31 Januari 2012

BUKU 3 LIMA

Sebut saja buku 3 lima tak ada lain yang kita fikirkan..tu mesti buku hutang tu hehe..Kalau dulu bila buat keluar je buku 3 lima ni mulalah kawan di sebelah menjeling-jeling nak tengok banyak ke hutang tu?.Bukan hanya yang berhutang malah pemiutang (yang memberi hutang atau ceti) pun turut sama menggunakan buku ni sebab saiznya yang kecil dan senang nak bawa ke sana sini.

Zaman sekarang dah tak ramai yang guna buku ni sebab dah tersedia bermacam teknologi untuk catatkan hutang atau untuk catatkan siapa yang berhutang seperti computer mahupun gadget yang lain termasuklah diary yang kelihatan lebih bergaya dengan bermacam warna dan rekabentuk.

Tapi bagi aku sampai sekarang aku masih gunakan buku 3 lima ni tapi bukan untuk tulis hutang tapi digunakan sebagai buku nota.Kadang kala bila keluar pergi meeting orang lain keluarkan diary tapi aku keluarkan buku 3 lima.Kalau orang pandang pun ada aku kisah? hehe..sebab pada aku yang penting adalah nota² yang mesti dicatatkan , kata orang "don't judge a book from it's cover" okey!.Biasanya buku ini aku bawa kemana saja sebab senang kerana saiznya yang kecil dan itu lebih baik daripada kita langsung tak bawa apa² kan?.Cuma kalau memang aku bersedia dari awal untuk menghadiri apa jua meeting sudah tentulah aku akan bawa diary..kalau aku berada di luar dan tiba² kena join meeting buku 3 lima inilah dengan selambanya aku letakkan atas meja hehe..

Rasanya aku masih ada lagi simpan sebanyak 5 buah buku 3 lima ni yang penuh dengan nota.Ada yang bercampur dengan bermacam nota dah macam buku rojak.Dalam kereta aku pun aku selitkan buku nota ni untuk salin apa saja yang aku buat dengan kereta aku seperti bila tarikh terakhir aku tukar minyak enjin, bila kali terakhir aku tukar minyak gear box, bila kali terakhir aku tukar tayar dan apa saja yang aku buat dengan kereta aku tu sampai tukar part dengan kawan pun aku tulis termasuklah juga nama atau kat mana aku tukar part tersebut.setakat ini tak pernah lagi aku jumpa kawan-kawan aku buat macam yang aku buat ni.Kiranya buku 3 lima ni dah jadi macam buku sejarah kereta aku la hehe..



Korang ada? belilah satu murah je harganya cuma 20 sen hehe..

ozzy - salin nota takut lupa..

30 Januari 2012

BUAT-BUAT BODOH

Woiii bodoh!!!..korang marah tak kalau ada yang panggil korang macam tu?..mestilah marahkan, orang pekak je la agaknya yang tak marah kan..hehe

Biasanya orang yang dianggap bodoh akan mudah dibuli oleh orang lain disebabkan kebodohannya tetapi aku pasti tidak ramai yang akan mengaku bodoh walaupun sering dianggap bodoh.Kalau disebut atau digelar bodoh sombong itupun termasuk juga dalam kategori bodoh, dah la bodoh sombong pulak..ishhh.

Macamana pulak dengan buat-buat bodoh? pernah dengar? jarang kan kita dengar.Maksudnya seorang yang menganggap dirinya bukanlah bodoh tapi sengaja buat-buat bodoh atas sebab-sebab dan tujuan tertentu.Siapa?Akulah orangnya hehehe..aku rasa aku ni taklah bodoh sangat tapi aku suka buat-buat bodoh, tapi kenapa?mestilah ada sebabnya aku buat macam tuuu...

Dalam mempelajari dan mendalami berbagai perkara inilah yang sering aku praktikkan untuk mencungkil sebanyak mana ilmu, tips atau info dari orang lain.Memang benar kita boleh mendapat ilmu melalui pelajaran di sekolah atau kita boleh mencarinya di dalam internet atau buku bacaan tapi tidak semua kita akan dapat dan fahaminya dengan mudah.Kefahaman kita akan menjadi lebih mudah berdasarkan apa yang kita lalui dan praktikkannya dalam kehidupan kita dan itulah yang dikatakan sebagai pengalaman.

Ramai yang aku perhatikan lebih gemar berlagak pandai padahal apa yang dia tahu hanyalah perkara asas sahaja tapi cakap macam dah tahu segalanya.Sikap ini sebenarnya merugikan diri kita juga sebab pengetahuan kita hanya terhad di situ saja.Dalam mencungkil atau mendalami ilmu pengetahuan bukan semua orang bersedia untuk berkongsi pengetahuan atau ilmunya dengan kita lebih-lebih lagi seseorang yang berjaya memperolehi ilmu tersebut melalui pengalamannya sendiri.

Sebagai contoh bila kita pergi ke sebuah 'workshop' milik tauke cina untuk membeli atau membaiki radiator kereta kita yang rosak.Ramai diantara kita sedia maklum bahawa mereka ini amat sukar untuk berkongsi ilmu dengan kita lebih-lebih lagi kalau kita tunjuk pandai dengan mereka.Kita cakap itu ini, begitu begini diaorang akan senyum dan angguk je dan pasang sampai siap.Janji siap dan kita bayar harganya..wa tetap dapat untung ma..tapi kita hanya dapat sebuah radiator tanpa mengetahui apa sebab rosak, kenapa boleh rosak, macamana untuk elakkan dia rosak dan bermacam lagi persoalan lain.Apa yang kita tahu radiator fungsinya adalah untuk sejukkan enjin kereta betul tak? lagi apa yang kita tahu tentangnya? kalau kita berlagak macam dah tau semuanya buat apa lagi tauke tu nak buang masa bercerita dengan kita kan? lu lagi pandai maa..paling pun itulah yang dia cakap bila kita tanya...kan?

