31 Ogos 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 54

Tepat jam 12 malam ini kita semua seluruh rakyat Malaysia akan menyambut hari Kemerdekaan negara kita yang ke 54.Tahun ini mungkin suasana sambutan hari kemerdekaan agak suram kerana ramai warga kota yang pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.Pastinya kemeriahan sambutan hari kemerdekaan kali ini juga tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang dipenuhi dengan kaum Melayu di kawasan tumpuan utama iaitu di Dataran Merdeka.

Jika kita perhatikan setiap tahun sambutan hari kemerdekaan ini majoriti yang nampak bersungguh hanyalah kaum Melayu atas semangat patriotik manakala kaum lain lebih berminat untuk menjadi pemerhati.Kita boleh perhatikan bagaimana sambutannya di tempat lain yang di dominasi oleh kaum bukan Melayu ketika sambutan ini suasana serta gaya sambutannya adalah berbeza sebagai contoh di Sunway Lagoon.Memang nampak meriah tapi kemeriahannya hanya berupa pesta dan bukan seperti menyambut satu hari yang penting atau hari yang bersejarah.

Apa yang diharapkan adalah semoga negara kita yang tercinta ini terus mencapai kejayaan yang cemerlang agar kita sebagai rakyatnya dapat hidup dalam suasana yang tenang dan damai. Hargailah apa yang kita perolehi hari ini.Sejak akhir-akhir ini hadir berbagai bentuk ancaman untuk mengikis kepercayaan rakyat dan merubah fakta sejarah demi kepentingan politik serta untuk mencapai impian mereka biarpun kita semakin lama semakin berpecah.Begitu bersungguh kita cuba menjaga hati dan perasaan orang lain biarpun kita bermusuh sesama sendiri.Untuk mencapai dan mengecapi kemerdekaan bukanlah mudah tetapi untuk menghancurkannya tidaklah terlalu susah.

Kita sering mengucapkan syukur kerana dilimpahi keamanan dan kesejahteraan hidup di bumi bertuah ini tetapi apa maknanya syukur kalau kita berterusan cuba dan teringin sangat untuk memusnahkannya.Apabila segalanya musnah bukan mudah untuk kita membinanya semula tapi beginilah sikap kita selagi belum terhantuk selagi itulah kita teruskan juga tapi bila dah terhantuk kita salahkan pula orang lain.

Ozzy - Semoga negara kita terus aman... 

28 Ogos 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1432H & SELAMAT BERCUTI


Sempena menyambut ketibaan 1 Syawal ini aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri pada semua sahabat serta rakan-rakan yang mengenali diri ini samada yang sering bertemu mahupun sahabat di alam cyber ini terutama pada rakan blogger yang sering singgah mahupun pernah 'tersinggah' di sini.

Di kesempatan ini juga aku ingin memohon maaf jika penulisan aku di sini pernah menyentuh hati sesiapa atau jika terdapat apa jua kesilapan aku dalam mengukir ayat samada di dalam entri aku sendiri mahupun di dalam ruangan komen teman-teman semua.

Sebagai manusia ada kalanya dalam tidak sedar apa yang kita tulis mungkin pernah mengguris hati dan perasaan ramai insan lain terutama pada mereka yang singgah dan membaca apa jua penulisan yang pernah kita terbitkan.Tidak lupa juga aku ingin memohon maaf pada rakan-rakan di luar sana jika ada tersilap kata atau terkasar bahasa sepanjang kita bersahabat.Semoga persahabatan kita semua kekal hingga ke hujung nyawa dalam suasana harmoni dan saling menghormati serta bermaafan sesama kita.

Akhir kata semoga Hari Raya ini disambut dengan meriah bersama semangat muhibbah..hati-hati memandu kepada mereka yang akan pulang ke kampung dan bersabar di jalan raya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI..MAAF ZAHIR  & BATIN

                 

ozzy - dan juga selamat bercuti....

19 Ogos 2011

KITA MUDAH SIMPATI PADA PEMINTA SEDEKAH

Saban hari kita dapat melihat kebanjiran pengemis dan peminta sedekah terutamanya di tempat yang sibuk dan tempat yang menjadi laluan utama seperti di persiaran kaki lima.
Walaupun kerap kali operasi dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membenteras masalah ini namun bilangan pengemis ini masih lagi berleluasa dengan kaedah yang berbeza.

Walaupun seringkali didedahkan dengan taktik penipuan yang dilakukan oleh segelintir dari pengemis ini dan ada antaranya didalangi oleh sendiket yang tertentu tetapi kita tetap diselubungi dengan rasa simpati apabila melihat keadaan mereka lebih-lebih lagi sekiranya mereka cacat dan turut sama menggendong anak kecil.

Melalui kiriman email yang aku terima dari seorang rakan, ia mendedahkan keadaan sebenar segelintir daripada mereka hasil pendedahan oleh wartawan Mazidul Akmal Sidek.Sedikit sebanyak pendedahan ini menjawab berbagai persoalan yang bermain di fikiran aku setiap kali melihat pengemis seperti ini yang sering ditemui samada di Pasar Malam atau di kaki lima.Apa yang sering aku fikirkan adalah bagaimana dia boleh berada di sini dalam keadaan cacat seperti ini? di mana dia tinggal? dari mana dia datang? dan berbagai lagi persoalan yang lain.


