masing menyepi bagaikan menghilangkan diri pada bulan ini.Walauapapun biarlah kita bersangka baik dan mendoakan yang terbaik untuk rakan-rakan kerana mungkin ada sebab mereka semua membisu dan ada kalanya juga diam itu lebih baik...

Mungkin ia untuk menguji keimanan dan mungkin juga untuk menguji kesabaran atau mungkinkah ia hanya suratan atau kebetulan...





ozzy - tak sedap hati setiap kali tibanya bulan Julai...

13 Julai 2011

WORDLESS WEDNESDAY - 3

ARSENAL - 0                     MALAYSIA - 1


Malam ini 13 July 2011 jam 8.45 malam di Stadium National Bukit Jalil...saksikan satu pertembungan yang menarik dan siapakah yang bakal muncul sebagai pemenangnya.

Jangan lupa untuk saksikan juga siapakah blogger yang akan menjadi juara sebagai blogger yang paling awal publishkan keputusan perlawanan tersebut hehehe..

ozzy - guna sotong amatur bernama Peah...

12 Julai 2011

SEKALUNG TAHNIAH

Entri ini sekadar ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada salah seorang rakan blogger iaitu puan Nisa Khairi kerana telah berjaya menembusi pasaran serta mendapat tempahan dari pihak Perpustakaan Negara menerusi hasil karyanya sebuah novel yang berjudul "Haifa Raisya".
Pada yang ingin mengenalinya sila klik DI SINI dan sekiranya berminat untuk membaca sedikit catatan berkenaan novel tersebut sila klik DI SINI.

Beliau adalah antara rakan blogger yang kerap singgah di blog aku sejak sekian lama dan sering meninggalkan komen..terima kasih juga ingin aku ucapkan.Apapun aku juga seringkali singgah ke blognya untuk membaca entri yang diterbitkan walaupun bukan setiap entrinya aku akan tinggalkan komen.Ibu kepada seorang anak dan berasal dari Batu Gajah Perak ini juga seringkali memaparkan kisah serta konflik peribadi yang pernah ditempuhinya kerana sebagai manusia biasa aku beranggapan semua dari kita pasti pernah melalui berbagai konflik dalam kehidupan ini samada konflik melibatkan keluarga, rakan mahupun masyarakat di sekeliling kita.

Selain itu entrinya yang lain lebih banyak berkisar tentang kisah anak kesayangannya itu serta perniagaan kek yang kini semakin maju serta mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Sesekali apabila membaca catatan tentang anak kesayangannya itu aku sendiri merasa 'gerun' apabila mengenangkan apa yang telah terjadi kepada seorang kenalan aku tidak lama dulu.Namun itulah naluri seorang ibu terhadap anak kesayangannya..naluri semulajadi yang tidak mampu disekat oleh sesiapa pun jua.

Mungkin dari pengalaman dan pengamatannya maka muncullah novel ini yang berkisar tentang konflik serta masalah kehidupan khususnya pada golongan remaja dan novel ini diterbitkan oleh syarikat produksi Nur Johan.
Pengalaman adalah sesuatu yang amat berharga dan pengalaman itu hanya boleh dikongsi melalui catatan dan diterbitkan dalam bentuk novel atau buku tetapi ia tidak boleh dikongsi untuk kembali menempuh pengalaman tersebut.
Jika boleh diulangi sekalipun ia mungkin hanya dalam bentuk lakonan dalam sebuah drama atau filem tetapi pastinya tidak sama sepertimana yang pernah kita tempuhi sendiri.Pengalaman banyak mengajar serta mematangkan diri kita dan pengalaman juga boleh bertukar menjadi satu sejarah.


Siapa sangka dari seorang blogger yang suka menulis ia kemudiannya menjadi satu sumber pendapatan menerusi penghasilan novel seperti ini dan pastinya kita akan merasa gembira sekiranya karya kita mendapat sambutan seterusnya ia menjadi pendorong untuk kita menghasilkan karya seterusnya.

