30 September 2011

BUDU VS BABI

Budu merupakan makanan traditional rakyat Kelantan dan juga turut digemari oleh mereka yang tinggal di Pantai Timur seperti jirannya Terengganu dan juga Pahang.
Budu biasanya diperbuat daripada ikan bilis atau udang bari yang dijeruk sehingga hancur tetapi mungkin sekarang adunannya telah ditambah untuk memberikan perisa yang berbeza.Selain dipanggil budu ia juga dikenali sebagai sos bilis atau pati ikan bilis.Jika dulu budu yang dimakan bersama ulam dan nasi ini hanya menjadi  hidangan yang digemari di Pantai Timur, kini tidak lagi kerana ia semakin terkenal di seluruh negeri di negara kita.

Namun bukan semua orang Melayu yang sukakan budu kerana ada antara kita yang geli lebih-lebih lagi bila terlihat adanya ulat kecil dalam budu yang di isi di dalam botol ini.Kata mereka yang tak tahannya bila tengok ulat tu bergerak-gerak tapi aku sendiri tak pernah tengok pun ulat tu lagipun memang dah lama tak makan budu ni.Bagi orang Kelantan cakaplah apa saja tentang budu mereka tetap bangga dengan Budu yang sememangnya sinonim dan menjadi integriti kepada rakyat Kelantan.

Inilah sikap yang patut dibanggakan dan patut menjadi ikutan pada kaum Melayu seluruhnya.Kita perlu bangga dan pertahankan warisan makanan traditional kerana ia turut menjadi simbol dan identiti kepada bangsa melayu sepertimana ketupat dan rendang.
Untuk menjadikan budu lebih enak dimakan biasanya ramai yang mencampurkannya dengan perahan air limau nipis, cili burung dan juga bawang sebagai set hidangan yang lengkap untuk dimakan bersama dengan nasi.

Populariti budu kemudiannya mendapat perhatian dan menjadi bahan kajian oleh pakar pemakanan berkhasiat dari negara Jepun, Amerika, Australia , New Zealand dan juga Jerman.Dari hasil kajian telah membuktikan bahawa budu mengandungi gluthaione iaitu sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser dan budu didapati berpotensi untuk melawan radikal bebas serta dipercayai mampu menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis, koroner jantung, penyakit kencing manis, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal.

Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna, diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain.Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan masalah kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa.Dua kelompok vitamin yang terdapat pada budu adalah vitamin larut air (vitamin B kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K).Budu juga merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 (thiamin),vitamin B2 (riboflavin), asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 (sianokobalamin).

Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 dengan kadar di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin.Vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain.Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan barah payu dara.Satu ujikaji rambang yang dijalankan, mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan.Sumber aku perolehi dari  SINI.

Itulah antara fakta yang aku perolehi mengenai khasiat budu.Maka sewajarnya kita semua patut bangga dengan budu.Mungkin bagi bangsa lain budu bukanlah pilihan mereka kerana ia dianggap makanan kampung yang tiada khasiat kerana mungkin cara pembuatannya mengikut cara traditional ditambah lagi promosi yang kurang berkenaan budu.

Begitu juga dengan kaum Cina yang tetap bangga dengan daging babi kerana ia dikatakan makanan kegemaran mereka.Sebutlah apa saja dan bentangkan apa saja hujah atau fakta mengenai keburukan babi mereka tetap berbangga dengan babi.Begitu juga dengan makanan traditional mereka yang lain tetap mereka pertahankan kerana ia merupakan simbol dan identiti pada bangsa mereka.



Mudah saja kalau nak tengok ulat dalam babi atau khinzir iaitu dengan menuangkan air coke pada daging babi tersebut seperti yang boleh kita saksikan di bawah ini.

                           


Fakta menarik adalah belum ada virus budu tapi sudah ada virus babi...

ozzy - nak pergi beli budu...

29 September 2011

NASI LEMAK BOLEH BUAT BADAN MAKIN BANYAK LEMAK

Nasi lemak merupakan makanan yang sememangnya sinonim dengan orang Melayu.Cakap atau tanyalah sesiapa saja yang berbangsa Melayu pasti pernah makan nasi lemak.
Jika dulu harga nasi lemak sekitar 20 sen sehingga 50 sen tapi sekarang paling murah pun sebungkus harganya 1 ringgit.Jika dulu nasi lemak biasa dijual di kantin sekolah atau di gerai di tepi jalan tapi kini telah muncul restoran nasi lemak dan turut dijual di hotel.

Nasi lemak pernah menimbulkan isu kerana ia dikatakan penyebab obersiti pada kanak-kanak. Antara alasannya adalah nasi lemak dimasak dan dicampur dengan santan.Kononnya kandungan santan itu adalah penyebab utama berlakunya obersiti atau kegemukan pada kanak-kanak.Isu itu kemudiannya tenggelam meskipun ramai yang setuju bahawa nasi lemak boleh menjadi antara penyumbang kepada masalah ini.

Nasi lemak kemudiannya menjadi semakin popular apabila ia difilemkan.Kalau kita makan nasi lemak dikatakan boleh menjadikan tubuh kita banyak lemak tetapi takkan kalau tonton filem nasi lemak badan kita juga boleh menjadi banyak lemak? ataupun takkan dengan mengarah filem nasi lemak boleh membuatkan badan kita mengumpul semakin banyak lemak?.

Apa pula kata pengarah filem nasi lemak? mungkin juga dia setuju dan mungkin juga dia tidak setuju bahawa dia semakin banyak lemak...

                                 

Pada yang belum tonton filem nasi lemak silalah ke panggung untuk beri sokongan terutama pada pengarahnya yang sungguh 'hebat' ini.Mungkin dalam filem tu anda akan temui fakta tentang nasi lemak samada betul ia boleh membuatkan badan kita semakin banyak lemak.Lepas tu jangan lupa untuk review dalam blog bersama pujian menggunung...kot-kot la pengarah hebat ni nak ucapkan terima kasih kan...

Oh ya..tahniah juga pada Afdlin Shauki dan Adibah Noor sebab tolong tambah lemak tuu tapi beringat sama sebelum kena obersiti..

Jangan tanya aku sebab aku bukan peminat nasi lemak dan aku juga tak berminat serta langsung tak teringin nak tonton filem ini sebab pelakonnya terlampau 'hebat berlakon'.

ozzy - sedut lemak sebelum lemak semakin banyak terkumpul..

27 September 2011

NAK KENTUT DI MANA?

Bila cakap pasal kentut pasti ramai yang malu sebab ia memang sesuatu yang memalukan dan dianggap sebagai kurang sopan dalam masyarakat kita.
Kalau orang lelaki tak segan sangat bila kentut tapi kalau orang perempuan terutama perempuan muda mesti malu kalau kentut atau terkentut.Kalau tak berbunyi tahanlah sikit walaupun baunya boleh dihidu, pandai-pandailah cover dan buat muka tak bersalah tapi kalau bunyinya keluar terpaksalah tahan malu.Kalau perempuan yang dah berumur kentut, orang sekeliling tak kisah sangat sebab alasannya "biasalah badan dah banyak angin".

