17 November 2012

CINCIN PENAMBAT DAN KESANNYA

Sebut pasal cincin apa yang kita bayangkan adalah jari yang dihiasi dengan berbagai rekabentuk cincin yang menarik.Kalau dulu itulah saja yang kita bayangkan bila sebut pasal cincin.

Selain menjadi alat perhiasan di jari, pemakaian cincin juga memberi maksud atau makna yang berbeza. Ketika menjalin ikatan pertunangan atau perkahwinan cincin digunakan sebagai tanda kalau perempuan dah tentunya cincin emas manakala lelaki biasanya cincin suasa.Pada kaum wanita sudah tentunya berbangga dengan cincin emas sebagai aksesori di jari tetapi bagi kaum lelaki mereka lebih gemar mencari cincin yang mempunyai nilai atau fungsinya yang tersendiri kerana masih ramai lagi yang percaya kepada khasiat batu cincin samada untuk tujuan perubatan mahupun kepercayaan lain meskipun ramai yang sedia maklum bahawa perbuatan itu adalah syirik.

Selain dari pemakaian di jari, cincin turut mendapat sentuhan innovasi khususnya pada kaum lelaki di mana penggunaannya bukan pada jari tapi pada kemaluan lelaki.Menurut pakar sakit tuan yang tidak asing lagi dalam negara kita Dr Ismail Thamby fungsi cincin ini yang lebih dikenali sebagai cincin penambat  adalah untuk menambat darah yang masuk ke dalam zakar bertujuan untuk mengekalkan ereksi.Beliau telah mencipta cincin penambat ciptaannya yang dikenali sebagai cincin kanda yang diperbuat daripada bahan getah dan telah diuji keberkesanannya untuk digunakan oleh lelaki.


Apabila ramai yang mengetahui keberkesanannya apatah lagi telah mendapat kelulusan dan pengiktirafan dari individu yang bertauliah seperti Dr Ismail Thamby ini maka muncullah saingan dari berbagai produk lain dengan  tujuan dan fungsi yang sama tetapi dari bahan yang berlainan kononnya dapat memberi kesan yang lebih maksima.Harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah daripada yang dikeluarkan oleh Dr Ismail tetapi sudah tentu ada perbezaannya samada dari segi kualiti atau ketahanan, keselamatan, kebersihan dan berbagai faktor lain lagi kerana produk tersebut tidak diuji atau dianalisis terlebih dahulu.

Menyedari sambutan hangat yang diterima dan hasil dari innovasi terkini maka muncullah pula produk seperti gambar di atas dengan fungsi yang sama tetapi diperhebatkan lagi dengan penambahan 'vibrator' bertujuan untuk memberi kepuasan yang paling maksimum..hyper maksimum la kut hehe..Ianya ditambah dengan motor kecil yang bergetar dan digerakkan oleh bateri kecil seperti bateri jam yang boleh ditukar.Harganya juga jauh lebih murah berbanding cincin ciptaan Dr Ismail yang tidak bergetar tetapi tidak diketahui sejauh mana keberkesannya atau kehebatannya kerana tidak ramai yang berani tampil untuk membuat pendedahan atau pengakuan.

Terkini muncul pula innovasi yang tidak lain dan tidak bukan samada ciptaan orang melayu atau orang indonesia menggunakan kayu yang dibentuk seperti cincin atas tujuan yang sama iaitu sebagai cincin penambat.Diperbuat daripada kayu yang dikenali sebagai 'kayu hikmat' ianya didakwa lebih hebat daripada cincin yang sediaada yang diperbuat daripada getah.

Sewaktu bertemu dengan seorang rakan yang memperkenalkan dan menjual produk ini perkara pertama dalam fikiran aku adalah "bodohnya diaorang ni..sungguh tak logik pakai cincin ni".Maka berlakulah pendebatan antara kami berdua.Dia bersungguh mengatakan cincin ini amat bagus dan amat berkesan ketika memakainya apabila aku tanya yang dia dah cuba ke belum.Tiba giliran aku untuk berhujah untuk mengatakan cincin ini amat mengarut berdasarkan logik akal meskipun aku bukanlah Dr sakit tuan.Aku bertanya bagaimana sekiranya darah yang berada di dalam zakar tersumbat dan membuatkan berlakunya ereksi yang kekal untuk jangkamasa yang lama (tak nak turun)?persoalannya macam mana nak keluarkan cincin tu? tak kan nak panggil bomba kut tolong cabut atau potong cincin tu...

Hujah aku yang ke dua kita semua khususnya kaum lelaki yang peka dengan 'alat sulit' kita yang berharga tu mesti sedia maklum bahawa terdapat beribu urat halus padanya.Apa berlaku sekiranya urat tersebut putus kerana dijerut dengan cincin kayu hikmat ini?.Dari segi logik cincin getah lebih kurang berisiko berbanding cincin kayu kerana getah bersifat elastik atau kenyal dan lembut.

Meskipun dia terus berhujah bahawa produk ini berkesan (mungkin untuk melariskan produknya) tapi bagi aku ia memang mengundang risiko yang sangat tinggi.Hujah aku yang terakhir adalah " ingatlah, inilah saja barang yang paling berharga yang kita ada, kalau punah dah tak boleh ditukar ganti..tak ada spare part lagi dah kalau ada pun spare part palsu tapi nilainya tak sama dengan yang origional..kalau asyik tidur je tak bergerak, duit berjuta pun dah tak ada gunanya lagi"...

Tak kiralah walau apa jampi serapah yang dibaca sekalipun bagi aku ianya tetap mengarut.So, jangan cuba-cuba kalau sayangkan 'harta' kita.

ozzy - macam-macam ada...guna akal untuk berfikir

15 November 2012

FENOMENA DARI USTAZ AZHAR IDRUS

Fenomena yang dicetuskan oleh ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali dengan panggilan ringkas UAI amat luar biasa dengan jumlah kehadiran puluhan ribu penonton yang semakin meningkat dalam setiap kuliah atau ceramahnya.Bukan hanya di negara kita malah namanya turut terkenal di negara jiran seperti Indonesia dan Brunei.

Begitulah hebatnya aura dari penceramah bebas ini dan memberi impak positif khususnya di kalangan generasi muda untuk sama-sama turut serta mendengar ceramahnya.Meskipun UAI dikatakan sebagai penyokong dan ahli politik dari parti PAS namun dikalangan yang hadir terdiri dari semua golongan tanpa mengira apa jua parti politik yang mereka sertai kerana di dalam ceramahnya UAI amat jarang menyentuh bab politik kecuali jika berada di pentas politik.Sekaligus membuktikan kita sebenarnya mampu bersatu atas nama umat Islam untuk menambah dan mendalami ilmu agama.Aku pasti ketika ini masing-masing melupakan sengketa atau dendam demi meningkatkan lagi pengetahuan tentang ajaran Islam.

Apa yang membuatkan ceramahnya digemari oleh orang ramai? Jika kita perhatikan dalam seisi ceramah atau penerangannya kebanyakan isinya berkisar tentang perkara yang telah pun di bawa oleh penceramah lain sebelum ini.Begitu juga seisi soal jawab kebanyakannya adalah persoalan yang sering dibangkitkan samada di dalam akhbar, tv mahupun kaset dan biasa dijawab oleh penceramah atau ustaz yang lain.Sesuatu yang amat baik adalah walaupun seringkali ditanya dan dijawab dengan jawapan yang sama ia sekurang-kurangnnya mengingatkan semula pada kita yang mungkin lupa.

Perbezaannya adalah cara penyampaian serta jawapannya yang bersahaja diselang seli dengan lawak spontan yang mencuit hati penonton sekaligus berjaya menarik minat penonton untuk terus mengikuti ceramahnya.Namun ramai pihak berpendapat fenomena ini tidak akan bertahan lama.Seperti juga apa yang berlaku dalam bidang hiburan penyanyi Mawi pernah mencetuskan fenomena seperti ini di mana setiap kali kemunculannya sambutan yang diterima sungguh hebat pada ketika itu.Namun akhirnya tenggelam dibayangi penyanyi lain serta timbulnya rasa bosan di hati penonton.Aku berpendapat itu adalah perkara biasa kerana kita semua hanyalah manusia biasa yang ada pasang surutnya dalam menempuh kehidupan ini.Mekipun perbandingan ini dianggap tidak adil kerana bidang mereka yang berlainan tapi senarionya adalah sama jika dilihat pada tarikan utamanya mungkin pada 'rasa terhibur' khususnya pada golongan muda tetapi rasa terhibur yang dipersembahkan oleh UAI adalah lebih baik kerana dalam berhibur beliau berjaya menyampaikan ilmu agama.Syabas dan tahniah pada ustaz Azhar Idrus walaupun beliau mungkin akan mengalami zaman surutnya sekurang-kurangnya beliau berjaya menyampaikan sesuatu yang baik pada zaman kemuncaknya.


Antara yang menjadi tarikan utama dalam ceramah UAI ini adalah ideanya membuat lawak spontan yang menghiburkan hadirin walaupun dia masih kekal dengan loghat terengganunya yang agak pekat namun ianya tidak menghalang hadirin dari segenap pelosok tanah air untuk mengikuti ceramahnya.Namun, ada kalanya ramai yang berpendapat dalam mencipta lawak terbit kata-kata sinis yang agak kasar pada pandangan sesetengah pihak dan ada antaranya terasa hati dengan kata-katanya.Dalam cubaannya untuk terus mengekalkan popularitinya dan terus menarik minat pendengar, UAI perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata agar tidak terperangkap dengan lawak spotan ciptaannya sendiri.Mungkin satu masa nanti apabila kekeringan idea maka terbitlah kata-kata yang bakal mengundang kontroversi sekaligus mengendurkan minat orang ramai untuk terus mengikuti ceramahnya.