Ramai yang berpendapat kalau kita buat bodoh nanti kena tipu dan kita pun tak suka orang anggap kita ni bodoh kan? dan kalau kita bodoh tapi berlagak pandai lagi suka diaorang tipu, minta radiator tapi dia bagi benda lain atau yang terpakai..kan dah kena tipu hehe..maksud aku adalah kita tahu tapi kita buat-buat bodoh untuk mendapatkan lebih info mengenainya.Perkara asas yang kita tahu tentang radiator adalah fungsinya untuk menyejukkan enjin kereta dan lain yang kita tahu adalah bentuk fizikalnya.Lagi apa yang kita tahu? ohh! kena selalu periksa airnya supaya mencukupi takut nanti temperature kereta naik..bahaya.Lagi? apa yang kita tahu? setakat itu saja tapi kita dah nak tunjuk yang kita pandai sangat dah kan hehe..

Itu cuma perkara asasnya saja dan kalau kita kata kita dah tau segalanya maka setakat itu sajalah yang kita akan tahu tapi kalau kita dah tau tapi sengaja buat-buat bodoh banyak lagi kita akan tahu mengenainya.Maksudnya kita cuba selongkar apa lagi yang ada di dalamnya dan dengan cara ini sedikit demi sedikit tanpa mereka sedar mereka akan bercerita dan akhirnya banyak rahsia yang selama ini kita tak tahu akan terbongkar.Walaupun kita tahu tapi tak apa kita buat-buat bodoh kerana akan berlaku dua kemungkinan..pertama kita akan tahu mereka cuba menipu kita dan kemungkinan kedua kita akan dapat bermacam ilmu darinya.

Contohnya aku akan tanya " tauke ini radiator untuk apa?..kalau tak pasang tak boleh ke? " dah tentu tauke tu akan kata dalam hati " bodoh punya soalan " dan sebab kita ni pelanggan dia tentu dia akan senyum sambil menjawab "mesti kena pasang maa..kalau tidak nanti enjin panas lohh..boleh meletup woo.." tak apa itu soalan pengenalan dan soalan seterusnya " kenapa kalau kita pasang radiator enjin boleh sejuk?, kenapa tak masukkan saja air dalam enjin? lagi cepat sejuk? " dan dia akan jawab " tak boleh maa..kalau terus masuk dalam enjin nanti itu air terus campur dengan minyak, piston rosak dan enjin akan jem..ini radiator akan salurkan sedikit air yang disedut oleh water pump pergi ke enjin dan bila enjin mencapai tahap kepanasan kipas akan berpusing untuk sejukkan enjin dan sejukkan radiator ni ".See..kita dah dapat belajar dua perkara iaitu water pump dan juga fungsi kipas...free je kan.

Seterusnya kita tanya lagi " ini air dalam radiator macamana mau kasi bersih..kalau kotor nanti dia masuk dalam enjin kita punya enjin pun akan kotor la kan? (soalan yang sedikit bijak berdasarkan pada logik).Biasa yang kita tahu cara nak buang air adalah dengan membuka screw penutup yang terletak di bawah radiator tu betul tak?.dan tauke tu akan cakap " kalau mau buang air dalam ini radiator lu jangan buka itu bawah punya screw nanti itu screw loose air akan bocor (menitik) ikut situ.Lagipun kalau lu buka itu screw air cuma keluar dari radiator saja tapi dalam enjin sana masih tinggal lagi air kotor..kalau mau cuci lu kena buka ini hose lepas tu salurkan air biar dia masuk ke bahagian enjin dan ganti sama itu lama punya air..baru lu punya air dalam itu radiator sama enjin semua akan bersih"...see kita dapat lagi satu perkara.

Kemudiannya dia akan bercerita segala aspek mengenai radiator termasuklah saiz yang sesuai, ketebalannya, teknik penjagaan, cara pemasangan sehinggalah kepada material apa yang digunakan.Itulah untung yang kita dapat iaitu ilmunya dan itulah yang kita dapat kalau kita buat-buat bodoh dan bukannya berlagak pandai atau bodoh sombong.Kalau aku buat-buat bodoh dan diaorang nak kata aku bodoh sekalipun aku terima sebab aku tak rugi apa-apa.Contoh lain perkara yang pelajari adalah seperti yang pernah aku tulis DI SINI.

Itu adalah salah satu contoh bagaimana aku belajar banyak perkara selain dari melihat dan menilai apa yang orang lain buat.Contoh lain yang paling mudah seperti kita pergi ke pasar.Kita dah tau ikan yang dah pecah perutnya mestilah ikan tu dah tak elok kan? tapi tak ada salahnya kalau kita buat-buat bodoh dan bertanya " ikan ni elok lagi ke? " dan kemudian tauke ikan tu jawab " elok lagi laa..lu tengok dia punya insang merah lagi woo..dia punya perut pecah sebab ini ikan tak tahan " kita tanya lagi " tapi kenapa ikan lain perutnya tak pecah?" dan dia akan jawab " ikan lain baru lagi maa..ini ikan kalau lambat sikit memang tak tahan punya dia punya perut senang pecah..lu sukala mana mau angkat "..haaa!! kan dah kantoi tu dan kita juga dapat belajar satu perkara iaitu ikan yang pecah perutnya dah tentu ikan yang lama..kan?