Budaya kita berbeza pada Mat Saleh atau orang putih sebab pada mereka kentut ni boleh diterima kerana ia bagus untuk kesihatan tetapi mereka tidak suka pada orang yang sendawa mungkin alasannya kalau sendawa ia menyebabkan tersebarnya virus yang kurang baik.Mungkin juga virus kentut lebih baik dari virus sendawa hehe..

Bila perut dah tak tahan rasa nak kentut, rasanya kat mana kita nak kentut?.Kalau tengah berendam tak kisah sangat sebab kalau kentut pun nampak buih je keluar.Teringat aku pada kenangan sewaktu menaiki 'cable car' di Genting Highland dulu.Bayangkan dalam 'cable car' tu yang tertutup dan penuh dengan penumpang tiba-tiba keluar bau kentut yang sungguh menyesakkan hidung.Aku tengok masing-masing berpandangan sesama sendiri sambil mengerutkan dahi dan mungkin dalam hati menyumpah sapalah yang melepas ni!!..


Ya Allah, nak tunggu 'cable car' tu sampai punyalah lama dan bila sampai je terus keluar dari 'cable car' tu masing-masing melepaskan nafas fuhhh..legaaa!!!...


Tempat paling sesuai kalau nak kentut adalah pada muka kawan atau yang jenis suka menipu, suka berdengki, suka buat fitnah, sebarkan cerita yang tak baik dan suka memburukkan orang lain eloklah kentut kat muka dia hehe..ok tak?
Pakat ramai-ramai simpan dulu angin pastu kentut hala ke muka dia sebab orang macam ni memang sesuai dijadikan tempat melepaskan kentut kerana hatinya sungguh busssuuukkk...

Ataupun tadah kentut kat tapak tangan dan sedekahkan kat muka dia masa dia tengah memburukkan atau memfitnah orang lain ...

ozzy - kadang-kadang terkentut...

25 September 2011

ANAK FELDA ADA HARGA

Tahniah aku ucapkan kepada pasangan pengantin baru Norman Hakim atau nama sebenarnya Norhakim Zakaria 35 tahun dan Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimy 23 tahun yang telah sah menjadi suami isteri.
Dengan jumlah hantaran sebanyak rm24 ribu dan mas kahwin berjumlah rm22.50 pasangan ini selamat dinikahkan hanya dengan sekali lafaz pada jam 5 petang semalam.Rasanya memang tiada masalah pada Norman untuk akad nikah kerana dia memang biasa bercakap dan berdepan dengan orang ramai.

Pada aku inilah yang sebaiknya dan wajar dipercepatkan setelah kisah antara mereka berdua banyak menimbulkan kontroversi sebelum ini.Berbagai tohmahan, tuduhan , kritikan serta bermacam kisah berkenaan pasangan ini telah kita ikuti sebelum ini melalui akhbar mahupun TV.Mujur juga kisah di dalam kain tidak diheret sama..

Sesuatu yang aku ingin perkatakan adalah mengenai Memey, baru aku tahu rupanya dia berasal dari Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.Kalau sebut Felda sahlah bahawa Memey adalah anak seorang peneroka Felda.Sebelum ini aku hanya membaca kisahnya tanpa ambil tahupun dia berasal dari mana.
Apabila berita perkahwinan yang dikatakan sebagai 'wedding of the year' kerana bakal ditaja dengan jumlah tajaan keseluruhannya bernilai Rm12 juta, sekali lagi aku ucapkan tahniah pada Memey kerana mendapat peluang ini.Anak Felda juga ada harga di pasaran hehe..

Mengikut perancangannya, Memey bakal menggayakan dua gaun bertatah mutiara berharga RM500 ribu dan harga gaun tersebut mengalahkan gaun persandingan yang dipakai oleh Siti Nurhaliza berharga RM400 ribu.Selain dari itu Memey juga bakal menggayakan dua kasut rekaan eksklusif Jimmy Choo yang berharga lebih RM300 ribu setiap satu dan ia satu-satunya rekaan yang dicipta di dunia.Turut bakal digayakan nanti adalah dua set perhiasan jenama Rafflesia iaitu anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara bernilai RM5.6 juta yang setiap satu berharga RM2.8 juta.Kesemua perhiasan tersebut dapat disaksikan pada majlis resepsi mereka yang akan berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur pada 28 September ini.

Itulah yang dikatakan tuah badan, rezeki masing-masing.Kalau dulu jarang sangat kita dengar kisah anak Felda terpapar dengan kisah seperti ini tapi sekarang dah ramai anak Felda yang muncul dan tidak lagi malu mengaku sebagai seorang anak Felda termasuk Mawi dan Que Haidar.Sekarang ramai yang dah tak malu lagi mengaku sebagai anak peneroka Felda sebab anak Felda pun ada harga.

ozzy - Jangan lupa pada harga diri kerana nilainya juga amat berharga....

24 September 2011

LUAHAN HATI PENGARAH MAMAT KHALID DENGAN NASI LEMAK

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Bin Mohd Khalid merupakan seorang penulis dan pengarah filem yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam negara kita ini.
Antara filem arahannya yang diminati adalah Zombie kampung pisang dan Hantu Kak Limah balik rumah serta beberapa lagi filem yang telah lama ditayangkan.Penggemar muzik rock ini turut menerbitkan sebuah filem berjudul 'rock' pada tahun 2005 dan melayakkan beliau merangkul anugerah lakon layar terbaik pada festival filem Malaysia.

Beliau pernah melahirkan sebuah filem berjudul Estet pada tahun 2010 iaitu sebuah filem yang menceritakan tentang hubungan antara kaum Melayu dan dan India di sebuah perkampungan getah.Ia boleh dianggap satu langkah untuk menyatukan dan mengeratkan hubungan sesama kaum di negara kita ini malangnya ia kurang mendapat sambutan apabila kutipan tiket hanya sekitar 350 ribu sahaja.

Namun apabila munculnya filem nasi lemak sambutan yang diberikan oleh kaum Melayu sendiri amat memberangsangkan atas alasan ia sebuah filem tempatan dan menonjolkan semangat 1 Malaysia atau perpaduan kaum.Jika itu alasannya kenapa filem Estet tidak mendapat sokongan sedangkan ia membawa tema yang sama cuma bezanya adalah siapa pengarahnya atau mungkin Mamat Khalid perlu kerap muncul di dalam U-Tube bersama isu-isu yang panas dan mencipta lebih banyak kontroversi barulah filemnya akan mendapat sambutan.Persoalannya jika beliau mencipta kontroversi apakah filemnya akan laris atau kaum Melayu sendiri akan memboikotnya serta bersorak apabila filemnya tidak laku.