Sesetengah pihak berpendapat kata-kata ustaz atau yang bergelar ulama tidak boleh dibantah atau dibahas tetapi sesetengahnya berpendapat ustaz juga manusia biasa yang boleh ditegur dan dibantah sekiranya apa yang dikatakannya itu adalah agak samar apalagi jika jawapan yang diberikan dalam bentuk yang agak subjektif.

ozzy - aku hanya manusia biasa ada kalanya tegur salah tak tegur pun rasa serba salah...

8 Oktober 2012

DUIT MUDAH MELALUI INTERNET



Semenjak kemudahan atau talian internet diperkenalkan kita dapat lihat berbagai aktiviti dapat dilakukan menerusi internet ini.Melalui internet kita dapat mengetahui segala berita dan berbagai sumber maklumat serta informasi di seluruh dunia dengan lebih mudah.

Antara yang semakin popular adalah dengan menggunakan internet sebagai medium untuk menjana atau menambahkan pendapatan.Maka lahirlah ramai jutawan internet jika kena dengan cara serta tekniknya dan ramai juga yang kecundang samada ditipu atau diperdaya oleh sindiket yang memang berniat untuk menipu dan mengaut kekayaan dengan cara mudah.

Kita telah dengar banyak kes seperti ini namun masih ramai lagi yang terus menjadi mangsa walaupun telah diingatkan berulang kali.Sepatutnya apa yang berlaku kita jadikan ikhtibar dan pengajaran agar kita juga tidak menjadi mangsa seperti mereka.Ramai diantara kita sebenarnya bukan tidak tahu tapi kita masih ingin terus mencuba dengan harapan rezeki yang merimpah ruah akan berpihak kepada kita dengan jalan mudah.Istilah mudahnya jalan pintas atau 'short cut'.Hakikatnya ramai diantara kita tahu bahawa tiada jalan mudah untuk berjaya dengan mengambil contoh beberapa tokoh jutawan samada di negara kita mahupun di luar negara.Namun, tidak kurang juga yang menongkah arus untuk menafikan hakikat tersebut dengan membandingkan jutawan yang lahir dengan jalan mudah contohnya pengasas Facebook Mark Zuckerberg. Tambah mereka lagi itu semua atas rezeki masing-masing ada yang dapat sikit walaupun bermacam usaha telah dilakukan dan ada yang dapat banyak sekadar dengan satu sentuhan.

Biar apapun itu semua adalah pendapat dan hujah masing-masing.Apa yang pasti ramai yang kecundang dengan pelaburan seperti ini.Kaya yang diharapkan menjadi kayap yang sukar untuk diubati.Justeru itu berhati-hatilah dan buat pertimbangan sewajarnya agar kita juga tidak turut sama kecundang.Tak ada siapa yang tak mahu kaya kerana biarpun kita tahu duit bukan segalanya tetapi zaman ini hampir segalanya perlukan duit.

Dalam menempuh cabaran dunia hari ini dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ramai diantara kita mencari peluang menerusi apa jua sumber bertujuan untuk menambah sumber pendapatan ataupun menampung hutang keliling pinggang.Salah satu peluang yang banyak terhidang adalah menerusi medium internet.Peluang ini bukan hanya terhad pada mereka yang bekerjaya malah turut membuka peluang pada pelajar sekolah serta pelajar di institiut pengajian tinggi.Sambil melayari internet sambil merebut peluang untuk menambahkan pendapatan itu lebih baik daripada membuat kerja yang tidak berfaedah dan membuang masa dan ianya lebih baik dari kita terjerumus menjadi perompak atau peragut.

Pelaburan menerusi skim internet kini semakin popular antaranya Forex ataupun jual beli Emas termasuklah dari portal pengiklanan sepertimana yang diperolehi oleh ramai blogger.Tak kisahlah walau apapun cara dan kaedahnya apa yang penting dan perlu kita pertimbangkan sedalamnya sebelum menyertai apa jua skim pelaburan dalam internet ini apakah ianya akan selamat atau sekurang-kurangnya kekal dalam tempoh yang lama dan apa yang lebih penting lagi jangan sampai tanah kita tergadai, rumah kita dilelong dan segala harta kita dirampas gara-gara ingin cepat kaya.

Jika ingin mencuba bolehlah sertai mana-mana skim yang menawarkan modal yang rendah atau nak lebih selamat cari saja yang percuma contohnya dengan menjadi blogger dan berdaftar dengan ejen pengiklanan seperti nuffnang atau yang lainnya.Ianya percuma tapi pulangannya bergantung pada nasib dan rezeki blogger itu sendiri ada yang dapat banyak dan ada yang dapat sikit.

Salah satu contoh skim yang menawarkan modal yang rendah adalah seperti pelaburan Forex dari BullishTrade ini.Kalau nak tengok skim yang disediakan boleh klik gambar tersebut.Ianya menawarkan modal pelaburan serendah USD25 bersamaan dengan RM82.00 duit kita dan bayaran dibuat setiap hari sebanyak 3% seperti contoh yang dapat dilihat di bawah ini.


Tips cara yang selamat jika ingin sertai skim seperti ini atau apa saja skim yang seangkatan dengannya adalah dapatkan modal pelaburan terlebih dahulu.Seterusnya dan selebihnya adalah bonus untuk kita kerana skim seperti ini seringkali menawarkan longgokan emas namun tersembunyi bom jangka di dalamnya yang boleh meletup pada bila-bila masa!!!.

ozzy - kalau modal kecik tutup jelah sebelah mata....

3 Oktober 2012

JATUH TALAK ANGKARA FACEBOOK


Penceraian merupakan perkara yang amat tidak digalakkan dalam Islam.Kerana itu bagi pasangan yang ingin mengambil keputusan untuk bercerai mereka akan diberi nasihat serta kaunseling agar hubungan mereka kembali pulih dan kembali menjalani kehidupan berumahtangga dalam suasana harmoni.

Bagi para suami perkataan yang perlu dijaga adalah lafaz cerai atau menjatuhkan talak.Jangan sewenang-wenangnya menyebutnya walaupun hanya sekadar gurauan.Begitu juga ketika dalam keadaan marah emosi perlu dikawal supaya perkataan itu tidak terpacul dari mulut.

Jika sebelum ini kita digemparkan dengan talak atau lafaz cerai hanya melalui SMS tapi kini timbul pula isu talak melalui facebook.Ini adalah antara petikan berdasarkan satu pertanyaan daripada seorang isteri dan ini juga bermakna fenomena ini mula merebak melibatkan laman sosial facebook pula.Ternyata kemudahan yang disediakan dipersia oleh golongan yang mudah hilang pertimbangan kerana tidak memikirkan akan kesannya.Info selanjutnya sila baca DI SINI.


Pada saudara mara dan sahabat handai beringatlah selalu dan jangan mudah untuk lafazkan talak kerana ia bakal memberi implikasi bukan hanya pada suami isteri malah turut melibatkan masa depan anak-anak kita sendiri.Jangan selalu permainkan kata-kata 'talak' walaupun hanya sekadar gurauan bimbang nanti mulut kita ringan untuk selalu menyebutnya.Sikit-sikit jatuh talak...

ozzy - kalau sebut selalu..sikit-sikit lama-lama jadi bukit.....

2 Oktober 2012

NILAI SEJADAH KITA


Di kalangan penganut agama Islam sejadah digunakan sebagai alas atau pelapik sewaktu mendirikan solat.Reka bentuknya terdapat berbagai corak serta warna bergantung pada minat seseorang dan kebiasaannya menggunakan bahan lembut seperti permaidani untuk memberikan keselesaan ketika mengerjakan ibadah.

Walau apa jua bentuk dan coraknya apa yang penting adalah sejadah tersebut mestilah bersih dan disimpan di tempat yang bersih selepas digunakan.Jika di rumah ianya mudah disimpan hanya lipat atau sidai dalam keadaan terbalik selepas digunakan supaya ianya kekal bersih dan terpelihara.Terdapat juga sejadah yang bersaiz kecil supaya mudah dilipat dan disimpan di dalam beg ataupun kenderaan sekiranya kita memerlukannya sewaktu memandu atau mengembara.
                                     
Oleh kerana ia jarang digunakan dan sentiasa disimpan di tempat yang bersih maka kita beranggapan sejadah merupakan satu 'alat' yang kurang penting dari segi nilainya kerana ia tersimpan di dalam rumah hanya untuk kegunaan sendiri.Kalau ada pun mungkin sesekali sewaktu saudara mara atau rakan yang datang tumpang solat di rumah kita.Justeru itu kita beranggapan biar berapapun nilai atau harga sejadah ianya  tidak penting kerana apa yang penting adalah amalan kita kepada Allah S.W.T.Kerana itu ramai antara kita menggunakan sejadah sehingga 10 tahun lamanya tanpa diganti kerana beranggapan ianya masih elok dan masih boleh digunakan.

Ya..memang benar kerana Allah tidak memandang berapapun harga sejadah tersebut biar bertakhta emas berlian sekalipun tetapi cuba kita bandingkan dengan perkakas lain yang kita gunakan.Contohnya setiap kali tibanya sambutan hari raya berapa pasang baju yang kita sediakan dan berapa kos untuk setiap pasang baju tersebut?.Jika sepasang baju berharga paling kurangpun Rm50.00 kalau 4 pasang baju bermakna kita membelanjakan sebanyak Rm200.00 ataupun mungkin hanya sepasang baju melayu yang berharga Rm100.00.Itu belum lagi dikira perkakas lain seperti langsir,barang perabut dan sebagainya.