Pengemis yang cacat ini berada disalah sebuah lokasi di bazar ramadan ketika umat Islam sedang sibuk memilih juadah untuk berbuka puasa.

Melihat pada keadaan fizikalnya yang cacat pasti mengundang rasa simpati pada setiap pengunjung apatah lagi di bulan yang mulia ini kita digalakkan bersedekah untuk menambahkan lagi amal jariah.Kita beranggapan apa salahnya hulurkan seringgit dua untuk membantunya dengan ikhlas dan menambahkan lagi pahala kita dengan bersedekah pada golongan yang kurang berkemampuan seperti ini.
Setelah kira-kira sejam berada di situ beliau diminta menunjukkan hasil yang diperolehi dan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak rm 60 tidak termasuk duit syiling yang masih belum dikira.Satu jumlah yang agak lumayan untuk 'kerja' selama satu jam berbanding peniaga di situ yang belum tentu memperolehi jumlah atau keuntungan yang sama untuk jangkamasa selama satu jam.

Beliau kemudiannya dilihat bergerak kesatu lokasi setelah merasakan 'tugasnya' sudah selesai untuk hari ini dalam tempoh kira-kira satu jam bersama hasil yang agak lumayan.Tapi kemana arahnya?inilah persoalan yang bakal terjawab.




Dari bawah sebuah kenderaan beliau dilihat mengeluarkan kaki palsunya yang disembunyikan disitu dan kemudian memakainya.


Beginilah keadaannya setelah kaki palsunya siap disarungkan dan troli serta kopiah yang digunakan semasa meminta sedekah disimpan ke dalam begnya untuk digunakan semula selepas ini.Maka terjawablah persoalan aku sebelum ini bagaimana mereka yang cacat ini boleh berada di sini.


Kemudiannya beliau diminta kembali semula ke bazar ramadan dalam keadaan 'normal' untuk membeli juadah sambil disaksikan oleh pengunjung yang mungkin antaranya telah memberi sedekah kepada 'seorang yang cacat dan tidak berkeupayaan'.Apa perasaan kita apabila melihat adegan seperti ini??..Nak maki hamun rasa macam sia-sia je amal jariah kita sebentar tadi kan..

Setelah itu beliau kemudiannya berlalu untuk menuju ke destinasi lain dan meneruskan lakonan yang serupa bagi meneruskan hidup melalui skrip yang sama.






Sempat melambaikan tangan sebelum menahan sebuah teksi untuk menuju ke destinasi yang seterusnya.






Apa yang kita fikirkan apabila melihat adegan seperti ini?.Mudah bukan untuk meraih simpati dari penduduk negara ini hanya melalui lakonan seperti ini dan kita juga berada dalam keadaan serba salah apabila melihat keadaan mereka seperti itu.Memang benar kita bersyukur kerana kehidupan kita mungkin lebih baik darinya jika diukur dari segi fizikal.Namun apabila melihat keadaan ini mungkin kita akan beranggapan kita sebenarnya membuat amal pada individu dan tempat yang salah kerana sebenarnya ada insan lain yang lebih mengharapkan sumbangan dari kita berbanding pemuda tersebut.Pemuda ini dikatakan berasal dari Kemboja dan telah mendapat kecacatan sewaktu negara mereka diserang dahulu.

Kita sebenarnya berada dalam keadaan serba salah dan sering keliru apabila berhadapan dengan keadaan seperti ini atas faktor perikemanusiaan serta belas kasihan.Agak sukar untuk kita menilai perlakuan setiap dari mereka samada mereka benar-benar memerlukan bantuan atau apakah sebenarnya yang kita lihat itu hanyalah lakonan daripada mereka untuk meraih simpati dari kita. Seringkali kita diingatkan dan diasuh agar bersangka baik dan membuang sikap curiga pada orang lain apatah lagi seseorang yang kita anggap seagama dengan kita walaupun kita tidak pasti status agamanya yang sebenar.

Begitu juga dengan pengemis 'buta' yang seringkali berlegar di warung-warung makan untuk meminta sedekah.Kita beranggapan apalah sangat nilai sekeping kertas satu ringgit yang diberikan pada mereka namun dalam tidak sedar kita sebenarnya menggalakkan lagi 'kerjaya' ini terus bercambah.Kita juga sering beranggapan bahawa kita menderma dengan seikhlas hati selebihnya kita serahkan pada Allah yang maha kuasa kerana kita merasakan amat sukar untuk menilai manusia sesama manusia.

p/s - kredit pada wartawan Mazidul Akmal Sidek yang membuat pendedahan ini..

ozzy - selalu rasa tak sampai hati ... tak beri salah nak beri pun rasa serba salah

16 Ogos 2011

KUIH RAYA BUAT SENDIRI ATAU BELI

Sambutan Hari Raya bagaikan tidak lengkap jika tiada kuih raya yang dihidangkan.Terdapat berbagai kuih traditional yang begitu significant bagi masyarakat Melayu yang beragama Islam sebagai hidangan pada tetamu di Hari Raya nanti.Antara yang menjadi pilihan dan sering kita temui adalah kuih semprit,kuih tat nenas,kuih makmur,kuih bahulu dan bermacam lagi kuih-kuih traditional yang menjadi simbol pada kuih raya.