Aku paparkan sedikit luahan hati dari Mamat Khalid yang aku sunting dari blognya..

 " Apabila isu perkauman dimainkan oleh beberapa pengarah muda yang mulia di mata sesetengah masyarakat menduga akan isu perkauman dengan sengaja dengan hasilkerja mereka, aku mula gusar. Aku mula gusar dengan masyarakat itu sendiri. Mengapa seorang yang terang-terang menghina akar melayu aku di bumi melayu aku ini di angkat hero dan layak berjumpa menteri minta diberi pertolongan di dalam karya yang kononnya menyokong integerasi kaum.

Bangsa melayu sendiri melompat memberi kata semangat dan memuji kebagusan sipolan membuat filem dengan membayar tiket masuk bergasak menyokong filem yang 'lebih elok dari filem melayu biasa' itu. Aku tidak irihati dengan karya beliau. Malah mereka melayu yang terlibat di dalam filem itu pun bukannya aku peduli akan niat mereka. Yang menjadikan kepala aku bengkak adalah dengan sokongan sesetengah manusia melayu yang ingin mengangkat kerja manusia yang terang-terang bencikan bangsa aku. Di arak dan di beri penghormatan tahap menteri kerjanya itu. Kami yang terus menerus mendokong rasahormat kepada kedaulatan bangsa-bangsa dibumi ini tidak pernah mendapat layanan sebegitu baldu hamparannya.

Aku ingat lagi akan hari rakyat malaysia dikejutkan dengan video negara kuku nya yang menghina kedaulatan negara dan bangsa aku. Masih segar lagi peluh marah di hujung dahi aku ketika mula-mula aku menontonnya. Dan kini beliau hero? Kini beliau layak berjumpa Datuk Seri Perdana Menteri?

Aku dengan besar hatinya mengalukan perpaduan dengan filem aku namun bukan pujian atau sokongan yang aku dapat. Aku telan semua itu kerana aku inginkan filem yang bermaruah terhadap bangsa aku. Dan bukan filem itu menjadi penyebab ramai yang mendekati dengan karya aku. Ianya hilang ditelan masa dan demi masa aku akur dan harus meneruskan perjuangan dengan kerja-kerja yang lain. Dan kini aku dapati kerja yang jijik, yang menaikkan rasa benci terhadap sesebuah kaum itu rupanya boleh menjadi ikon dan hero pengarahnya!

Adakah aku tidak cukup bangsat untuk mendapat tempat setaraf sipolan. Mahukan Perdana Menteri berjumpa aku jika aku menyanyi 'gua mau jumpa lu' berulang kali di youtube? Kalau mahu boleh la aku memuat naik nyanyian bangsat aku ke halaman itu agar setaraf aku baratur berjumpa menteri. "



Untuk ulasan penuh sila klik DI SINI

OZZY - turut senada dengannya....
  

23 September 2011

IDEA AKU KALAU NAK BUAT FILEM HANTU

Kalau nak diimpunkan koleksi filem tentang hantu sejak berpuluh tahun dulu sampai sekarang entah berapa ratus filem telah diterbitkan.Itu belum lagi termasuk filem yang tak jadi ditayangkan dan juga drama yang kita tonton di kaca TV.Berbagai jenis filem ditayangkan untuk menarik penonton ke pawagam samada yang menyeramkan mahupun komedi tak kiralah filem tersebut logik ataupun hanya sebuah  illusi.

Apa yang kita perhatikan boleh dikatakan hampir semua dari filem tersebut menunjukkan bahawa bukanlah hantu yang membunuh manusia.Hantu hanya muncul untuk menakutkan manusia dengan menjelma dalam bentuk wajah yang menyeramkan.Begitu juga dengan apa yang kita perhatikan dalam siri pemburu hantu atau 'seekers', tidak ada atau tidak pernah pun yang mati dibunuh oleh hantu.Apa yang kita lihat hanyalah keadaan mereka yang ketakutan apabila terdengar suara aneh yang dikaitkan dengan hantu ataupun jelmaan hantu dalam keadaan yang menakutkan meskipun hanya sekadar bayang-bayang.

Dari gambaran tersebut maka lahirlah filem-filem yang menyajikan kisah yang hampir sama samada berdasarkan peristiwa yang dialami sendiri mahupun dari apa yang dibaca atau melalui cerita yang didengar.Hakikatnya hantu tidak membunuh manusia tetapi hanya mengganggu manusia dan gangguan tersebut menyebabkan berlakunya kemalangan yang mengakibatkan kematian atau gangguan yang berterusan sehingga manusia mati kerana mencekik dirinya sendiri.Sebutlah apa jenis hantu samada hantu langsuir, hantu pocong, hantu galah, hantu air atau apa jua jenis hantu, mana satu yang paling ganas dan paling banyak atau pernah membunuh manusia?.

Persoalannya kenapa tidak ada yang berani untuk menterbalikkan mentaliti penonton bahawa kita tidak perlu takut dengan hantu.Inilah idea yang aku nak sampaikan kepada penerbit atau pengarah filem agar  lari dari konsep tersebut iaitu dengan membuat kelainan samada dalam bentuk misteri dan boleh diselitkan dengan komedi tetapi biarlah nampak logik dan berkesan pada minda penonton.Tonjolkan kelainan seperti kanak-kanak tidak perlu takut bila jumpa hantu.Contohnya bila terserempak dengan lembaga yang dikatakan hantu jerkah saja atau halau saja dia dari situ.

Kalau orang dewasa jumpa hantu sepak atau terajang je hantu tu 'buat semak je kat sini'.Kalau nak buang air dalam hutan kena minta kebenaran "tok.. cucu tumpang buang air kat sini" walaupun hantu tu akan jawab " bila masa pulak aku kawin dengan nenek engkau" tapi pengajarannya adalah kita diingatkan agar tidak kencing merata-rata.Tonjolkan adegan secara sinis seperti dalam keadaan seorang pelakon yang kencing bersebelahan dengan lembu di dalam hutan, kenapa manusia kena minta kebenaran tapi lembu tak perlu pun minta kebenaran.Sebab lembu tidak boleh berfikir atau ada sifat malu seperti manusia dan itulah yang membezakan kita manusia dengan lembu sebenarnya.

Begitu juga babak-babak lain yang berkesan untuk mengubah mentaliti manusia supaya jangan takut pada hantu.Tampilkan bagaimana keadaan hantu apabila ia muncul untuk mengusik manusia tapi manusia cuma buat muka selamba.Agak-agaknya macamana rupa hantu bila dia 'fade-up'?Kalau hantu tu ketawa dan mengilai jangan takut dan kitapun ikut ketawakan dia.Bukan ke dikalangan kita pun ada yang ketawa mengilai macam hantu? kalau tak percaya boleh tanya 'kak rock' tuu..

