29 September 2012

VOKAL BUKAN SEKADAR RUPA





Pernah tengok rancangan Vokal bukan sekadar rupa? Mesti ramai yang tahukan rancangan tersebut yang bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai penyanyi.

Tidak dinafikan jika sekiranya seseorang itu mempunyai wajah serta penampilan yang menarik sudah tentunya menjadi pilihan jutaan peminat dan apabila digabungkan dengan vokalnya yang mantap pasti melengkapkan lagi pakej untuknya bergelar seorang penghibur.

Macamana pula jika seseorang itu kurang dari segi paras rupa atau fizikalnya tetapi mempunyai vokal yang bagus untuk diketengahkan menjadi seorang penghibur?.Ramai yang beranggapan kalau rupa je cantik atau hensem tapi vokal hancur tak ada gunanya juga tetapi ramai juga yang beranggapan kalau 'rupa tak ada' tak selera aku nak dengar apalagi nak tonton.Terpulang pada persepsi masing-masing lah kan tetapi zaman ini ramai yang tidak hiraukan lagi pada paras rupa yang penting adalah lantunan vokalnya yang mantap sebagai hidangan halwa telinga.Kalau suara sedap rupa boleh 'adjust' kemudian betul tak? kan zaman sekarang dah semakin canggih tiang letrik yang bertahun terpacak dan berkulat tu pun boleh di make-up semula kan? Inilah konsep yang cuba dibawa oleh penerbit vokal bukan sebagai rupa.

Yang aku pertontonkan ni bukannya suara aku masuk rancangan vokal bukan sekadar rupa tapi sebenarnya aku rakam masa tengah memandu dan kemudiannya aku convert ke MP3 dan download ke dalam komputer aku ni.Syok juge melalak sambil memandu sorang-sorang ni hehe..boleh nyanyi dan menjerit apa saja tak ada sapa nak marah..yang penting happpy dan jangan stress sangat maklum sajalah keadaan jalan dan sikap pemandu sekarang terlalu menguji kesabaran ...jom layan tapi aku rakam sikit je..segan hehe.

Lagu tu sebenarnya dipopularkan oleh kumpulan Alleycats aku dengar masa memandu best juga dan kemudian aku mula nyanyikan dan rakam tapi aku ubah suai sikit lenggoknya ikut irama aku sendiri..suka hati aku lah kan nak nyanyi camana pun hehe..

Anda bagaimana? kalau rasa mempunyai vokal yang mantap apa salah mencuba mana tahu anda juga bakal muncul sebagai seorang penyanyi popular suatu hari nanti kan..layannnn.

ozzy - vokal bukan sekadar rupa...dua-dua tak ada hehe..

28 September 2012

PETROL STESEN SEMAKIN KAYA SEMAKIN KEDEKUT


Sebut pasal minyak petrol topik paling popular adalah setiap tahun harga minyak naik.Semua negara sebenarnya memang berdepan dengan masalah kenaikan ini cuma mungkin tahap kenaikan atau nilainya di pasaran setiap negara yang berbeza.

Kalau nak cerita pasal kenaikan harga bahan api ni ceritanya takkan habis dan huraiannya juga panjang lebar dengan bermacam fakta serta auta.Walau dibawa ke sidang parlimen sekalipun ceritanya takkan habis dan takkan selesai betul tak?

Apa yang aku nak tulis ni pun al-kisah yang berkaitan dengan petrol stesyen juga.Bab kenaikan harga petrol tu biarlah pihak yang dipertanggungjawabkan pergi buat kerja.Cuma menjadi harapan aku sebagai rakyat biasa semoga harganya terkawal walaupun aku juga tahu harganya juga turut dikawal oleh pasaran dunia.

Apa yang nak aku perkatakan adalah berkaitan dengan gambar di atas tu yang aku snap di salah sebuah petrol stesen dalam negara kita ni.Tak payah aku sebut petrol stesen mana sebab kalau tengok pada warna latar belakangnya pun semua orang tahu nama stesen petrol yang popular ni.Pada yang belum tahu apa namanya itulah pengelap cermin kereta atau dipanggil sebagai 'wiper'.Tak tahu nak guna untuk apa? kalau dah nama pengelap cermin gunanya untuk lap atau cuci cermin lah...tapi kalau dah macam tu rupanya cuci lagi ke nak lap cermin? hah!!!..itu barulah satu soalan yang tepat.Jawapannya kalau dah macam tu rupanya ia bukan lagi dinamakan pengelap cermin kereta tapi lebih sesuai sebagai pengelap lantai untuk ganti mop lantai.