Cuba kita perhatikan berapakah nilai harga sejadah kita?.Jika dulu harganya sekitar Rm10.00 mungkin sekarang dalam Rm20.00 untuk sejadah biasa.Kalau kainnya tebal (permaidani tebal) mungkin harganya sedikit mahal antara Rm40.00 ke Rm80.00 dan nilainya masih rendah jika kita bandingkan dengan perbelanjaan lain.Namun, berapa ramai antara kita yang 'sudi' menukar sejadah ini setiap tahun sebagaimana kita menukar baju ketika tibanya hari raya?.Tak ramai bukan...kerana kita beranggapan ianya tidak penting dan masih boleh digunakan.

Apa salahnya rezeki yang Allah Taa'la bagi kita laburkan lebih sedikit untuk keselesaan kita sendiri sewaktu menghadapnya apabila setiap kali masuknya waktu atau sekurang-kurangnya jika saudara mara atau kawan datang ke rumah kita hamparkan sejadah yang selesa dan bersih bukannya sejadah nipis yang berbau hapak!...Terkadang rezeki yang Allah bagi melimpah ruah untuk kita tapi kita amat 'berkira' untuk menyediakan alas yang cantik ketika menghadapnya dan ada kalanya terlupa untuk mengucapkan syukur padanya.
Kita bangga memiliki kereta yang canggih dan rumah yang besar tapi kita terlupa untuk menghiasi sejadah kita...berapakah nilai sejadah kita? jangan hanya cantik sewaktu digubah sebagai perhiasan untuk dijadikan hantaran.


ozzy - kadang-kadang terlupa dan terleka...

1 Oktober 2012

MASJID JANGAN HANYA HARAPKAN WANG DERMA

Masjid merupakan satu tempat suci bagi umat Islam untuk menunaikan ibadah kepada Allah S.W.T.Selain daripada masjid surau juga di dirikan atas tujuan yang sama cuma bezanya masjid dibina dengan rekabentuk yang lebih besar bagi menampung jumlah jemaah yang ramai manakala surau biasanya bersaiz lebih kecil dan biasanya didirikan di sesebuah lokasi untuk memberi kemudahan pada penduduk yang berhampiran.

Selain dari beribadah masjid juga turut berperanan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara sesama umat islam.Zaman ini khususnya mereka yang tinggal di bandar jarang berkesempatana untuk berkunjung atau menziarahi jiran terdekat atas alasan kesibukan tugas dan masa yang agak terhad.Maka, masjid atau surau menjadi tempat pertemuan untuk bertanya khabar antara sama lain.Walaupun hanya seketika ia boleh memberi kesan yang baik sekurang-kurangnya kita masih punyai ruang untuk bertegur sapa.


Satu perkara yang sering kita perhatikan adalah boleh dikatakan di semua masjid yang kita singgah menyediakan satu tabung untuk mengutip derma bertujuan agar derma yang diberikan dapat dibelanjakan untuk menyelenggara masjid serta berbagai perkara lain yang berkaitan.Menerusi dana yang dikumpulkan hasil derma dari orang ramai ini juga berbagai aktiviti dapat dijalankan sekaligus dapat mempelbagaikan lagi peranan masjid dan mengimarahkan lagi fungsi masjid tersebut demi kepentingan ummah.

Aku berpendapat sememangnya pemberian derma itu adalah sesuatu yang baik kerana ianya juga merupakan satu sedekah dan kita memang amat digalakkan untuk memberi sumbangan walaupun sedikit.Seperti yang pernah aku tuliskan DI SINI apa yang penting adalah keikhlasan kita.Sejak dulu memang kita tahu dan 'alert' tentang perkara ini namun aku berpendapat dan ingin memberi cadangan agar kaedah mengutip wang derma ini diubah sedikit berdasarkan konsep 'perniagaan dalam bersedekah'.

Maksud aku selain dari menyediakan kotak derma apa salahnya jika kita menyediakan sesuatu yang boleh diniagakan dan memberi keuntungan pada institusi masjid itu sendiri.Contohnya kita sediakan air mineral yang tidak memerlukan modal yang besar dan kemudiannya kita sediakan satu kotak untuk memasukkan wang bayaran atau sebagai sedekah.Terpulanglah kepada penderma tersebut berapa yang ingin dimasukkan samada mengikut harga yang dijual atau melebihkan bayarannya sebagai satu sedekah.

Untuk menjadi lebih menarik dan memberi kebaikan pada kedua-dua belah pihak adalah dengan membacakan surah yassin pada air mineral tersebut.Ini boleh dilakukan mungkin pada setiap kali malam jumaat ketika jemaah beramai-ramai membaca Yassin.Dengan izin Allah mungkin berkat derma yang diberikan dan berkat meminum air tersebut mungkin kesihatan seseorang itu menjadi lebih baik atau ia boleh menyembuhkan panyakit yang dideritai oleh penderma tersebut...Insyaallah. 

Selain dari air mineral boleh juga dipelbagaikan dengan produk lain antaranya tasbih, kain pelikat, songkok dan berbagai lagi tetapi pastikan tidak diletakkan dalam kuantiti yang banyak kerana pencuri yang terdesak tidak peduli masjid atau apa, yang penting mereka dapat jadikan duit.Sedangkan kotak wang derma yang berkunci tu pun lesap apalagi barang yang terdedah.

Aku percaya jika perkara ini direalisasikan jumlah yang dikumpulkan menjadi lebih banyak dan menguntungkan masjid itu sendiri selain dari hanya mengharapkan wang derma atau sumbangan orang ramai.Siapa sangka dari jumlah wang terkumpul ia dapat memberi bantuan pada golongan yang memerlukan pula.Dari situ maka dapatlah masjid memainkan peranan untuk memperkasakan ekonomi umat Islam itu sendiri dan bukan hanya berperanan sebagai tempat untuk berpolitik, memaki hamun serta memfitnah sesama sendiri.

(tahniah pada yang telah mempraktikkannya)

Ozzy - cuma selalu ke surau...

29 September 2012

VOKAL BUKAN SEKADAR RUPA





Pernah tengok rancangan Vokal bukan sekadar rupa? Mesti ramai yang tahukan rancangan tersebut yang bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai penyanyi.

Tidak dinafikan jika sekiranya seseorang itu mempunyai wajah serta penampilan yang menarik sudah tentunya menjadi pilihan jutaan peminat dan apabila digabungkan dengan vokalnya yang mantap pasti melengkapkan lagi pakej untuknya bergelar seorang penghibur.

Macamana pula jika seseorang itu kurang dari segi paras rupa atau fizikalnya tetapi mempunyai vokal yang bagus untuk diketengahkan menjadi seorang penghibur?.Ramai yang beranggapan kalau rupa je cantik atau hensem tapi vokal hancur tak ada gunanya juga tetapi ramai juga yang beranggapan kalau 'rupa tak ada' tak selera aku nak dengar apalagi nak tonton.Terpulang pada persepsi masing-masing lah kan tetapi zaman ini ramai yang tidak hiraukan lagi pada paras rupa yang penting adalah lantunan vokalnya yang mantap sebagai hidangan halwa telinga.Kalau suara sedap rupa boleh 'adjust' kemudian betul tak? kan zaman sekarang dah semakin canggih tiang letrik yang bertahun terpacak dan berkulat tu pun boleh di make-up semula kan? Inilah konsep yang cuba dibawa oleh penerbit vokal bukan sebagai rupa.

Yang aku pertontonkan ni bukannya suara aku masuk rancangan vokal bukan sekadar rupa tapi sebenarnya aku rakam masa tengah memandu dan kemudiannya aku convert ke MP3 dan download ke dalam komputer aku ni.Syok juge melalak sambil memandu sorang-sorang ni hehe..boleh nyanyi dan menjerit apa saja tak ada sapa nak marah..yang penting happpy dan jangan stress sangat maklum sajalah keadaan jalan dan sikap pemandu sekarang terlalu menguji kesabaran ...jom layan tapi aku rakam sikit je..segan hehe.

Lagu tu sebenarnya dipopularkan oleh kumpulan Alleycats aku dengar masa memandu best juga dan kemudian aku mula nyanyikan dan rakam tapi aku ubah suai sikit lenggoknya ikut irama aku sendiri..suka hati aku lah kan nak nyanyi camana pun hehe..

Anda bagaimana? kalau rasa mempunyai vokal yang mantap apa salah mencuba mana tahu anda juga bakal muncul sebagai seorang penyanyi popular suatu hari nanti kan..layannnn.

ozzy - vokal bukan sekadar rupa...dua-dua tak ada hehe..

28 September 2012

PETROL STESEN SEMAKIN KAYA SEMAKIN KEDEKUT


Sebut pasal minyak petrol topik paling popular adalah setiap tahun harga minyak naik.Semua negara sebenarnya memang berdepan dengan masalah kenaikan ini cuma mungkin tahap kenaikan atau nilainya di pasaran setiap negara yang berbeza.

Kalau nak cerita pasal kenaikan harga bahan api ni ceritanya takkan habis dan huraiannya juga panjang lebar dengan bermacam fakta serta auta.Walau dibawa ke sidang parlimen sekalipun ceritanya takkan habis dan takkan selesai betul tak?

