29 September 2010

MALU VS KEMALUAN

                            







Dalam melariskan sesuatu produk pastinya memerlukan promosi bertujuan bagi memperkenalkan produk kepada pengguna.
Untuk meyakinkan pengguna maka iklan yang ditampilkan seboleh-bolehnya dengan pakej yang selengkap mungkin.Ini kerana kadar bayaran iklan mengikut minit ia ditayangkan dan pastinya charge yang dikenakan juga tinggi.Demi merealisasikan impian mereka juga dalam mengaut keuntungan sensiviti sesetengah golongan turut dipinggirkan.

Jika sebelum ini kita dikejutkan dengan iklan hari raya raya yang dianggap tidak peka dengan sensivity orang melayu dan umat islam khususnya.Maka berlumba-lumba para blogger memaparkan dan mempamerkan iklan tersebut dengan berbagai ulasan dan kecaman.Mungkin kerana ia menyentuh isu agama maka kita tampil memberi kritikan dan pandangan bagi menunjukkan seolah kita amat peka dan begitu teliti dengan sebarang iklan yang ditampilkan.

Antara iklan yang makin kerap kita saksikan sekarang ini adalah iklan tuala wanita.Terdapat berbagai jenama kini telah berada di pasaran.Sekali pandang iklan tuala wanita ini dah jadi macam iklan pampers untuk bayi bezanya hanya pada individu yang ditampilkan.Produk ini konsep dan penggunaannya adalah sama malahan reka bentuknya juga hampir sama kerana digunakan ditempat yang sama jika berbeza pun mungkin sedikit penambahan pada saiz atau ketebalannya.Oleh kerana ingin mengenalkan dan melariskan produk maka iklan yang ditampilkan dengan berbagai variasi untuk menarik imaginasi penonton.

Antara strategi yang dianggap berkesan adalah menggunakan golongan terkenal seperti artis sebagai model iklan.Sebelum ini artis yang terlibat dalam iklan ini adalah penyanyi Yuna.Mungkin iklan yang ditampilkan kurang berkesan maka diterbitkan pula iklan dari penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal iaitu Adibah Noor menggunakan jenama yang sama.Kali ini iklan yang ditayangkan memaparkan aksi yang lebih detail dan dapat menyerap daya imaginasi lebih mudah bersama 'body language' yang berkesan dari penyanyi terkenal ini.Penggunaan imej lain seperti buah tembikai memudahkan lagi penonton menangkap mesej yang ingin disampaikan seolah-olah penonton semuanya tak pernah jumpa 'bahan' ini.

Mungkin bagi sesetengah pihak iklan seperti ini dianggap biasa (lama-lama akan jadi biasa) tapi bagi golongan yang agak konservatif mereka akan terasa malu apatah lagi bila ditonton beramai-ramai dengan saudara mara atau anak buah.Mereka berpendapat tidak perlu dipaparkan iklan sebegini kerana golongan dewasa memang telah 'familiar' dengan produk ini cukup sekadar memaparkan kelebihan rekaannya tidak perlu sehingga menunjukkan aksi serta imej sedemikian rupa.Modelnya juga orang Melayu membuatkan mereka semakin malu.Mereka masih beranggapan orang Melayu perlu menjaga 'MALU' dan 'KEMALUAN' dari tatapan umum.

" BILA HATI MULA BERKATA...LIDAH KELU UNTUK BICARA...
HUJUNG PENA KUSALUT BISA "

24 September 2010

BILA PENGANTIN MERAJUK

Sempena cuti hari raya beserta dengan cuti sekolah maka ada yang mengambil kesempatan ini untuk menganjurkan majlis perkahwinan.
Ketika berhari raya baru-baru ini iaitu seminggu selepas hari raya (ahad) aku menghadirkan diri bagi menyerikan serta membantu majlis perkahwinan anak saudara aku (anak Pak Ngah aku) bertempat di Taiping Perak.Oleh kerana anaknya adalah pengantin lelaki maka majlis pun tidaklah terlalu 'grand' dengan persiapan yang sederhana sahaja.