Pada awalnya aku sangkakan mungkin yang aku tengok tu je rupanya macam tu rupa-rupanya semua pengelap cermin yang ada semuanya sama.Tengok pada jumlah kenderaan memang banyak yang singgah sebab terletak di sebelah lebuhraya, jadi tak mungkin taukenya tak ada duit kot nak beli baru benda alah ni.Kesimpulannya taukenya memang kedekut dan kesimpulan kedua adalah mereka ini juga tidak perihatin dengan keperluan pengguna.

Kalau dulu ada pekerja yang ditugaskan untuk mengelap cermin kereta tapi selepas dilaksanakan sistem layan diri atau self servis tuan punya kereta terpaksalah bersihkan sendiri.Ingat lagi kenapa sistem layan diri diperkenalkan?.Sebabnya adalah untuk menjimatkan kos operasi iaitu dengan mengurangkan jumlah pekerja dan sebab kedua adalah sukar untuk mendapatkan pekerja.Ini bermakna apabila kos dikurangkan pendapatan taukenya akan semakin meningkat seterusnya tauke tersebut akan menjadi kaya dan semakin kaya betul tak? tapi takkanlah benda macam ni pun tak boleh sediakan? atau mungkin tauke stesen minyak mengharapkan benda macam ni tak perlu disediakan biar pengguna bawa sendiri.

Walau apapun perniagaan menjual minyak seperti petrol stesen ini memang satu perniagaan yang menguntungkan sebab ia menjadi keperluan penting pada semua pemilik kenderaan dan satu sebab lagi adalah minyak petrol ini walau lambat habis atau tersimpan lama ianya TAK AKAN BASI.

ozzy - manusia semakin kaya semakin kedekut...

27 September 2012

BLOG SEBAGAI AKHBAR

Selama ini sekiranya ingin membaca sesuatu berita samada di dalam atau di luar negara akhbar merupakan pilihan utama bagi pembaca bukan hanya di negara kita malah di seluruh negara.

Di sebalik tabir akhbar tersebut pemberita memainkan peranan utama untuk menyampaikan maklumat berdasarkan sumber yang diperolehi.Bagi menyampaikan atau mengulas sesuatu topik penulis pula memainkan peranan untuk mengarang dan mengulas sesuatu topik menjadi satu bentuk info yang menarik untuk dikongsi bersama pembaca.

Kini, blogger dilihat memainkan peranan penting dalam menyampaikan info atau berita terkini yang mungkin tidak berjaya dihidu oleh para wartawan.Saban hari kita dapat membaca banyak sumber berkaitan sesuatu berita dipetik daripada laman blog terutamanya yang melibatkan isu-isu panas yang menjadi minat pembaca seperti berita politik dan kisah artis.Secara tidak langsung tugas wartawan menjadi lebih mudah dan jika dilihat dari sudut positif ia menjadi satu cabaran buat mereka untuk meningkatkan lagi prestasi mereka dalam mencari sesuatu berita untuk dijadikan cerita.

Jika kita lihat dari sudut lain sebenarnya ia turut menjadi satu kerugian pada blogger itu sendiri kerana catatannya dipetik secara percuma.Maka aku ingin memberi cadangan pada seluruh blogger apa kata jika minat dan usaha yang anda lakukan selama ini ditingkatkan setapak lagi dengan menjadikan blog sabagai satu sisipan akhbar.Aku mencadangkan agar blogger yang ingin memuat naik cerita dari blognya atau ingin terus menulis info kepada akhbar tersebut berdaftar dengan pengarang akhbar.Ini sekaligus memberikan sumber dua hala kepada blogger itu sendiri iaitu melalui penjualan akhbar dan dibayar mungkin berdasarkan royalti untuk setiap berita dan satu lagi adalah menerusi pendapatan dari blognya sendiri samada melalui iklan atau sebagainya.Kerjanya juga menjadi mudah hanya karang pada blog dan kemudian copy paste untuk dimasukkan ke dalam akhbar.