Itulah antara contoh bagaimana aku belajar dan mengutip pengalaman serta membina keyakinan dalam banyak perkara.Mungkin korang juga ada cara korang sendiri kan? tak kiralah apa jua caranya yang penting kita dapat belajar bermacam perkara supaya kita tidak mudah di tipu kerana zaman sekarang ada yang belajar untuk menipu dan ada terus belajar agar tidak tertipu..

ozzy - terus belajar dan terus buat-buat bodoh...

25 Januari 2012

DEFINASI REUNION


Biasa dengar kawan-kawan kita menyebut reunion?.Bagi budak-budak yang masih bersekolah mungkin tak tahu dan tak mahu ambil tahu pasal reunion kan sebab belum sampai lagi masanya pada mereka untuk fikir pasal reunion ni.

Reunion boleh didefinasikan sebagai "Pertemuan Semula" iaitu pertemuan semula dengan rakan² atau sahabat² yang telah lama terpisah.Kalau dah selalu jumpa tu bukan reunion lagi dah tu kan.Biasanya ia dibuat oleh mereka yang telah lama terputus hubungan dan tiba² kembali bersua contohnya melalui laman sosial seperti facebook. Melaluinya dapatlah dikumpulkan semula seberapa ramai rakan yang dapat dihubungi dan kemudiannya rancangan untuk perjumpaan semula atau reunion mula diatur.

Setelah rancangan diatur ternyata ia tidak semudah sepertimana yang kita semua fikirkan.Akan timbul bermacam halangan dan dugaan terutamanya dari segi komitmen dan sokongan dari rakan² yang lain.Berdasarkan dari apa yang telah saya lalui sebelum ini dalam membuat penganjuran seperti ini maka apabila adanya cadangan untuk mengadakan semula reunion ini membuatkan aku lebih berhati².Untuk itu aku perjelaskan kepada semua rakan² yang berada di dalam group kami di facebook dan posting tersebut turut aku postkan di sini untuk dikongsi bersama rakan² blogger serta pembaca yang lain.Mungkin ia boleh dijadikan panduan atau guideline sekiranya ada yang bercadang untuk menganjurkannya.

" Assalamualaikum semua...
Dari jumlah keseluruhan ahli group yang setakat ini seramai 83 orang yang sudi tick atau menunjukkan minat hanyalah sekitar 20 orang saja, bermakna selebihnya saya anggap mereka tak berminat samada untuk turut serta mahupun untuk ambil tahu.
Saya sengaja membuat survey dalam bentuk tandakan diruangan kosong kerana saya beranggapan ramai yang malas atau segan nak buat komen, maka survey tersebut saya sediakan supaya lebih memudahkan..cuma tick saja, senangkan? malangnya perkara senang macam tu pun masih lagi berat nak buat!..apatah lagi kalau kita nak minta kerjasama yang lainnya...betul tak?logiknya kalau yang ringan pun tak nak buat apalagi yang lebih berat kan? 

Mungkin ramai juga yang berminat dan teruja untuk bertemu rakan lama apatah lagi setelah berpuluh tahun terputus hubungan dan itulah definasi reunion iaitu"pertemuan semula" tetapi tak berani untuk confirm awal² kerana bimbang berlakunya pertembungan dengan urusan lain contohnya urusan keluarga atau perkara lain yang lebih penting.Kalau dah confirm untuk hadir pasti akan rasa serba salah dengan kawan² kalau nak batalkan di saat akhir takut nanti kawan² kecil hati tapi kalau tak hadir urusan keluarga takut nanti keluarga pula yang kecil hati kan?.

Oklah tu..kita semua fahamlah sebab kita semua pun sebenarnya memang memikirkan perkara yang sama kerana kita semua pun ada komitmen masing² kan? tetapi berapa ramai diantara kita yang memikirkan masalah yang ditanggung oleh pihak penganjur?mereka melakukan secara sukarela tanpa ada niat untuk mengaut sebarang keuntungan malah terpaksa mengorbankan masa dan tenaga serta menanggung kos seperti telefon, petrol termasuklah terpaksa mendahulukan wang deposit untuk menempah hotel...lainlah kalau hotel tu penganjur yang punya atau BAPAK penganjur yang punya kan..kan..kan!!.

Untuk buat Reunion tak sama macam untuk kita buat 'Re-ngeteh/Re-ngopi' kerana kalau nak mengeteh tak siapa yang rugi,paling pun kalau semua tak jadi datang kita minum sorang²..kira oklah win-win situation lah macam tu..TAPI kalau nak buat reunion kena buat semua persediaan termasuklah kena bayar wang pendahuluan.Hotel kena tempah awal² kalau lambat tak dapat apalagi kalau time cuti umum tapi kalau nak re-ngeteh tempat tu penuh kita cari tempat lain dan tak perlu bayar duit deposit betul tak? 