Lama kelamaan apabila disogokkan dengan filem sebegini tidak mustahil manusia tidak takut lagi dengan hantu kerana ternyata hantu tidak boleh membunuh manusia tetapi hanya menakut-nakutkan manusia.Kenapa takut untuk membawa pembaharuan dan perubahan.Jika di dalam 'seekers' kita tengok manusia lari apabila ternampak hantu tidak mustahil selepas ini kita dapat lihat 'geng seekers' pula riuh rendah mengejar hantu.

So...kepada Ahmad Idham, prof. A.Razak Mohaideen, Mamat Khalid, Afdlin Shauki, Erma Fatima atau lain-lain pengarah filem Melayu amacam ada berani untuk sahut cabaran aku ni untuk mengubah mentaliti masyarakat kita??? Sampai bila nak ulang cerita yang sama...kreatif la sikit.

ozzy - pernah kena usik dengan hantu....

21 September 2011

HANTU BONCENG ... MENGARUT JELAH


Nampaknya musim demam filem hantu masih lagi hangat melanda dan terus menghantui pemikiran penggiat filem di dalam negara kita.
Pengarah filem bagaikan sudah tiada idea untuk menampilkan suatu kelainan dalam filem mereka dan boleh dikatakan tengok saja tajuk bersama barisan pelakon pun dah tahu macam mana ceritanya.Hampir sama je semuanya..lebih kurang tengok drama je yang kat dalam tv tu.

Sebuah lagi filem dengan genre yang sama kisah seram dan komedi arahan Ahmad Idham turut menambah lagi koleksi yang semakin menyemakkan lagi timbunan yang sedia ada dalam kategori yang sama.Filem yang diberi judul hantu bonceng ini langsung tak menarik minat aku tapi oleh kerana anak-anak nak tengok maka aku langganlah dari Astro untuk diaorang tengok.

Bila anak-anak tengok diaorang pun tanya " mana hantunya..itu je ke ?" Sambil baca paper aku pun tengok la kejap-kejap filem yang dipasang tu.Nak kata seram tak seram, nak kata lawak pun tak lawak, suspen pun tak juga.So..apa nak kata? kalau aku cakap atau komen nanti kata tak sokong filem melayu pulak..nak puji pun hati rasa berat sebab kalau puji pun tak ikhlas.

Bagi penonton dewasa mungkin kemunculan pelakon Jue Aziz dalam filem ini menjadi tarikan buat mereka maklum sajalah kerana beliau tersenarai antara 10 artis Malaysia paling seksi.Malangnya bukan keseksian Jue Aziz yang dapat diaorang tonton sebaliknya adegan ini pula yang mencetuskan kontroversi..

                            

Sepatutnya sebagai pengarah Ahmad Idham perlu peka dengan perkara ini dan wajar memohon maaf sebagaimana yang Zizan lakukan.Kenapa masih lagi nak pertahankan perkara yang sudah ternyata salah?Kalau mohon maaf sekalipun takkan jatuh ruginya kan dan aku pasti jika dia memohon maaf golongan penonton atau peminat yang beragama Islam pasti dapat terima dengan hati yang terbuka.Perlu diingat ini bukan filemnya yang terakhir kerana lepas ni pasti menyusul filem seterusnya dan kalau penonton boikot, siapa yang rugi?

Walau apapun aku tetap nak ucapkan tahniah pada Ahmad Idham kerana filem ini adalah terbitan dari syarikatnya sendiri iaitu excellent pictures sdn bhd cuma filem yang dipertaruhkan kali ini bagi aku belum mencapai apa yang penonton kita mahukan walaupun kutipannya telah berjaya mencecah rm8 juta.Filem ini tidaklah terlalu teruk cuma mungkin tidak memenuhi selera aku agaknya sebab macam tengok benda yang sama je cuma tajuk je yang berbeza.

ozzy - Kepada Ahmad Idham..teruskan berkarya dengan idea yang lebih kreatif.. 

WORDLESS # 5 - OTAK KUNING


Bila tengok gambar ni apa yang korang fikir? Kalau serta merta gambarannya ke lain itu maknanya otak kuning la tu hehe..tapi takpe kalau kuning maknanya bersih la tu..

Dah lama aku fikir kenapa disebut otak kuning? kenapa tak sebut otak biru ke, otak hijau ke, otak ungu ke, otak kelabu ke?

ozzy - otak pelangi...

20 September 2011

IMEJ POLIS PERLU DIJAGA

Apabila kita memilih untuk menjadi seorang anggota Polis antara kriteria penting yang perlu ada adalah disiplin yang tinggi.
Selain dari disiplin seorang anggota polis perlu menjaga imej serta penampilan kerana kelibat dan perlakuan mereka sering mendapat perhatian dari setiap golongan masyarakat.Ini penting untuk memelihara dan menjaga nama baik institusi polis yang ditugaskan untuk mengawal keamanan negara.

Situasi di dalam negara kita menyaksikan institusi polis terus dikecam oleh sesetengah pihak yang gemar menuduh dan menghukum samada demi kepentingan diri mereka sendiri mahupun untuk kepentingan politik.Apabila institusi dan kredibiliti pihak polis sering diragui dan tidak lagi dipercayai maka mudahlah untuk mereka mengkucar kacirkan keamanan negara.Perlu diingat keamanan sesebuah negara dapat menarik pelabur untuk melabur sekaligus meningkatkan ekonomi negara.

Jika dilihat pada gambar anggota polis ini yang begitu cepat tersebar di internet pasti timbul persepsi negatif pada mereka yang melihatnya lebih-lebih lagi jika mereka ini terdiri dari pihak yang memang bencikan pada pihak polis serta berfikiran negatif yang tidak dapat dilentur lagi.Sekiranya anggota polis ini membeli nombor ekor dalam keadaan lengkap beruniform seperti ini sudah tentulah ia mencemarkan imej polis walaupun beliau mungkin bukan beragama Islam tetapi bagaimana jika beliau berdiri di situ atas sebab lain contohnya untuk membuat pemeriksaan atau mencatat nota/laporan pada buku log yang berada di situ atau mungkin juga beliau sedang bertanyakan sesuatu pada penjaga kaunter yang bertugas..itu semua hanya andaian dari apa yang kita lihat kerana kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.Berbaik sangka sajalah...

Apa jua alasannya bagi mereka yang memang bencikan pihak polis inilah peluang untuk mereka menyebarkan tentang keburukan pihak polis dan menyemarakkan lagi api kebencian samada di dalam diri sendiri mahupun pada orang lain meskipun mereka sedar apabila ditimpa kesusahan bantuan dari pihak polis juga yang mereka harapkan.Janganlah kita terlalu menghina kerana tiada yang sempurna.