Apa yang aku nak tulis ni pun al-kisah yang berkaitan dengan petrol stesyen juga.Bab kenaikan harga petrol tu biarlah pihak yang dipertanggungjawabkan pergi buat kerja.Cuma menjadi harapan aku sebagai rakyat biasa semoga harganya terkawal walaupun aku juga tahu harganya juga turut dikawal oleh pasaran dunia.

Apa yang nak aku perkatakan adalah berkaitan dengan gambar di atas tu yang aku snap di salah sebuah petrol stesen dalam negara kita ni.Tak payah aku sebut petrol stesen mana sebab kalau tengok pada warna latar belakangnya pun semua orang tahu nama stesen petrol yang popular ni.Pada yang belum tahu apa namanya itulah pengelap cermin kereta atau dipanggil sebagai 'wiper'.Tak tahu nak guna untuk apa? kalau dah nama pengelap cermin gunanya untuk lap atau cuci cermin lah...tapi kalau dah macam tu rupanya cuci lagi ke nak lap cermin? hah!!!..itu barulah satu soalan yang tepat.Jawapannya kalau dah macam tu rupanya ia bukan lagi dinamakan pengelap cermin kereta tapi lebih sesuai sebagai pengelap lantai untuk ganti mop lantai.

Pada awalnya aku sangkakan mungkin yang aku tengok tu je rupanya macam tu rupa-rupanya semua pengelap cermin yang ada semuanya sama.Tengok pada jumlah kenderaan memang banyak yang singgah sebab terletak di sebelah lebuhraya, jadi tak mungkin taukenya tak ada duit kot nak beli baru benda alah ni.Kesimpulannya taukenya memang kedekut dan kesimpulan kedua adalah mereka ini juga tidak perihatin dengan keperluan pengguna.

Kalau dulu ada pekerja yang ditugaskan untuk mengelap cermin kereta tapi selepas dilaksanakan sistem layan diri atau self servis tuan punya kereta terpaksalah bersihkan sendiri.Ingat lagi kenapa sistem layan diri diperkenalkan?.Sebabnya adalah untuk menjimatkan kos operasi iaitu dengan mengurangkan jumlah pekerja dan sebab kedua adalah sukar untuk mendapatkan pekerja.Ini bermakna apabila kos dikurangkan pendapatan taukenya akan semakin meningkat seterusnya tauke tersebut akan menjadi kaya dan semakin kaya betul tak? tapi takkanlah benda macam ni pun tak boleh sediakan? atau mungkin tauke stesen minyak mengharapkan benda macam ni tak perlu disediakan biar pengguna bawa sendiri.

Walau apapun perniagaan menjual minyak seperti petrol stesen ini memang satu perniagaan yang menguntungkan sebab ia menjadi keperluan penting pada semua pemilik kenderaan dan satu sebab lagi adalah minyak petrol ini walau lambat habis atau tersimpan lama ianya TAK AKAN BASI.

ozzy - manusia semakin kaya semakin kedekut...

27 September 2012

BLOG SEBAGAI AKHBAR

Selama ini sekiranya ingin membaca sesuatu berita samada di dalam atau di luar negara akhbar merupakan pilihan utama bagi pembaca bukan hanya di negara kita malah di seluruh negara.

Di sebalik tabir akhbar tersebut pemberita memainkan peranan utama untuk menyampaikan maklumat berdasarkan sumber yang diperolehi.Bagi menyampaikan atau mengulas sesuatu topik penulis pula memainkan peranan untuk mengarang dan mengulas sesuatu topik menjadi satu bentuk info yang menarik untuk dikongsi bersama pembaca.

Kini, blogger dilihat memainkan peranan penting dalam menyampaikan info atau berita terkini yang mungkin tidak berjaya dihidu oleh para wartawan.Saban hari kita dapat membaca banyak sumber berkaitan sesuatu berita dipetik daripada laman blog terutamanya yang melibatkan isu-isu panas yang menjadi minat pembaca seperti berita politik dan kisah artis.Secara tidak langsung tugas wartawan menjadi lebih mudah dan jika dilihat dari sudut positif ia menjadi satu cabaran buat mereka untuk meningkatkan lagi prestasi mereka dalam mencari sesuatu berita untuk dijadikan cerita.

Jika kita lihat dari sudut lain sebenarnya ia turut menjadi satu kerugian pada blogger itu sendiri kerana catatannya dipetik secara percuma.Maka aku ingin memberi cadangan pada seluruh blogger apa kata jika minat dan usaha yang anda lakukan selama ini ditingkatkan setapak lagi dengan menjadikan blog sabagai satu sisipan akhbar.Aku mencadangkan agar blogger yang ingin memuat naik cerita dari blognya atau ingin terus menulis info kepada akhbar tersebut berdaftar dengan pengarang akhbar.Ini sekaligus memberikan sumber dua hala kepada blogger itu sendiri iaitu melalui penjualan akhbar dan dibayar mungkin berdasarkan royalti untuk setiap berita dan satu lagi adalah menerusi pendapatan dari blognya sendiri samada melalui iklan atau sebagainya.Kerjanya juga menjadi mudah hanya karang pada blog dan kemudian copy paste untuk dimasukkan ke dalam akhbar.

Aku percaya jika dilonggokkan segala cerita dari para blogger kita dapat lihat berbagai kisah dan ragam cetusan dari mereka yang gemar menulis dan mencurahkan sesuatu idea.Daripada kisah peribadi, novel atau cerpen sehinggalah ke kisah sensasi semuanya ada.Mungkin pada awalnya boleh dijadikan sebagai akhbar mingguan dan sekiranya mendapat sambutan ianya boleh diteruskan menjadi akhbar harian.

Amacam blogger semua? Apa pula kata dan pendapat blogger-blogger otai dan hebat-hebat? atau ada yang dah ingin cadangkan apa nama akhbar tersebut?..aku cadangkan ia dinamakan ' Berita Blog '.Siapa sangka dari suka-suka atau saja-saja tiba-tiba ia menghasilkan ganjaran lumayan...Apa kata anda?

ozzy - suka cari idea..

26 September 2012

METHADONE PEMBUNUH WARGA FELDA

Pernah dengar tentang ubat Methadone?.Bagi manusia normal yang tidak memerlukan ubatan ini dalam kehidupan mereka, pasti merasa asing mendengar nama ubat tersebut.

Tapi dikalangan penagih dadah terutamanya penagih dadah tegar pasti kenal dengan ubat yang berbentuk seperti air sirap ini.Ianya berfungsi untuk mengurangkan rasa ketagihan atau gian pada najis dadah atau boleh dikatakan sebagai pengganti dadah seperti heroin, morfin dan segala jenis dadah yang seangkatan dengannya.Pengambilannya tidak boleh diambil atau dibeli sesuka hati kerana perlu dipantau oleh doktor kerana setiap penagih perlu diperiksa tahap ketagihannya untuk dibekalkan dengan tahap DOS yang sesuai.Lagi kronik maka lagi tinggi dosnya.

Jika dibeli di klinik swasta harganya memang mahal antara 30 ke 50 ringgit sebotol 50ml.Bayangkan kalau hari-hari beli ubat ni mana mampu kecuali penagih tu anak jutawan kan? maka jalan lain adalah dengan melakukan cara lain untuk mendapatkannya tak kiralah samada dengan merompak, mencuri, meragut atau sebagainya semata-mata untuk mendapatkan ubat ini demi menghilangkan rasa ketagih.Kalau dah jadi macam tu mereka tetap dianggap penjenayah walau tujuannya adalah untuk menghilangkan rasa ketagihan atau menghindari dari mengambil dadah.

Balik kampung baru-baru ini aku sedang leka bersembang tiba-tiba topik tentang penagih dadah dan methadone terkeluar dari mulut salah seorang dari mereka yang merupakan salah seorang bekas penagih dan kini menjalani rawatan pemulihan dengan mengambil ubat ini yang disediakan di klinik kerajaan secara percuma.Aku menetap di kawasan felda yang semakin popular dengan gejala ketagihan dadah ini.Aku kemudiannya bertanya tentang keberkesanan ubat ini dan jawapannya adalah " Kerajaan bagi ubat ni pasal nak suruh warga felda semua cepat mati".Ehhh!! kenapa pulak macam tu tanya aku.

Menurutnya ubat methadone ini memang boleh mengawal rasa ketagih pada dadah tapi masalah lain pula timbul iaitu kita pula akan ketagih padanya (methadone).Katanya lagi ini bermakna kerajaan bukan nak tolong penagih tapi nak bagi teruk lagi dan lama kelamaan dosnya juga akan ditingkatkan supaya warga felda ni mati cepat.Aku tanya lagi "macamana pula dengan ubat methadone yang dibeli di klinik tu? kalau nak suruh mati cepat kenapa ada yang sanggup beli walau harganya mahal? maknanya kalau dia beli dia nak cepat mati lah ye?" dan jawapannya ubat kat klinik swasta tu tak 'pure' lagi sebab dah dicampur, kalau minum pun tak rasa apa-apa.pulakkk!!...maknanya kalau beli ubat tu lambat sikit mati ke? lantas dia terdiam.

Kemudian aku bertanya lagi " Kenapa nak salahkan ubat methadone? dan kenapa nak salahkan pihak yang cuba membantu? persoalannya kenapa kau hisap dadah tu? bukan ke itu bermakna kau sendiri yang pilih untuk mati cepat dengan mengambil dadah kan?? kalau kerajaan nak suruh semua warga felda mati cepat lebih baik bagi minum racun tikus".Jika dilihat pada statistik penghidap HIV/AIDS akibat penggunaan jarum suntikan oleh penagih dadah menunjukkan telah ramai anak warga felda yang maut kerananya.Maka persoalan lain adalah "apakah perlakuan tersebut (menghisap dadah) juga digalakkan oleh kerajaan?".