Tahniah juga ingin aku ucapkan kepada rakan blogger Akuanakpahang  yang kini sudah mula mengorak langkah dengan memulakan perniagaan sendiri walaupun secara kecil-kecilan.Tiada siapa dapat menduga dari kecil seperti busut lama-kelamaan ia mungkin akan membesar menjadi gunung.Apa yang penting adalah minat , keinginan serta usaha kita sendiri dan yang paling penting segalanya perlu ada satu langkah permulaan....

ozzy - tahniah juga kepada rakan-rakan lain yang berjaya...

11 Julai 2011

BERSIH DAH KE ?

Berakhir sudah misi yang dirancang untuk mengadakan demonstrasi BERSIH dan turut menyaksikan bandaraya Kuala Lumpur turut dibersihkan dengan air semburan.

Samada matlamat sebenarnya tercapai atau tidak apa yang pasti matlamat untuk melihat kaum melayu berduyun-duyun turun berdemonstrasi tetap tercapai.Namun sedikit mengecewakan apabila agenda untuk melihat pertempuran antara sesama melayu tidak tercapai.

Cakaplah apa saja dan ceritalah apa saja samada yang tersurat atau tersirat, bagi penyokong demonstrasi ini ia tetap dianggap sesuatu yang baik pada mereka walau siapapun penganjurnya dan bagi yang tidak menyokongnya ia tetap dianggap sebagai suatu perkara yang tidak wajar dilakukan.Tak puas dengan berdemontrasi kita bertekak lagi di kedai kopi, di dalam blog dan juga di dalam facebook.Siapakah kita??..yang satu bangsa dan satu agama yang sama.

Putih bukan bermakna bersih..Apabila putih tercalit kuning ia tidak lagi nampak bersih sebaliknya bertukar menjadi comot.
Ramai yang sering tersilap tetapi bukan buta warna kerana sering menganggap putih itu bersih.Luarannya putih tapi di dalamnya belum tentu lagi putih dan bersih.Dah la tu tok..baik dok saja di rumah melayan cucu sambil berkarya tak ada siapapun yang menghalang.


"Ini tahun wa punya bisness boleh tahan loohh..lu olang semua mesti sokong ini bersih.Lu olang mesti beli ini baju talak mahal punya.. nanti itu demontlasi lu olang mesti kena pakai maa..wa punya bisness bersih loo talak tipu punya.Ini baju manyak tahan kalau kena sembur air tarak koyak punya..mulah saja satu rm 20 saja maa.. Kalau tak habis jangan bimbang tahun depan banyak lagi, boleh tempah awal-awal semua saiz pun boleh tarak hal punya.".

Kami semua sokong bersih..u all jangan bimbang we all support. Nanti u all semua pergi ramai-ramai buat demonstrasi sana ramai-ramai atas jalan.Kalau kena pancut air tarak apa-apa punya itu cuma air saja ma..u all jangan takut sama itu polis..kasi lawan sama dia orang.

Kitaorang ni saja seronok-seronok je..saja seronok nak buat kacau. Tengok orang ramai-ramai kitaorang ikut join sekali, boring duk kat rumah tak tau nak buat apa.Lepas ni kitaorang gi merempit pulak. Errrr..sebenarnya bersih tu apa ekk??..



Setakat kena tembak dengan pancutan air ni biasalah..barulah bersih tapi janganlah pancut guna air longkang bro jenuh pulak nanti aku nak bersihkan baju aku yang bersih ni.
Kat kampung aku dulu diaorang suka tembak guna air yang dicampur dengan air buah gatal, jangan dibuat 3 hari baru nak hilang gatalnya tu..