Polis juga manusia biasa yang mencari rezeki untuk survival cuma bezanya dengan kita adalah dari segi kerjaya.Tidak dinafikan ada segelintir dari mereka ada juga yang membuat kesilapan ibarat di dalam setandan pisang pasti ada buah yang busuk.Namun sebaiknya setiap dari mereka perlu menjaga imej ,tingkahlaku dan penampilan demi memelihara reputasi serta kredibiliti institusi polis seluruhnya.

ozzy - masih mengharapkan bantuan polis..

19 September 2011

NASI LEMAK 2.0....APA MAKNANYA?

Nasi lemak 2.0 merupakan sebuah filem yang diarahkan oleh namewee, individu yang pernah mencetuskan kontroversi kerana menghina lagu negaraku serta menghina bangsa Melayu yang beragama Islam.
Jika sebelum ini setiap kali tiba sambutan hari kemerdekaan maka dia pun tampil mencetuskan kontroversi namun kali ini beliau muncul bersama sebuah filem arahannya Nasi lemak 2.0.

Filem yang kononnya berkonsepkan 1 Malaysia ini turut dibintangi oleh pelakon Melayu Adibah Noor dan Afdlin Shauki.Dua nama yang gah dalam industri filem Melayu yang turut serta memeriahkan filem arahan namewee ini.Pusing sana, pusing sini akhirnya namewee juga yang untung kerana MELAYU MUDAH LUPA..

Aku tak berminat nak review filem ini sebab memang aku tak pernah tengok lagi dan memang tak berminat pun nak tengok meskipun ramai yang memuji.Nasi lemak jika dialih bahasa kepada bahasa Cina bunyinya seperti "La-Si-Ni-Ma" yang membawa maksud "La- Pedas" ,  "Si- Mati" , "Ni- awak/kamu"  "Ma- emak" atau jika translate dari google ia akan memberi maksud "Hot Die your mom" atau dalam bahasa Melayunya "Panas sampai emak kamu mati".Sumber turut diperolehi dari SINI

Disebalik kemunculan filem ini, sebuah lagi filem arahan Othman Hafsham berjudul karipap-karipap cinta turut menjengah pawagam.Filem yang dibintangi oleh pelakon kontroversi Gambit Saifullah ini langsung tak menarik minat aku meskipun ia diadaptasi dari novel yang dikatakan paling laris di pasaran dengan judul yang sama.Ramai beranggapan filem ini lebih sesuai diberi judul sampah-sampah cinta Gambit atau karipap-karipap basi ekoran kelancangan mulut Gambit yang menggelarkan peminatnya dengan gelaran babi dan anjing serta pernah menghadiahkan 'middle finger' pada blogger.Namun selepas kontroversi tersebut Gambit muncul meminta maaf dan menafikan kata-kata tersebut ditujukan pada peminatnya tapi sebaliknya kepada mereka yang membuat tohmahan ekoran dari video klip arahannya sebelum ini yang dikatakan lucah bersama penyanyi Prema Yin. 

Itulah bezanya antara nasib yang menimpa Gambit dan namewee tetapi sekurang-kurangnya Gambit tampil meminta maaf tapi si namewee ni ada??..tak perlu minta maaf pun berpusu-pusu juga orang Melayu yang datang menonton filemnya.

ozzy - tak mudah lupa...

15 September 2011

PELUANG PELABURAN DALAM KOPERASI PERMODALAN FELDA (KPF)


Aktiviti pelaburan dalam apa jua bentuk saham atau simpanan pada syarikat yang berdaftar dan kukuh merupakan satu pelaburan yang baik pada kita semua.
Namun begitu kaum melayu dikatakan kurang berminat untuk melabur dalam pasaran saham kerana pulangannya yang lambat.Kerana itulah jumlah penyertaan kaum Melayu dalam bentuk pelaburan seperti ini masih rendah berbanding kaum lain yang pantas merebut peluang yang terhidang.Atas faktor lambat menerima pulangan dan ingin cepat kaya maka yang sering kita dengar adalah nasib kaum melayu yang terus menerus ditipu dengan skim cepat kaya.

Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang ditubuhkan pada 1 Julai 1980 merupakan salah satu koperasi untuk tujuan simpanan dan pelaburan yang dikhaskan hanya untuk warga Felda di seluruh negeri.Justeru itu kepada semua warga Felda rebutlah peluang ini kerana ia terbuka kepada semua warga Felda dan anak-anak Felda.Jika merasakan kita belum punya modal untuk melabur maka jalan sebaiknya adalah dengan mendaftar terlebih dahulu sebagai ahli koperasi dengan yuran pendaftaran sebanyak rm20.Bila dah ada duit cuma bankin melalui nombor akaun yang diberikan. Paling penting dapatkan borang dari pejabat Felda di kawasan masing-masing dan dapatkan cop pengesahan daripada pegawai yang bertugas.Kemudian barulah borang tersebut diserahkan atau diposkan kepada Koperasi Felda yang terletak di jalan Semarak KL bersama satu salinan IC serta satu salinan IC bapa.Jika bapa telah meninggal dunia maka sijil kematian perlu disertakan sebagai bukti.

Ketika orang ramai berebut-rebut untuk melabur dalam saham Bank rakyat baru-baru ini, warga Felda tidak perlu pun berebut kerana masih banyak kekosongan dalam koperasi Felda yang memberi dividen hampir sama dengan Bank Rakyat berikan.Untuk tahun 2011 ini, KPF membayar dividen sebanyak 15 peratus dan dividen tertinggi yang pernah dibayar sebelum ini adalah sebanyak 16.5 peratus iaitu pada tahun 2007.Kata orang sikit-sikit lama-lama jadi bukit tetapi sekiranya tidak dimulakan masakan yang rata boleh menjadi bukit.

Pelancaran KPF-2 baru-baru dengan suntikan dana sebanyak rm10 juta sebagai modal pembangunan ekonomi memberikan banyak peluang serta kelebihan pada warga Felda.Ramai yang bertanya apa bezanya KPF yang lama dengan KPF-2?.Antara perbezaan ketara adalah KPF dikhaskan untuk warga Felda dan terhad kepada generasi ke-2 Felda sahaja dan pelaburan maksimum adalah sebanyak rm250 ribu manakala KPF-2 adalah untuk generasi selepas generasi ke-2 warga Felda ataupun cucu cicit iaitu keturunan kepada warga Felda dengan nilai pelaburan maksimum yang masih belum ditentukan lagi.

Kepada rakan-rakan generasi Felda jangan lepaskan peluang ini untuk melabur.Jika orang lain sanggup berebut serta ramai yang kecewa untuk mendapatkan saham dari Bank Rakyat, warga Felda tidak perlu pun bersusah payah untuk mendaftar dan melabur di dalam KPF yang berada di ranking ke-2 selepas Bank Rakyat yang menawarkan dividen tertinggi di dalam negara kita.