Selain dari kuih raya turut dihidangkan ketupat atau lemang untuk menyerikan lagi sambutan hari raya bersama saudara mara atau rakan-rakan.Ada juga yang menyediakan hidangan berat seperti satay, nasi dagang atau laksa bergantung pada kehendak masing-masing.Begitu juga dengan hidangan lain sebagai tambahan seperti kerepek,maruku dan bermacam jenis kacang turut disediakan.

Apa yang sering kita perhatikan kuih traditional tersebut kebanyakannya diperbuat daripada bahan asas seperti tepung,mentega dan telur.Kerana itu kebanyakannya mempunyai rasa yang hampir sama hanya bentuknya sahaja yang berbeza dan diberi sedikit penambahan seperti kelapa atau coklat atau bahan perisa yang lain untuk mempelbagaikan jenis-jenis kuih tersebut.Jika dahulu kebanyakan kuih dibuat sendiri oleh keluarga sebagai hidangan di hari raya tapi suasana hari ini telah jauh berubah di mana kita lebih selesa membeli kuih yang telah siap dijual.Kalau yang dibuat sendiri pun mungkin satu atau dua jenis sahaja.

Alasannya kerana kita sibuk dan tak ada masa.Alasan lain adalah kerana kos untuk membuat kuih juga mahal.Kalau nak beri alasan malas nak buat tak sedap pula bunyinya maka alasan leceh nak buat mungkin lebih sesuai.Maka sekiranya ditanya boleh dikatakan ramai yang akan mengakui bahawa sekarang ini kuih raya adalah yang dibeli atau 'kuih tunjuk' dan bukan dibuat sendiri.Ini sekaligus merancakkan lagi industri membuat dan membekalkan kuih raya kerana senario kita sekarang ini adalah samada mampu beli atau terpaksa beli.Kalau tak mampu beli mungkin nak atau tak nak terpaksalah kita buat sendiri.

Apa yang kita perhatikan juga kuih-kuih tersebut kini diberi nama yang lebih moden dengan sedikit penambahan pada resepi atau adunannya tetapi masih mengekalkan ciri-ciri kuih raya.Kuih yang masih kekal namanya adalah kuih semprit mungkin kerana sebutannya agak unik.Kuih yang semakin popular pula adalah kuih 'Almond London' yang sering menjadi pilihan sebagai hidangan di hari raya kerana boleh dikatakan inilah kuih yang paling digemari kerana diselaputi cokelat dan kacang di dalamnya.Jika di lihat pada sebutan dan namanya ia agak berlawanan kerana tiada unsur kemelayuan tetapi menjadi hidangan popular di hari raya.Bagaimana kuih ini boleh bertapak dan menyusup masuk ke dalam senarai kuih raya? jika tidak masakan ia menjadi popular sebagai hidangan di hari raya?.Siapa Almond London?.

Sebenarnya inilah peluang kepada pengusaha atau pembekal kuih raya untuk memperkenalkan jenamanya sendiri.Apa yang perlu mereka lakukan adalah mencipta resepi sendiri berdasarkan ciri-ciri kuih melayu dan mengukir bentuknya untuk menjadi satu ikon kuih raya.Kuih tersebut kemudiannya diberi nama sebagai contoh 'kuih ozzy' dan kemudiannya dipasarkan.Sekiranya resepi ini diterima dan mendapat sambutan yang menggalakkan maka orang lain juga akan membuat kuih dengan bentuk yang sama tetapi tetap dipanggil sebagai 'kuih ozzy'.Tahun berikutnya kita perbagaikan lagi resepi serta bentuk kuih tersebut dan kita boleh namakan sebagai 'kuih Amy', 'kuih Ayu', 'kuih Awang', 'kuih Yassin', 'kuih Minah' dan sebagainya menjadikan kita sebagai perintis atau penciptanya.

Manakala kita sebagai pencipta resepi mesti mengekalkan rasa kuih tersebut dan pastikan tersembunyi satu rahsia atau 'secret recepi' pada kuih tersebut supaya keasliannya terpelihara dan tidak boleh ditiru oleh orang lain.Mereka boleh membuat dan menjual 'kuih ozzy' tapi rasanya tidak akan sama sebagaimana yang kita pasarkan sebagai 'kuih ozzy' yang origional dan ini sekaligus mengukuhkan jenama dan syarikat kita sendiri.Namun berapa ramai antara kita yang berani mencuba? sebabnya kerana kita takut gagal dan takut rugi jika tidak laku dan kita lebih selesa menjadi pengikut.Masalah lain adalah kita orang Melayu jarang memberi sokongan pada produk yang dibuat oleh orang melayu dan kita lebih rela menyebutnya dengan nama 'Almond London' walaupun ia dibuat dan diadun oleh tangan kita sendiri.

Kerana itu juga yang sering kita lihat adalah nama-nama lain yang muncul dan menguasai pasaran kuih raya seperti 'Almond London' , 'Cappucino' , 'Mazola' 'Marvelous' dan bermacam lagi.Jadi apa salahnya kalau kita buat sendiri dan labelkan dengan nama kita sendiri.Bila berhari raya di rumah kawan dan dengar kawan kita kata " wahh..sedapnya kuih ozzy ni..beli kat mana?..tahun depan aku nak order sebakul " kan bangga tuu...

ozzy - belum pernah cuba buat resepi sendiri....