Dalam banyak perkara sebenarnya kesilapan samada pada kita atau pihak kerajaan adalah kita lebih gemar mengamalkan 'mengubati' dan bukannya 'mencegah' walaupun kita tahu mencegah itu lebih baik dari mengubati tapi dalam banyak perkara melibatkan apa jua isu kita lebih banyak mengambil langkah 'mengubati' berbanding 'mencegah'.

ozzy - tengok diri sendiri sebelum nak salahkan orang lain...

20 September 2012

APA PANGGILAN UNTUK SUAMI ATAU ISTERI

                                                                   ( gambar hiasan )
Perkahwinana merupakan satu perkara yang amat dituntut oleh agama Islam kepada mereka yang berkemampuan dan itulah juga impian kepada setiap pasangan untuk mendirikan rumahtangga serta hidup bahagia bersama pasangan masing-masing.

Zaman dulu atau 30 tahun dulu ramai yang mendirikan rumahtangga melalui pinangan ibu bapa atau mengikut pilihan keluarga tapi zaman ini amat jarang kita dengar ianya berlaku.Zaman ini biasanya ramai yang berkenalan terlebih dahulu kononnya untuk mengetahui hati budi masing² sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.Bermula dengan perkenalan yang disebut 'kawan' kemudiannya menjadi rapat sebagai kekasih juga disebut 'berkawan' dengan lebih rapat seterusnya melalui proses bertunang dan akhirnya diakhiri ke jinjing pelamin sebagai raja sehari sekiranya ditakdirkan itulah jodoh mereka.

Menarik untuk diperkatakan adalah kemesraan yang terjalin sewaktu bercinta dan bertunang.Ketika inilah mereka menjalani frasa yang mereka katakan untuk mengenali hati budi masing².Namun sejauh mana proses ini berjaya mereka harungi.Adat orang bercinta segalanya indah dan cantik dan bila hati dah suka proses ini hanyalah pelengkap pada soal hati mereka.Proses yang mereka lalui hanyalah untuk mengenali pasangannya dari luaran saja dan ketika ini jarang yang berterus terang serta ramai yang memilih untuk menyembunyikan kelemahan masing² kerana bimbang pasangannya akan mula menjauh atau mengundur diri.

Ketika ini ramai yang jarang atau agak keberatan untuk membicarakan soal perasaan kerana beranggapan ianya merupakan perkara yang mungkin agak sensitif pada pasangannya dan akhirnya ia terus tersimpan di dalam hati demi menjaga hati pasangannya.Ayat popular sebagai pengganti diri ketika ini adalah 'awak' selain dari I atau You.

Kerana 'terlalu' lama dan sebati dengan panggilan 'awak' akhirnya apabila telah diijabkabulkan panggilan ini terus kekal atas alasan telah serasi dengan sebutan tersebut dan alasan lain adalah pasangannya dapat terima dengan panggilan tersebut.Bagi pihak perempuan mungkin tiada masalah baginya meskipun ramai sebenarnya mengharapkan panggilan yang lebih manja atau mesra namun bagi pihak lelaki meskipun dimulut mereka berkata 'tak kisah' namun jauh di dasar hati mereka berkata panggilan tersebut tidak lagi sesuai dipanggil pada seseorang yang bergelar suami.Mereka sebenarnya lebih mengharapkan panggilan yang lebih menggambarkan diri mereka sebagai seorang ketua keluarga atau suami yang wajar dihormati.

Meskipun ia nampak kecil dan terpinggir tapi boleh memberi impak yang besar jika tidak ditangani atau dibawa berbincang.

ozzy - perasan ramai artis yang panggil 'awak' pada pasangannya dan tak hairan juga banyak pasangan artis yang bermasalah...

13 September 2012

APA PERANAN BLOGGER

Sebelum ini perkataan blogger agak asing pada masyarakat kita sehinggalah ia menjadi medium yang semakin popular pada mereka yang berminat dengan bidang penulisan mahupun sebagai platform untuk menyampaikan info pada orang ramai.

Terdapat berbagai variasi yang ditampilkan oleh setiap blogger bergantung pada minat atau niat masing².Ada yang suka menulis atau mencatatkan sesuatu tentang apa saja, ada yang menjadikan blog untuk mempromosikan produk mereka, ada yang sekadar ingin menambahkan pendapatan dengan memaparkan isu-isu dan berita terkini samada dari dalam mahupun dari luar negeri serta bermacam lagi.

Trend terkini menyaksikan blog yang memaparkan isu-isu politik atau isu-isu semasa menjadi blog pilihan pembaca samada blog pro kerajaan mahupun pro pembangkang.Di sinilah timbul persoalan apa peranan kita sebagai blogger.Bagi mereka yang gemarkan penulisan politik seperti ini memang menjadi kepuasan kepada mereka apabila dapat menyampaikan sesuatu berita serta membuat ulasan dan inilah sebenarnya peranan mereka sebagai seorang blogger.Samada sumber berita tersebut adalah sahih atau tidak yang penting mereka menjadi penyampai terawal untuk menerbitkan berita tersebut sekaligus peluang untuk meraih populariti serta 'traffic' yang tinggi lebih cerah.

Populariti mereka semakin meningkat apatah lagi nama dan blog mereka menjadi perhatian pihak media sebagai sumber rujukan atau sumber berita.Namun dalam keterujaan mereka menampilkan berbagai cerita panas mereka sebenarnya turut berdepan dengan risiko bakal disaman.Kalau ada yang nak bantu kira nasib baiklah tapi kalau tiada siapa bantu memang pening kepala nak bayar lebih-lebih lagi kalau jumlah saman mencecah jutaan ringgit itu belum masuk kos peguam serta kos mahkamah dan lain-lain.Kalau pendapatan dari blog jutaan ringgit kira berbaloi jugalah.Cuma kena ingat kalau hasil pendapatan banyak dari hasil membuat fitnah dan memburukkan orang lain maka apa yang diraih selama ini adalah hasil dari perbuatan kita sendiri yang memainkan peranan sebagai blogger dan kena ingat juga semua penulisan itulah yang akan kita tinggalkan selepas kita MATI ...

Anda seorang blogger?? apakah peranan anda sebagai blogger ..

ozzy - tak nak tambah dosa..

12 September 2012

HATI KERING

Biasa dengar kawan-kawan sebut hati kering?.Istilah hati kering asalnya tak ada dalam kamus dewan cuma menjadi sebutan bagi menggambarkan seseorang yang bersikap terlalu degil, tak takut pada sesiapa, tidak mempunyai belas kasihan, kejam dan berani berhadapan dengan apa jua risiko di atas tindakannya.

Hati manusia mahupun haiwan logiknya mana ada yang kering kecuali jika telah mati.Maksudnya mereka yang memiliki hati kering ni boleh dipanggil mayat hidup la kot sebab hatinya dah kering tak ada lagi darah yang dipam masuk kedalamnya.

Kebiasaannya seseorang yang layak untuk dikategorikan sebagai hati kering adalah seorang yang tidak pernah serik untuk melakukan sesuatu yang mencabar serta berisiko.Biarpun pernah beberapa kali mengalami kemalangan atau kecelakaan, mereka yang dikategorikan sebagai hati kering ini tidak akan pernah serik malah menjadi satu kepuasan serta kebanggaan pada mereka apabila melakukan perkara tersebut.

Antara yang memiliki hati 'istimewa' ini adalah terdiri daripada mereka yang memilih kerjaya atau jalan hidup yang berisiko tinggi seperti gangster atau kaki pukul serta pembunuh upahan.Pada mereka tiada istilah belas kasihan pada sesiapa saja bukan hanya membelasah mangsanya malah sanggup membunuh pada bila-bila masa saja.Ia berbeza dengan manusia biasa atau normal yang mempunyai 'hati basah' yang bukan hanya tidak sanggup mencederakan orang lain apatah lagi untuk membunuh.

Hati kering turut dituntut dan menjadi kriteria pada beberapa kerjaya lain seperti pelumba motorsikal , pendaki gunung, penembak tepat (dalam pasukan polis), komander (askar) kerana semua kerjaya tersebut memerlukan keberanian yang tinggi cuma bezanya hati mereka ini hanya kering sewaktu mereka menjalankan tugas berbanding dengan mereka yang berhati kering setiap masa.

Kalau setakat degil atau nakal itu belum layak dikategorikan sebagai hati kering terutamanya pada anak muda kerana mereka ini sebenarnya sedang menjalani proses untuk menjadi lebih matang.Pastinya banyak perkara yang ingin dicuba disebabkan keinginan mereka untuk lebih tahu terutama sekali perkara yang seringkali ditegah selain dari faktor lain seperti perasaan memberontak atau inginkan perhatian. Cuma seringkali terjadi adalah mereka tersilap langkah bukan atas sebab hati kering tapi atas sebab ingin merasa atau mencuba.

