30 November 2011

BODOH MACAM LEMBU

Ungkapan 'bodoh macam lembu' seringkali kita dengar sebagai gelaran kepada seseorang yang bersikap bodoh atau membuat sesuatu perkara yang dianggap bodoh.
Walaupun dianggap bodoh tapi lembu menghasilkan susu yang amat berkhasiat untuk diminum oleh manusia yang menganggapnya bodoh.Pelik kan?Kalau lembu tu bodoh tak takut ke kita jadi bodoh sepertinya kalau minum susunya dan makan dagingnya?.

Menurut kajian pula lembu adalah sejenis binatang yang buta warna tetapi timbul pula persoalan kenapa lembu dikatakan akan mengejar kita kalau kita memakai baju yang bewarna merah? dan kenapa 'matador' mengibarkan kain yang bewarna merah sewaktu pertandingan melawan lembu?.Ramai yang memberikan jawapan sebenarnya bukan warna merah tersebut yang membuatkan lembu itu marah atau mengejarnya tetapi disebabkan kain tersebut yang dikibarkan didepannya membuatkan dia marah walau apa pun jua warnanya.Betul atau tidak hanya lembu saja yang tahu jawapannya.

Hasil dari kajian menerusi sumber wikipidea DI SINI pula menemui beberapa khasiat dari susu lembu antaranya :
   i - Vitamin D dan K - penting bagi pembentukan tulang.
   ii - Iodin - mineral penting bagi fungsi tiroid (thyroid)
   iii - Vitamin B12 dan Riboflavin - penting bagi kesihatan kardiovaskular dan penghasilan tenaga
   iv - Biotin dan asid Panthothenik - vitamin B penting bagi penghasilan tenaga
   v - Vitamin A - penting bagi sistem imunisasi
  vi - Potassium dan Magnesium - untuk kesihatan kardiovaskular
  vii - Selenium - sedikit (trace)mineral penghalang-barah
  viii - Thiamin (vitamin B) -penting bagi fungsi kognitive, terutamanya daya ingatan!!
Ternyata dalam bodohnya tapi terkandung berbagai khasiat dari susu dan juga dagingnya.


Dalam kita menggelarkannya bodoh rupanya lembu juga ada akalnya.Kejadian yang berlaku beberapa hari lalu seolah-olah lembu ingin membuktikan bahawa mereka juga punya perasaan dan tidak terlalu bodoh sepertimana yang sering kita katakan.Mereka juga ada perasaan marah dan memberontak dengan memijak dan melepaskan najisnya pada individu yang mencederakan atau mengganggu kawanan mereka.Jika mereka bodoh dan tiada perasaan sudah tentu mereka berlalu dan membiarkannya saja.

Apakah ini juga petanda lembu juga semakin bijak dan semakin sophisticated?

ozzy - suka makan daging lembu....

29 November 2011

BANJIR ANTARA BENCANA DAN RAHMATNYA

Setiap kali tibanya musim tengkujuh bererti setiap kali jugalah mereka yang terlibat dengan serangan banjir perlu bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan.Bagi mereka yang berpengalaman berhadapan dengannya mungkin telah membuat persiapan dengan segala peralatan ataupun tindakan yang perlu dibuat tapi bagi mereka yang tidak pernah menghadapinya pasti akan mengalami kesulitan.

Samada berpengalaman atau tidak perkara paling penting adalah dengan memastikan keselamatan kita serta keluarga.Selebihnya barulah kita fikirkan tentang harta benda kerana ianya boleh diganti tetapi nyawa tiada gantinya.Seringkali kita dengar dan baca berita kesan dari banjir yang melanda bukan hanya menyukarkan aktiviti seharian malah banjir turut dianggap sebagai bencana kerana melibatkan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.

Dalam memperkatakan tentang bencana tanpa kita sedari terkandung juga rahmat di dalamnya.Jika kita melihat dari sudut sikap dan hubungan antara masyarakat kita hari ini yang semakin renggang dan lebih pentingkan diri sendiri, kehadiran banjir kembali merapatkan hubungan sesama mereka. Malah kemungkinan banjir juga membuatkan kita kenal siapa jiran kita dan banjir juga kembali memupuk semangat kerjasama dan toleransi sesama kita.Banjir juga mungkin menyedarkan kita yang selama ini angkuh dan sombong dengan kemewahan sehingga engggan bertegur sapa dengan masyarakat sekeliling akhirnya kita sedar bahawa kita sebenarnya memerlukan jiran dan orang lain disaat kita ditimpa musibah seperti ini.

Pada mereka yang belum pernah alaminya mungkin merasakan ianya adalah satu bencana tetapi tanpa mereka sedari rupanya ada satu rahmat yang tersembunyi di dalamnya.

ozzy - pernah merasainya..

