9 September 2011

PERGINYA SEORANG RAKAN KERANA MENYAMBUT SERUAN ILAHI

Hari ini aku dan rakan-rakan menerima berita sedih apabila mendengar khabar salah seorang dari rakan kami telah pergi buat selamanya kerana menyambut seruan Ilahi.Arwah merupakan salah seorang rakan sekelas kami sewaktu di bangku sekolah dahulu dan merupakan seorang yang pendiam ketika di dalam kelas.Kerana itu agak sukar untuk aku mengingati siapakah yang dimaksudkan apabila dimaklumkan mengenainya.

Berita mengenai arwah yang terlantar sakit akibat penyakit kanser telah disampaikan oleh seorang rakan yang berkunjung ke rumahnya pada hari raya pertama yang lalu.Apabila aku balik pada hari raya yang ke-3 esoknya aku terus pergi ke rumahnya bersama seorang rakan yang tinggal berhampiran dengan rumahnya.Meskipun kami kurang rapat dan jarang bertegur sapa walaupun berada di dalam kelas yang sama tapi itu bukan penghalang untuk aku menziarahinya demi hubungan sebagai seorang rakan dan saudara sesama Islam.

Sebelum ini arwah ada menyatakan untuk turut serta dalam reunion yang kami aturkan pada 1 May yang lepas tetapi kerana atas beberapa sebab beliau terpaksa menarik diri.Tidak disangka setelah kami terpisah selepas tamatnya zaman persekolahan kira-kira 23 tahun lalu pertemuan ini adalah pertemuan yang terakhir buat kami kerana Allah lebih menyayanginya.Semoga rohnya dicucuri rahmat ilahi dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.

Ketika tiba di rumahnya kami disambut oleh ayahnya sementara arwah terbaring di atas katil yang diletakkan berhampiran ruang dapur yang aku rasakan amat tidak sesuai kerana bahang kepanasan amat terasa apatah lagi bagi seorang yang sedang sakit sepertinya.Mungkin itu pilihan terbaik buat mereka kerana kedudukan tersebut lebih memudahkan untuk mereka menguruskannya terutama untuk mencuci dan juga ke tandas.Tidak lama kemudian muncul pula emaknya dan aku agak terkejut apabila emaknya juga sakit dan berada di atas kerusi roda.Allahhuakhbar...pasti bukan sedikit beban yang ditanggung oleh ayahnya untuk menguruskan kedua-duanya yang menderita sakit.

Menurut cerita dari ayahnya pada awalnya arwah mengadu sakit perut dan apabila diperiksa arwah dikatakan menghidap penyakit batu karang.Mereka memilih untuk berubat secara traditional dan penyakit batu karang tersebut kemudiannya telah sembuh.Beberapa bulan selepas itu arwah kembali mengadu sakit di bahagian perut dan kali ini doktor mengesahkan bahawa arwah telah menghidap kanser ovari.




Untuk makluman kanser ovari merupakan kanser yang paling merbahaya dan sukar dirawat kerana ia sukar dikesan diperingkat awal.Kanser ini juga adalah yang ke-3 paling kerap berlaku di negara kita ini dan mencatatkan jumlah kematian yang tinggi.Untuk info mengenai kanser ovari sila klik DI SINI.

Arwah telah menjalani pembedahan pada bulan May yang lepas dan jika tak silap tarikh yang dinyatakan oleh ayahnya pada 5 May iaitu beberapa hari selepas hari reunion yang kami aturkan.Maka terjawablah sebab sebenar kenapa arwah tidak dapat turut serta.Setelah beberapa lama terlantar di hospital arwah kemudiannya dibenarkan balik dan diminta datang semula pada bulan puasa yang lepas untuk menjalani CT Scan di bahagian kepala kerana kanser tersebut telah dikesan merebak ke bahagian tersebut.Setelah itu doktor memaklumkan bahawa penyakitnya semakin kritikal dan kanser yang dihidapi kini berada di tahap 4 iaitu tahap yang paling sukar untuk dirawat.

Begitulah serba sedikit cerita yang aku dengar dari ayahnya selain dari sedikit kehidupan peribadi arwah yang hanya sempat menjalani kehidupan berumahtangga buat seketika sebelum berpisah dan tidak sempat menimang cahaya mata.Selepas subuh pagi tadi arwah telah dikatakan berada dalam keadaan nazak dan sekitar jam 11 pagi aku menerima berita arwah telah pergi meninggalkan kami semua untuk selamanya ketika kami semua sedang berbincang untuk mengumpul dan menyampaikan sedikit sumbangan buatnya.

Dengan itu mari kita sama-sama sedekahkan al-fatihah buat arwah...


ozzy - salam takziah untuk keluarganya ....

3 ulasan:

  1. Salam takziah dari saya.Semoga rohnya ditempatkan disisi orang beriman

    BalasPadam
  2. ALFATIHAH DAN SALAM TAKZIAH BUAT KELUARGANYA.
    SEMOGA ROHNYA DICUCURI RAHMANYA JUA AMIN.

    BalasPadam
  3. Al-Fatihah dan salam takziah dari saya..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...