Aku percaya jika dilonggokkan segala cerita dari para blogger kita dapat lihat berbagai kisah dan ragam cetusan dari mereka yang gemar menulis dan mencurahkan sesuatu idea.Daripada kisah peribadi, novel atau cerpen sehinggalah ke kisah sensasi semuanya ada.Mungkin pada awalnya boleh dijadikan sebagai akhbar mingguan dan sekiranya mendapat sambutan ianya boleh diteruskan menjadi akhbar harian.

Amacam blogger semua? Apa pula kata dan pendapat blogger-blogger otai dan hebat-hebat? atau ada yang dah ingin cadangkan apa nama akhbar tersebut?..aku cadangkan ia dinamakan ' Berita Blog '.Siapa sangka dari suka-suka atau saja-saja tiba-tiba ia menghasilkan ganjaran lumayan...Apa kata anda?

ozzy - suka cari idea..

26 September 2012

METHADONE PEMBUNUH WARGA FELDA

Pernah dengar tentang ubat Methadone?.Bagi manusia normal yang tidak memerlukan ubatan ini dalam kehidupan mereka, pasti merasa asing mendengar nama ubat tersebut.

Tapi dikalangan penagih dadah terutamanya penagih dadah tegar pasti kenal dengan ubat yang berbentuk seperti air sirap ini.Ianya berfungsi untuk mengurangkan rasa ketagihan atau gian pada najis dadah atau boleh dikatakan sebagai pengganti dadah seperti heroin, morfin dan segala jenis dadah yang seangkatan dengannya.Pengambilannya tidak boleh diambil atau dibeli sesuka hati kerana perlu dipantau oleh doktor kerana setiap penagih perlu diperiksa tahap ketagihannya untuk dibekalkan dengan tahap DOS yang sesuai.Lagi kronik maka lagi tinggi dosnya.

Jika dibeli di klinik swasta harganya memang mahal antara 30 ke 50 ringgit sebotol 50ml.Bayangkan kalau hari-hari beli ubat ni mana mampu kecuali penagih tu anak jutawan kan? maka jalan lain adalah dengan melakukan cara lain untuk mendapatkannya tak kiralah samada dengan merompak, mencuri, meragut atau sebagainya semata-mata untuk mendapatkan ubat ini demi menghilangkan rasa ketagih.Kalau dah jadi macam tu mereka tetap dianggap penjenayah walau tujuannya adalah untuk menghilangkan rasa ketagihan atau menghindari dari mengambil dadah.

Balik kampung baru-baru ini aku sedang leka bersembang tiba-tiba topik tentang penagih dadah dan methadone terkeluar dari mulut salah seorang dari mereka yang merupakan salah seorang bekas penagih dan kini menjalani rawatan pemulihan dengan mengambil ubat ini yang disediakan di klinik kerajaan secara percuma.Aku menetap di kawasan felda yang semakin popular dengan gejala ketagihan dadah ini.Aku kemudiannya bertanya tentang keberkesanan ubat ini dan jawapannya adalah " Kerajaan bagi ubat ni pasal nak suruh warga felda semua cepat mati".Ehhh!! kenapa pulak macam tu tanya aku.

Menurutnya ubat methadone ini memang boleh mengawal rasa ketagih pada dadah tapi masalah lain pula timbul iaitu kita pula akan ketagih padanya (methadone).Katanya lagi ini bermakna kerajaan bukan nak tolong penagih tapi nak bagi teruk lagi dan lama kelamaan dosnya juga akan ditingkatkan supaya warga felda ni mati cepat.Aku tanya lagi "macamana pula dengan ubat methadone yang dibeli di klinik tu? kalau nak suruh mati cepat kenapa ada yang sanggup beli walau harganya mahal? maknanya kalau dia beli dia nak cepat mati lah ye?" dan jawapannya ubat kat klinik swasta tu tak 'pure' lagi sebab dah dicampur, kalau minum pun tak rasa apa-apa.pulakkk!!...maknanya kalau beli ubat tu lambat sikit mati ke? lantas dia terdiam.