25 November 2011

TEKNOLOGI MEMBUATKAN KITA SEMAKIN MALAS

Kemunculan berbagai teknologi hasil dari inovasi menjadikan kehidupan kita sebagai manusia semakin mudah seiring dengan masa yang dikatakan bergerak semakin pantas.Jika sebelum ini kita memerlukan banyak masa untuk menyiapkan sesuatu perkara tetapi dengan adanya kemajuan teknologi kita dapat menyiapkannya dengan lebih mudah dan cepat.

Tidak dinafikan bahawa kemajuan teknologi itu penting untuk melancarkan banyak urusan seharian samada di rumah mahupun di tempat kerja dan pastinya ia turut memudahkan kita semua untuk menguruskan masa.Kita dapat melihat apa jua perkara yang sering digunakan akan dipertingkatkan samada dari segi reka bentuk mahupun kualitinya samada untuk tujuan komersial mahupun untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.

Ada satu perkara yang kini sering aku perhatikan sewaktu ingin membayar tol.Ramai yang tidak lagi menghulurkan tangan melalui tingkap kereta sewaktu membayar tol sebaliknya dengan membuka pintu kereta.Jika kereta lama mungkin leceh sikit sebab tingkap diturunkan secara manual tapi kalau kereta baru aku pasti kebanyakannya telah dilengkapi dengan power window.


Pada awalnya aku beranggapan mungkin power window kereta itu rosak tapi bila ramai yang menggunakan cara ini hati aku mula tertanya-tanya lebih-lebih lagi bila melihatkan kereta tersebut adalah kereta yang canggih dan masih baru.Tak mungkin banyak kereta yang masih baru kesemuanya telah rosak power windownya?.Ataupun apakah senario yang semakin sering aku perhatikan ini merupakan satu trend baru masyarakat kita yang semakin malas untuk menekan butang power window?.Jika benar ternyata teknologi yang ada membuatkan kita semakin malas. Persoalannya susah sangat ke nak tekan butang tu?Kalau dulu sebelum adanya power window ini memang agak susah atau agak leceh untuk menaikkan tingkap dengan cara manual kerana kita perlu pusingkan tombol untuk menaikkan tingkap tapi sekarang ni kita cuma perlu tekan hanya dengan satu jari..susah ke?..hmmm.

Itu cuma salah satu contoh kesan dari kemajuan teknologi yang sememangnya diakui banyak memberi kemudahan pada kita dan memudahkan kehidupan kita.Namun dalam masa yang sama ia turut memalaskan kita dan jika boleh kita langsung tidak mahu bergerak.Biar semuanya bergerak mengikut apa yang kita nak..

ozzy - ada baik dan buruknya teknologi ni....

21 November 2011

FACEBOOK BUKAN FACEBLOG

Sebut saja facebook sapa yang tak kenal kan? dari budak sekolah sampailah golongan dewasa boleh dikatakan masing-masing dah ada akaun facebook hinggakan budak sekolah yang masih belum cukup umur pun boleh join dengan menukar tarikh lahir dan umur.Ada bermacam tujuan akaun facebook ini diwujudkan samada untuk mencari atau mengumpul rakan lama atau mengumpul kenalan baru.

Ada juga yang menggunakan facebook sebagai platform untuk memperkenalkan dan mempromosi perniagaan yang mereka jalankan dan ia merupakan satu langkah bijak itupun jika kena dengan caranya dan jika rezeki memihak kepadanya.Namun ramai yang tersilap apabila suka menggunakan 'tag' pada kawan yang lain untuk mempromosikan produknya kerana ramai yang kurang menggemari cara ini apatah lagi jika produk tersebut banyak terdapat di pasaran.

Begitu juga dengan blogger yang gemar menggunakan facebook sebagai tempat untuk mereka postkan setiap entry yang diterbitkan dengan harapan untuk meraih traffic dari rakan mereka di facebook dan kaedah ini adalah antara cara yang sering digunakan oleh blogger untuk meningkatkan traffic.Memang diakui ianya terkandung di dalam salah satu tips yang sering diperkatakan dalam teknik untuk meningkatkan traffic blog.Namun akibat terlalu tamak untuk mendapatkan traffic tanpa mereka sedari mereka sebenarnya terus kehilangan traffic akibat terlalu ghairah memaparkan blog mereka di dalam facebook., tapi apa sebabnya?

Antara sebabnya adalah kawan-kawan mula menyampah bila wall di facebook mereka hanya penuh dengan topic blog yang sama kita postkan apatah lagi jika kisah yang kita paparkan langsung tak menarik minat mereka untuk membacanya.Aku berpendapat jika untuk setiap entri hanya satu post mungkin kawan hanya perhatikan atau biarkan saja dan lama-kelamaan ia akan turun kebawah dengan cepat tetapi jika cara auto seperti dari RSS Graffiti , Twitter dan sebagainya maka wall rakan lain turut penuh dengan posting tersebut yang memaparkan entri yang sama.