Majlis persandingan belah pengantin perempuan pula dibuat sehari lebih awal iaitu pada hari sabtu.Maka pada hari tersebut kami rombongan pengantin lelaki dengan beberapa buah kereta bergerak menuju ke sana iaitu di Bayan Lepas Pulau Pinang.Selepas berkumpul di masjid ketika zohor kami sama-sama tiba di rumah pengantin hampir jam 2 petang. Kalau dah jam menunjukkan hampir pukul 2 faham-faham sajalah masing-masing pun kelaparan serta dahaga akibat cuaca panas.

Ketika kami tiba kami semua berpandangan sesama sendiri dan hati aku mula bertanya "kenapa ketibaan kami semua tiada siapa yang sambut ?".Paluan kompang juga tidak kedengaran hanya nampak tetamu sibuk berbaris menjamu selera.Sampai di pintu rumah barulah pengantin di sambut dan terus di bawa masuk duduk atas pelamin.Aku bersama salah seorang bapa saudaraku tidak turut serta ke dalam rumah hanya memerhati dari jauh hampir dengan khemah makan.Bapa saudaraku mengajak aku makan tetapi aku enggan kerana tiada siapapun yang pelawa kami makan.Secara kebetulan ketika aku berkata-kata ada seorang pemuda yang mungkin dari belah tuan rumah dengar barulah dia jemput kami makan dan duduk.

Ketika ini hatiku sebenarnya sudahpun tawar dengan sambutan serta suasana begini.Selepas makan dan berehat seketika kami semua mula beransur pulang dan tinggallah pengantin di sini. Sampai ke rumah maka terdengarlah bermacam cerita serta luahan masing-masing.Aku macam biasa tak suka sangat nak menyibuk cuma dengar dan fikir sendiri.

Malamnya sekitar jam 9 malam sedang kami membuat dan memeriksa persediaan terakhir tiba-tiba kami di kejutkan dengan panggilan telefon dari pengantin lelaki katanya dia dalam perjalanan pulang.Kami mula terfikir pasti ada sesuatu telah terjadi di sana jika tidak masakan pengantin lelaki mahu balik.Apabila dia tiba barulah kami tahu puncanya kenapa dia balik.Menurutnya selepas bersanding dia tidak di jamu makan. Sudahlah makanan pengantin tidak disediakan seperti yang biasa kita lihat malah dia terpaksa turun sendiri mengambil makanan.Apakah ertinya yang dikatakan "raja sehari" kalau makan pun kena pergi ambil dan senduk sendiri.Berang dengan layanan sebegitu rupa maka dia nekad untuk balik.Begitulah sedikit cerita yang aku dengar cerita selebihnya hanya mereka saja yang tahu.Namun aku beranggapan memang tak patut pengantin di perlakukan seperti itu.

Esoknya kami semua menantikan ketibaan rombongan mereka.Tiada sedikit pun niat untuk membalas apa yang mereka lakukan ketibaan mereka kami sambut dengan mesra.Meskipun tiada paluan kompang sebenar kami menggunakan suara rakaman kompang yang dipasang oleh DJ yang kami tempah.Tidak cukup dengan itu kami turut menempah seorang peniaga air batu cendol bagi menyediakan ABC pada semua tetamu termasuk pada rombongan pihak pengantin.Meskipun ibu pengantin datang dan memohon maaf atas apa yang berlaku tetapi peristiwa yang sudah berlaku akan tetap menjadi nostalgia lebih-lebih lagi pada diri pengantin tersebut.

Sebenarnya kejadian seperti ini adalah kali kedua terjadi pada diri aku.Sebelum ini peristiwa yang hampir sama turut berlaku ketika menghantar rombongan pengantin sebelah isteri aku iaitu sepupunya di Negeri Sembilan bertempat di Port Dickson.Ketibaan kami juga tidak disambut dan lebih mengharukan kami sendiri terpaksa mencari makanan, air minuman serta pencuci tangan. Rentetan dari peristiwa tersebut pada awal perkahwinan memang semua nampak indah tetapi lama-kelamaan sesuatu yang dipendam di dalam hati akan mula diluahkan samada dalam bentuk perbuatan mahupun ungkapan kata-kata.Apabila mereka bertengkar maka terungkitlah kembali kisah pilu dan perit ini.