Kemudian aku bertanya lagi " Kenapa nak salahkan ubat methadone? dan kenapa nak salahkan pihak yang cuba membantu? persoalannya kenapa kau hisap dadah tu? bukan ke itu bermakna kau sendiri yang pilih untuk mati cepat dengan mengambil dadah kan?? kalau kerajaan nak suruh semua warga felda mati cepat lebih baik bagi minum racun tikus".Jika dilihat pada statistik penghidap HIV/AIDS akibat penggunaan jarum suntikan oleh penagih dadah menunjukkan telah ramai anak warga felda yang maut kerananya.Maka persoalan lain adalah "apakah perlakuan tersebut (menghisap dadah) juga digalakkan oleh kerajaan?".

Dalam banyak perkara sebenarnya kesilapan samada pada kita atau pihak kerajaan adalah kita lebih gemar mengamalkan 'mengubati' dan bukannya 'mencegah' walaupun kita tahu mencegah itu lebih baik dari mengubati tapi dalam banyak perkara melibatkan apa jua isu kita lebih banyak mengambil langkah 'mengubati' berbanding 'mencegah'.

ozzy - tengok diri sendiri sebelum nak salahkan orang lain...

20 September 2012

APA PANGGILAN UNTUK SUAMI ATAU ISTERI

                                                                   ( gambar hiasan )
Perkahwinana merupakan satu perkara yang amat dituntut oleh agama Islam kepada mereka yang berkemampuan dan itulah juga impian kepada setiap pasangan untuk mendirikan rumahtangga serta hidup bahagia bersama pasangan masing-masing.

Zaman dulu atau 30 tahun dulu ramai yang mendirikan rumahtangga melalui pinangan ibu bapa atau mengikut pilihan keluarga tapi zaman ini amat jarang kita dengar ianya berlaku.Zaman ini biasanya ramai yang berkenalan terlebih dahulu kononnya untuk mengetahui hati budi masing² sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.Bermula dengan perkenalan yang disebut 'kawan' kemudiannya menjadi rapat sebagai kekasih juga disebut 'berkawan' dengan lebih rapat seterusnya melalui proses bertunang dan akhirnya diakhiri ke jinjing pelamin sebagai raja sehari sekiranya ditakdirkan itulah jodoh mereka.

Menarik untuk diperkatakan adalah kemesraan yang terjalin sewaktu bercinta dan bertunang.Ketika inilah mereka menjalani frasa yang mereka katakan untuk mengenali hati budi masing².Namun sejauh mana proses ini berjaya mereka harungi.Adat orang bercinta segalanya indah dan cantik dan bila hati dah suka proses ini hanyalah pelengkap pada soal hati mereka.Proses yang mereka lalui hanyalah untuk mengenali pasangannya dari luaran saja dan ketika ini jarang yang berterus terang serta ramai yang memilih untuk menyembunyikan kelemahan masing² kerana bimbang pasangannya akan mula menjauh atau mengundur diri.

Ketika ini ramai yang jarang atau agak keberatan untuk membicarakan soal perasaan kerana beranggapan ianya merupakan perkara yang mungkin agak sensitif pada pasangannya dan akhirnya ia terus tersimpan di dalam hati demi menjaga hati pasangannya.Ayat popular sebagai pengganti diri ketika ini adalah 'awak' selain dari I atau You.

Kerana 'terlalu' lama dan sebati dengan panggilan 'awak' akhirnya apabila telah diijabkabulkan panggilan ini terus kekal atas alasan telah serasi dengan sebutan tersebut dan alasan lain adalah pasangannya dapat terima dengan panggilan tersebut.Bagi pihak perempuan mungkin tiada masalah baginya meskipun ramai sebenarnya mengharapkan panggilan yang lebih manja atau mesra namun bagi pihak lelaki meskipun dimulut mereka berkata 'tak kisah' namun jauh di dasar hati mereka berkata panggilan tersebut tidak lagi sesuai dipanggil pada seseorang yang bergelar suami.Mereka sebenarnya lebih mengharapkan panggilan yang lebih menggambarkan diri mereka sebagai seorang ketua keluarga atau suami yang wajar dihormati.