Lama kelamaan rakan-rakan mula naik bosan dan apa yang berlaku?.Demi menjaga hati, kawan kita tak cakap apa-apa tapi dalam diam cara mudah yang mereka lakukan adalah dengan klik 'hide story' dari kita sebab kalau nak klik 'unfriend' rasa macam kejam sangat kan !!.
Bila rakan dah 'hide all story' daripada kita dan bila ianya berlaku bermakna walau apa saja yang kita tulis di wall kita kawan-kawan tidak lagi tahu termasuklah entri blog yang kita postkan tidak lagi 'appear' pada wall mereka. Akhirnya jadilah kita macam syok sendiri langsung tak dapat apa-apa apatah lagi kalau kita sendiri pun berat sangat nak menegur dan bertanya khabar atau komen di facebook rakan-rakan yang lain...kan dah rugi tu, kecualilah jika kita ni popular macam artis kannn..

Kerana itu berpada-padalah walau nak raih traffic sekalipun.Fikirlah dan consider sama perasaan orang lain terutamanya rakan-rakan kita di facebook yang bukan semuanya berminat dengan blog. Jangan sampai nanti kawan-kawan kata " serabut betullah..buat semak wall aku jelah dia ni .. ini facebook ke faceblog ?? ".


ozzy - berpada-pada selalu....

18 November 2011

TRAFFIC BLOG

Antara perkara penting yang sering difikirkan oleh blogger adalah bagaimana untuk meningkatkan jumlah pengunjung ke blog mereka.
Seringkali kita lihat berbagai tips atau panduan diberikan oleh mereka yang lebih berpengalaman bagaimana cara untuk meningkatkan traffic.Kerana itu dapat kita lihat berbagai tips dan tak kurang juga ada yang gunakan trick semata-mata untuk mencapai tujuan tersebut sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Antara yang popular adalah 'blogwalking' atau kunjungan sesama blogger ke blog masing-masing dan cara ini biasanya dilakukan oleh blogger baru samada untuk berkenalan dan memperkenalkan blog mereka ataupun sekadar mengharapkan kunjungan balas dari blogger yang lain.Cara ini akan membuatkan banyak masa terbuang kerana blogger perlu berkunjung dari satu blog ke satu blog yang lain walaupun hanya sekadar singgah.Bayangkan jika satu hari kita berkunjung ke 500 blog, berapa banyak masa yang kita ambil untuk habiskan kesemuanya lebih-lebih lagi jika blog tersebut berat untuk dibuka.

Cara tersebut memang diakui dapat membantu meningkatkan traffic blog tapi apa yang sering berlaku adalah apabila kita tidak lagi aktif blogwalking atau menerbitkan entri maka jumlah traffic atau pengunjung pun turut berkurangan.Bermakna cara tersebut lebih menumpukan traffic sesama blogger sahaja dan ini juga bermakna jika kita tidak berkunjung ke blog orang lain maka orang lain juga tidak akan berkunjung ke blog kita dan kita perlu sedar bahawa ini adalah satu tindakbalas normal kerana blogger biasanya bukan semua yang datang berkunjung untuk membaca apa yang kita tulis tapi lebih kepada kunjungan dua hala.Biasalah sebagai manusia biasa, ada kalanya kita sibuk dengan urusan lain dan tak kurang juga yang makin lama makin malas atau bosan membuat perkara yang sama.Kalau asyik dia atau kita je yang berkunjung lama-kelamaan dia atau kita akan kata "asyik aku je yang singgah..mana aci"  betul tak?.Maka apa yang berlaku jumlah traffic terus berkurangan kerana kita hanya mengharapkan traffic dari sumber yang sama.

Kebiasaannya blog yang mengharapkan traffic dari blogger banyak memaparkan entri seperti sembang kosong atau apa yang dilihat serta dialami dalam kehidupannya seperti kisah keluarganya, kisah anaknya serta bermacam lagi kisah yang berkisar tentang kehidupannya.Sekiranya nasib menyebelahinya ia menjadi popular dan ramai blogger yang akan singgah untuk membaca setiap entri yang diterbitkan namun sekiranya setiap entrinya terlalu panjang dengan kisah yang hampir sama kemungkinan besar blogger yang singgah akan merasa bosan dan tidak lagi membaca keseluruhan catatannya tetapi sekadar singgah untuk meninggalkan jejak atau boleh disebut jejak ehsan.Kerana itu jika inginkan traffic dengan cara ini pastikan blog sentiasa diupdate setiap masa bersama entri yang ringkas pun sudah memadai.