Apa yang ingin aku perkatakan dan yang ingin aku luahkan hanyalah sedikit penyesalan dan kekecewaan dengan perlakuan seperti ini.Apabila sesuatu yang dilakukan dengan niat yang baik maka begini pula layanan yang diterima.Majlis pertunangan telah dibuat sebelum ini begitu juga dengan majlis akad nikah berjalan dengan lancar.Apabila tiba hari bersejarah begini pula layanannya. Jika tidak suka atau ada masalah rasanya tidak perlulah melayan atau mengaibkan orang lain dengan cara sebegini.Walau ada sedikit kekurangan atau tidak sempurna di mana-mana ianya lebih baik daripada anak gadis kita di bawa lari atau dia sendiri melarikan diri dan melakukan perbuatan yang memalukan keluarga.Maka apakah yang kita mahukan samada "DIMALUKAN" atau "MEMALUKAN"... fikir-fikirkan lah...dan kerana itu juga  ->

" BILA HATI MULA BERKATA...LIDAH KELU UNTUK BICARA...
HUJUNG PENA KU SALUT BISA "



22 September 2010

DUIT RAYA

Sudah menjadi tradisi apabila tibanya hari raya maka antara peruntukan yang perlu disediakan adalah duit raya untuk diberi pada kanak-kanak.Sesuai dengan perubahan zaman jika dahulu pemberian duit raya berbentuk kepingan duit syiling tapi sekarang paling kurang pun duit kertas satu ringgit. Bagi mengelakkan serta nampak lebih menarik maka duit ini dimasukkan ke dalam sampul sebelum diberi pada kanak-kanak.

Dalam kita memperkatakan perihal duit raya untuk kanak-kanak ramai diantara kita tidak menyedari atau mungkin tidak tahu bahawa golongan dewasa atau orang tua juga mendapat duit raya.Jika dihitung jumlahnya lebih banyak dari apa yang kanak-kanak perolehi.Bagi sesetengah tempat mungkin akan beranggapan ianya agak asing tetapi di sesetengah tempat lain pula budaya pemberian duit raya ini pada orang tua telah pun wujud.Biasanya pemberian ini lebih kepada menghargai hubungan baik serta layanan mesra yang diberikan olehnya disamping menghormati keperibadiannya.

Jika di tempat atau di kampung aku samada di Pahang atau tempat aku dilahirkan di Perak senario ini memang tak pernah aku lihat cuma aku seorang saja yang beri dikalangan keluarga aku itupun kalau ada budget lebih maka aku selitkan dua tiga sampul dengan rm 50 (paling kurang untuk orang dewasa seperti mak ngah,mak lang,mak su dsb.).Pemberian ini juga bukan pada semua orang tua hanya pada mereka yang aku anggap layak dan wajar diberikan.Namun golongan dewasa atau orang tua tidak menganggap ianya suatu kemestian sebagaimana yang kanak-kanak fikirkan kerana mereka lebih memahami situasi masing-masing. Pada mereka jika diberi mereka terima kalau tak beripun sekadar datang berhari raya itu sudah memadai.

Apa yang ingin aku perkatakan adalah suasana pemberian duit raya ini di sebelah ibu mertuaku iaitu di Negeri Sembilan.Pada awal dulu aku agak terkejut apabila melihat ibu/bapa mertua aku turut menerima duit raya. Bezanya pemberian duit raya bila kita berkunjung ke rumah orang lain tapi mereka terima duit raya apabila anak buah/saudara mara datang berkunjung.Pemberian duit raya juga tidak secara terbuka kerana bimbang dilihat oleh orang lain yang mungkin akan menimbulkan perasaan iri hati atau tidak puas hati kerana mereka tidak terpilih untuk mendapat duit raya.Antara kedua mertuaku pastinya yang paling banyak adalah pada ibu mertuaku.Setiap kali hari raya juga berbagai juadah yang disediakan antaranya nasi himpit, lemang, ketupat, mee kari,mee sup,mee hoon goreng dan bermacam juadah lain.Meskipun penat melayan tetamu yang datang serta penat menyediakan hidangan namun terpancar kegembiraan dan keriangan pada wajah mereka.Boleh bayangkan kepenatan yang dirasa apabila kunjungan tetamu hanya berakhir pada jam hampir satu pagi dan ketika itu jugalah baru pintu utama ditutup.

