11 September 2012

HINA BESI KERANA KARAT HINA MANUSIA KERANA MELARAT

Sebagai manusia normal tiada siapa yang suka dirinya dihina.Malah binatang juga sekiranya mereka mampu untuk berfikir dan mempunyai perasaan seperti manusia mereka juga tidak akan sesekali membiarkan diri mereka dicaci dan dihina.Begitu juga dengan makhluk lain di dunia ini semuanya tidak sesekali suka diri mereka dihina.

Hina besi kerana karat..itulah yang terjadi pada sebatang besi.Besi merupakan satu bahan yang murah dan mudah diperolehi.Namun kelemahannya adalah ia mudah berkarat teutamanya bila terdedah di tempat yang terbuka apalagi di tempat yang memudahkan ia berkarat seperti di tepi pantai atau di kawasan yang terdedah pada panas dan hujan.

Mungkin pada asalnya ia merupakan satu bahan yang diukir dan dibentuk dengan cantik untuk dijadikan perhiasan yang menarik.Pastinya ramai yang memuji dan tak kurang juga yang membelai kerana keindahannya, namun lama kelamaan apabila ia mula berkarat sedikit demi sedikit ia tidak lagi menjadi satu bahan yang menarik untuk dipamerkan malah dihina kerana mencacatkan pandangan.Akhirnya ia menjadi bahan terbuang yang hanya mempunyai sedikit nilai untuk dijual sebagai besi buruk.


Hina manusia kerana melarat...ia bukan sekadar ungkapan tapi ia adalah satu realiti dalam kehidupan kita di dunia ini.Inilah yang bakal kita terima apabila hidup kita melarat.Tiada tempat tinggal, tiada duit mahupun harta benda untuk dijadikan bekalan untuk berbelanja.Kawan-kawan mula menjauhkan diri kerana tidak mahu kita menyusahkan mereka.Lebih teruk lagi bila saudara mara mahupun adik beradik juga enggan membantu malah turut memandang hina pada saudaranya sendiri.

Justeru itu jangan kita ingat sekiranya hari ini kita dilimpahi dengan kemewahan dan kesenangan segalanya akan kekal buat selamanya.Jangan kita ingat ketika ini sewaktu dilimpahi kemewahan rakan-rakan mudah datang mendampingi dan mendekati kerana apabila kita melarat mereka akan mula menjauhkan diri.Ketika inilah kita memerlukan kehadiran sahabat kerana hanya sahabat yang sudi menerima dan mendampingi sahabatnya. Memang benar kata-kata 'lebih baik kita mempunyai seorang sahabat yang baik dari mempunyai seribu kawan yang tidak tahu menilai erti persahabatan'.

Tiada siapa sebenarnya ingin hidup melarat namun terkadang takdir tuhan mengatasi segalanya.Meskipun telah berusaha namun jika telah ditakdirkan qada' dan qadar dari Allah S.W.T apalagi yang mampu mereka ini lakukan. Sesungguhnya mereka semua dan kita semua juga tidak suka dihina.Selagi mampu dan boleh berusaha maka berusahalah agar kita tidak hidup melarat dan agar kita tidak terus dihina.

Besi yang berkarat dan dibuang boleh dipungut untuk dikitar semula tapi manusia yang melarat belum tentu lagi di mana kesudahannya...mungkinkah selamanya akan dihina?.

ozzy - berusahalah agar kita tidak hidup melarat... 

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...