Meskipun ia nampak kecil dan terpinggir tapi boleh memberi impak yang besar jika tidak ditangani atau dibawa berbincang.

ozzy - perasan ramai artis yang panggil 'awak' pada pasangannya dan tak hairan juga banyak pasangan artis yang bermasalah...

13 September 2012

APA PERANAN BLOGGER

Sebelum ini perkataan blogger agak asing pada masyarakat kita sehinggalah ia menjadi medium yang semakin popular pada mereka yang berminat dengan bidang penulisan mahupun sebagai platform untuk menyampaikan info pada orang ramai.

Terdapat berbagai variasi yang ditampilkan oleh setiap blogger bergantung pada minat atau niat masing².Ada yang suka menulis atau mencatatkan sesuatu tentang apa saja, ada yang menjadikan blog untuk mempromosikan produk mereka, ada yang sekadar ingin menambahkan pendapatan dengan memaparkan isu-isu dan berita terkini samada dari dalam mahupun dari luar negeri serta bermacam lagi.

Trend terkini menyaksikan blog yang memaparkan isu-isu politik atau isu-isu semasa menjadi blog pilihan pembaca samada blog pro kerajaan mahupun pro pembangkang.Di sinilah timbul persoalan apa peranan kita sebagai blogger.Bagi mereka yang gemarkan penulisan politik seperti ini memang menjadi kepuasan kepada mereka apabila dapat menyampaikan sesuatu berita serta membuat ulasan dan inilah sebenarnya peranan mereka sebagai seorang blogger.Samada sumber berita tersebut adalah sahih atau tidak yang penting mereka menjadi penyampai terawal untuk menerbitkan berita tersebut sekaligus peluang untuk meraih populariti serta 'traffic' yang tinggi lebih cerah.

Populariti mereka semakin meningkat apatah lagi nama dan blog mereka menjadi perhatian pihak media sebagai sumber rujukan atau sumber berita.Namun dalam keterujaan mereka menampilkan berbagai cerita panas mereka sebenarnya turut berdepan dengan risiko bakal disaman.Kalau ada yang nak bantu kira nasib baiklah tapi kalau tiada siapa bantu memang pening kepala nak bayar lebih-lebih lagi kalau jumlah saman mencecah jutaan ringgit itu belum masuk kos peguam serta kos mahkamah dan lain-lain.Kalau pendapatan dari blog jutaan ringgit kira berbaloi jugalah.Cuma kena ingat kalau hasil pendapatan banyak dari hasil membuat fitnah dan memburukkan orang lain maka apa yang diraih selama ini adalah hasil dari perbuatan kita sendiri yang memainkan peranan sebagai blogger dan kena ingat juga semua penulisan itulah yang akan kita tinggalkan selepas kita MATI ...

Anda seorang blogger?? apakah peranan anda sebagai blogger ..

ozzy - tak nak tambah dosa..

12 September 2012

HATI KERING

Biasa dengar kawan-kawan sebut hati kering?.Istilah hati kering asalnya tak ada dalam kamus dewan cuma menjadi sebutan bagi menggambarkan seseorang yang bersikap terlalu degil, tak takut pada sesiapa, tidak mempunyai belas kasihan, kejam dan berani berhadapan dengan apa jua risiko di atas tindakannya.

Hati manusia mahupun haiwan logiknya mana ada yang kering kecuali jika telah mati.Maksudnya mereka yang memiliki hati kering ni boleh dipanggil mayat hidup la kot sebab hatinya dah kering tak ada lagi darah yang dipam masuk kedalamnya.

Kebiasaannya seseorang yang layak untuk dikategorikan sebagai hati kering adalah seorang yang tidak pernah serik untuk melakukan sesuatu yang mencabar serta berisiko.Biarpun pernah beberapa kali mengalami kemalangan atau kecelakaan, mereka yang dikategorikan sebagai hati kering ini tidak akan pernah serik malah menjadi satu kepuasan serta kebanggaan pada mereka apabila melakukan perkara tersebut.