So..kalau masing² beri jawapan 'tak pasti' atau 50/50 atau diam membisu dah tentunya wang deposit pun takkan bayar kan? kalau bayar nanti takut rugi kalau tak dapat datang kan!.TAPI macam mana pula kalau penganjur bayar dulu dan kita pula yang tak datang?? kita cuma rugi deposit yang kita bayar untuk diri kita saja tapi penganjur perlu tanggung untuk berapa ramai?kan tak adil tu..lainlah kalau penganjur mark-up atau ambil untung lebih tapi rasanya penganjur tak sampai hati nak buat macam tu sebab fikirkan kawan² kan..then, sapa nak bayar?kalau kita cakap dengan pihak hotel yang kita 'tak pasti' atau 50/50, pihak hotel akan kata boleh..boleh..BOLEH BLAH!!..ye tak?...hehe..

Bagi mereka yang pernah terlibat dalam menganjurkan event seperti ini
 termasuklah diri saya sendiri yang turut terkena tempiasnya, pada awalnya masing² mengharapkan ia menjadi satu 'mimpi indah', yelah rasa teruja nak bertemu dengan kawan² yang lebih 20 tahun terpisah tapi akhirnya bertukar menjadi satu 'mimpi ngeri'!!.Ingatlah bahawa 'orang yang bijak tidak akan terjun ke dalam lubang yang sama seandainya dia pernah terjatuh ke dalamnya' dan kerana itulah sebabnya saya sengaja membuat dalam bentuk survey tetapi untuk menjadi penganjur sama sekali saya akan katakan TIDAK jika begini keadaannya.Silap gayanya boleh menimbulkan rasa tak puas hati, rasa sakit hati, marah, geram, kecewa dan paling ditakuti ia bertukar menjadi dendam.Maka saya beranggapan sebaiknya dielakkan demi sebuah persahabatan kerana 'mencegah itu lebih baik dari mengubati'.

Untuk itu apa yang boleh saya cadangkan dan katakan adalah saya akan membuat tempahan untuk diri saya sendiri pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.Jika ada yang berminat untuk turut serta bolehlah buat tempahan dan sama² bertemu disana nanti.Apa yang boleh kita buat adalah berkumpul pada awal pagi di kawasan sekitarnya sebelum check in (2 ptg)dan berkumpul beramai², dan pada malamnya bolehlah buat BBQ atau sebagainya.Maknanya kalau ramai, maka ramailah dan kalau tak ada sesiapapun saya anggap ia hanya satu percutian keluarga.Mungkin ini bukan yang terbaik tapi ianya lebih baik daripada kita merasa sakit hati kan..dan inilah yang dikatakan win-win situation,tak untung dan tak rugi...
sama-sama kita fikirkan..Assalam..


Sebenarnya untuk buat re-union ni banyak bergantung pada diri kita sendiri samada kita berminat ataupun tidak..kalau dah tak berminat bagi FREE pun diaorang tetap tak akan datang.

ozzy - tetap gembira kerana berjaya ketemu kawan-kawan lama walau hanya sebahagian saja.

24 Januari 2012

RAHSIA TUBUH

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan tuhan lengkap dengan segala anggota dan fungsinya termasuklah dianugerahkan otak untuk berfikir.Manusia diciptakan dengan bentuk yang sama cuma saiz dan warna kulit saja yang berbeza mengikut keturunan.

Kita sedia maklum otak terbahagi kepada dua iaitu otak kanan dan otak kiri.Otak kanan lebih kepada daya ingatan (memori) dan juga emosi termasuklah mencipta angan-angan atau imaginasi manakala otak kiri lebih kepada pemikiran kita pada sesuatu yang telah wujud.Maksudnya otak kiri lebih berfungsi pada sesuatu yang santai atau satu tindakbalas/ransangan segera tanpa perlu menyimpannya atau mengambil masa yang lama contohnya ketika kita bersembang atau memberi ucapan.Ringkasnya otak kanan lebih kepada pemikiran yang panjang manakala otak kiri lebih kepada pemikiran yang singkat.Gitulah lebih kurangnya..

Begitu juga anggota lain yang mempunyai fungsinya yang tersendiri seperti tangan untuk memegang, kaki untuk berjalan dan berlari, mulut untuk makan, telinga untuk mendengar dan berbagai  lagi anggota tubuh yang lain dengan fungsinya yang tersendiri.

Sesuatu yang menarik untuk diterokai oleh kita pada tubuh kita sendiri adalah terdapat beberapa anggota yang boleh diukur melalui anngota tubuh kita yang lain.Contohnya kalau kita nak ukur saiz pinggang kita adalah melalui ukur lilit pada tengkuk kita sendiri.Maknanya ukur lilit atau diameter tengkuk kita adalah sama dengan saiz pinggang kita.Kalau nak ukur berapa ketinggian kita adalah dengan mendepakan kedua-dua belah tangan kita.Ambil ukuran dari hujung jari kiri ke hujung jari kanan dan itulah ketinggian kita.Unik kan..

Ada beberapa lagi bahagian anggota tubuh kita yang lain yang mempunyai hubung kait dengan anggota tubuh yang lain sekiranya kita rajin terokai.

ozzy - yang lain-lain tu 'biarlah rahsia'....

20 Januari 2012

REZEKI ADA DI MANA-MANA

Dalam hidup ini terkadang sesuatu yang tak dijangka boleh berlaku pada kita dan sebagai umat Islam kita kena percaya terjadinya ia atas izin Allah S.W.T juga.Tidak kira banyak atau sikit jangan lupa untuk ucapkan syukur Alhamdulillah tanda terima kasih pada Allah yang menganugerahkannya kepada kita.