Selepas mendaftar jadi ahli dan sekiranya ingin semak status keahlian sila klik DI SINI  dan masukkan nombor kad pengenalan anda


Setelah nombor kad pengenalan dimasukkan anda akan lihat paparan lengkap keahlian anda sebagai ahli KPF seperti di bawah ini.


Untuk maklumat serta soalan-soalan lazim yang sering ditanya boleh klik DI SINI

ozzy - jauhilah dari skim cepat kaya...

14 September 2011

SEMAK STATUS ANDA SEBAGAI PENGUNDI

Sudahkah anda mendaftar sebagai pengundi? Kalau dah cukup umur segeralah mendaftar untuk melayakkan diri anda sebagai pengundi.Bagi yang sudah mendaftar dan ingin menyemak semula status anda sebagai pengundi sila klik  DI SINI  dan masukkan nombor kad pengenalan anda seperti yang anda lihat di atas.

Setelah nombor kad pengenalan dimasukkan anda boleh melihat kesemua detail seperti nama dan nombor kad pengenalan serta lokasi tempat anda mengundi seperti contoh di bawah ini.


ozzy - nak tukar lokasi mengundi...

13 September 2011

BILA BARANG NAIK HARGA

Setiap hari ramai yang memperkatakan dan mengeluh tentang harga barang yang semakin hari semakin naik.
Bagi golongan yang berkemampuan kesan kenaikan tidak sangat dirasakan tetapi bagi mereka yang kurang berkemampuan lebih-lebih lagi golongan yang berpendapatan rendah pasti merasakan beban dari kenaikan tersebut.Isu kenaikan harga barang ini bukan hanya di negara kita malah turut melibatkan semua negara di dunia dan isu ini tiada kesudahannya kecuali jika kita tidak terlibat dengan apa jua pembangunan atau mengikuti arus kehidupan moden.

Maksudnya di sini adalah kita masih hidup seperti zaman dahulu kala seperti memakan sayur yang ditanam sendiri,menggunakan air sungai,memancing dan memelihara binatang peliharaan serta memburu untuk mendapatkan makanan,memasak menggunakan kayu api dan tidak menggunakan elektrik serta tidak menggunakan kenderaaan.Tak mungkin ada yang sanggup untuk kembali pada gaya kehidupan lama kerana kita manusia inginkan hidup yang semakin senang dan mudah kan?.

Bila barang naik harga...
Antara topik yang sering dibicarakan sewaktu berkumpul bersama kawan-kawan adalah 'harga barang semakin lama semakin mahal'.Dalam memperkatakan harga barang naik waktu nak pergi makan kita tengok kedai. Kononnya kalau makan di warung tak standard,panas atau low class dan kita pun pilih restoran yang lebih mahal dan berhawa dingin alasannya lebih selesa dan harganya pula tiga kali lebih mahal daripada harga di warung.Kita bayar tanpa banyak bicara kerana memang itu yang kita pilih walaupun kita tahu harganya berkali ganda dari harga biasa dan kita memberi alasan " biasalah kedai macam ni memang mahal " tetapi bila balik ke rumah kita mengeluh " susahlah macam ni..barang makin lama makin mahal "...

Bila barang naik harga....
Kalau nak shopping samada untuk membeli pakaian,kasut atau aksesori lain seperti jam,topi dan sebagainya kita cari yang berjenama kononnya untuk jaga standard dan malu kalau kawan-kawan tengok.Zaman ini tiada siapa yang peduli sebenarnya apa jenama yang kita pakai dan dari mana kita beli tapi kita malu kononnya bimbang jika kawan tanya dan kita bangga untuk katakan bahawa pakaian tersebut kita beli dengan harga yang mahal dan berjenama.Begitu juga dengan handphone, kita malu guna handphone lama padahal ia cuma untuk telefon atau sms saja dan kita beli handphone baru dengan harga ribuan ringgit kononnya tidak mahu ketinggalan dan kita memberi alasan " biasalah barang berjenama memang mahal " tetapi bila balik ke rumah kita mengeluh lagi " susahlah macam ni.. barang makin lama makin mahal "... 

Bila barang naik harga.....
Bila dah lama pakai kereta kita tengok kawan-kawan atau orang lain tukar kereta baru.Hati kita mula meronta untuk ikut sama tukar kereta kononnya malu pakai kereta lama sedangkan kereta tersebut dah pun habis dibayar dan masih dalam keadaan baik...sampai juga ke kampung kan?.Kalau sebelum ini pakai proton kita pun tukar kepada jenama yang lebih standard walaupun kita tahu alat gantinya berkali lebih mahal tapi kita lupa nak sebut 'barang makin mahal' kerana nak menunjuk kononnya kita ni mampu dan kita memberi alasan " biasalah kereta import memang mahal..spare part pun mahal sikit tapi aku tak kisah...biasalah tu " tetapi bila balik ke rumah kita mengeluh lagi " susahlah macam ni..barang makin lama makin mahal "...

Akhrinya kita salahkan orang lain 'itu' dan 'ini' tetapi kita lupa untuk melihat pada diri sendiri.Satu jari salahkan orang lain 4 jari lagi sebenarnya turut menghala pada diri kita sendiri kerana banyak perkara yang boleh kita pertimbangkan dalam membuat keputusan untuk membelinya ketika harga barang yang semakin lama semakin mahal .

ozzy - ukur baju di badan sendiri...Klik " LIKE " jika anda setuju....

12 September 2011

E-KAMUS ALAF TERAS PRODUK MESRA PENGGUNA

Kamus merupakan salah satu keperluan penting kepada setiap pelajar yang mula memasuki alam persekolahan kerana ia berperanan untuk memudahkan pelajar mencari maksud sesuatu perkataan atau ayat dari bahasa lain.
Kemajuan teknologi yang bergerak pantas menyaksikan berbagai perubahan dalam kehidupan kita hari ini bagi  memenuhi tuntutan kepada situasi semasa dan perubahan tersebut sudah pastinya untuk memudahkan kita sebagai pengguna.

Apabila disebut kamus kita semua membayangkan sesuatu yang berbentuk seperti sebuah buku yang tebal dan terkandung di dalamnya beribu perkataan bagi menyampaikan makna dari satu bahasa kepada bahasa yang lain.Lagi banyak perkataan atau lagi complicated terjemahan dari maksud ayat yang diberikan bermakna semakin tebal kamus tersebut.Ini membuatkan kita merasa tidak selesa untuk membawanya ke sekolah bersama beg sekolah yang dilihat semakin membebankan.

Apabila memasuki alam pekerjaan kamus tetap diperlukan apatah lagi jika kita agak lemah dalam penguasaan bahasa yang lain seperti bahasa Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Untuk mencari makna di dalam bahasa yang lain pula bermakna kita terpaksa membeli kamus lain yang mengandungi makna dalam bahasa tersebut.