Apa yang aku perhatikan di kalangan anak saudara ibu mertuaku hampir 15 orang yang boleh dikategorikan sebagai 'pasti' akan memberi duit raya pada ibu mertuaku.Itu belum termasuk yang berada dalam kategori 'belum pasti' dan yang aku tidak tahu.Dua antaranya yang tersenarai dalam ketegori 'pasti' datang dari Singapura dan cuba bayangkan jika setiap kanak-kanak mereka beri 5 dollar.Untuk golongan dewasa yang terpilih termasuk ibu mertuaku pastinya minima 50 dollar.Begitu juga dengan anak saudara yang lain juga minima rm 50.Kalau di congak hampir seribu atau mungkin lebih rasanya!!!....duit raya untuk ibu mertuaku.

Dari apa yang diceritakan pada aku dahulu semasa anak saudara ibu mertuaku masih kecil mereka ini sering dijaga oleh mak mertuaku ketika ibu bapa mereka bekerja.Oleh kerana ketika itu pendapatan ibu bapa mereka pun kecil maka mereka semua dijaga oleh ibu mertuaku dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan.Apabila masing-masing dewasa dan bekerjaya maka mereka beranggapan inilah caranya mereka membalas balik budi yang dicurahkan oleh ibu mertuaku pada mereka dahulu dan ibu bapa mereka turut menggalakkan agar anak-anaknya mengenang jasa ibu mertuaku.Meskipun ada antara ibu dan bapa mereka telah meninggal dunia tetapi mereka tetap memberi sumbangan ini setiap kali tiba hari raya.

Bukan itu saja malah ketika ibu mertuaku mahu berangkat ke tanah suci mekah 2 tahun dulu hampir kesemua mereka turut sama berada di Kelana Jaya bagi mengiringi pemergiannya ke sana.Masing-masing turut menghulurkan wang saku atas dasar 'mengenang budi' meskipun tidak diminta.Inilah antara hikmahnya apabila sesuatu yang kita lakukan dengan niat ikhlas insyaallah akan dibalas juga dengan hati yang ikhlas.

KUNJUNG MENGUNJUNG

Amalan kunjung mengunjung di hari raya seakan merupakan satu tradisi masyarakat kita apabila tibanya hari raya.Selain bermaaf-maafan di hari yang mulia ini ia juga dapat mengeratkan lagi tali silaturahim sesama kita umat Islam dan hubungan baik sesama jiran tetangga.
Setelah selesai sembahyang sunat aidilfitri kita akan mula berkunjung ke rumah jiran terdekat atau rakan-rakan yang mungkin jarang kita ketemu.Demi menjaga hubungan baik sesama jiran atau rakan kita akan berkunjung ke rumahnya tanpa mengira darjat ataupun keturunannya.

Pastinya sesekali bersua akan banyak cerita untuk dibualkan terutamanya jika masing-masing bekerja di bandar.Bertemu rakan sekampung yang sama-sama dibesarkan di tempat yang sama pastinya banyak meninggalkan nostalgia dan menggamit kenangan suka dan duka apatah lagi apabila masing-masing tahu kesusahan dan keperitan hidup di masa silam.Di zaman kanak-kanak kita sama-sama bermain, bergaduh dan bergurau serta saling bantu membantu dan bersekolah di sekolah yang sama.Pastinya segala kenangan itu tidak akan padam meskipun memori kita tidak dapat mengingati seluruh perjalanan hidup kita.

Sebagai rakan kita akan berkunjung untuk bertanya khabar rakan-rakan samada jauh atau dekat. Paling utama pastinya rakan kita yang terdekat.Namun hati kecil kita mula berdetik apabila setiap tahun kenapa hanya kita saja yang berkunjung ke rumahnya sedangkan rakan kita tak pernah datang berkunjung ke rumah kita setiap kali tiba hari raya?.Hati kita mula bertanya apakah hanya kita yang mengingati kawan atau rakan? sedangkan kita juga mengharapkan agar rakan juga berkunjung ke rumah kita apatah lagi jika rumah kita hanya bersebelahan atau bertentangan.

Lama kelamaan hati seorang rakan mula tawar dan seterusnya tidak lagi saling berkunjungan kerana merasakan ianya tidak adil "asyik aku je pergi rumah dia..macam aku ni tak ada rumah".Sebagai rakan kita juga patut menjaga hati rakan lain sebagaimana mereka menjaga hati kita.Jika kita memberi alasan yang kita sibuk di rumah atau ramai yang berkunjung maka apa akan terjadi sekiranya semuanya memberi alasan yang sama? siapa yang akan berkunjung pada hari raya?.Sudahnya masing-masing menghadap di depan TV mengharapkan orang lain datang berkunjung.Jika bernasib baik kita akan tersua di masjid selepas sembahyang hari raya maka sempatlah berbual untuk seketika dan selepas itu masing-masing menuju ke haluan masing-masing.  