Contohnya cuba untuk menghisap dadah yang akhirnya membuatkan mereka hanyut menjadi penagih dadah dan apabila menjadi penagih dadah atau dipengaruhi oleh dadah hati mereka akhirnya menjadi kering kerana inginkan bahan tersebut tidak kira dengan apa jua cara sekalipun meskipun hingga sanggup membunuh keluarga sendiri.Begitu juga mereka yang amalkan seks bebas hingga akhirnya berlaku kes buang bayi di sana sini.Segalanya juga bermula atas perasaan ingin tahu atau cuba-cuba tapi akhirnya mereka menjadi ketagih dan tidak pernah serik meskipun pernah menggugurkan bayi yang dikandung ataupun membunuh bayi itu sendiri.Mereka ini sebenarnya bukan berhati kering tapi lebih kepada tuntutan nafsu serta rasa ketagih.Kerana itu ramai diantara mereka tidak membunuh bayi tersebut tapi meninggalkannya di mana-mana tempat samada ketika bayi itu masih bernyawa mahupun telah meninggal dunia.

ozzy - dalam hati ada taman...selalu basah dan segar.
  

11 September 2012

HINA BESI KERANA KARAT HINA MANUSIA KERANA MELARAT

Sebagai manusia normal tiada siapa yang suka dirinya dihina.Malah binatang juga sekiranya mereka mampu untuk berfikir dan mempunyai perasaan seperti manusia mereka juga tidak akan sesekali membiarkan diri mereka dicaci dan dihina.Begitu juga dengan makhluk lain di dunia ini semuanya tidak sesekali suka diri mereka dihina.

Hina besi kerana karat..itulah yang terjadi pada sebatang besi.Besi merupakan satu bahan yang murah dan mudah diperolehi.Namun kelemahannya adalah ia mudah berkarat teutamanya bila terdedah di tempat yang terbuka apalagi di tempat yang memudahkan ia berkarat seperti di tepi pantai atau di kawasan yang terdedah pada panas dan hujan.

Mungkin pada asalnya ia merupakan satu bahan yang diukir dan dibentuk dengan cantik untuk dijadikan perhiasan yang menarik.Pastinya ramai yang memuji dan tak kurang juga yang membelai kerana keindahannya, namun lama kelamaan apabila ia mula berkarat sedikit demi sedikit ia tidak lagi menjadi satu bahan yang menarik untuk dipamerkan malah dihina kerana mencacatkan pandangan.Akhirnya ia menjadi bahan terbuang yang hanya mempunyai sedikit nilai untuk dijual sebagai besi buruk.


Hina manusia kerana melarat...ia bukan sekadar ungkapan tapi ia adalah satu realiti dalam kehidupan kita di dunia ini.Inilah yang bakal kita terima apabila hidup kita melarat.Tiada tempat tinggal, tiada duit mahupun harta benda untuk dijadikan bekalan untuk berbelanja.Kawan-kawan mula menjauhkan diri kerana tidak mahu kita menyusahkan mereka.Lebih teruk lagi bila saudara mara mahupun adik beradik juga enggan membantu malah turut memandang hina pada saudaranya sendiri.

Justeru itu jangan kita ingat sekiranya hari ini kita dilimpahi dengan kemewahan dan kesenangan segalanya akan kekal buat selamanya.Jangan kita ingat ketika ini sewaktu dilimpahi kemewahan rakan-rakan mudah datang mendampingi dan mendekati kerana apabila kita melarat mereka akan mula menjauhkan diri.Ketika inilah kita memerlukan kehadiran sahabat kerana hanya sahabat yang sudi menerima dan mendampingi sahabatnya. Memang benar kata-kata 'lebih baik kita mempunyai seorang sahabat yang baik dari mempunyai seribu kawan yang tidak tahu menilai erti persahabatan'.

Tiada siapa sebenarnya ingin hidup melarat namun terkadang takdir tuhan mengatasi segalanya.Meskipun telah berusaha namun jika telah ditakdirkan qada' dan qadar dari Allah S.W.T apalagi yang mampu mereka ini lakukan. Sesungguhnya mereka semua dan kita semua juga tidak suka dihina.Selagi mampu dan boleh berusaha maka berusahalah agar kita tidak hidup melarat dan agar kita tidak terus dihina.

Besi yang berkarat dan dibuang boleh dipungut untuk dikitar semula tapi manusia yang melarat belum tentu lagi di mana kesudahannya...mungkinkah selamanya akan dihina?.

ozzy - berusahalah agar kita tidak hidup melarat... 

10 September 2012

TALAM DUA MUKA

Talam dua muka membawa maksud seseorang yang bersikap suka berpura-pura atau bermuka-muka kepada dua belah pihak.Bila berhadapan dengan satu pihak dia akan meracuni fikiran pihak tersebut dan bila  berada di satu pihak lagi dia akan meracuni pula fikiran pihak itu.

Individu seperti ini boleh juga digelar hipokrit dan tidak mustahil juga dia memiliki sifat sebagai batu api untuk memecah belahkan hubungan antara rakan yang lain.Mereka ini sebenarnya adalah pelakon yang paling hebat kerana bijak melakonkan watak mereka dengan berkesan dan berjaya mempengaruhi fikiran orang lain.

Namun yang lebih membahayakan lagi adalah mereka yang bersifat seperti talam empat muka.Seperti yang kita tahu talam hanya mempunyai dua permukaan tetapi manusia mempunyai view yang lebih advance dan boleh menjadi lebih teruk daripada talam.Manusia mempunyai empat view atau arah pandangan iaitu depan, belakang, kiri dan kanan.

Inilah yang sering kita perhatikan di zaman ini cuma antara sedar mahupun tidak.Semakin lama semakin teserlah sikap mereka yang bijak bermuka-muka ini.Pada pandangan depan kita dapat lihat wajah mereka tersenyum manis dan pastinya kita mudah terpedaya dengan raut wajah yang ditampilkan lantas kita terus mentafsirkan bahawa 'wajah' itu sungguh manis dan pastinya pemiliknya mempunyai hati yang baik dan bersih.Menariknya kerut wajah ini boleh berubah sekelip mata sebaik saja dia menoleh ke kanan terus menjadi wajah yang sedih sehingga membuatkan kita merasa simpati dan hati kita menjadi sayu. Seterusnya apabila dia menoleh ke kiri wajahnya tiba-tiba berubah menjadi masam mencuka.Bukan suatu yang mengejutkan apabila wajah ini berpusing ke view belakang ia menjadi satu wajah yang bengis dan garang hanya dalam sekelip mata.Hebatkan!!..

Inilah yang membuatkan kita sering keliru dan tertipu kerana yang sering kita perhatikan hanyalah pada view atau pandangan depan.

ozzy - segalanya terletak pada hati bukan pada wajah..

19 Julai 2012

KEMPEN BERHENTI MEROKOK - CUBAAN AKU KALI KE-4

Sebut saja pasal rokok semua orang tahu akan bahaya dan kesannya samada pada diri perokok itu sendiri mahupun pada setiap orang yang berada di sekelilingnya.

Walaupun berbagai kempen berhenti merokok telah dibuat termasuk menampal gambar yang mengerikan sebagai amaran pada setiap kotak rokok kesan dari tabiat merokok, namun bagi perokok tegar itu semua tidak memberi apa-apa kesan pada mereka.Malah bagi perokok amatur atau baru nak berjinak-jinak dengan nikmat sedutan dan hembusan asap rokok, gambar tersebut bagaikan tidak memberi apa-apa erti pada mereka cuma satu saja penghalang pada mereka iaitu duit atau kos untuk membeli rokok.Kerana itu aku amat bersetuju dengan kenaikan harga rokok setiap tahun kerana sekurang-kurangnya ia berjaya menghalang peningkatan dan statistik perokok baru dari kalangan generasi muda.

Bagi perokok tegar biar berapa sekalipun kenaikannya mereka tetap mencari "candu" tersebut dengan apa cara sekalipun biarpun alernatif terakhir adalah dengan menghisap rokok daun, itu sudah cukup memberi kepuasan dan kelegaan kerana pada mereka tiada kompromi dalam hal rokok tengah malam pun sanggup kayuh basikal pergi kedai kalau rokok habis ye tak?.

Aku juga adalah antara yang tergolong dalam ketegori perokok tegar ini.Sudah mula merokok sejak di bangku sekolah menengah lagi sehinggalah ke hari ini.Ini bermakna telah lebih 20 tahun aku merokok dan purata aku merokok adalah pada awalnya sekitar 10 batang sehari tetapi sejak beralih kepada status perokok tegar purata aku merokok sehari adalah 20 batang atau bersamaan satu kotak besar sehari.Kalau tak percaya ambillah kapak belahlah dada hehe....

Bila dah jadi perokok tegar cakaplah apa saja semua nasihat atau amaran tak akan memberi apa-apa lagi makna dan walau sakit sekalipun rokok tetap beraja di hati.Bagi yang langsung tidak merasa atau teringin berhenti merokok mereka akan terus berpegang pada prinsip mereka iaitu "alahh..kalau tak merokok pun kena penyakit juga..sakit juga dan mati juga kan" tetapi bagi mereka yang memikirkan tentangnya pasti cuba untuk berhenti apatah lagi apabila memikirkan kesannya pada keluarga terutamanya pada anak-anak.Kadangkala keinginan dan keinsafan itu ada cuma tidak tahu bagaimana untuk memulakannya dan paling payah adalah ketagihan pada rokok yang mengandungi nikotin itu sendiri amat kuat godaannya.

Sebelum ini beberapa tahun lepas aku telah berjaya berhenti dari merokok tapi cuma bertahan paling lama hanya 2 bulan sahaja dan 2 kali sebelum itu hanya mampu bertahan hanya sebulan.Minggu lepas sewaktu aku ke klinik kerajaan berhampiran dengan rumahku aku terlihat papan tanda kempen berhenti merokok pada klinik tersebut (seperti banner di atas yang aku snap) dan sekali lagi hati aku terbuka untuk mencubanya dan hari ini aku kembali semula ke klinik itu bagi tujuan tersebut.Jika sebelum ini aku mencuba hanya dengan menahan diri tapi kali ini aku nak cuba melalui ubat menahan ketagihan ini pula yang diberi percuma.