15 Ogos 2011

MESEJ DARI ANONYMOUS AKAN MENYERANG FACEBOOK PADA 5 NOV 2011

Nampaknya penguasaan anonymous sebagai hackers yang terkemuka kini semakin digeruni.
Sewajarnya pihak cyber security perlu merasa tercabar dengan kebolehan mereka yang begitu mudah menceroboh masuk ke website yang menyimpan data serta dokumen yang dianggap penting. Mereka ini pastinya terdiri dari golongan yang pakar dalam bidang IT tetapi menggunakan kepakaran mereka pada jalan yang salah walau apa saja niatnya.

Sebelum ini mereka telah membuktikan kepakaran mereka dengan menceroboh beberapa laman web termasuk Sony playstation serta beberapa laman web kerajaan Malaysia sehingga menimbulkan kekecohan.Bukan hanya dari anonymous malah turut melibatkan group hackers yang lain yang turut sama ingin menguji kepakaran mereka dalam bidang ini.Pastinya jika berjaya ia memberikan keseronokan dan kepuasan buat mereka yang terlibat meskipun tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Jika selama ini kita sering dibelengu dengan ancaman virus yang menyerang computer secara senyap atau tersembunyi sebaliknya hackers atau penggodam ini lebih gentle dengan mengumumkan sasaran mereka.Setelah berjaya mereka dengan bangganya mendedahkan mangsa mereka beserta pengakuan mereka yang telah berjaya menjadi penceroboh sekaligus membuktikan kehebatan mereka di mata dunia.

Kali ini anonymous tampil lagi dengan membawa mesej yang hampir serupa dan sasaran mereka kali ini adalah pada laman sosial yang paling popular ketika ini iaitu facebook pada 5 nov ini. Bermakna pihak facebook diberi masa selama kira-kira 3 bulan lagi untuk bersiap sedia dengan serangan ini.Berjayakah misi mereka kali ini?? Kita dengar apa kata Anonymous dalam mesej mereka.

                           

Di sebalik kehangatan siri serangan hackers ini apa yang ada dalam fikiran aku adalah ia bakal memberikan idea pada pengarah filem untuk menjadikan hackers ini sebagai sebuah filem.Mungkin idea tersebut sedang bermain di fikiran penerbit filem atau mungkin mereka sedang mempelajari serta memperhalusi bagaimana untuk menghasilkan filem ini samada dalam bentuk action atau suspen...tak percaya? sama-sama kita nantikan dan sekiranya ada ingatlah pada BICARA OZZY.

ozzy - tertanya-tanya apa sebenarnya kerja anonymous ni..

14 Ogos 2011

ARLENE TAN BUKAN MAKCIK HAJJAH SITT AL-WUZARA - GAYSEC MOHON MAAF SECARA TERBUKA

Sebelum ini ramai yang memperkatakan berkenaan pendedahan daripada pihak Gaysec.net bahawa Arlene Tan sebagai suspect yang dituduh menyamar sebagai Hajjah Sitt Al-Wuzara.
Hajjah Sitt Al-Wuzara merupakan seorang individu yang kini sedang giat diburu berikutan kenyataannya yang sering menghina Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w samada di dalam blog mahupun twitter.Ramai yang mengharapkan beliau segera ditangkap sekaligus menghentikan penghinaannya terhadap Agama Islam.

Setelah dua kali menyiarkan kenyataan mereka berhubung tuduhan tersebut melalui operasi mereka yang dikenali sebagai ops ramadan, akhirnya pihak Gaysec tampil membuat pengakuan bahawa mereka telah melakukan kesilapan dan sasaran mereka iaitu Arlene Tan bukanlah Hajjah Sitt Al-Wuzara.Bersama pengakuan tersebut juga pihak Gaysec mengemukakan permohonan maaf secara terbuka pada Arlene Tan.


Dengan pengakuan serta kenyataan tersebut juga maka entri yang pernah aku terbitkan berhubung perkara tersebut sebelum ini juga turut dipadam.Untuk membaca kenyataan penuh sila klik DI SINI .


Diharap pihak Gaysec atau sesiapa saja lebih berhati-hati dan membuktikan kesahihannya terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan selepas ini kerana isu tersebut merupakan isu panas yang boleh membahayakan keselamatan individu yang tertuduh.

ozzy - masih menantikan siapa sebenarnya Hajjah Sitt Al-Wuzara...

13 Ogos 2011

TEMAN SETIA DI BULAN PUASA

Sesekali aku teringat pada kenangan sewaktu berpuasa di zaman kanak-kanak dulu dan aku pasti anda semua juga menyimpan berbagai kenangan ketika itu.Melihat pada kanak-kanak hari ini, ujian mereka tidak seberat sebagaimana zaman aku kanak-kanak dulu.Pagi selepas bangun sahur aku dah bersiap bersama beg yang digalas untuk ke sekolah yang terletak kira-kira 800 meter dari rumah.

Ketika itu kami golongan kanak-kanak hanya berjalan kaki sambil menggalas beg yang berat untuk ke sekolah kerana ayah belum mampu lagi untuk membeli motorsikal mahupun menyediakan basikal untuk kami.Namun kami semua seronok bila berjalan berkumpulan ketika pergi ke sekolah sambil berbual-bual.Waktu balik paling menyeksakan kerana bukan hanya kami berhadapan dengan cuaca yang panas terik tetapi juga terpaksa memikul beg sekolah yang berat.