Lebih 'membanggakan' apabila demontrasi turut diadakan di luar negara untuk memburukkan imej negara kita dan kita dengan 'bangganya' memaparkan wajah mereka yang mungkin lahir di sini, membesar di sini dan mungkin mereka jugalah yang mengaut kekayaan di sini tanpa ada sekatan.

ozzy - suka bersihkan diri sendiri....

7 Julai 2011

WAYANG KULIT DARI AMBO

Wayang kulit merupakan satu pertunjukan seni traditional yang dipertontonkan menerusi bayang yang terhasil dari patung yang diukir dan amat popular bagi penduduk yang tinggal di pantai timur.
Kebiasaannya patung tersebut dibuat daripada kulit binatang samada lembu, kerbau ataupun kambing dan kemudiannya diikat pada buluh serta benang atau tali.

Pada mereka yang kurang fasih atau kurang faham dengan loghat Kelantan memang susah nak memahami atau menghayati cerita yang disampaikan.Biasanya cerita yang sering dimainkan adalah dari kisah purba dahulu kala dan diselitkan sedikit unsur-unsur humor sekadar untuk memberi hiburan.Kisah wayang kulit dari ambo ni aku persembahkan dalam bentuk yang sedikit moden untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Muzik please ... cing..cing..ekkk..ekkk..oooo...ekkkk..pungggg

Tok Dalang - ala la weyy!!..puah sungguh beraso hari ni..mano demo hok lain ..pakak sibuk blako ko puok ni...lamo kawe dok sore tak dok sapo nok ajok buaaa..hahh!!! tu sapo pulok dok beso napok pung belum ni..nati kawe nok try tanyo dio nok cari gapo..

Tok Dalang - Allooo..kawe dok rajin kelih demo belum ni..demo ni namo sapo? nok cari gapo?.

Biga - hohh sedey molek jupo demo..jak dari takdi ambo dok lilah-lilah kot ni dok tau nok tanyo sapo.Namo Ambo Biga tokke demo dok beso dengar??..tak dok nok cari sapo sajo jah mari jale kot-kot jupo gu hok molek.Puah dok sajo, jale-jale cari pasaaa ko guano...

Tok Dalang - Aaaiiii...Ado hajat gapo benarnya demo niii..acu royak mano tau kot kawe buleh tulung.

Biga - tak dok hajat gapo..sajo jah mari kot ni nok berehat..bui puok-puok demo tu buak kijo..kawe tuke tiup jah..pahtu gak pakat ko demo lah nok buat gapo pun..lohh gi la kot mano-mano pung..

Tok Dalang - ohhhh..kalu gitu kito serupo laaa weeyyy..hahahaha...tapi kawe dok tiup kawe suko tepuk.. pookk sekali gak puok-puok tu nyooo hungga slalu..berrreehhh..

Biga - hahahahaha...kelahhh demo..hahahaha

Tok Dalang - hahahahaha..hooo laaa..baree molekk ...hahahaha

ekkkk...oooo..ekkkkk..cing...cing...pungggg (bunyi muzik)

Tok Dalang - Demo buak lagu mano sapa demo tu jadi bengong..ehhh!!!! namo gapo gak tadi? bunyi pelek benar...

Biga - namo Ambo Biga..aaaiiii!!! bapo kali nok royak gak mu ni..oohhh berrratt!! banyok sangat make nate otok ude bokali..hahahaha

Tok Dalang - hahahaha...aaiiii!!! kawe make otok ude pung..hok bengong buke kawe..tuuu puok-puok tu hok bengongnya hahahaha...

Biga - hahahahaha....kawe bahey blako...sebab tu kawe ceridik....

Tok Dalang - weyy laaa...sapo puok-puok demo tu..nyooo mari kot ceruk mano hehhh??

Biga - kalu nok sebut sor sor ambo dok tau..kenal pung dok tapi baso bengong nyor ikut jah gapo ambo royak..hahahaha..puok demo guano pulok??