Mungkin sebelah pihak pada awalnya akan mengalah dan berkata " tak apalah..kita ingat kawan-kawan kita "  tapi akan tiba suatu masa kawan kita itu akan berkata "hmm..asyik aku je pergi rumah dia..dia tak reti nak datang rumah aku ke?..padahal bukannya jauh sebelah rumah je".Mungkinkah apabila rakan kita terlantar sakit barulah kita datang berkunjung kononnya menghargai nilai persahabatan seorang rakan yang membesar di tempat yang sama? atau kita berpendapat kehadiran kita ketika itu lebih bermakna kerana mungkin kita mahu di anggap seorang rakan yang prihatin...atau mungkin kita hanya akan hadir untuk membacakan surah yassin buat seorang insan bergelar jiran yang juga rakan kita.


8 September 2010

BISIKAN HATI


Suasana untuk menyambut ketibaan Syawal di ibu kota kelihatan sungguh sibuk dengan kehadiran begitu ramai pengunjung untuk membeli dan menyediakan segala persiapan.Dendangan lagu Hari Raya yang berkumandang turut memeriahkan lagi suasana yang ada.

Di tengah lautan insan yang sedang bergembira kelihatan kelibat seorang gadis kecil hanya memandang dari kejauhan dengan hati yang pilu.Hatinya sayu melihat anak gadis yang seusia dengannya berjalan berpimpin tangan begitu mesra bersama ayah dan ibu sedangkan dia hanya termanggu seorang diri tanpa ada siapa di sisi.

Dari kejauhan dia memandang setiap yang melintas di depannya bersama bisikan hati yang sayu. Matanya melirik pada pakaiannya yang telah lusuh dan sudah lama tidak berganti.Kakinya yang comot bersama selipar yang nipis menguis debu di lantai kaki lima.Pandangannya kembali terarah pada setiap kelibat yang lalulalang di hadapannya.Doanya ketika ini semoga ibunya hadir agar terubat kerinduannya selama ini.

Lama dia memerhati dengan mata berkaca akhirnya jiwa anak kecil sepertinya tidak mampu bertahan lagi.Air mata mula bergenang di kelopak mata dan akhirnya mengalir perlahan membasahi pipi.Bersama sendu gadis kecil seakan berbisik "ibu... ibu di mana?..adik rindukan ibu.. datanglah ibu".Matanya meliar memerhatikan kiri dan kanan mengharapkan seseorang yang bergelar ibu datang memimpin tangannya seperti mana dia melihat kanak-kanak lain dipimpin oleh ibunya.Namun hatinya hampa bersama harapan yang masih bersisa.

Sedang bibirnya masih meratap hiba tiba-tiba dia disapa oleh seorang lelaki yang agak berusia.  "Adik tunggu siapa ni?..mak mana?". Dia menjawab bersama sendu yang panjang " adik tungguuu ibu..dah lama adik cari ibu..tapi kenapa ibu tak datang..".Pakcik itu bertanya "Ibu adik di mana?"  Dia menjawab lagi dan kali ini sendunya mula mengendur "tak tahu pakcik..tapi adik ada gambarnya" katanya  sambil mengeluarkan beberapa keping gambar dari beg yang disandang. Pakcik tersebut merenung kesemua gambar yang diberi oleh gadis kecil itu."Yang mana satu ibu adik?..semuanya pun lain-lain.. tak sama?".Gadis kecil itu menjawab " tak tahu pakcik..adik potong gambar ni dari dalam surat khabar..tapi adik tak tahu yang mana satu ibu adik".

Pakcik itu hanya menggeleng kepala sambil mengeluarkan sehelai duit 10 ringgit "Adik ambil duit ni buat belanja makan ye..tentu adik lapar".Gadis kecil itu menggelengkan kepala sambil berkata "Adik tak nak duit..adik nak ibuuuu" sambil airmatanya kembali mengalir laju."tak apalah..adik simpan duit ni sementara menunggu ibu adik datang..tentu adik lapar kan..ambillah".Gadis kecil itu mengambil duit tersebut dan menyimpannya di dalam beg sambil mengucapkan terima kasih. Selepas pakcik itu berlalu anak kecil itu berbisik seorang diri "ibu...adik ada duit..ibu datanglah kita  makan sama-sama" katanya mengharap sambil menyapu air mata dengan hujung lengan bajunya.