Sampai saja di rumah selepas tukar baju sekolah dan mandi lokasi yang di cari adalah lantai yang ada simen kerana di situlah tempat untuk berbaring sambil menyejukkan badan kerana ketika itu belum ada satupun kipas angin di rumah apatah lagi aircond.Baru sekejap dapat lelapkan mata, mak kejutkan pula untuk bersiap ke sekolah agama.Sekali lagi aku mencungap dalam keadaan cuaca yang panas terik untuk berjalan kaki ke sekolah agama yang terletak kira-kira 1 km dari rumah.

Hidangan berbuka hanyalah apa yang emak masak dan hidangkan sementara air pula samada air teh panas ataupun air kosong kerana ketika itu belum ada lagi peti sejuk.Menariknya adalah jiran-jiran akan bertukar juadah antara satu sama lain, maka dapatlah kami merasa beberapa jenis kuih dan hidangan yang berbeza.Namun kepenatan sewaktu berpuasa di siang hari serta merta lenyap apabila kami golongan kanak-kanak mula berkumpul beramai-ramai selepas waktu berbuka untuk sama-sama bermain.Paling meriah adalah ketika tibanya malam tujuh likor memang riuh dengan suara kanak-kanak bermain.Sesekali kami turut ke masjid untuk sama-sama sembahyang terawih dan bersama-sama menghadap hidangan moreh yang disediakan oleh penduduk secara bergilir.

Hari ini suasana sudah jauh berbeza bukan hanya pada kanak-kanak di bandar malah kanak-kanak di kampung juga tidak lagi merasai kemeriahan dan keperitan tersebut.Pergi dan balik sekolah akan di hantar oleh ayah ataupun dengan menaiki van sekolah yang tersedia sehingga ke pintu pagar sekolah dan tidak perlu lagi bermandi peluh berjalan kaki di bawah panas terik matahari. Alhamdulillah..hidup kita kini semakin senang meskipun tidak terlalu mewah untuk menyediakan kemudahan demi anak-anak kerana kita tidak mahu anak-anak kita merasai keperitan yang pernah kita tempuhi.Terbit rasa kasihan dan sedih apabila mengenangkan kepenatan anak-anak kita berjalan kaki untuk ke sekolah kerana kita pernah melalui detik tersebut.Mungkin dulu mak ayah kita juga sedih tapi mereka perlu akur pada kemampuan mereka ketika itu dan ketika itu kita juga akur pada kesusahan ibu dan ayah.

Juadah berbuka kita turut sediakan apa saja yang anak-anak inginkan kerana kita mampu untuk belikan malah ada kalanya ia hanya menjadi santapan pada tong sampah kerana tidak mampu untuk dihabiskan.Kita sediakan segalanya untuk mereka kerana kita pernah melalui perasaan inginkan hidangan yang enak sewaktu berbuka puasa satu ketika dulu tapi kita akur pada apa yang dihidangkan meskipun hanya sekadar pisang goreng atau cucur kodok.Alhamdulillah...kini kita gembira apabila melihat anak-anak kekenyangan selepas berbuka puasa walaupun satu ketika dulu kita mungkin hanya kenyang kerana banyak minum air sewaktu berbuka puasa dan kita gembira melihat mereka jauh lebih selesa dengan tidur di bawah kipas angin atau aircond.

Namun kemeriahan selepas berbuka puasa kini tidak lagi dirasai oleh kanak-kanak hari ini.Tiada lagi kedengaran riuh rendah kanak-kanak berlari dan bermain.Kalau adapun mungkin akan kedengaran suara mereka di surau sewaktu menemani ayah atau ibu untuk sembahyang terawih.Kanak-kanak hari ini mungkin hanya mengenali malam tujuh likur kerana ia disebut oleh orang tua tetapi mereka tidak lagi merasai kemeriahan malam tersebut.Agak jarang kelihatan tradisi memasang pelita apatah lagi untuk melihat kanak-kanak berarak membawa unggun api sebagaimana yang pernah kami lakukan dulu.

Jika dulu di zaman kanak-kanak lantai simen merupakan teman setia untuk aku berbaring kerana kepanasan tapi kini meskipun telah ada kipas angin atau kipas syiling namun bahangnya masih terasa.Kalau nak pasang aircond 24 jam tak tahan pula nak tengok bilnya nanti.Sebagai alternatif aku mencari teman yang paling setia dan menjimatkan..dan inilah dia


Inilah teman yang paling setia ketika bulan puasa...bantal sejuk.Dulu masa kecik-kecik tak ada bantal busuk tapi sekarang dah ada bantal busuk tapi sejuk hehe..Apabila tidak digunakan bantal ini akan disimpan di dalam peti sejuk tapi jangan letakkan di ruang sejuk beku nanti tak boleh peluk sebab keras dan beku.Kalau anak-anak merasa panas beri saja bantal ini untuk mereka peluk atau diletakkan di dahi untuk mengurangkan kepanasan dan ia juga elok digunakan apabila diserang demam panas.Harganya taklah mahal tak sampai pun rm 20 tapi ternyata ia boleh menjadi teman yang paling setia...cubalah.

ozzy - setiap kali ramadan tiba pasti akan terkenang zaman kanak-kanak....