Ada yang tak menyangka melalui blog juga boleh dapat duit juga kan? bezanya cuma banyak atau sikit, tak kiralah berapapun jumlahnya maka jangan lupa untuk ucapkan syukur Alhamdulillah sebab bukan semua orang di dunia ini yang dapat duit hasil dari blog.Cuma yang sebaiknya biarlah apa yang kita dapat dari blog kita ni bukanlah hasil dari fitnah, maki hamun atau hinaan pada orang lain...barulah afdal ucapan Alhamdulillah kita tu kan?..

Terkadang sedang kita berjalan-jalan tiba-tiba kita tersepak atau ternampak duit, apa kita nak buat? zaman sekarang ni kalau tanya "ni duit sapa tercicir ni", silap² satu pasaraya mengaku itu duit dia hehe..dan kalau kita tak ambil pun, orang lain juga yang ambil betul tak? mudahnya anggap saja ianya rezeki untuk kita...tapi kalau tak nak ambil sekalipun tak ada sesiapa pun yang paksa kan?..

Nak jadi cerita kalau dah rezeki aku, semalam aku cuti sebab gusi aku sakit dan berdenyut-denyut.Maka aku pergilah jumpa doctor gigi.Bila diperiksa doctor tu kata gigi ok dan gusi pun ok cuma mungkin urat saraf di rahang aku sedikit terganggu.Jadi doctor bekalkan aku ubat tahan sakit dan doctor nasihatkan aku tuam tempat sakit tu dengan tuala yang dibasahkan dengan air panas.Katanya lagi buat macam orang buat tungku panas tu laa..
Bila dengar tungku aku katakan aku dah ada tungku moden, tungku yang gunakan elektrik tu.Doktor tu pulak tanya "tungku elektrik?..macamana tu?".Aku apa lagi terus promote barang tu hehe..dan aku kata aku memang jual produk tu.Cerita punya cerita dia pun berminat untuk mencuba dan order satu.Bila doctor dah order staff nurse apalagi semua pun nak juga hehehe..dah rezeki aku agaknya dapatlah dijual 5 buah.Tak kisahlah banyak manapun yang penting contact nombor aku dah tinggalkan pada doctor tu dan staff nurse yang beli barang aku tu..mana tau kot lepas ni diaorang order lagi hehehehe..dalam cuti pun dapat gak duit hehe...itulah dinamakan rezeki kalau Allah nak bagi...Alhamdulillah.

ozzy - banyak kali juga dapat rezeki yang tak disangka macam ni...

19 Januari 2012

BISA TAPAK TANGAN

Cuba tengok tangan masing² ada tapak tangan tak? mestilah ada kan..yelah kan kalau dah ada tangan mestilah ada tapaknya kecuali kalau tangan tu kudung sampai ke pergelangan tangan ataupun sampai ke siku.

Dengan adanya tapak tangan bermacam perkara boleh kita buat.Memegang, mencuci, menulis, melukis dan bermacam lagi.Melalui tapak tangan juga kita boleh mengesan penyakit yang ada dalam diri kita selain melalui tapak kaki.Malahan melalui tapak tangan juga nasib seseorang boleh dikatakan boleh ditilik oleh si tukang tilik tapi terpulanglah samada nak percaya ataupun tidak dengan tukang tilik ni..sebaiknya janganlah percaya suruh dia tilik tapak tangan dia sendiri sampai lebam hehe..

Orang kata kalau gatal tapak tangan kanan itu tandanya bakal dapat duit atau ada rezeki nak masuk tapi kalau gatal tapak tangan kiri itu tandanya kita bakal hilang duit atau rugi.Hebatkan tapak tangan ni dia dulu yang boleh rasa..

Selain dari kegunaan dan fungsinya tapak tangan juga dikatakan bisa.Betul ke berbisa? atau cuma berbisa pada sesetengah orang saja?.Antara sebab tapak tangan dikatakan bisa adalah kerana jika kita mencelup bahagian depan jari kita yang termasuk sebagai sebahagian dari tapak tangan ke dalam sesuatu kuah contohnya kuah kari atau kuah lemak keesokannya atau dalam masa beberapa jam saja kuah tersebut akan basi tapi sebaliknya jika kita menggunakan belakang jari kuah tersebut akan lebih lambat basi atau tidak akan basi pada keesokan harinya.Tak percaya? kalau tak percaya silalah cuba.

Petua untuk mencegah ketiak berbau juga dari tapak tangan.Menurut petua semasa mandi jangan cuci ketiak kita dengan tapak tangan sebaliknya gunakan bahagian belakang tangan.Teknik ini turut ada hubung kait dengan tapak tangan yang dikatakan bisa.Tapi ada juga yang bertanya "kalau macam tu kenapa tak cuci berak dengan bahagian tapak tangan?" aku jawab "kalau rajin buatlah..kot² wangi" hehe...apa punya soalan daa..kalau tempat tu nak cuci dengan bahagian belakang tapak tangan silap² langsung tak bersih, lebih mudah guna tapak tangan sebab senang nak cuci dan lagipun kedua-dua tempat tu pun memang berbisa.