Aku berpendapat cara yang lebih baik agar masa tidak terlalu banyak terbuang melalui blogwalking adalah dengan menyajikan entri yang lebih berinformasi.Melalui cara ini kebiasaannya pasti ramai yang mencari informasi melalui enjin carian google atau sebagainya.Maka sumber traffic akan datang dari berbagai arah dan tidak hanya mengharapkan kunjungan blogger sahaja.Contohnya jika kita mencari info tentang padi angin melalui enjin carian, kita dapat lihat seperti ini:


Kerana itu tajuk entri turut memainkan peranan penting sebagai 'keyword' meskipun informasi tentangnya tidaklah terlalu complicated.Dengan cara ini kita tidak terlalu tertekan untuk update blog setiap masa kerana traffic pasti ada setiap hari cuma mungkin ianya tidak konsisten dan turut bergantung pada isu-isu semasa.Kerana itu blog politik,blog sukan atau blog tentang artis mudah memperolehi traffic yang tinggi kerana info mengenainya sering dicari dan diminati oleh pembaca walaupun entri yang dihasilkan hanyalah menerusi copy paste dari sumber yang lain.

Cuma dengan cara ini mungkin kita tidak menjadi popular dikalangan blogger tetapi blog kita sentiasa dikunjungi setiap masa oleh mereka yang mencari sesuatu informasi.Kerana itu janganlah sedih dan kecewa atau berdengki dengan orang lain sekiranya kita tidak menjadi popular seperti mereka.Ada kebaikannya juga kerana bila sudah popular sebagai blogger maka masa dan kehidupan kita seringkali dibayangi dengan blog, bawa kereta ingat blog, buat kerja ingat blog, waktu makan ingat blog, nak tidur ingat blog sehinggakan sewaktu solat pun ada yang masih memikirkan tentang blog, apa yang nak ditulis dan apa yang nak diupdate.

ozzy - Biasalah, bila tak aktif blogwalking kawan pun hilang sebab kawan lain pun malas juga...

16 November 2011

KAIN BATIK IBU

Kain batik sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu samada untuk dipakai di rumah atau dipakai ketika tidur.Meskipun zaman sekarang semakin jarang yang memakai kain batik terutamanya pada generasi baru namun budaya ini masih lagi kekal biasanya setelah mereka berkahwin.Remaja hari ini lebih gemar memakai seluar samada seluar pendek atau seluar panjang ketika berada di rumah kerana ianya lebih selesa samada untuk tidur mahupun berehat di dalam rumah.

Bagi mereka yang rapat dengan ibu atau emaknya, ada rahsia disebalik kain batik ibu ini.Apa istimewanya kain batik ibu ini pada mereka?.Biasanya apabila mereka terpaksa berpisah atau berjauhan dengan ibu mereka, kain batik inilah menjadi penawar rindu kepada ibu mereka.Seorang pelajar yang manja dengan ibunya pasti akan membawa bekalan kain batik yang selalu dipakai oleh ibunya ke tempat tinggalnya kerana kain batik tersebut memberikan aroma atau auro sebagai pengganti diri ibunya.Begitu juga apabila ibunya meninggal dunia biasanya kain batik yang pernah dipakai oleh ibunya digunakan sebagai penawar untuk mengubat rindu.

Ada yang tidak dapat berpisah dengan 'bantal busuknya' walau kemana saja dia pergi tapi kain batik ibu membawa makna yang berbeza kerana bantal busuk adalah aura dari kita tapi kain batik ibu adalah aura dari seorang ibu.Kerana itu ada yang sanggup meredah api sewaktu rumahnya terbakar semata-mata untuk selamatkan kain batik pemberian ibunya.Mungkin selepas ini kain batik tidak lagi menjadi 'penawar rindu' kerana ia tidak lagi menjadi pilihan generasi hari ini untuk dipakai maka mungkinkah baju kelawar pula akan menggantikan tempatnya?

Begitulah aura yang ada pada seorang ibu dan aura dari kain batik ibu..

ozzy - pun ada aura...

15 November 2011

BILA MELIHAT GADIS SEKSI

Gaya kehidupan moden menyaksikan bermacam fesyen yang dapat kita lihat dan yang pastinya fesyen wanita yang berpakaian seksi pasti menjadi tumpuan pada setiap mata yang memandang. Gaya ini juga pastinya menjadi bualan atau topik hangat khususnya pada golongan lelaki.Biasanya tengok dulu baru boleh nak kata, kalau tak tengok macam mana nak kata betul tak?.

Kalau perempuan tu melayu biasanya pasti berbagai cemuhan akan dilemparkan dan tak kurang juga yang memberi pujian atas aset yang dimiliki serta keberaniannya.Kerap kali kita dengar ramai akan kata "isshh..apa nak jadi dengan dia ni, pakai baju tak senonoh, tak ingat dosa ke?".." Dia pakai macam ni berdosa dan orang yang tengok pun ikut berdosa" serta bermacam lagi kata cemuhan yang lain atau mungkin ada yang kata "Masyaallah..teruknya pakaian dia, malu aku tengok" tapi ada pula yang kata "kalau tak dapat Masyaallah tapi kalau dapat Alhamdulillah"....Dalam dok mengata ada pulak niat lain dalam hati...camana tu?.