12 Ogos 2011

BANTULAH ISTERI DI BULAN PUASA NI

Jika kita melihat tugas seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kita sememangnya memenatkan apatah lagi di zaman ini ramai para isteri yang turut bekerja bagi meringankan beban suami atau menambahkan lagi pendapatan seisi rumah.
Memang benar tugas-tugas menguruskan rumahtangga seperti mengemas, memasak,menjaga anak dan membasuh adalah tanggungjawab seorang isteri tetapi apa salahnya kalau sekali sekala suami turun padang dan 'hulurkan tangan ringankan beban'.

Satu perkara yang sering difikirkan oleh suami apabila mereka ingin membantu adalah sekali mereka tolong kerja tersebut akan terus menjadi tugasnya.Contohnya apabila suami tolong membasuh baju si isteri akan lepas tangan dan menganggap tugas tersebut adalah tugas suaminya.Maka berlonggoklah kain baju menantikan si suami datang untuk membasuhnya.Inilah yang sering terjadi dan inilah yang membuatkan seorang suami berada dalam dilema samada ingin membantu ataupun tidak.Kalau dalam dilema boleh dikira okey lagi tapi kalau dah fobia jawabnya langsung dia tak akan tolong.Jadi kepada isteri-isteri dan ibu-ibu pandai-pandailah memujuk suami ye hehe...

Apabila tibanya bulan puasa tugas isteri juga semakin bertambah.Kalau yang tak ada anak atau baru kahwin memang belum rasakan sangat bebannya tapi kalau anak dah berduyun pasti terasa kepenatanya.Bermula di awal pagi isteri atau ibu akan bangun seawal jam 4 pagi untuk menyediakan hidangan bersahur.Kemudiannya membasuh pinggan, mengemas rumah,membasuh dan gosok baju sehinggalah tibanya waktu berbuka isteri juga yang sibuk menyediakan hidangan.Kalau anak dah besar mungkin lega sikit itupun kalau yang nak membantu, kalau anak masih kecil diorang pun tolong juga tapi tolong sepahkan..isteri atau maknya juga yang kena kemaskan.Lepas berbuka bersiap nak pergi surau untuk sembahyang terawih pula dan sebelum tu makan malam pun nak kena sediakan juga.


Inilah yang dapat aku bantu isteriku untuk kali ini..tolong siang ikan hehe..bantulah juga kan sebab nanti bila bangun sahur isteriku cuma gaulkan dengan serbuk kunyit dan garam kemudian goreng.
Ikan selar kuning dan ikan bulus ni memang leceh kalau nak siang sebab dia kecik..biasalah kalau sesekali menolong tu sampai terpotong kepala ikan pun ada ahakk..tapi memang sedap kalau dimakan panas-panas kerana masih garing dan bila bangun sahur inilah antara lauk yang aku suka.

Simple tak payah susah-susah nak masak kari,sambal atau sebagainya sebab masa bersahur selera kurang sikit daripada waktu makan biasa.Walaupun sumbangan yang diberikan nampak kecil at least tolonglah juga kan hehe.Hari-hari lain pun memang kita dah selalu tolong, tolong tengok dan tolong habiskan.Jadi apa salahnya kalau sesekali kita pula yang tolong sediakan.Sebaiknya kalau nak menolong biarlah ikhlas..jangan asyik tolong sebab ada makna dan nak minta upah je..

p/s - entri ini di tulis lepas siang ikan malam tadi hehe..so kepada gadis yang tak tahu siang ikan sila belajar yee..bukan susah, belah perut lepas tu tenyeh je dengan pisau

ozzy - tolong menolong amalan mulia...
  

10 Ogos 2011

WORDLESS # 4 - RAGAM DI BULAN PUASA


Pagi - Masuk ofis atau masuk kelas


Tengahari dan petang


Maghrib atau waktu berbuka


Malam dan tengah malam


ozzy - jangan jadi hariharimau di bulan puasa ni...

7 Ogos 2011

DENDA MAKAN DIKHALAYAK RAMAI DI BULAN PUASA

Apabila tibanya bulan ramadhan atau bulan puasa kita semua sedia maklum bahawa semua syaitan atau setan akan ditambat atau diikat.Maka sepatutnya ketika ini kita bebas dari gangguan serta bisikan setan untuk melakukan perkara yang ditegah dan dilarang.

Walaupun ditambat tetapi setan masih mampu tersenyum kerana manusia masih lagi melanggar perintah Allah dan melakukan perkara yang ditegah.Jika kita dapat melihat keadaan setan yang diikat mungkin kita juga dapat melihat setan ketawa terkekek-kekek melihat segelintir dari kita tanpa segan silu singgah ke kedai membeli nasi bungkus dan makan di khalayak ramai tanpa rasa bersalah.Mungkin dalam keadaan terikat setan berkata "aterr..takkan saloh teman juge yob..teman tangan terikat pun awok buat juge muehehehe..".

Selain dari dikenakan denda, mereka yang ditangkap kerana makan dikhalayak ramai pada bulan puasa bermungkinan akan berhadapan dengan denda yang lebih memalukan iaitu dibawa bersiar-siar menaiki van jenazah.
Bagaimanapun setakat ini aku tidak pasti hukuman menaiki van jenazah ini telah dilaksanakan atau tidak kerana aku pasti ia sesuatu yang amat memalukan kerana melibatkan maruah seseorang.