Dalam kesedihan disulami hati yang kecewa gadis kecil itu mula melangkah ke arah destinasi lain "mungkin ibu tak ada di sini".katanya memujuk hati.Beberapa tapak melangkah tiba-tiba sebelah selipar usang yang dipakainya putus. Kesedihannya muncul lagi dan sambil mencebik bibir anak kecil itu berkata "ibu..tengoklah selipar adik dah putus...dah lama adik pakai selipar ni..nanti kalau adik jumpa ibu...ibu belikan yang baru ye bu".Dia melangkah sambil menjengketkan sebelah kakinya yang tidak berselipar.Dia kemudiannya terjumpa sehelai tali lalu selipar tersebut diikat dan dipakai semula. Kerana bimbang selipar itu kembali putus anak kecil itu berjalan sambil mengheretkan sebelah kakinya.

Melintasi gerai-gerai yang menjual baju dan kasut baru hati gadis kecil ini terus dicengkam pilu. Kepiluan seorang anak kecil yang mengharapkan ibunya membelikan untuknya lantas disarungkan ke tubuhnya. Namun harapan agar ibunya memimpin tangannya dan memeluknya lebih berharga dari segala yang ada.Hanya airmata menjadi teman setia bersama doa agar ibunya kembali berada di sisi." Ibu..semua orang nak sambut raya..adik pun nak raya ..Ibu dimana?..datanglah ibu..adik rindukan ibu"  lalu airmatanya gugur lagi.....

* Sekadar coretan dari aku untuk anak-anak yatim serta anak-anak yang ditinggalkan oleh kedua ibubapanya. Ini hanyalah secebis kisah pilu yang mungkin melanda diri mereka di saat ini.Ketika kita semua bergembira menantikan Hari Raya ada insan di luar sana sedang meratap hiba. Mungkin kemeriahan yang kita rasai tidak pernah mereka rasa.Bersyukurlah kita kerana nasib kita lebih baik dari mereka dan mungkin kita tidak pernah merasa apa yang mereka rasa..dapat beraya dan bergembira bersama-sama meskipun ada sedikit kekurangan dari segi persediaan tapi kita masih ada tempat untuk mencurahkan kasih sayang.

Buat insan yang tiada ibu dan bapa aku juga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ... sesungguhnya walau siapapun kita selagi kita bergelar umat Islam..kita berhak menyambutnya bersama-sama.Hilangkan duka , padamkan derita , lupakan sengketa ..SELAMAT HARI RAYA ..MAAF ZAHIR DAN BATIN.



Sayangi Daku

5 September 2010

TABUNG DUIT RAYA

Zaman kanak-kanak dulu memang seronok bila tiba Hari Raya inilah masanya nak kutip duit raya.Berjalan dari rumah ke rumah dari pagi hinggalah ke petang.Malamnya pakat ramai-ramai kira duit raya.Selepas itu masing-masing simpan ke dalam tabung duit yang ketika itu dibuat sendiri samada dengan buluh atau tempurung.
Lokasi paling sesuai nak sorok tabung buluh tu pastinya bawah katil atau dalam almari emak.

Ketika golongan bapa atau lelaki dewasa mencari buluh budak-budak pula sibuk meminta buluh untuk dibuat tabung.Buluh tersebut kemudiannya dibawa balik dan diraut untuk menghilangkan gatal.Selepas itu buluh tersebut dibasuh dan di tebuk lubang di bahagian atas untuk di masukkan duit syiling.Lubang yang ditebuk tidak terlalu besar hanya pastikan ukurannya muat untuk duit yang paling besar untuk masuk iaitu duit 50 sen.Jika ditebuk terlalu besar nanti takut mudah nak keluarkan maka tak tercapailah niat untuk menabung.Kerana itu bila tabung tersebut penuh barulah buluh tersebut dibelah dan tidak boleh digunakan lagi.