Tok Dalang - hoohhhh!! kalu gitu gak srupo lah kito weeyyy!!!..kawe pung dok kenal sapo puok ni..kawe suruh hungga demo hungga..kawe suruh tepik demo tepik..mari kot ceruk mano pung kawe dok tau hahahahha..

Biga - hahahahaha....kalu gitu mari kito pakat gi kelih..

ekkkk...ekkkkk..cingg..cinggg..pungggg (bunyi muzik)

Biga - ooo...alllooo llooo wehhh!!!!..sebenarnya demo ni sapo haaa!!! tok dalee weeyyyy???

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jom layan wayang kulit....Said Nok Bini (tiada kaitan dengan wayang kulit di atas).

                            
           
ozzy - biar jadi tok dalang jangan jadi DALANG ....

AKU ANAK PENEROKA FELDA


Setiap 7hb Julai seluruh warga Felda akan menyambut dan mengingatinya sebagai hari peneroka. Kepada warga Felda aku ingin ucapkan selamat menyambut hari peneroka dan ini adalah satu satu pengiktirafan pada seluruh warga Felda yang dulunya dianggap sebagai golongan bawahan atau low class kerana tinggal di kawasan pedalaman yang dikelilingi hutan dan rimba.

Sebelum tertubuhnya Felda kaum Melayu ketika itu majoritinya tinggal di kawasan kampung sementara kaum Cina mendominasi kawasan Pekan atau bandar dan kaum India pula memonopoli kawasan estet.Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan mengambil satu langkah berani dengan memohon pinjaman sebanyak rm 250 juta ketika itu daripada bank dunia semata-mata ingin membela dan menjadikan nasib bangsa melayu lebih terjamin.Pinjaman tersebut telah berjaya diselesaikan pada tahun 2000 lebih awal dari yang sepatutnya iaitu pada tahun 2013.

Kerajaan turut mengeluarkan budget tambahan menjadikan jumlah keseluruhannya pembukaan tanah rancangan Felda di Jengka mencecah kira-kira rm 347 juta.Segalanya dilakukan semata-mata ingin membantu rakyat untuk keluar dari kepompong kemiskinan.Ketika itu siapa saja orang Melayu yang ingin merubah nasib dan berminat untuk tinggal di tanah rancangan ini akan dibawa masuk tanpa mengira siapapun mereka.

Kalaulah hati manusia boleh dicabut dan dilonggokkan di atas meja pasti ketika itu mereka tahu siapa yang datang untuk menjadi pengkhianat kepada bangsa mereka sendiri dan kalaulah boleh di Scan atau tertulis pada perut ibunya bahawa anak yang bakal dilahirkan oleh warga Felda itu bakal menjadi pengkhianat dan penghasut kepada bangsanya sendiri, adalah lebih baik anak tersebut dilahirkan di tempat lain tetapi Allah tidak menjadikan kita sebegitu kerana Allah kurniakan kita akal untuk berfikir dan untuk digunakan dengan sebaiknya.

Bukan kekayaan yang dikejar, bukan kemewahan yang diharapkan tetapi cukuplah sekadar hidup yang lebih terjamin dan disediakan rumah yang lebih selesa walau hanya satu bilik, itulah secebis harapan yang tertanam di dalam sanubari setiap dari mereka yang berhijrah ke bumi bertuah ini. Dalam ribuan yang mengharapkan sesuatu yang belum pasti menjanjikan kesenangan, terselit kelibat arwah abah bersama ibuku sebagai pasangan yang bakal bergelar warga Felda.Selain dari pakaian dan beberapa buah pinggan mangkuk ibuku hanya sempat membawa satu senduk yang diraut dari sepohon pokok dan senduk tersebut masih kami gunakan sehingga hari ini.Walau ada senduk yang lain dibeli silih berganti dan satu daripadanya aku beli di Sarawak tetapi bagi kami senduk tersebut mempunyai sentimental value buat kami sekeluarga terutamanya pada emak.