Dunia hari ini menyaksikan computer memainkan peranan penting di dalam sesebuah organisasi bagi melancarkan dan mempercepatkan lagi setiap proses.
Menyedari hakikat tersebut sebuah syarikat yang dimiliki oleh bumiputera seluruhnya tampil bersama ciptaan e-kamus berteknologi digital untuk memberi kemudahan kepada pengguna.

Alaf  Teras Sdn. Bhd. dimiliki oleh Encik Ramli Bin Mohamad selaku pengurus dan merupakan pengasas serta perintis dalam membangunkan produk ini di dalam pasaran di negara kita. Ditubuhkan pada tahun 2001 diikuti dengan pelancaran produk yang pertama, syarikat ini kemudiannya melancarkan versi yang seterusnya setelah mendapat sokongan dan maklum balas yang positif. Produk terbaru iaitu versi 5.02.09 yang baru saja dilancarkan merupakan versi ke-8 produk ini di pasaran sekaligus memberi gambaran yang kukuh akan keberkesanannya.Ia merupakan teknologi kamus digital yang lebih pantas dan efektif dalam mencari makna sesuatu perkataan.

Ciptaan yang menampilkan ciri-ciri mudah dan ringkas kepada setiap golongan samada kepada pelajar mahupun golongan pekerja menjadikan produk ini menjadi satu produk yang mesti dimiliki oleh pengguna yang menggunakan computer sebagai perkakas utama.Versi terbaru ini menyediakan terjemahan dari bahasa Arab - English - Melayu selaras dengan impiannya untuk menawarkan produk yang mesra pengguna hingga ke peringkat antarabangsa seterusnya berjaya menembusi pasaran global.Kandungan kamus yang sedia ada sebelum ini adalah :
i - Melayu-Inggeris
ii - Inggeris-Melayu
iii -Inggeris-Inggeris
iv -Melayu-Melayu
v - Melayu-Arab
vi -Melayu-Mandarin
vii - Indonesia-Inggeris
Kelebihan lain yang ditampilkan oleh produk e-kamus ini adalah ia turut menyediakan suara dalam Bahasa Inggeris dan boleh membaca artikel seperti contoh yang disediakan di bawah ini.

                                   

Pada mereka yang berminat untuk mendapatkan produk ini sila hubungi pengedar yang berhampiran di tempat anda yang terdapat di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia termasuk di Sabah, Sarawak dan juga di Singapura atau boleh emailkan kepada ozzy2u@gmail.com dan harga yang ditawarkan adalah rm80.00 termasuk kos penghantaran serta bantuan teknikal  dan untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan produk ini sila klik DI SINI.

ozzy - Sokong produk keluaran bumiputera...dan klik 'LIKE' jika anda juga sokong..

9 September 2011

PERGINYA SEORANG RAKAN KERANA MENYAMBUT SERUAN ILAHI

Hari ini aku dan rakan-rakan menerima berita sedih apabila mendengar khabar salah seorang dari rakan kami telah pergi buat selamanya kerana menyambut seruan Ilahi.Arwah merupakan salah seorang rakan sekelas kami sewaktu di bangku sekolah dahulu dan merupakan seorang yang pendiam ketika di dalam kelas.Kerana itu agak sukar untuk aku mengingati siapakah yang dimaksudkan apabila dimaklumkan mengenainya.

Berita mengenai arwah yang terlantar sakit akibat penyakit kanser telah disampaikan oleh seorang rakan yang berkunjung ke rumahnya pada hari raya pertama yang lalu.Apabila aku balik pada hari raya yang ke-3 esoknya aku terus pergi ke rumahnya bersama seorang rakan yang tinggal berhampiran dengan rumahnya.Meskipun kami kurang rapat dan jarang bertegur sapa walaupun berada di dalam kelas yang sama tapi itu bukan penghalang untuk aku menziarahinya demi hubungan sebagai seorang rakan dan saudara sesama Islam.

Sebelum ini arwah ada menyatakan untuk turut serta dalam reunion yang kami aturkan pada 1 May yang lepas tetapi kerana atas beberapa sebab beliau terpaksa menarik diri.Tidak disangka setelah kami terpisah selepas tamatnya zaman persekolahan kira-kira 23 tahun lalu pertemuan ini adalah pertemuan yang terakhir buat kami kerana Allah lebih menyayanginya.Semoga rohnya dicucuri rahmat ilahi dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.

Ketika tiba di rumahnya kami disambut oleh ayahnya sementara arwah terbaring di atas katil yang diletakkan berhampiran ruang dapur yang aku rasakan amat tidak sesuai kerana bahang kepanasan amat terasa apatah lagi bagi seorang yang sedang sakit sepertinya.Mungkin itu pilihan terbaik buat mereka kerana kedudukan tersebut lebih memudahkan untuk mereka menguruskannya terutama untuk mencuci dan juga ke tandas.Tidak lama kemudian muncul pula emaknya dan aku agak terkejut apabila emaknya juga sakit dan berada di atas kerusi roda.Allahhuakhbar...pasti bukan sedikit beban yang ditanggung oleh ayahnya untuk menguruskan kedua-duanya yang menderita sakit.

Menurut cerita dari ayahnya pada awalnya arwah mengadu sakit perut dan apabila diperiksa arwah dikatakan menghidap penyakit batu karang.Mereka memilih untuk berubat secara traditional dan penyakit batu karang tersebut kemudiannya telah sembuh.Beberapa bulan selepas itu arwah kembali mengadu sakit di bahagian perut dan kali ini doktor mengesahkan bahawa arwah telah menghidap kanser ovari.




Untuk makluman kanser ovari merupakan kanser yang paling merbahaya dan sukar dirawat kerana ia sukar dikesan diperingkat awal.Kanser ini juga adalah yang ke-3 paling kerap berlaku di negara kita ini dan mencatatkan jumlah kematian yang tinggi.Untuk info mengenai kanser ovari sila klik DI SINI.

Arwah telah menjalani pembedahan pada bulan May yang lepas dan jika tak silap tarikh yang dinyatakan oleh ayahnya pada 5 May iaitu beberapa hari selepas hari reunion yang kami aturkan.Maka terjawablah sebab sebenar kenapa arwah tidak dapat turut serta.Setelah beberapa lama terlantar di hospital arwah kemudiannya dibenarkan balik dan diminta datang semula pada bulan puasa yang lepas untuk menjalani CT Scan di bahagian kepala kerana kanser tersebut telah dikesan merebak ke bahagian tersebut.Setelah itu doktor memaklumkan bahawa penyakitnya semakin kritikal dan kanser yang dihidapi kini berada di tahap 4 iaitu tahap yang paling sukar untuk dirawat.