Tapi lain pula kita kata bila kita tengok model dari luar negeri atau bangsa asing.Kita anggap tak apa sebab mereka bukan bangsa kita dan kita kata biasalah diaorang tu.Dalam pada mengata orang kita yang berpakaian seksi kita pula memuji orang luar yang seksi.Mungkin ada yang kata " fuhh..lawa ni..muka cun body mantap bla..bla..". Ehhh!! yang kat atas bukan main kita mengutuk tapi yang ni teringin pulak hehe.. apa cerita?.

Terkadang dalam kita leka mengutuk dan mengata orang lain, kita sendiri tak sedar kita juga ada membuat dosa.Mungkin nampak nyata kita mengutuk dan mengata mereka kerana gaya pakaian mereka yang seksi tetapi dalam tak sedar kita tersenyum lebar dan leka melihat bangsa lain yang berpakaian dengan fesyen yang sama, tak sama ke dosanya?.Kerana itu lihatlah pada diri kita sendiri sebelum asyik menyalahkan orang lain.

ozzy - gaya seksi kini boleh dilihat di mana-mana saja..
  

11 November 2011

SUSAH KE JADI IMAM DAN SUSAH KE MEMASAK

Dalam mencari pasangan dua perkara ini kerap menjadi isu perbahasan antara golongan lelaki dan perempuan.Masing-masing seakan cuba mempertahankan dan mempertikai kemampuan masing-masing tentang perkara ini.
Isu ini sebenarnya bukanlah satu isu yang besar kerana ianya boleh dikategorikan sebagai perkara asas dalam kehidupan kita sebagai manusia dan sebagai umat Islam secara umumnya.Cuma ia menjadi isu untuk dibuat pertikaian dalam mencari satu kesempurnaan meskipun ia sebenarnya bukanlah satu penghalang untuk mana-mana pasangan bersatu sekiranya hati sudah benar-benar suka.Jika tidak masakan ada yang sanggup dibawa lari ke Lombok tu kan?.

Terkadang mungkin ianya sempurna dan lengkap dari sudut ini tapi kurang dari sudut lainnya kerana kita semua sebenarnya tidak sempurna dalam segalanya, pasti ada kelebihan dan pasti akan ada kekurangannya.Ada yang pandai dari sudut agama dan selayaknya menjadi atau bergelar imam tapi mungkin ada kekurangannya mungkin dari segi fizikal atau paras rupa atau perkara-perkara lain dan begitu juga dengan golongan wanita mungkin hebat dari segi masakannya tapi mungkin ada kekurangan dalam perkara lain seperti paras rupa, tingkahlaku serta fizikalnya atau perkara-perkara lain.Terkadang kita juga perlu bertanya pada diri kita sendiri apakah kita sudah cukup sempurna sebelum mempertikaikan kesempurnaan orang lain.

Memperkatakan tentang jadi imam ia bukanlah satu perkara yang terlalu sukar cuma apabila sering diberi tafsiran seolah-olah ianya satu tanggungjawab yang terlalu berat maka ramai yang cuba mengelak sedangkan erti kata imam itu bukan hanya menjadi imam di masjid atau di surau sahaja kerana ketika di rumah kita juga boleh menjadi imam kepada keluarga atau ketika solat bersama rakan-rakan.Bukankah kita sering kata Islam itu mudah maka sebaiknya kita permudahkan isu ini. Jangan ingat kita banyak belajar ilmu agama maka kita cuba pertikaikan kemampuan orang lain untuk menjadi imam kerana syarat sah untuk menjadi imam tidak semestinya seseorang itu mempunyai ilmu agama yang tinggi atau boleh menghafal semua ayat al-quran.

Mungkin selama ini kita pernah menjadi imam secara tidak sengaja contohnya ketika kita solat bersendirian di masjid atau di surau dan tiba-tiba seseorang memberi isyarat dengan menepuk bahu kita sebagai isyarat dia menjadi makmum kepada kita.Maka kita terus tukar niat kita di dalam hati kepada menjadi imam dan memperkuatkan bacaan ketika takbir untuk rukuq dan seterusnya. Samada kita nak atau tak nak ketika ini kita perlu teruskan solat dan kita sebenarnya sudahpun menjadi seorang imam.Ia tetap dikira sebagai imam walaupun sebelum ini kemampuan kita sering dipertikaikan.Perkara asasnya adalah samada seorang lelaki itu tahu mengerjakan sembahyang ataupun tidak dan bukan dia boleh jadi imam atau tidak.Jika di masjid sudah semestinya akan ada imam yang dipilih daripada mereka yang lebih berkelayakan.Apa yang susah dan apa masalahnya?.