Kawasan rumah yang dipenuhi semak samun ditebas satu persatu hingga menjadikan persekitaran tempat tinggal kami mula bersih.Dalam serba kepayahan ibuku tetap sabar melayan kerenahku yang sentiasa mahu didukung sementara abah bertungkus lumus mengerah kudrat yang ada demi ingin melihat kami hidup selesa.Pokok buah-buahan ditanam disekeliling rumah untuk dimakan oleh kami sekeluarga serta dikongsi bersama jiran yang lain.Walau tiada bekalan elektrik, pelita minyak tanah sudah memadai untuk menerangi kegelapan malam dan seterusnya kami beralih pada lampu 'gasoline' yang lebih terang.

Apabila set 'generator' diperkenalkan barulah kami mengenali rupa sebuah televisyen meskipun tiada warna itupun hanya mereka yang mampu sahaja yang memilikinya.Bekalan utama air adalah dari perigi yang digali sendiri dibelakang rumah atau sumber dari air sungai yang terdekat. Mengangkut air dari perigi sejauh kira-kira 100 meter jaraknya dari rumah merupakan rutin biasa bagi kami ketika itu.Berkongsi mandi bersama jiran bukanlah sesuatu yang asing pada kami malah ia menambahkan lagi semangat kejiranan sesama kami.Namun lama kelamaan perigi ini semakin pupus dan lebih malang lagi semangat kejiranan juga semakin luntur bagaikan ikut sama tenggelam ke dalam perigi yang terkambus.

Pendapatan peneroka ketika itu tidak semewah sepertimana yang peneroka perolehi hari ini.Kantin atau kedai koperasi yang disediakan sedikit membantu apabila mereka menyediakan segala barang keperluan yang boleh diambil dahulu sebelum gaji peneroka ditolak kemudiannya.Setelah dihitung dan ditolak hutang tersebut baki yang tinggal ada kalanya hanya rm 10 tetapi kami masih mampu bertahan.Aku sebagai anak walau masih kecil tapi sudah memahami kesusahan serta keperitan hidup ketika itu.Kerana itu tiada istilah memilih pakaian berjenama atau makanan yang sedap-sedap kerana bagi kami apa saja yang ada, itulah yang kami pakai dan itulah yang kami makan walau hanya nasi bersama kuah.

Itu hanya secebis kisah dari perjalanan hidup seorang yang bergelar anak kepada peneroka Felda walau aku tidak lagi tinggal di sana.Kini warga Felda sudah jauh berubah.Rumah yang dulunya kayu yang semakin reput kini berganti dinding batu yang kukuh bersama beberapa buah bilik malah ada juga yang sudah bergelar jutawan.Jika dulu ramai yang malu untuk mengaku sebagai anak Felda tapi kini status sebagai anak Felda tidak lagi dianggap sesuatu yang memalukan.Felda bukan lagi dianggap 'low class' tetapi telah menjelma menjadi sasaran dan impian manusia yang tamak untuk merebutnya, manusia yang tidak pernah melalui detik-detik kepayahan sebagaimana yang pernah kami lalui.

Jika dahulu tiada siapa yang peduli walau duit gaji hanya berbaki rm10 tetapi ramai yang mula iri hati setelah gaji yang diperolehi kini berbaki rm3 ribu hinggah rm5 ribu.Jika dahulu tiada siapa yang ingin berjuang dan membantu kami dalam menempuh kepayahan dan keperitan hidup, kini mereka tampil kononnya untuk menjadi pejuang...berjuang atau ingin merebut peluang?.Lebih malang lagi apabila ramai yang sudah lupa untuk mengucapkan syukur Alhamdulillah walau sentiasa berjubah dan berkopiah. Beringatlah...Jangan sampai hikayat lebai malang kembali berulang...jangan sampai menang sorak tanah Jengka tergadai.