Apabila melibatkan maruah implikasinya pasti akan terbit rasa malu serta dendam dari individu tersebut.Aku pasti sebelum hukuman seperti ini dilaksanakan pihak jabatan Agama Islam tentu ada perasaan timbang rasa serta budi bicara sebelum sewenang-wenangnya ia dilaksanakan.Namun sebenarnya jika kita melihat van jenazah kebanyakannya tertutup dengan cermin yang penuh beserta langsir di dalamnya malah ada antaranya yang bercermin gelap.Kalau di bawa pun mungkin orang sekeliling tak perasan sangat bahawa mereka yang di dalamnya adalah mereka yang sedang menjalani hukuman.

Tapi kalau bawa naik lori yang macam ni, confirm ramai yang akan mengamuk hehe...mana taknya terang-terang dok atas lori mayat dalam keadaan segar bugar di bulan puasa...apa ke heyy nya!!! Semua orang boleh nampak muka mereka yang di atas lori dengan terang dan jelas.Kalau di kawasan bandar orang tak hairan sangat kerana masing-masing buat tak peduli je tapi kalau di kawasan kampung memang riuh rendahlah jawabnya...mana nak sorok muka yob...

sekadar gambar hiasan

Selain dari denda di antara rm1000 hingga rm3000 bergantung pada penguatkuasaan di sesetengah negeri hukuman penjara sehingga 6 bulan turut akan dikenakan.Kalau kena penjara sampai 6 bulan sekali lagi setan akan tersenyum dan ketawa katanya " hebatlah korang..aku kena penjara dan kena ikat sebulan je tapi korang kena penjara sampai 6 bulan hehehehe...".

ozzy - malu seumur hidup kalau kena naik lori mayat macam tuu....

5 Ogos 2011

BAZAR RAMADHAN ANTARA SAJA DAN LAGI

Rutin biasa di bulan ramadhan pastinya dengan berkunjung ke bazar ramadhan untuk memilih juadah yang kita gemari sebagai hidangan sewaktu berbuka puasa nanti.
Setiap hari seringkali kita memikirkan apakah juadah yang sesuai untuk dibeli bagi mengelakkan rasa bosan jika menghadap menu yang sama setiap hari dan dari awal lagi kita dah mula merancang kuih apa yang nak dibeli.

Terkadang sering juga berlaku asalnya nak beli dua tiga jenis saja tapi bila dah kesana kalau boleh semua nak kaut.Tengok yang tu sedap, tengok yang ni pun sedap akhirnya tangan penuh menjinjing plastik yang berisi kuih.Elok juga hari sabtu dijadikan hari tanpa beg plastik jadi tak banyak lah kuih yang dibeli kan hehe..dan kuranglah membazirnya kan.

Bagi diri aku memang mudah sebab setiap tahun kuih yang sama juga aku beli dan boleh dikatakan kuih tersebut aku beli dari penjual yang sama.Setiap tahun juga penjual yang menjual di bazar ramadhan ini terdiri dari muka-muka yang sama, maka mudah untuk aku kenali yang mana sedap dan yang mana tidak.Dengan itu juga maka tak perlulah aku meronda dari satu gerai ke satu gerai, sampai je terus pergi ke gerai yang aku ingini.

Antara kuih yang aku gemari dan boleh dikatakan wajib dibeli adalah kuih seri muka tak kiralah perisa pandan atau coklat, kuih kasui serta kuih kole kacang dan selepas itu barulah aku akan tambahkan kuih lain sebagai menu tambahan secara bergilir samada kuih karipap,murtabak,laksa atau laksam serta juadah lain sebagai juadah sampingan untuk mengelakkan rasa jemu.
Biasanya tak banyak yang aku beli sebagai tambahan pada kuih 'wajib' tadi kerana isteri aku turut memasak di rumah seperti mee atau meehun goreng serta nasi sebagai hidangan selepas berbuka.Tak perlulah nak membazir beli banyak sangat sebab kuih-kuih tu pun cuma makanan ringan sebelum makan nasi.

Semalam seperti biasa aku singgah ke gerai yang menjual kuih kole kacang.Pemiliknya adalah orang Kelantan yang turut menjual hidangan lain seperti nasi kerabu, nasi dagang dan juga laksam. Biasanya kalau nak makan nasi kerabu atau laksam memang disinilah yang biasa aku beli dan boleh dikatakan setiap hari gerainya sentiasa sesak kerana masakannya memang sedap (kalau tekak aku kata sedap maknanya memang sedaplah tu hehe..).Lepas dah bungkus kuih tersebut aku saja bertanya "berapa harga laksam ni?" dan penjual tersebut menjawab " dua ringgit setengah jah (saja) masih dua ringgit lima posen lagi".Aku menjawab sambil ketawa "aikkk..ada lagi pulak kat hujung tu..macam nak naik harga je lepas ni?" dan dia lantas menjawab "gitulah rasanya..santan naik harga lagi wehh..".hmmm..antara saja dan lagi..

Kalau diperhatikan pada laksam tu cuma sebatang atau sekeping laksam saja yang dipotong dan kemudiannya dicampurkan dengan kuah lemak bersama sedikit sambal dan sayur yang diracik. Rasanya juga banyak bergantung pada kuahnya, kalau sedap kuahnya maka sedaplah laksam tu.Tapi kalau harganya dah naik jadi 3 ringgit misalnya hmmm..rasa macam tak berbaloi je beli kecuali kalau dah teringin sangat la kot..tapi laksa boleh dikatakan standard dah harganya 3 ringgit sebungkus..apa nak buat dulu seringgit makan sorang sekarang seringgit sorang pun tak lepas.










ozzy - nak makan laksam dan laksa di pagi raya nanti...