Orang perempuan pula akan ditanya samada pandai atau tahu ke memasak?.Memperkatakan tentang memasak pun bukanlah satu perkara yang susah tambah lagi zaman sekarang ni banyak bahan serta peralatan yang telah tersedia berbanding dengan dulu.Jika dulu kena cari kayu api untuk memasak tapi sekarang semua dah guna gas atau kuasa elektrik serta banyak peralatan moden.

Seperti entri yang pernah aku terbitkan DI SINI , bahan asas untuk membuat masakan orang Melayu bukannya susah kerana boleh dikatakan hampir semua bahan yang digunakan adalah bahan yang sama cuma resepinya sahaja yang dipelbagaikan untuk memberi citarasa yang berlainan.Ramai yang pada awalnya tidak tahu memasak tetapi setelah berkahwin dan tahu tanggungjawabnya sebagai seorang isteri maka dia akan belajar memasak bermula dengan masakan yang ringkas dan lama-kelamaan dia juga akan dikategorikan sebagai seorang yang pandai memasak.Pokok pangkalnya adalah nak atau tak nak.

Samada persoalan tak tahu jadi imam ataupun tak tahu memasak, perkara yang menjadi persoalan sebenarnya adalah MALAS.Orang yang malas akan cuba menutup kelemahannya dengan memberi alasan itu dan ini maka akhirnya bila ditanya 'APA PUN TAK TAU'..Tak perlu diputar belit pasal imam atau pasal masak kerana kalau kita pemalas macam mana nak jadi imam? dan kalau kita pemalas macam mana nak masak?.Kalau tak tahu kita belajar dan bertanya samada untuk jadi imam atau untuk memasak...mudah bukan kerana isu sebenarnya di sini adalah macam mana nak kahwin kalau pemalas dan bukannya macam mana nak kahwin kalau tak reti jadi imam atau macam mana nak kahwin kalau tak reti memasak...

ozzy - tak perlu salahkan sesiapa dan tak perlu mencari kesalahan dan kelemahan orang lain.

10 November 2011

SETELAH KITA MATI ~ APA YANG KITA TINGGALKAN

Populariti blog sebagai medium dalam menyampaikan berbagai cerita mahupun berita menyaksikan muncul berbagai tema serta  genre yang berbeza.Tidak kira apa jua yang kita tampilkan samada sebagai catatan peribadi, penyampaian maklumat serta info semasa termasuk gossip dan politik ataupun sekadar sembang santai, pernahkah kita terfikir sekiranya kita mati nanti apa yang kita tinggalkan di dalam blog kita?.

Sebagaimana sabda nabi Muhammad s.a.w apabila seseorang manusia itu (kita) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara yakni yang pertama ilmu yang berfaedah, kedua anak-anak yang soleh dan ketiga sedekah jariah semasa hayat kita.Di antara ketiga-tiga perkara tersebut apakah perkara yang boleh kita kaitkan dengan blog kita?cuma yang pertama iaitu ilmu yang berfaedah kerana ianya merangkumi segala aspek yang menyeluruh selagi penyampaiannya memberi manfaat kepada orang lain dalam apa jua cabang ilmu.Manakala perkara yang kedua iaitu anak yang soleh dan yang ketiga amal/sedekah jariah lebih kepada kehidupan peribadi kita di luar sana.

Setelah kita mati maka kita akan tinggalkan blog kesayangan kita ini untuk selama-lamanya bersama isi kandungannya kecuali jika kita sempat memadamkannya sebelum kita menghembuskan nafas kita yang terakhir ataupun kita sempat memberi kata laluan kepada orang lain untuk memadamkannya.Sekiranya banyak perkara buruk yang kita paparkan maka itulah yang akan kita tinggalkan buat selama-lamanya dan akan terus menjadi santapan dan bacaan orang lain termasuk kata nista serta fitnah terhadap sesiapa saja.

Dalam kehidupan seharian kita cuba kita lihat apa yang kita contribute atau sumbangkan semasa kita masih hidup di dunia ini.Jika banyak ilmu berguna yang kita curahkan maka ia termasuk dalam amalan baik yang kita tinggalkan termasuklah ilmu yang curahkan di dalam blog untuk dikongsi bersama.Apabila disebut sebagai sabda nabi Muhammad s.a.w tidak bermakna ia hanya meliputi ilmu agama sahaja kerana apa yang disebut adalah ilmu yang berfaedah yakni ilmu untuk kita dan juga turut memberi manfaat kepada orang lain.Bermakna justification pada 'ilmu yang berfaedah' itu merangkumi skop yang luas dalam apa saja cabang ilmu.