Itu adalah salah satu sebab kenapa tapak tangan kita dikatakan bisa.Sebab-sebab lain aku sendiri pun tak pasti atau mungkin ia hanya sebutan yang telah dibiasakan disebut oleh kita disebabkan peranannya.Satu perkara PENTING yang ingin aku kongsikan di sini adalah jika kita ingin memeriksa pendawaian atau arus elektrik jangan sesekali menggunakan tapak tangan ataupun bahagian depan jari untuk memegang wire tersebut.Ini adalah kerana refleksi tapak tangan kita lebih terarah atau tertarik pada bahagian tersebut (positif).

Jika kita merasa atau menyentuh wire tersebut menggunakan belakang tapak tangan (negatif), sekiranya ada arus elektrik tangan kita akan segera memberi tindakbalas dengan lebih cepat dengan menarik kearah kita.Kalau nak rasakan perbezaannya cuba sentuh cerek atau sesuatu besi yang panas menggunakan tapak tangan dan belakang tapak tangan..yang mana lebih cepat memberikan tindakbalas.Kalau tak puas hati juga dan nak rasakan kesan yang lebih cepat cuba test dengan seterika.

Ada juga orang kata nak tau bisa tak bisa cubalah rasa pelempang aku ni hehehe..bisa..bisa tapi ramai yang berpesan kalau nak tampar anak jangan tampar dengan tapak tangan sebaliknya gunakan belakang tapak tangan ..kerana tapak tangan kita memang bisa..Wallahu'alam.

ozzy - tapak tangan orang lelaki memang bisa ...yang kecik boleh jadi besar..bisa kan?.

18 Januari 2012

MURAH TAPI TAHAN LAMA

Biasanya bila nak beli barang faktor utama yang sering kita fikirkan adalah jenama barangan tersebut.Tapi biasalah kalau barangan yang berjenama harganya juga tentu mahal kan?.Seperti peribahasa "alah membeli menang memakai", selalunya macam tulah kalau barang tu mahal dan berjenama memang kita puas hati sebab kita anggap ianya berkualiti dan tahan lama.

Zaman sekarang ni kalau beli barangan yang berjenama pun belum tentu kita dapat yang origional dan tahan lama.Tengok pada rupabentuk dan kualitinya memang sebiji macam origional tapi bila dah beli, guna tak lama mana dah rosak.Kalau beli yang origional sekalipun habis je tempoh warranty selama 1 tahun dah rosak sana sini seolah-olah barang tu memang dibuat untuk dipakai selama setahun je kan..

Kadang tu dengan tak di sangka barang yang kita beli dengan harga murah pun boleh tahan lama.Macam jam dinding yang aku beli ni cuma berharga rm 10 (sepuluh) sahaja dan aku jangkakan kalau tahan pun paling lama mungkin setahun je.Aku sendiri pun dah tak ingat kat mana aku beli jam ni samada di pasar malam atau di Chow Kit masa mula² kahwin dulu.Biasalah waktu susah masa mula² kahwin dulu guna jelah tak kisahlah berapapun harganya.

Oleh kerana dah selalu berpindah randah sampai talinya pun dah putus (bentuk asalnya macam jam tangan) tapi aku tetap sayang nak buang sebab ia masih berfungsi dengan baik.Dari mula² kahwin jam ini setia berada di bilik aku sampailah ke hari ini ia masih tetap setia tergantung di bilik aku.Ini bermakna masuk tahun ini usia jam ini yang cuma berharga rm 10 dan tidak berjenama ini sudahpun berusia 18 tahun!..siapa sangka kan?Agaknya kalau jam ni boleh rakam tentu dia boleh jadi saksi utama semua apa yang aku buat dalam bilik sepanjang tempoh perkahwinan aku sampailah ke hari ini hehe..ssyyyyyy.

Teringat aku pada jam tangan yang aku beli di Singapura jenama Casio, warranti yang diberi adalah selama 2 tahun tetapi ngam-ngam masuk je 2 tahun terus rosak!!!..repair sana rosak sini, repair sini rosak sana..last² sedekah jelah kat tong sampah.

ozzy - semakin banyak yang tiruan...manusia pun dah macam tiruan..pakai kejap je dah macam-macam masalah timbul.

13 Januari 2012

APABILA PERMOHONAN RASULULLAH DI TOLAK

Selaku umat Islam kita amat digalakkan supaya berdoa samada ketika senang mahupun ketika kita dilanda masalah atau kesusahan.Teringat kata seorang ustaz sewaktu aku bersekolah dulu "lepas solat jangan terus kelam kabut bangun nak pergi, doa dulu tak kira sikit atau banyak..nanti malaikat juga akan kata, dah kaya (senang) agaknya dia ni..kalau tak reti bahasa arab doa je dalam bahasa melayu atau dalam bahasa apa sekalipun Allah tetap akan faham".

Kita semua tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W itu adalah Rasulullah yakni utusan ataupun pesuruh Allah S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W juga sentiasa berdoa dan memohon pelindung serta petunjuk dari Allah S.W.T.Namun, walaupun dipilih sebagai utusan Allah ada juga diantara doanya yang tidak mendapat perkenan daripada Allah S.W.T seperti yang diceritakan dari sumber yang aku petik DI SINI.

‘Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa : “Satu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W.

Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T :

Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud : “Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu cuma dia memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.


Pertama - Rasulullah memohon agar Allah tidak membinasakan umatnya dengan musim susah 
               berpanjangan     
             Allah memperkenankan permohonan Baginda

Kedua -  Rasulullah memohon agar Allah tidak membinasakan umatnya dengan bencana alam.
           ~ Allah memperkenankan permohonan Baginda. 