Antara yang memiliki hati 'istimewa' ini adalah terdiri daripada mereka yang memilih kerjaya atau jalan hidup yang berisiko tinggi seperti gangster atau kaki pukul serta pembunuh upahan.Pada mereka tiada istilah belas kasihan pada sesiapa saja bukan hanya membelasah mangsanya malah sanggup membunuh pada bila-bila masa saja.Ia berbeza dengan manusia biasa atau normal yang mempunyai 'hati basah' yang bukan hanya tidak sanggup mencederakan orang lain apatah lagi untuk membunuh.

Hati kering turut dituntut dan menjadi kriteria pada beberapa kerjaya lain seperti pelumba motorsikal , pendaki gunung, penembak tepat (dalam pasukan polis), komander (askar) kerana semua kerjaya tersebut memerlukan keberanian yang tinggi cuma bezanya hati mereka ini hanya kering sewaktu mereka menjalankan tugas berbanding dengan mereka yang berhati kering setiap masa.

Kalau setakat degil atau nakal itu belum layak dikategorikan sebagai hati kering terutamanya pada anak muda kerana mereka ini sebenarnya sedang menjalani proses untuk menjadi lebih matang.Pastinya banyak perkara yang ingin dicuba disebabkan keinginan mereka untuk lebih tahu terutama sekali perkara yang seringkali ditegah selain dari faktor lain seperti perasaan memberontak atau inginkan perhatian. Cuma seringkali terjadi adalah mereka tersilap langkah bukan atas sebab hati kering tapi atas sebab ingin merasa atau mencuba.

Contohnya cuba untuk menghisap dadah yang akhirnya membuatkan mereka hanyut menjadi penagih dadah dan apabila menjadi penagih dadah atau dipengaruhi oleh dadah hati mereka akhirnya menjadi kering kerana inginkan bahan tersebut tidak kira dengan apa jua cara sekalipun meskipun hingga sanggup membunuh keluarga sendiri.Begitu juga mereka yang amalkan seks bebas hingga akhirnya berlaku kes buang bayi di sana sini.Segalanya juga bermula atas perasaan ingin tahu atau cuba-cuba tapi akhirnya mereka menjadi ketagih dan tidak pernah serik meskipun pernah menggugurkan bayi yang dikandung ataupun membunuh bayi itu sendiri.Mereka ini sebenarnya bukan berhati kering tapi lebih kepada tuntutan nafsu serta rasa ketagih.Kerana itu ramai diantara mereka tidak membunuh bayi tersebut tapi meninggalkannya di mana-mana tempat samada ketika bayi itu masih bernyawa mahupun telah meninggal dunia.

ozzy - dalam hati ada taman...selalu basah dan segar.
  

11 September 2012

HINA BESI KERANA KARAT HINA MANUSIA KERANA MELARAT

Sebagai manusia normal tiada siapa yang suka dirinya dihina.Malah binatang juga sekiranya mereka mampu untuk berfikir dan mempunyai perasaan seperti manusia mereka juga tidak akan sesekali membiarkan diri mereka dicaci dan dihina.Begitu juga dengan makhluk lain di dunia ini semuanya tidak sesekali suka diri mereka dihina.

Hina besi kerana karat..itulah yang terjadi pada sebatang besi.Besi merupakan satu bahan yang murah dan mudah diperolehi.Namun kelemahannya adalah ia mudah berkarat teutamanya bila terdedah di tempat yang terbuka apalagi di tempat yang memudahkan ia berkarat seperti di tepi pantai atau di kawasan yang terdedah pada panas dan hujan.

Mungkin pada asalnya ia merupakan satu bahan yang diukir dan dibentuk dengan cantik untuk dijadikan perhiasan yang menarik.Pastinya ramai yang memuji dan tak kurang juga yang membelai kerana keindahannya, namun lama kelamaan apabila ia mula berkarat sedikit demi sedikit ia tidak lagi menjadi satu bahan yang menarik untuk dipamerkan malah dihina kerana mencacatkan pandangan.Akhirnya ia menjadi bahan terbuang yang hanya mempunyai sedikit nilai untuk dijual sebagai besi buruk.