Prosesnya mudah cuma berjumpa dengan doktor untuk mengisi borang dan diberi beberapa penerangan tentang kempen ini termasuklah kesan dan bahaya rokok yang memang telah aku dan anda semua tahu.Sebelum itu berat dan ketinggian akan diambil termasuklah menjawab beberapa soalan sejarah kita merokok seperti sejak berapa lama,kekerapan dan bermacam lagi.Kemudiannya aku diberi pilihan samada ingin mengambil ubat berbentuk pil seperti gambar di atas atau dengan mengunyah chewing gum yang mengandungi nakotin.Aku memilih pil tersebut kerana aku akan memulakannya sebaik saja memasuki hari pertama bersahur esok atau lusa.Cara memakannya turut diterangkan iaitu satu biji untuk 3 hari pertama dan hari seterusnya perlu dimakan sebiji sewaktu bersahur dan setengah biji selepas berbuka.Semoga cubaan aku kali ini akan berjaya...cubaan bukan cobaaaannn hehe...

Ketika entry ini ditulis aku masih lagi merokok sebab belum makan ubat lagi kerana cabaran hanya bermula sebaik saja habis sahur pada hari pertama nanti hehe...
So, kepada rakan-rakan seperjuangan jom ikut serta itupun kalau teringin nak cuba.Memang aku akui ia bukan mudah untuk melepaskan 'teman paling akrab' ini tapi belum cuba belum tahu kan..lagipun free bukan kena bayar pun.Okey, selamat mencuba...








ozzy - katakan tak nak pada rokok...ececehhhh ye ke tu hehe..

18 Julai 2012

ADA AKU KESAH

Kalau korang nak mengata akupun ada aku kesah?apa yang aku buat selama nipun bukannya pakai duit mak bapak korang dan bukannya aku menyusahkan korang pun kan?..itulah antara ayat popular sekarang ini yang sering digunakan oleh sesetengah dari kelompok masyarakat kita ini bagi menggambarkan rasa tak puas hati pada pihak lain yang menghina,menuduh,memfitnah atau mengata apa saja tentang dirinya.

Ada aku kesah adalah antara ayat yang mempunyai definasi yang hampir serupa seperti aku peduli apa, suka hati akulah, whos' care, like i care dan bukan hanya golongan dewasa malah kanak-kanak turut terikut dengan ayat ini dan sesetengahnya menjadikan ayat tersebut sebagai 'tagline' pada dirinya.Sebutan ini menjadi semakin popular apatah lagi bila disebut oleh para pelakon atau selebriti popular di dalam filem mahupun ketika di wawancara.Kemudiannya ia terus menular samada di dalam blog,facebook,twitter dan bermacam lagi laman sosial yang lainnya.

Itulah ayat yang sering diluahkan oleh ramai daripada kita ketika ini.Bagaimana pula jika ayat tersebut turut popular pada binatang?mungkin jika kita memahami apa yang mereka tuturkan pasti ayat ini juga turut popular dikalangan kaum kerabat mereka.Jom kita baca hehe..

" Korang ni suka sangat mengutuk aku sejak dulu sampailah sekarang.Puak aku ni tak mandilah, bau busuk lah tapi daging aku korang pelahap juga.Korang nak kata aku tak mandi ke, busuk ke.. ADA AKU KESAH?? yang korang sibuk sangat apahal?bukannya aku nyusahkan mak bapak korang pun kan.Korang tengok kat pasaran susu HIGOAT tu susu aku tauuu..KAU ADO??? "



" Walaupun kaum aku ni korang selalu kata bodoh ADA AKU KESAH? bodoh-bodoh aku pun daging kaum aku yang tempatan punya mahal wooo..ada value gitu terbaek dari ladang, KAU ADO??..
Bodoh-bodoh aku pun, aku ragut rumput sebab itu memang makanan aku, yang korang tu pulak asyik ragut gelang,rantai emas,beg tangan tu apahal? kalau tak ada duti gi arrr cari keje bodoh!!!kalau tak ada kerja meh sini ikut aku ragut rumput ni, kalau orang tanya apasal ragut rumput kau jawablah ADA AKU KESAH...hehehe "


" Siapa yang tak kenal aku ni cuba cakap?makhluk dua alam tapi bukan dua alam jenis korang tu yang selalu gitu-gitu tu okehh..asal nampak aku je korang kata aku jahat ADA AKU KESAH?? jahat-jahat akupun ada aku kacau rumahtangga korang? ada aku gi ngorat bini korang? ada aku bawak lari anak korang?tak ada kan...cuma kalau korang datang tempat aku memang aku rembatlah dah korang tu memang lauk aku.Lain kali kalau takut kena rembat gilah main jauh-jauh sikit.Jahat-jahat akupun kulit aku korang buat beg, dompet... KAU ADO?? huhuhuhu... "




ozzy - al-kesah dalam sebuah kesah..ada aku kesah hehehe...

17 Julai 2012

DISEBALIK KEJAYAAN DATO' FAZLEY SEBAGAI JUARA MASTERCHEF SELEBRITI MALAYSIA YANG PERTAMA

Tahniah aku ucapkan kepada Dato' Fazley kerana telah muncul sebagai juara masterchef selebriti Malaysia yang pertama dengan mengalahkan Angah raja lawak pada final malam tadi.

Ramai yang telah menjangka Dato' Fazley akan muncul sebagai juara berdasarkan kredibilitinya sejak dari awal musim dan kelihatan konsisten dengan persembahan yang agak membanggakan berbanding Angah yang kurang konsisten dan pernah beberapa kali hampir tersingkir dalam slot penyingkiran.Walau bagaimanapun Angah tetap tampil seperti biasa yakin dan bersahaja tetapi tetap hebat dengan auranya yang tersendiri dan persembahan yang kreatif melalui pilihan masakan ala Asia.


Disebalik kejayaan Dato' Fazley sebagai juara masterchef selebriti Malaysia yang pertama apa yang aku kesali adalah dengan penampilan Azwan Haji Ali pada malam tersebut.Aku pasti bukan aku saja yang berasa mual malah penonton lain pasti turut menggeleng kepala dengan penampilan Azwan yang memakai rambut palsu lengkap dengan selendang dan kipas ditangannya.Apakah imej 'nyah' ini menjadi kebanggaan Azwan?.Jawapan yang boleh diduga jika perkara ini diajukan padanya adalah "ada aku kisah?..aku tak kacau kau,kau jangan kacau aku..aku nak pakai apapun kau peduli apa".

Memang benar itu haknya tetapi Azwan perlu ingat bahawa dia tersenarai antara selebriti yang terpilih dalam rancangan tersebut dan rancangan tersebut adalah masterchef selebriti Malaysia yang bukan hanya ditonton oleh negara kita Malaysia malah mungkin juga boleh ditonton oleh negara lain seluruh dunia.Tambahan lagi Azwan Ali bukanlah asing dalam dunia artis terutamanya penglibatannya sebagai pengacara yang agak popular suatu ketika dulu.Namun, sejak zaman popularitinya menjadi suram ditambah dengan penampilan yang sedemikian rupa rasanya agak sukar untuk Azwan kembali bersaing ditambah lagi dengan kemunculan pengacara baru yang tampil dengan idea yang lebih segar.

Jika dibandingkan dengan Aznil Haji Nawawi aku rasakan beliau lebih bijak menggunakan kelebihan yang ada padanya tanpa perlu mencipta dan mereka-reka bahan kontroversi murahan untuk meraih populariti.Aznil dilihat lebih mesra dan serasi dengan kanak-kanak dan sikap yang ditampilkan adalah sikapnya yang semulajadi terhadap kanak-kanak.Sikap ini tidak boleh dibuat-buat sepertimana yang pelawak dan juga pengacara Nabil cuba tonjolkan tetapi gagal kerana jelas Nabil kurang selesa atau kurang mesra dengan kanak-kanak menjadikan persembahannya bersama kanak-kanak kelihatan janggal atau dibuat-buat.Inilah kelebihan yang ada pada Aznil selain dari bakatnya untuk berceloteh atau berinteraksi di semua peringkat umur.

Maka aku berpendapat Azwan perlu mencungkil dan menggali semula apa kelebihan yang ada dalam dirinya untuk kembali muncul sebagai pengacara popular.Jika sekadar tampil dengan imej 'lembut' seperti ini aku rasa ia belum cukup 'lembut' untuk melembutkan dan memikat hati penonton.Selebihnya hanya kontraversi hangit yang bakal terus menghanguskan bakatnya selama ini.Semoga Azwan Ali berubah kerana tiada siapa yang dapat merubah diri kita melainkan diri kita sendiri.

ozzy - tunggu masterchef seterusnya ...

16 Julai 2012

SEBAB DATO' FAZLEY DAN ANGAH LAYAK KE GRAND FINAL MASTERCHEF MALAYSIA

Bagi mereka yang mengikuti program masterchef selebriti Malaysia terbitan Astro Ria saluran 104 pasti telah tahu siapakah yang telah layak ke grand final pada malam ini jam 9 malam(16 july 2012).

Dari 16 peserta yang terdiri dari kalangan selebriti di negara kita akhirnya dua peserta yang layak ke final pada malam ini adalah antara Dato' Fazley dan Angah raja lawak.Menariknya kedua-dua peserta tersebut merupakan selebriti lelaki dan telah mengalahkan barisan selebriti yang turut sama masuk bertanding antaranya seperti Raja Azmi,Juliza Adlizan dan Soo Wincci (sekadar menyebut beberapa nama) yang merupakan peserta pilihan tapi akhirnya tewas di tangan Dato' Fazley & Angah.