Ketiga -  Rasulullah memohon agar Allah SWT tidak binasakan umatnya kerana pergaduhan     
             sesama mereka seperti peperangan dan pertelingkahan sesama sendiri. 
           ~  Permohonan ini Allah TIDAK perkenankan dan ditolak.

Pasti timbul persoalan kenapa permohonan tersebut ditolak? dan sudah tentunya hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu kenapa dan mengapa permintaan atau doa tersebut tidak diperkenankan.Jika ia diperkenankan sudah tentunya kita tidak akan melihat berlakunya banyak pergaduhan atau persengketaan sesama umat Islam walau di mana saja di dunia ini.


Namun itulah hakikat dan kenyataannya yang dapat kita lihat pada umat Islam sejak dulu lagi apabila permohonan Rasulullah itu ditolak.Tidak perlu pergi jauh hingga ke negara Arab kerana di negara kita sendiri mahupun jiran terdekat kita Indonesia yang mempunyai kepadatan penduduk beragama Islam paling ramai di dunia sering berlaku pertikaian dan pergaduhan sesama umat Islam.Malah slogan anti Malaysia yang sering dilaungkan oleh Indonesia juga lebih terarah kepada kita di sini yang beragama Islam sedangkan negara kita dihuni oleh berbilang bangsa dan agama tetapi kita tetap menjadi sasaran kerana negara kita masih diketuai oleh seorang ketua yang beragama Islam dan yang lantang bertindakbalas juga adalah kita yang beragama Islam sedangkan bangsa lain yang mengaku negara ini juga adalah negara mereka mengapa hanya diam membisu?.Timbul juga persoalan tiada slogan anti Singapura sedangkan negara Singapura juga terletak berhampiran dengan mereka? padahal asalnya dulu Singapura juga adalah sebahagian dari negara kita.Apakah kerana Singapura tidak diperintah oleh seorang ketua yang beragama Islam ataupun penduduknya bukan majoritinya beragama Islam?.

Sebagai umat Islam aku pasti ramai diantara kita yang sedih melihat situasi ini dan aku juga pasti ramai diantara kita yang tidak putus² berdoa agar kita semua umat Islam dapat bersatu hati, membentuk satu barisan seterusnya mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan sesama kita.Meskipun kita semua tahu bahawasanya doa tersebut tidak diperkenankan oleh Allah S.A.W kepada Nabi Muhammad dahulu namun aku percaya setiap dari kita tetap menyimpan hasrat dan impian yang sama untuk melihat semua umat Islam di seluruh dunia dapat bersatu dan menghentikan sebarang pertelingkahan bukan hanya sesama umat Islam juga sesama kaum keluarga serta sahabat handai.Namun, sebagai umat Islam jangan sampai akidah kita tergelincir akibat terlalu kecewa memikirkan kepada nasib kita yang dilahirkan sebagai umat Islam kerana kita dianugerahkan akal untuk berfikir dan mempertimbangkan sebaiknya mana yang baik dan mana yang buruk seterusnya berusaha serta mencari formula paling berkesan untuk menghentikannya.Jika tidak dapat dihentikan sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkannya.

Aku juga percaya kita semua ternanti-nanti bilakah akan munculnya Imam Mahdi sepertimana yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W untuk membimbing dan menyatukan seluruh umat Islam di dunia ini.Semoga bumi Palestin, Yemen, Iraq, Libya dan seluruh negara Islam termasuk negara kita sendiri tidak lagi bermandi darah yang tumpah dari tubuh umat Islam apatah lagi tumpahnya kerana persengketaan sesama kita umat Islam.Bilakah semua ini akan berakhir dan bilakah akan munculnya imam Mahdi?..Biar sampai bila sekalipun segalanya perlu kita tempuh dengan sabar.

Dalam kehidupan kita seharian inilah yang dapat kita saksikan tidak kira di bandar mahupun di kampung malah di alam cyber juga permusuhan, dengki khianat dan perbalahan terus berpanjangan dengan masing² enggan mengalah dan cuba mempertahankan hujah masing²..politik? jangan cakaplah..tak perlu pergi jauh lihat saja di dalam facebook mahupun tweeter...Masyaallah.

Hanya Tuhan Yang Tahu

 ozzy - tidak lepas dari sengketa...

12 Januari 2012

CUCI KERETA ATAU SABUN KERETA

Zaman sekarang ni boleh dikatakan semua mereka yang berkerjaya dah mampu nak beli kereta sendiri.Kalau tak mampu beli yang baru sambar aje yang 2nd hand bukan mahal sangat dah pun kan.Kalau nak bandingkan dengan zaman dulu zaman sekarang bermacam pilihan yang ada di pasaran dengan bermacam jenama samada kereta tempatan mahupun kereta import.

Bila dah pakai kereta biasanya kita nakkan kereta kita tu nampak cantik dan berkilat kan.Tak kiralah apa jenis model sekalipun kereta tu tetap kereta kita dan yang bawanya pun kita kan.Kalau kereta tu cantik dan berkilat nak bawa pun semangat sikit ye tak..Bagi yang tinggal di rumah teres atau yang tinggal di kampung memang tak ada masalah nak cuci kereta ni siap boleh polish lagi tu pun kalau rajinlah tapi bagi mereka yang tinggal di rumah flet memang masalah sikit takkan nak tarik paip getah tu sampai ke bawah kot kan..Nak tak nak terpaksalah bawa ke car wash untuk dicuci.