Satu perkara baik yang perlu kita tahu adalah sekiranya banyak ilmu yang kita kongsikan di blog kita, dapat kita lihat ia sering menjadi pilihan dari carian google oleh mereka yang ingin tahu tentang apa yang kita kongsikan meskipun apa yang kita tulis mungkin tidak terlalu detail tapi sekurang-kurangnya maklumat yang kita berikan boleh dimanfaatkan.Ini terbukti apabila blog aku sendiri sering menjadi pilihan mereka untuk mendapatkan maklumat melalui enjin carian google dan ini merupakan satu advantage pada kita walaupun kita semakin jarang update blog disebabkan kekangan masa atau masalah lain.

Lihatlah pada isi kandungan blog kita apakah penuh dengan fitnah dan maki hamun?.Mungkin ia juga satu advantage untuk meningkatkan traffic tapi tidakkah kita merasa bersalah? dan cuba kita bandingkan antara ilmu yang kita curahkan dengan isi yang sarat dengan fitnah, yang mana lebih memberi kepuasan dan yang mana akan membuatkan kita dibelenggu rasa bersalah suatu hari nanti?.Terkadang mungkin kita terlepas pandang dengan memaparkan apa jua berita yang di copy paste kemudiannya kita share ke blog kita tanpa kita sedari ianya adalah fitnah maka berita tersebut turut kekal di dalam blog kita untuk selamanya sehinggalah kita tiada lagi di dunia ini.

ozzy - semuanya akan kita tinggalkan suatu hari nanti...beringatlah.   

2 November 2011

WORLDLESS WEDNESDAY - MASALAH


Apabila mengalami masalah berbagai cara yang kita lakukan samada dengan berhadapan dengannya, membiarkannya atau mencari jalan untuk mengatasinya.Bagi mengurangkan bebanan masalah itu pula ramai diantara kita yang suka berkongsi dengan teman-teman ataupun dengan adik beradik yang agak rapat.Memang ramai yang berpendapat ia adalah satu cara yang agak berkesan untuk mengurangkan tekanan akibat dari masalah tersebut setelah kita meluahkannya pada seseorang sekurang-kurangnya apa yang terpendam di dalam hati dapat diluahkan.

Kemunculan berbagai laman sosial menjadikan ianya semakin popular sebagai tempat untuk meluahkan perasaan dan berkongsi masalah.Antara yang popular adalah melalui facebook, twitter serta termasuk juga dengan blog.Ramai yang lebih cenderung dengan memilih facebook sebagai tempat untuk meluahkan dan berkongsi masalah dengan harapan apabila ia diluahkan pada wall facebook akan ada komen dari teman-teman yang memberi semangat dan perangsang sekaligus dapat mengurangkan sedikit tekanan yang dihadapi.

Namun ramai yang terlupa bahawa persepsi atau anggapan dari setiap rakan-rakan kita adalah berbeza kerana ada yang berfikiran positif dan ada juga yang berfikiran negatif.Apabila masalah tersebut dipublishkan maka semua rakan-rakan dapat membacanya dan bukan semuanya akan memberi pendapat atau pandangan yang jujur kerana mungkin apa yang ditulis tidak sama dengan apa yang ada di dalam fikiran mereka lebih-lebih lagi jika terlalu kerap kita luahkan masalah.Lama-kelamaan mungkin akan timbul rasa menyampah pada mereka dan beranggapan seolah-olah hanya dia saja yang ada masalah.Akhirnya rakan-rakan akan kata "buat semak jelah dia ni" walaupun dalam masa yang sama mereka masih 'menghulurkan' komen.

Kerana itu berpada-padalah kalau nak luahkan masalah kita.Luahkan pada tempat yang kita rasakan sepatutnya kita luahkan terutamanya pada seseorang yang boleh kita percayai.Aku beranggapan meluahkan di facebook bukanlah jalan yang terbaik kerana banyak mata yang memandang dan banyak anggapan yang bersarang termasuk pada yang cuba mengambil kesempatan.Jika tak boleh FACE IT sebaiknya janganlah selalu sangat FACEBOOK IT !!!.

Bagaimana pula dengan luahan masalah kita di blog? pun ok juga tapi aku beranggapan biarlah blog tersebut disimpan atau di sorok menjadi seperti sebuah diary untuk kita sendiri.

p/s - ....asalnya nak buat wordless tapi dah terlebih karang pulak hehe...

ozzy - tidak lepas dari berdepan dengan masalah...

1 November 2011

HORMAT DAN DIHORMATI

Budaya hormat menghormati antara satu sama lain merupakan satu budaya yang masih kekal khususnya pada masyarakat Melayu yang memang diasuh sejak kita masih kecil lagi.Bagaimanapun lama kelamaan budaya ini semakin terhakis biarpun ia sering diterapkan samada di rumah mahupun di sekolah dan yang tinggal hanyalah perkataan hormat itu saja dan tidak lagi pada perlakuan zahirnya.