Di zaman kanak-kanak kami semua bersatu sebagai sebuah masyarakat yang hidup bantu membantu serta bertegur sapa antara satu sama lain tapi kini setelah racun dan api kebencian mula meresap, warga Felda semakin berpecah.Tidak perlu dinafikan bahawa ramai anak-anak peneroka Felda yang berjaya dalam kehidupan mereka.Carilah di mana-mana syarikat gergasi ataupun bertaraf antarabangsa pasti kita akan terjumpa anak peneroka felda terselit di sana dengan menjawat jawatan yang tinggi atau cari saja dikalangan peniaga yang berjaya pasti ada diantara mereka yang bergelar anak peneroka Felda.

Malangnya ramai antara mereka yang bukan hanya menanam serta menyemai api kebencian malah meniup api tersebut ke seluruh pelusuk tanah Felda demi kepentingan mereka sendiri.Mereka lupa pada asal usul mereka dan mereka lupa pada orang yang pernah membantu ibu dan ayah mereka suatu ketika dahulu.Tidak dinafikan juga bahawa pasti ada segelintir pegawai yang bertugas di dalam institusi Felda yang menyeleweng dan tidak amanah dalam menjalankan tugas dan mereka ini memang patut dihukum tetapi adalah tidak wajar hanya kerana mereka seluruh warga Felda ingin dimusnahkan.

Biar apapun niat dan tujuan kita, walau apapun fahaman kita dan walau apa saja hasrat kita, selagi kita bergelar anak peneroka Felda aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Peneroka walau kita tidak lagi bergelar seorang peneroka tetapi kita tetap generasi peneroka Felda.Ingatlah pada keringat ibu dan ayah yang bukan sedikit tumpah di bumi bertuah ini sebelum kita mencapai apa yang kita perolehi hari ini dan jangan biarkan mereka yang tidak pernah merasai kesejukan air perigi di tanah Felda dan tidak pernah terpijak duri semalu di bumi Felda merampasnya dengan mudah hanya dengan percikan air liur.

ozzy - banyak kenangan sebagai seorang anak peneroka Felda...

6 Julai 2011

WORDLESS WEDNESDAY - 2

V
V
V

LEMAK - Lipstik , sabun , ubat gigi , bahan kosmetik , ice cream , marjerin dan perisa makanan.
KULIT - Capsul , collagen , bahan kosmetik , barangan kulit dan gula-gula.
BULU - Berus gigi dan berus

Wordless wednesday - blog jadi google search image...


4 Julai 2011

PULAU TIOMAN DESTINASI PELANCONGAN TERBAIK PART II



Setelah selesai makan tengahari kami semua berkumpul di lobi hotel untuk dibawa ke lokasi di mana aktiviti 'snorkeling' akan dijalankan dengan menggunakan pengangkutan yang disediakan.Lokasi tersebut yang terletak berhampiran dengan pulau Renggis merupakan lokasi yang telah ditetapkan untuk aktiviti ini kerana terdapat bermacam jenis ikan serta terumbu karang.Pelancong tidak digalakkan menanggalkan pelampung walaupun pandai berenang bagi mengelakkan mereka terpijak terumbu karang lebih-lebih lagi tapak Sulaiman yang memang banyak disitu.Menurut pemandu bot, tapak Sulaiman mempunyai duri yang sangat tajam dan berbisa.


< - Tersandar keletihan selepas penat menyelam
                          Makcik 'cleaner' ni --> 
                walau dah berusia hampir 
   60 tahun tapi masih kuat berenang


Dengan airnya yang bewarna kehijauan dan jernih kami dapat melihat dengan jelas bermacam spesis ikan dan ada antaranya 'tanpa rasa bersalah' lalu lalang di depan google yang aku pakai.Antara yang turut serta adalah seorang makcik yang bertugas sebagai 'cleaner' di tempat kami.Walaupun usianya sudah hampir ke 60 tahun tapi makcik ni masih handal berenang dan menyelam, so kalau ada yang takut sila malu dengan makcik ni ye hehe..kata makcik " mungkin ini kali pertama dan terakhir makcik ke sini ".