Hina manusia kerana melarat...ia bukan sekadar ungkapan tapi ia adalah satu realiti dalam kehidupan kita di dunia ini.Inilah yang bakal kita terima apabila hidup kita melarat.Tiada tempat tinggal, tiada duit mahupun harta benda untuk dijadikan bekalan untuk berbelanja.Kawan-kawan mula menjauhkan diri kerana tidak mahu kita menyusahkan mereka.Lebih teruk lagi bila saudara mara mahupun adik beradik juga enggan membantu malah turut memandang hina pada saudaranya sendiri.

Justeru itu jangan kita ingat sekiranya hari ini kita dilimpahi dengan kemewahan dan kesenangan segalanya akan kekal buat selamanya.Jangan kita ingat ketika ini sewaktu dilimpahi kemewahan rakan-rakan mudah datang mendampingi dan mendekati kerana apabila kita melarat mereka akan mula menjauhkan diri.Ketika inilah kita memerlukan kehadiran sahabat kerana hanya sahabat yang sudi menerima dan mendampingi sahabatnya. Memang benar kata-kata 'lebih baik kita mempunyai seorang sahabat yang baik dari mempunyai seribu kawan yang tidak tahu menilai erti persahabatan'.

Tiada siapa sebenarnya ingin hidup melarat namun terkadang takdir tuhan mengatasi segalanya.Meskipun telah berusaha namun jika telah ditakdirkan qada' dan qadar dari Allah S.W.T apalagi yang mampu mereka ini lakukan. Sesungguhnya mereka semua dan kita semua juga tidak suka dihina.Selagi mampu dan boleh berusaha maka berusahalah agar kita tidak hidup melarat dan agar kita tidak terus dihina.

Besi yang berkarat dan dibuang boleh dipungut untuk dikitar semula tapi manusia yang melarat belum tentu lagi di mana kesudahannya...mungkinkah selamanya akan dihina?.

ozzy - berusahalah agar kita tidak hidup melarat... 

10 September 2012

TALAM DUA MUKA

Talam dua muka membawa maksud seseorang yang bersikap suka berpura-pura atau bermuka-muka kepada dua belah pihak.Bila berhadapan dengan satu pihak dia akan meracuni fikiran pihak tersebut dan bila  berada di satu pihak lagi dia akan meracuni pula fikiran pihak itu.

Individu seperti ini boleh juga digelar hipokrit dan tidak mustahil juga dia memiliki sifat sebagai batu api untuk memecah belahkan hubungan antara rakan yang lain.Mereka ini sebenarnya adalah pelakon yang paling hebat kerana bijak melakonkan watak mereka dengan berkesan dan berjaya mempengaruhi fikiran orang lain.

Namun yang lebih membahayakan lagi adalah mereka yang bersifat seperti talam empat muka.Seperti yang kita tahu talam hanya mempunyai dua permukaan tetapi manusia mempunyai view yang lebih advance dan boleh menjadi lebih teruk daripada talam.Manusia mempunyai empat view atau arah pandangan iaitu depan, belakang, kiri dan kanan.

Inilah yang sering kita perhatikan di zaman ini cuma antara sedar mahupun tidak.Semakin lama semakin teserlah sikap mereka yang bijak bermuka-muka ini.Pada pandangan depan kita dapat lihat wajah mereka tersenyum manis dan pastinya kita mudah terpedaya dengan raut wajah yang ditampilkan lantas kita terus mentafsirkan bahawa 'wajah' itu sungguh manis dan pastinya pemiliknya mempunyai hati yang baik dan bersih.Menariknya kerut wajah ini boleh berubah sekelip mata sebaik saja dia menoleh ke kanan terus menjadi wajah yang sedih sehingga membuatkan kita merasa simpati dan hati kita menjadi sayu. Seterusnya apabila dia menoleh ke kiri wajahnya tiba-tiba berubah menjadi masam mencuka.Bukan suatu yang mengejutkan apabila wajah ini berpusing ke view belakang ia menjadi satu wajah yang bengis dan garang hanya dalam sekelip mata.Hebatkan!!..

Inilah yang membuatkan kita sering keliru dan tertipu kerana yang sering kita perhatikan hanyalah pada view atau pandangan depan.

ozzy - segalanya terletak pada hati bukan pada wajah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...