Begitu juga tabung yang dibuat dari tempurung.Kelapa yang telah dibelah kemudiannya dipilih terdiri dari kelapa yang dibelah dengan cantik dan mudah untuk dicantumkan.Setelah isinya diraut dan dicuci dengan bersih tempurung kelapa itu kemudiannya dicantumkan dengan gam dan akhir sekali disapu dengan "syelek" untuk mengilatkannya agar nampak cantik.Bila gam dan syelek telah kering barulah lubang untuk memasukkan duit ditebuk menggunakan gergaji dengan berhati-hati supaya tempurung tersebut tidak pecah.Begitulah nostalgia di zaman kanak-kanak dulu sewaktu berhari raya dan sering diingatkan supaya mengamalkan tabiat menabung.

Ketika zaman kanak-kanak dulu berhari raya berjalan sekeliling kampung memang ramai yang kenal ini anak siapa... itu anak siapa kerana hubungan kejiranan yang masih rapat.Tetapi sekarang dah jauh berubah sudah tak kenal lagi itu anak siapa... ini anak siapa kerana masing-masing duduk berjauhan hanya sesekali bersua di Hari Raya.Tabung pun mungkin tak diperlukan lagi kerana sekarang duit raya semua bagi duit kertas.Budak-budak sekarang dapat duit raya habis buat beli topup je hehe....

3 September 2010

SILA BERATUR

Ketika di alam persekolahan kita dilatih dan sering diingatkan supaya beratur samada ketika di kantin untuk membeli makanan atau sebelum memasuki bilik darjah.Begitu juga ketika ingin menaiki bas kita juga diarahkan agar beratur dan jangan berebut-rebut.

Setelah dewasa kita mula lupa pesanan cikgu agar selalu beratur.
Kita kembali semula dengan sikap suka berebut-rebut.Kita suka berebut-rebut ketika ingin menaiki bas, kita berebut-rebut ketika memandu dan kita juga suka berebut-rebut ketika memilih kuih di bazar ramadan.

Kalau di bulan puasa ni nak tengok orang berbaris hanyalah di masjid kampung Baru.Sebab apa berbaris?sebab nak dapat bubur lambuk free ..kalau tak berbaris tak dapatlah ye tak..kalau berebut-rebut silap-silap kena halau balik.Kenapa kita suka berebut? sebab takut tak dapat..sebab takut lambat sampai.

Sudah menjadi tradisi apabila tiba Hari Raya orang ramai khususnya kita umat Islam akan balik ke kampung halaman masing-masing.Ketika inilah jalanraya menjadi sesak maka masing-masing mula berebut-rebut untuk cepat sampai...cepat sampai ke rumah tak pun cepat sampai ke kubur.

Sempena Hari Raya yang bakal tiba ingatlah kita pada pesan cikgu "murid-murid semua sila beratur..jangan potong barisan".Pesanan ini juga untuk cikgu-cikgu yang turut akan memandu balik ke kampung "ingat cikgu..cikgu pun jangan potong barisan hehe".Memandu dengan berhemah dan ingatlah orang yang tersayang. Selamat memandu semoga sampai ke destinasi yang di tuju dengan selamat pergi dan balik.

2 September 2010

NAK BELI KE NAK JUAL

Kemeriahan untuk menyambut aidilfitri mula terasa walaupun kita baru saja berpuasa kerana ramai antara kita yang lebih suka untuk membuat persediaan lebih awal.Bagi mereka yang berkeluarga pastinya agak sibuk dengan bermacam persediaan untuk menyambut hari raya dan paling kurang pun pakaian anak-anak tentunya mahukan yang baru.

Tempat yang agak popular untuk mencari baju melayu atau tudung di Kuala Lumpur ni biasanya ramai yang akan pergi ke Jalan Masjid India.Aku juga tidak ketinggalan untuk berkunjung ke sana bersama isteri dan anak-anak berjalan-jalan melihat pakaian yang ada.Seperti biasa tempat ini memang sesak dengan orang ramai samada untuk membeli atau sekadar tengok-tengok apa yang ada.