Lewat petang setelah penat menyelam ketika rakan yang lain pergi bermain bola tampar pantai aku memilih untuk berbasikal di sekitar resort tersebut dan kemudiannya berehat sambil menikmati suasana petang di tepi pantai kerana kesakitan yang semakin terasa.

Hari kedua setelah selesai sarapan pagi aktiviti kami untuk pagi ini adalah 'team building'.Kami kemudiannya dibahagikan kepada dua team dan terdapat 5 acara disediakan dimana tiga antaranya adalah untuk menguji kerjasama berpasukan melalui perbincangan serta pelan tindakan.Mental pasukan turut diuji apabila kami sengaja dibiarkan berjemur di tengah panas dalam cuaca yang panas terik untuk berhadapan dengan ujian yang telah di sediakan.

 
Hanya tiga acara yang aku turut serta kerana sewaktu acara terakhir aku menarik diri kerana tidak mahu mengambil risiko serta menambahkan lagi kesakitan yang sedia ada.Rasa kecewa kerana tidak berdaya membantu rakan yang lain untuk sama-sama berusaha melepasi halangan yang disediakan.Bagi acara kali ini lebih memerlukan ketahanan fizikal dan semangat bantu membantu antara ahli pasukan.Walauapapun aku tetap berada di sekitar lokasi untuk memberi sumbangan biarpun hanya sebagai photographer kepada mereka semua.

Antara acara yang disediakan adalah melepasi dua tembok yang dibuat seperti bukit, melalui gelung tayar tanpa menyentuh tayar tersebut, mengharungi jaring (digambarkan sebagai kawat berduri) dan terakhir sekali melepasi tembok setinggi kira-kira dua meter.Kedua-dua pasukan turut dibekalkan dengan dua biji buah kelapa yang perlu dibawa sehingga permainan tamat dan point akan ditolak sekiranya buah kelapa tersebut mencecah tanah.

Aktiviti pada sebelah petang adalah menaiki 'banana boat', kayak serta memancing namun aku memilih untuk tidak turut serta dan berehat di dalam bilik.Rasa malu juga dengan makcik tu sebab semua aktiviti dia sertai termasuk menaiki banana boat dan memancing serta berjaya menaikkan dua ekor ikan yang agak besar.Mungkin kali ini nasib aku kurang bernasib baik kerana datang dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

Pada malamnya tiada aktiviti yang ditetapkan dan selepas makan malam kami memilih untuk berehat sambil bermain snooker di tempat yang disediakan atau game room.Rasanya dah lebih 20 tahun aku tak main snooker tapi saki baki skill tu masih adalah lagi sekurang-kurangnya untuk menemani kawan-kawan bermain.

Keseluruhannya aku amat berpuashati dengan suasana serta layanan pada percutian kali ini.Bermula dari penyambut tetamu sehinggalah pada security guard yang amat mudah memberikan kerjasama. Beritahu atau tanyakan apa saja yang kita mahukan pasti mereka akan segera datang membantu. Persekitarannya juga amat bersih dengan rumput serta pokok yang dijaga dan dipotong dengan baik.Begitu juga dengan kemudahan yang disediakan seperti bas pengangkutan yang bersedia membawa tetamu ke mana saja serta basikal untuk bersiar-siar dengan syarat tidak boleh melepasi kawasan resort.

Jika markah keseluruhannya adalah 10 markah, maka untuk percutian kali ini di Berjaya Tioman Beach Resort ini aku berikan sebanyak 8 markah...


ozzy - harap suasana kampung di sini tidak terlalu banyak diubah walaupun pembangunan sedang giat dijalankan...