Begitulah serba sedikit cerita yang aku dengar dari ayahnya selain dari sedikit kehidupan peribadi arwah yang hanya sempat menjalani kehidupan berumahtangga buat seketika sebelum berpisah dan tidak sempat menimang cahaya mata.Selepas subuh pagi tadi arwah telah dikatakan berada dalam keadaan nazak dan sekitar jam 11 pagi aku menerima berita arwah telah pergi meninggalkan kami semua untuk selamanya ketika kami semua sedang berbincang untuk mengumpul dan menyampaikan sedikit sumbangan buatnya.

Dengan itu mari kita sama-sama sedekahkan al-fatihah buat arwah...


ozzy - salam takziah untuk keluarganya ....

8 September 2011

JOM DERMA DARAH


Kebiasaannya setiap tahun sebelum masuknya bulan puasa aku akan pergi ke Pusat Darah Negara (PDN) untuk menderma darah namun tahun ini sekali lagi hasrat itu terpaksa aku batalkan kerana menghidap demam panas ketika itu.

Sempena cuti panjang Hari Raya Aidilfitri kali ini maka apabila tiba ke KL esoknya aku terus menuju ke Pusat Darah Negara yang terletak di Jalan Tun Razak untuk menderma darah setelah aku selesaikan urusan lain pada paginya.

Ini merupakan kali yang ke-18 aku menderma darah di sini tanpa ada sebarang masalah sebelum ini namun kali ini nasib aku kurang baik apabila jururawat yang bertugas kelihatan kurang yakin sewaktu mencucuk jarum dilenganku.Aku dapat merasakan tangannya yang menggigil sewaktu memegang tangan aku dan sewaktu jarum tersebut dicucuk.

Tidak lama kemudian datang seorang 'sister' dan aku bertanya apakah staff tersebut staff baru? kerana sebelum ini semua staff disitu kesemuanya perempuan tapi hari ini ada beberapa orang staff lelaki dan yang mencucuk jarum di tangan aku juga adalah staff lelaki.Sister memberitahu bahawa staff tersebut bukanlah 'terlalu baru' dan sudah biasa dengan kerja tersebut.Dia bertanya kenapa dan aku menjawab sebab aku tengok tangannya menggigil waktu cucuk jarum tadi.Mungkin untuk mengambil hati 'sister' memberitahu dia menggigil disebabkan itu adalah sifat semulajadinya dan aku hanya diam sambil tersenyum.

Belum sempat beg darah aku yang berisi 450ml penuh lenganku mula terasa ngilu dan berdenyut dan ia tidak pernah aku alami sebelum ini.Aku memanggil staff nurse yang berdekatan untuk melihat keadaan jarum tersebut.
Apabila plaster dan kapas dibuka aku dapat melihat kawasan yang dicucuk dengan jarum sudah mula membengkak.Pada awalnya aku rasa nak hentikan saja tapi apabila melihat beg darah yang hampir penuh maka hasrat itu aku batalkan meskipun aku terpaksa menahan kesakitan buat seketika.

Untuk mempercepatkan pengaliran darah aku ramas span yang disediakan dalam genggaman tangan secepat mungkin dan hanya dalam beberapa minit beg tersebut sudahpun penuh.Setelah itu tempat yang bengkak disapu dengan ubat krim untuk menghilangkan rasa sakit serta mengurangkan bengkak.Setelah berbaring seketika maka selesailah sudah proses menderma darah untuk kali ini.Darah selepas Hari Raya yang mungkin dipenuhi dengan khasiat kuih raya, lemang, ketupat, rendang serta bermacam hidangan kuih muih di Hari Raya hehe...Apa yang pasti setelah darah tersebut dikeluarkan maka aku kini dalam proses untuk membentuk darah baru yang dah kehilangan banyak perisa kuih raya termasuklah lemak dan kolestrol..Anda bagaimana?

ozzy - itu hanya kesilapan kecil yang tidak disengajakan...

5 September 2011

SELAMAT KEMBALI

Pasti ramai antara kita yang mengambil cuti panjang sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri beserta hari kemerdekaan yang baru saja berlalu.Setelah seminggu bercuti ke kampung halaman kini tibalah masanya kita kembali semula menyambung tugas-tugas yang ditinggalkan tidak kiralah samada bekerja sendiri atau sebagai seorang pekerja samada di syarikat swasta mahupun kerajaan.

Syukur Alhamdulillah kepada yang selamat pulang ke kampung dan selamat juga kembali pulang ke rumah masing-masing samada di bandar mahupun di desa bagi meneruskan semula rutin harian untuk mencari rezeki.Selepas ini mungkin juga ramai yang membuat perancangan seterusnya untuk menyambut Aidilfitri bersama jiran sebelah atau rakan-rakan di bandar pula.Mana yang ada budget lebih mungkin akan buat open house untuk menjemput rakan-rakan datang ke rumah cuma janganlah kita mengharapkan hanya rakan datang ke rumah kerana sebaiknya kita juga perlu berkunjung ke rumah jiran atau rakan yang lain.

Dalam kita bergembira sesuatu yang menyedihkan adalah  jumlah kematian yang dicatatkan pada ops sikap kali ke-24 ini mencatatkan angka yang agak tinggi.Setakat 4 sept 2011 telah mencatatkan angka kematian akibat kemalangan jalan raya adalah sebanyak 228 orang bersama jumlah kemalangan yang direkodkan adalah sebanyak 1266 kes selepas 12 hari ops sikap dilancarkan.Statistik ini mungkin meningkat lagi sebelum berakhirnya ops sikap yang ke-24 ini pada 6 sept. 2011.

Begitu juga angka korban akibat bermain mercun meskipun tidak melibatkan kehilangan nyawa namun masih mencatatkan kehilangan anggota badan terutamanya pada jari atau tangan.Beginilah senario yang kita saksikan atau dengar saban tahun disebalik kemeriahan menyambut Aidilfitri.Amat sukar untuk kita mencari sebab dan alasan yang paling konkrit untuk mengatasi masalah ini. Terkadang kita merasakan kita sudahpun memandu dengan berhemah dan berhati-hati tapi masih juga terlibat dalam kemalangan akibat kecuaian orang lain dan begitu juga sebaliknya orang lain berhati-hati kita pula yang cuai.Namun bagi korban mercun tidak perlu salahkan orang lain kerana ia memang salah kita sendiri kerana telah berulang kali kejadian yang sama dipaparkan tapi kita masih juga berdegil untuk melakukannya.

Selamat kembali bekerja kepada semua rakan-rakan untuk meneruskan kesinambungan hidup dalam mencari rezeki yang halal dan diberkati.Semoga Aidilfitri yang berlalu mencatatkan banyak kenangan manis dan mengimbau kenangan bersama rakan-rakan yang lain disamping mengambil peluang untuk bermaaf-maafan.

ozzy - masih dalam mood bercuti....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...