Ingin dihormati merupakan satu hakikat yang ada di dalam diri setiap daripada kita.Namun ia menjadi satu konflik disebalik sikap rendah diri yang wujud di dalam diri kita orang Melayu khususnya.Kita ingin dihormati tetapi kita cuba menepis penghormatan yang diberi kerana tidak mahu dilabel sebagai seorang yang berlagak namun sebaliknya apabila kita tidak dihormati ramai yang mempertikaikan kenapa dia tidak dihormati sepertimana orang lain yang dihormati.Apabila konflik ini bersarang maka timbullah sifat dengki dan iri hati pada orang lain.

Berlainan pula dengan bangsa cina (dalam negara kita) kerana jika kita lihat bangsa cina mereka bangga apabila dihormati dan mereka turut menghormati sesama mereka.Sebagai contoh mereka membiasakan menggunakan gelaran "mr" atau "miss" sesama mereka sekaligus mengheret orang lain atau bangsa lain supaya turut memanggil mereka dengan gelaran "mr" walaupun mereka itu hanya seorang driver lori. Namun agak jarang kita dengar mereka memanggil orang Melayu sebagai encik meskipun dia adalah seorang pengarah urusan di sesebuah syarikat.Sesama kita sendiri gelaran encik atau cik juga agak berat untuk disebut..kerana apa? kerana kita tidak mahu menghormati dan kita juga tidak mahu dia dihormati. Sedangkan dalam masa yang sama kita tetap memanggil kaum lain dengan gelaran "mr" atau "miss" samada di dalam perbualan mahupun telefon dan mereka juga bangga dengan membiasakan diri mereka sebagai "mr" atau "miss" tapi kita??...

Begitu juga penghormatan mengikut anarki ataupun usia seseorang.Kebiasaannya mereka yang lebih tua akan dihormati dengan panggilan pakcik/makcik atau kalau lebih tua lagi akan dipanggil atuk/nenek.Namun dalam tidak sedar satu panggilan yang seharusnya diberi pada mereka yang berusia lebih tua daripada kita adalah panggilan abang atau kakak.Tanpa kita sedari panggilan abang kini semakin terhakis dari bibir mereka yang lebih muda dan ramai antara kita yang lebih selesa memanggil dengan panggilan brother atau bro.Antara sebabnya ia berhubung kait dengan soal penghormatan dan panggilan abang itu sendiri kini lebih terarah pada seorang suami sedangkan panggilan tersebut sebenarnya pada satu ketika dahulu bukan asing disebut pada mereka yang lebih berusia dari kita.Aku sendiri tertanya-tanya kenapa ia semakin menjadi satu sebutan yang berat??..

Satu lagi budaya yang semakin terhakis adalah budaya menunduk apabila berjalan atau melalui orang yang lebih tua.Ini dapat dilihat dengan jelas ketika kita berada di masjid khususnya ketika sembahyang jumaat, betul kan? pasti kita dapat lihat murid-murid atau kanak-kanak yang masih bersekolah hanya berjalan selamba di depan orang tua tanpa menghulur tangan sambil menunduk malah ada juga yang tanpa rasa bersalah terus melangkah kaki jemaah yang lebih tua.Apakah kita tidak menyedari atau kita sengaja membiarkannya? lantas akhirnya lama-kelamaan ia menjadi satu kebiasaan dan kelaziman.

Maka ungkapan yang sering kita dengar "yang tua dihormati dan yang muda dikasihi" bakal menjadi "yang tua tak perlu dipeduli dan yang muda mesti dikasihi" sekiranya ibubapa terlalu memanjakan anak dan tidak suka anaknya ditegur atau dinasihati.Justeru itu tidak mustahil sikap menghormati sesama kita terus lenyap seandainya ia dibiarkan berlalu ditambah lagi dengan sifat dengki dan iri hati yang semakin membiak dikalangan kita...akhirnya kita semakin Layu.

Teringat pada satu ketika aku pernah terbaca kenapa pintu masuk ke dalam penjara dibina dengan rendah. Menurut warden penjara tujuannya adalah supaya sesiapa saja yang akan melangkah masuk ke penjara mesti menundukkan kepala tanpa mengira apa jua pangkat dan kedudukannya.Ini sebagai simbol bahawa sesiapa saja perlu menunduk sebagai tanda hormat.

Suka atau tidak apa yang kita saksikan kini adalah bangsa kita bangsa Melayu semakin tidak dihormati kerana kita juga saling tidak menghormati sesama kita dan kita juga mengajar orang lain agar tidak menghormati bangsa kita sendiri tetapi kita pula sebenarnya ingin dihormati.Apa kesudahannya? tidak Melayu hilang di dunia? tapi mungkinkah adat yang akan hilang dari dunia??..

ozzy - teringat kata pepatah " biar mati anak jangan mati adat "..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...