Kami singgah di sebuah gerai untuk melihat pakaian di situ termasuk pakaian kanak-kanak.Aku membiarkan isteri mencari dan memilih pakaian yang dia berminat sambil aku berdiri tercegat di tepi baju-baju yang ada. Tiba-tiba aku terkejut bila mendengar suara " Bang..baju ni sepasang berapa ?" dan ketika berpaling seorang wanita sambil tersenyum menunjukkan sepasang baju kurung kepada aku.Aku tengok dekat baju tu memang dah ada tanda harga tapi mungkin dia bertujuan untuk bertanya harga seterusnya untuk tawar menawar.Aku menjawab "tu kan ada tunjuk harganya" sambil menunjukkan tanda harga pada baju tersebut dan kemudian seperti diduga dia berkata "tak boleh kurang ke bang?"..."eh..eh macam la aku ni jurujual pulak" bisik aku dalam hati. "cuba tanya tauke yang kat dalam tu" aku berkata lagi.Tidak lama kemudian gadis tersebut kembali semula bersama baju tersebut sambil berkata " tak jadi la bang ".Aku senyum je la hehe..

Baru saja gadis itu berlalu terdengar lagi satu suara " Bang..baju ni yang warna kuning cair ada tak?". Aku sekadar menjawab "entah la dik..cuba tanya dia" sambil menunjukkan salesgirl di situ. Tak boleh jadi ni dah macam jurujual pulak aku ni dan selepas itu aku jauhkan diri sedikit dari susunan baju yang ada sambil dalam hati berkata "Aku ni nak beli ke nak jual ..kalau jual dah banyak laku ni hehe...".

Walau apapun seperti tahun-tahun yang lepas persiapan seperti baju atau pakaian lebih pada anak-anak. Kaum bapa macam aku ni memadai dengan baju Melayu sepasang dah cukup itupun dah berapa pasang lagi tergantung dalam almari.Mungkin tahun depan tak payah beli lagi dah kot.. pakaipun masa Hari Raya pertama je pastu sarung jeans dengan t-shirt.

Anda pula bagaimana?.Kalau yang perempuan bujang tu jangan cakaplah paling kurang 3 pasang baju kurung....kalau dah kahwin mungkin kurang la sikit sebab kena budget pada yang lain juga macam langsir,alas meja,belanja untuk buat kuih,duit raya dan macam-macam lagi lah kan..apapun beringat sama belanja lepas raya nanti..lambat lagi nak menunggu gaji bulan depan tuuu...

ozzy - pakai baju lama...

1 September 2010

DIBAKAR DAN TERBAKAR

Setiap kali jika ada apa saja perkara yang melibatkan negara kita dan negara jiran kita Indonesia, setiap kali itulah kita dapat lihat akan berlakunya kes bendera negara kita dibakar oleh rakyatnya.Itulah cara mereka melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap negara kita walaupun isunya tidak melibatkan kita seluruhnya.

Sewaktu Israel melakukan kekejaman dengan membunuh rakyat Palestin yang beragama Islam kita melakukan protes dengan membakar dan memijak bendera Israel.Kita lakukannya atas dasar benci dan marah dengan kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Palestin yang seagama dengan kita.Puak Yahudi hanya tersenyum meskipun bendera mereka dibakar kerana mereka puas setelah banyak tanah Palestin berjaya mereka takluki.

Apakah wajar hanya kerana isu kecil bendera negara kita pula dibakar?.Apakah berbaloi perbuatan mereka ini jika hendak dibandingkan dengan perkara yang hendak diperjuangkan?.Sejak dari tahun ke tahun dendam mereka ini terus membara..kejam sangatkah kita?.Apakah kita juga di anggap zalim dan pembunuh seperti Israel hinggakan kita dilayan begitu rupa oleh jiran yang selama ini kita anggap seagama dan serumpun dengan kita?.Kita melaungkan slogan anti Israel malangnya kita pula dilaungkan anti Malaysia oleh jiran yang seagama dengan kita.

Belum reda asap bendera kita dibakar di luar negara, di dalam negara pula hati kita terbakar dengan perlakuan segelintir rakyat Malaysia yang menyemarakkan api perkauman.Maka kita hanya terdiam melihat ianya dibakar dan memendam apa yang terbakar.Kita sirami dengan kesabaran kerana hanya itulah saja yang mampu kita lakukan untuk meredakan dan memadam api tersebut.Kita diam kerana kita tidak mahu dilabel sebagai pengganas, kita diam kerana kita mahu hidup aman damai, kita diam kerana kita mahu bertolak ansur dan kita  juga diam kerana kita tidak mahu memulakan sengketa tetapi perlu diingat bahawa kita juga manusia jangan sampai api kita juga turut marak dalam diam.

ozzy - jangan ada yang jadi api dalam sekam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...