Jika dilihat dari awal rancangan ramai yang meramalkan Juliza Adlizan bakal muncul sebagai juara berdasarkan potensi dan kebolehan yang ditunjukkan apatah lagi dia merupakan seorang ibu dan juga surirumahtangga yang pastinya selalu memasak berbagai hidangan tetapi akhirnya tewas hanya setapak lagi untuk mara ke grand final bersama dua lagi selebriti lain iaitu Farouk Hussain dan Soo Wincci.

Kelima-lima mereka yang layak mara ke finalist ini semuanya hebat-hebat belaka dan menjadi antara calon utama pada ramai pemerhati rancangan ini kecuali Angah tetapi akhirnya Angah tampil membuat kejutan dan bakal tampil untuk berentap di grand final bersama Dato' Fazley meskipun kehadirannya pada awalnya dilihat cuma sebagai penyeri rancangan termasuklah Azwan Ali dan Tomok.Tapi kenapa akhirnya Angah layak melangkah ke grand final? pasti ramai yang tertanya-tanya apa benarkah angah pandai memasak? hebat sangatkah rasa masakannya?.Sementara Dato' Fazley sememangnya tersenarai antara calon pilihan sejak awal lagi berdasarkan kebolehan yang dipamerkan.

Aku berpendapat antara sebab Angah layak ke grand final bukanlah disebabkan dia hebat memasak tetapi kerana cara beliau tampil dengan imej yang bersahaja atau tidak ada rasa tertekan selebihnya boleh aku katakan sedikit nasib dan rezeki yang berpihak kepadanya.Sebaliknya Dato' Fazley memang ramai mengakui yang beliau berkebolehan ditambah lagi dengan sifat tenang yang ditampilkan membuatkan beliau memang menjadi calon pilihan.Begitu juga dengan calon-calon lain ramai juga yang berkebolehan malah mungkin lebih baik lagi daripada Angah tetapi ramai antara mereka 'tewas pada diri sendiri' kerana gagal mengatasi tekanan yang dihadapi dalam diri mereka sendiri.

Kita dapat lihat pada setiap episod penampilan Angah lebih relax berselang seli dengan lawaknya yang bersahaja berbanding dengan peserta lain yang ada antaranya gagal mengatasi rasa gugup dan tertekan dan akhirnya mereka tewas.Apapun sama-sama kita nantikan siapakah yang layak bergelar juara masterchef selebriti Malaysia pada malam ini dan aku menjangkakan Dato' Fazley bakal muncul sebagai juara dengan syarat beliau perlu mengatasi tekanan dalam dirinya dan melakukan tugas dengan tenang kerana hanya dengan sedikit kesilapan Angah bakal memintasnya kerana Angah tahu malam ini beliau turun sebagai calon 'underdog' berbanding Dato' Fazley yang menjadi calon 'favourite'.

ozzy - ketenangan dan keyakinan merupakan dua kunci utama dalam kehidupan kita sekiranya ingin berjaya.

15 Julai 2012

BLOGGER HANIS ZALIKHA KINI BERGELAR PELAKON



Siapa sangka tujuan asal anda sebagai blogger hanya bertujuan untuk suka-suka menulis atau menghabiskan masa dengan menulis sesuatu tiba-tiba berubah sekelip mata apabila populariti anda sebagai blogger berjaya menarik perhatian penerbit filem untuk membintangi filem arahan mereka apatah lagi tawaran tersebut datangnya dari pengarah tersohor dan terkemuka di negara kita ini.

Ini bukan cakap atau omongan kosong sebaliknya ia menjadi realiti pada seorang blogger yang terkenal di kalangan blogger iaitu saudari Hanis Zalikha.Untuk mengenali dan melihat blognya boleh klik DI SINIMenariknya lagi, beliau masih kekal menggunakan website percuma iaitu blogspot.com berbanding blogger lain yang ramai telah beralih pada website berbayar 'dot com'.

Hanis Zalikha bakal tampil sebagai heroin dalam filem yang diberi jodol Gangster Celop arahan dua pengarah yang begitu popular di negara kita iaitu Yusof Haslam menerusi syarikatnya Skop Production dan Ahmad Idham menerusi syarikatnya Excellent Pictures.Menariknya lagi Hanis Zalikha bakal bergandingan dengan Syamsul Yusuf (anak Yusof Haslam) yang juga seorang pengarah filem dan pelakon popular.Majlis pelancaran telah dibuat pada petang khamis lalu yang turut memperkenalkan barisan pelakon untuk filem tersebut dan untuk berita lanjut boleh klik DI SINI.Tahniah aku ucapkan untuk Hanis Zalikha.


Sebelum ini tiada siapa menduga dan mungkin anda yang juga seorang blogger tidak menduga bahawa blogger juga turut mendapat perhatian dan berpeluang untuk menjadi popular tetapi ia turut bergantung kepada cara penyampaian blog tersebut.Kalau tampil dengan pakej yang cantik atau hensem serta mempunyai pengikut yang ramai sudah tentu ia mendapat perhatian ramai pihak termasuklah pengarah filem.Maka peluang untuk ditawarkan sebagai pelakon mungkin lebih cerah.Kalau blog dipenuhi dengan kisah politik tidak kiralah sebagai penyokong kerajaan mahupun pembangkang maka peluang untuk diberi tempat sebagai wakil atau terus diberi jawatan yang lebih tinggi mungkin ada.Takkanlah blog cerita politik diberi peluang sebagai pelakon dan blog kisah masakan pula diberi peluang sebagai ahli politik pulak kot!!..Sudah tentu pemilihan dibuat berdasarkan sesuatu yang lebih relevan serta faktor-faktor lain tetapi ini bukanlah bermakna yang semua blogger akan mendapat peluang tersebut.


Jadi, kepada anda yang bergelar blogger cuba perhatikan potensi yang ada pada diri anda.Mungkin anda merasakan anda tidak mempunyai pakej untuk menjadi pelakon ataupun menjadi ahli politik tetapi mungkin anda mempunyai kebolehan lain seperti menjadi penulis novel atau menjadi penulis jemputan,pelukis ataupun tukang masak.Siapa sangka suatu hari nanti muncul satu rancangan masakan yang dikendalikan oleh seorang blogger seperti anda!!..Inilah yang dikatakan untung sabut timbul untung batu tenggelam.Nasib dan rezeki seseorang Allah yang tentukan.Selamat mencuba dan selamat menjadi blogger yang berwawasan...

ozzy - blogger tenggelam timbul..

12 Julai 2012

BILA SUAMI ISTERI BERLAINAN PARTI

Bila sebut atau bercakap pasal politik aku pasti setiap dari kita mempunyai pandangan,penilaian dan persepsi yang berbeza pada setiap parti politik yang ada di dalam negara kita ini.Kerana itu setiap dari kita juga sudah tentu memilih parti tersebut berdasarkan kriteria tersebut cuma bezanya ketaksuban serta bagaimana kita mengawal emosi kita terhadap parti yang kita pilih.

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan dan mungkin akan menjadi satu persoalan adalah, apakah satu hari nanti salah satu kriteria yang akan dititikberatkan apabila ingin memilih pasangan apakah parti yang dipilih oleh pasangannya itu?.Apakah paras rupa,budi bahasa atau keturunannya bukan lagi menjadi ukuran sebaliknya apakah kecenderungan atau sokongan pasangannya nanti terhadap parti mana?.

Aku berpendapat ianya bukanlah menjadi satu masalah besar jika pasangan tersebut berbeza pendapat atau berbeza fahaman politik sekiranya kedua-duanya bukanlah pengikut yang taksub atau maksum pada parti yang disokongnnya.Sebaliknya ia bakal mengundang masalah besar jika kedua-duanya tetap berkeras dan sering bertelagah untuk mempertahankan ideologi parti masing-masing dan akhirnya jalan terakhir adalah seperti apa yang berlaku dan dilaporkan DI SINI


Mungkin pada awal perkahwinan semuanya manis dan indah ialah bila hati dah suka dan bila sudah dilamun cinta semuanya indah tapi bila dah bertahun-tahun kahwin masalah ini mula tercetus apatah lagi jika kedua-duanya mula aktif dalam politik dan akibatnya turut akan melibatkan banyak perkara lain termasuk hubungan persaudaraan dengan kedua-dua mertua serta bakal turut terpalit pada anak-anak yang belum tahu apa-apa tentang politik.

Mahukah kita melihat perangkaan dan kes yang sama meningkat setiap tahun? dan apakah kita bakal melihat borang untuk menikah akan terdapat satu arahan "sila tandakan pada ruangan kosong parti mana yang anda pilih".Bermakna jika sama parti baru boleh menikah..nak ke sampai jadi macam tu??hmmm...

Bagaimana dengan anda semua?Mungkin menarik untuk diperkatakan kerana sewaktu anda bertemu dengan pasangan anda dulu perkara ini tidak pernah anda dan pasangan anda fikirkan tetapi senario hari ini jauh berbeza kerana kanak-kanak sekolah sudah didedahkan dan dicelikkan dengan politik tetapi ia mungkin hanya pada kita orang melayu dan mungkin tidak pada kaum lain kerana mereka lebih memikirkan pelajaran anak-anak mereka berbanding politik.

ozzy - sampai masa pergi mengundi dahla..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...