3 Julai 2011

PULAU TIOMAN DESTINASI PELANCONGAN TERBAIK PART I

Perjalanan menuju ke Pulau Tioman bersama pesawat Berjaya Air dari Subang Airport mengambil masa selama satu jam untuk tiba ke destinasi.Ini juga merupakan pengalaman pertama aku menaiki pesawat ini yang tidak jauh bezanya seperti menaiki pesawat Air Asia.Dari segi keselesaan tempat duduk pesawat ini lebih baik dengan ruang kaki yang lebih luas berbanding pesawat Air Asia tetapi dari segi lain seperti bunyi bising pesawat (seperti bunyi kapal terbang baja) tempat duduk yang agak usang serta bau dalaman yang kurang menyenangkan memberi sedikit kelebihan pada Air Asia.Uniform pramugari yang kelihatan seperti conduktor bas juga patut diberi perhatian sepertimana Air Asia yang kelihatan lebih 'standard' kerana ia merupakan pengangkutan utama pada pelancong asing untuk ke Pulau Tioman.










Ketibaan kami disambut dengan van  pengangkutan yang disediakan oleh pihak Berjaya Resort milik tan Sri Vincent Tan ini untuk membawa kami ke sana dengan jarak anggaran sekitar 3km.Sepanjang laluan kelihatan di kiri kanan terdapat berbagai jualan serta kedai runcit yang dimiliki oleh penduduk setempat termasuk restoran serta warung yang menjual makanan.


Binaan dan rekaan chalet daripada papan menyerlahkan lagi suasana kampung dan amat sesuai bagi mereka yang gemarkan suasana tenang bercirikan rekaan klasik.Kehijauan alam semulajadi yang masih belum banyak diterokai melengkapkan lagi ciri-ciri tersebut.


Harga asal untuk chalet superior ini dengan pilihan twin/single bed ini adalah rm520 tetapi akan berubah-ubah bergantung pada hari ianya ditempah.Untuk tempahan kali ini kami memperolehi harga sekitar rm 350 sehari tetapi pakej keseluruhan untuk 3 hari 2 malam di sini adalah sebanyak rm 1200 seorang.Pakej tersebut termasuk sarapan pagi, tengah hari dan malam serta aktiviti-aktiviti lain seperti snorkeling, banana boat, memancing termasuk peralatan dan umpan, kayak, bola tampar serta kemudahan untuk team building termasuk pengawasan dan gerak kerja.


Ruang kafeteria yang menyediakan buffet juga amat luas dan selesa dengan susun atur meja dan kerusi makan yang amat kemas.Layanan mesra dan ramah dari pelayan menambahkan lagi tahap keselesaan tetapi ada sedikit kepincangan dari juadah terutama lauk yang disajikan.Kebanyakan menu yang disediakan adalah ayam dan sedikit daging tetapi amat jarang kelihatan hidangan ikan.Dari segi rasa masakan pula, bagi aku yang agak cerewet ni jawapannya memang tak kena dengan citarasa aku cuma buah-buahan yang banyak disediakan amat membantu mengenyangkan perut aku.Kehadiran lalat pada waktu makan tengahari juga wajar diberikan perhatian oleh pihak pengurusan kerana dapat dilihat ramai yang tidak selesa dengan keadaan tersebut.  

                                                   

Rekaan kolam renang yang terletak bersebelahan dengan kafeteria tersebut juga amat menarik dan dari kolam renang tersebut dapat kita saksikan pula pemandangan laut yang cantik.










Bagi mereka yang kurang puashati dengan makanan yang disediakan atau ingin menjimatkan belanja terutamanya jika datang bersama keluarga, jangan bimbang kerana terdapat sebuah restoran Melayu yang terletak berhampiran pintu masuk ke resort ini.Terdapat berbagai menu masakan dengan harga yang hampir sama seperti di restoran yang biasa kita makan malah pelancong asing dari resort tersebut juga kelihatan ramai yang datang makan di sini.

sambungan part II klik DI SINI ...

ozzy - antara destinasi percutian paling menarik...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...