4 Ogos 2011

SEMANGAT YANG HILANG

Semakin lama aku merasakan aku semakin menyepi, itulah hakikat yang aku sendiri perlu akui bahawa aku tidak mampu memaksa diri untuk mencoretkan sesuatu di dalam blog di saat-saat begini.
Sesekali aku hanya mampu melihat beberapa tajuk yang telah aku sediakan untuk diisi dengan ulasan tapi entah kenapa semangat bagaikan hilang untuk memulakannya.

Bukan hanya dari dunia blog malah dalam kehidupan seharian juga terasa diri bagaikan terjerumus ke alam yang sepi.Kawan-kawan ada yang bertanya kenapa aku menyepi dan aku sendiri tertanya-tanya kenapa kawan-kawan juga menyepi atau mungkin ini yang dikatakan 'Sepi Itu Indah'...tapi betul ke sepi ini indah?.Ada kalanya ya dan ada kalanya tidak kerana ia bergantung pada situasi.

Mungkin ada yang merasakan update blog merupakan satu rutin yang perlu dilakukan setiap hari. Semangat yang perlu dikekalkan sekiranya kita ingin melihat pendapatan yang kita perolehi dari blog terus meningkat or at least the figure consisten.Mungkin juga ada yang seronok melayan blog bagi mengekalkan populariti dan mungkin ada juga yang gembira apabila menerima beratus komen menandakan ramai yang berminat dengan setiap entri yang ditampilkan atau mereka sememangnya berminat dengan individu itu sendiri samada berdasarkan karektor mahupun aura yang dimiliki...apa-apa jelah kan asalkan kita enjoy dengan apa yang kita buat.

Sesekali jari ini terasa rindu untuk mencoretkan sesuatu di sini tetapi baru sebaris ayat ia kemudiannya dipadam seolah-olah terasa bersalah untuk disiarkan sebagai sesuatu yang tiada isi.Terasa bagaikan ketandusan idea untuk menulis dalam keadaan diri yang lemah seperti ini. Namun perlukah aku menulis di sini hanya sekadar untuk memberitahu bahawa aku tidak sihat?Terasa malu sebenarnya kerana ia seolah-olah meminta simpati atau minta dikasihani sedangkan di sini rasanya bukanlah medan terbaik untuk meraih simpati.Jika ada ia hanya seperti angin yang berlalu kerana pembaca inginkan sesuatu berbentuk informasi,ilmiah atau sekurang-kurangnya sesuatu yang menghiburkan dan paling tidak pun gossip panas biarpun yang sengaja di reka.

Seminggu sebelum hadirnya ramadan kali ini aku diserang demam panas dan sehingga ke hari ini masuk hari ke 4 kita berpuasa badan masih panas dan terasa lemah.Semalam aku mengambil cuti untuk ke hospital memeriksa darah bimbang ada sesuatu yang tidak kena tapi hasilnya semua dalam keadaan normal.Mungkin salah aku juga kerana sewaktu demam lepas makan ubat aku makan pula buah durian tapi takkanlah sampai lama macam ni.Biasanya kalau demam dalam 3 hari je dah sembuh.Malam ni aku nak cuba pula minum air cap badak dengan 100 plus, harap-harap dapat kurang demam ni.Untuk malam ke 2 aku gagahkan juga untuk menunaikan solat tarawih dan berjaya juga habiskan 8 rakaat.Selepas 8 rakaat jemaah akan berehat seketika sambil mendengar tazkirah sebelum disambung semula selepas itu. Malam ke 3 aku terus bertahan dan alhamdulillah aku berjaya habiskan.(perlu ke aku tulis di sini ???..)

Terasa serba tidak kena untuk menulis..apa yang perlu ditulis dan apa yang tak perlu ditulis hingga meninggalkan tanda soal pada diri dan juga di sana sini.Nak siarkan juga terasa serba salah. Mungkin ini yang dikatakan semangat yang hilang dan aku berharap semangat itu akan kembali pulang kerana aku suka menulis.Walau apapun kepada rakan-rakan semua teruskan ibadah anda semua di bulan yang penuh barakah ini dan pastikan semangat untuk terus beribadah tidak akan hilang.

ozzy - aku hanya manusia biasa...

1 Ogos 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK


Sempena tibanya bulan Ramadan yang mulia ini, aku ingin ucapkan selamat menyambut bulan Ramadan pada seluruh umat Islam di dunia ini khususnya pada semua saudara mara serta rakan-rakan yang mengenali aku samada rakan baru atau lama serta rakan di alam cyber seperti rakan blogger semua.

Seperti yang kita semua sedia maklum inilah peluang untuk kita perbanyakkan amalan di bulan yang penuh barakah ini dan semoga segala amalan kita semua diberkati.Semoga Ramadan kali ini juga lebih bererti dan bermakna untuk kita semua..Insya'Allah..

Pada yang lupa niat puasa, inilah niatnya :


Atau boleh terus berniat untuk sebulan berpuasa :


Dan ini pula niat untuk berbuka puasa :


~ SELAMAT BERPUASA ~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...