Samalah macam aku yang duduk kat flet di KL ni..nak tak nak terpaksalah hantar ke car wash untuk cuci kereta.Kalau dulu cuci sekali dengan vacuum upahnya cuma rm5 lepas tu naik ke rm8 dan sekarang upahnya dah naik jadi rm10.Bezanya dulu belum ada snow wash tapi sekarang sekali sembur tu diaaaa penuh kereta bersalut sabun.Kita yang tengok ni pun terpesona sebab nampak kereta dipenuhi dengan sabun kononnya bersihlah kereta aku tu tapi rupanya bila dah kering masih nampak kesan kotor di beberapa tempat yang tak di cuci.Ni cuci kereta ke sabun kereta? kalau dulu penggunaan sabun secara manual lebih bersih sebab diaorang cuci satu bahagian ke satu bahagian tapi sekarang harap penuh dengan sabun je..mentang-mentanglah ramai yang berbaris nak cuci diaorang cuci dan lap pun ala kadar je tapi upahnya makin mahal !!..janganlah macam tu.

 ~ Agaknya kalau macam ni lagi bersih kot ~

ozzy - guna kancil senang nak cuci...

11 Januari 2012

UNIKNYA POKOK KELAPA

Pokok kelapa biasa kita tengok hidup ditepi pantai atau di tanam disekitar rumah.Seperti yang kita tahu pokok kelapa ni memang ada banyak kegunaannya.Dari batang hinggalah pada pucuknya ada bermacam kegunaannya.Air dan isi kelapa muda memang berkhasiat dan sedap diminum untuk menghilangkan dahaga.Menurut petua orang dulu-dulu kalau kita disengat ikan pari cepat² panjat pokok kelapa untuk mengurangkan bisa sengatan tersebut, samada betul atau tidak wallahualam..

Seperti yang kita tahu bahawa kekuatan sebatang pokok itu sangat bergantung pada akar tunjangnya tetapi ramai yang tidak tahu bahawa pokok kelapa tidak mempunyai akar tunjang dan hanya bergantung pada akarnya yang banyak.Jadi kekuatannya terletak di mana? ditambah lagi dengan bebanan dari pelepah serta buahnya apatah lagi jika ia tumbuh di tepi pantai yang sering dipukul angin dan ribut.

Menariknya, walaupun sering dilanda angin dan ribut yang kuat dari arah laut, pokok kelapa tetap condong menghala ke arah laut malah ada yang sampai pohonnya mencecah ke permukaan laut.Itulah kehebatan dan keunikan yang ada pada pokok kelapa.

Mampukah kita menjadi sepertinya?Kalau nak bandingkan dengan kita yang kadang² dilanda dengan badai dalam kehidupan dah rasa macam nak bunuh diri, dah rasa x nak hidup lagi, dah rasa macam malangnya hidup dan bermacam lagi perasaan kecewa sedangkan kita dianugerahkan akal dan tenaga berbanding pokok kelapa yang diam di satu tempat hanya menanti dan bertahan walau sekuat manapun ribut yang datang menyerang.Bukan itu saja malah ia terus condong menghala ke arah lautan meskipun setelah ribut itu berhenti menyerang.

Itulah kehebatan, kekuatan dan semangat yang ada pada sepohon pokok kelapa sedangkan kita hanya dengan sedikit kelebihan kita dah rasa yang diri kita dah cukup hebat.

ozzy -  tak rasa diri ini hebat...

BILA NAK KAYA

Bilalah aku boleh kaya?..Aku pasti ramai diantara kita pernah memikirkan atau bertanya soalan tersebut samada pada diri sendiri mahupun ketika bersama rakan-rakan yang lain.Korang pernah fikir?..jangan tipulah kecuali kalau korang memang dah kaya raya tapi bila dah kaya keluar pulak soalan lain, bilalah aku nak dapat kahwin sorang lagi?..bilalah aku dapat beli jet..bilalah aku dapat beli rumah bersalut emas dan bermacam lagilah bila lah lahnya kan, tapi jangan pulak bila dah kaya raya ada pulak yang fikir "Bilalah laki aku ni nak mati..panjang pulak tu umor orang tua ni"..hisshhh!! tak elokla macam tu kan, berdosa tu nanti masuk neraka..jahanam!.

Biasalah, itu semua perkara normal selagi kita ni bernama manusia yang mempunyai nafsu dan keinginan yang tak pernah ada kesudahannya sehinggalah kita mati nanti.Sebab tu juga timbulnya kata pepatah 'Biar papa asal bergaya' bergaya tu maksudnya apa?maksudnya kita nak nampak bergaya macam orang kaya walaupun sebenarnya tak ada duit.Ramai yang kata "aku tak nak kaya, asal hidup senang sudahlah", itu kata di mulut tapi lain kata hatinya.Sama je kan sebenarnya tu cuma kita ni bercakap selalu berkias takut nanti dikata orang.Aku pun kadang macam tu juga selalu cakap berkias tapi kalau dah jenis tak faham tu tabur jelah peluru 'straight to the point'.

Kadang tu ramai yang kata "aku ni kerja siang malam tapi tak kaya-kaya juga..macam mana orang lain senang je jadi kaya..nak kata usaha macam² usaha aku dah buat, buat kerja sampai tercungap-cungap,nak kata tak boleh buat, macam² benda aku boleh buat tapi tak kaya² juga, orang lain buat blog boleh kaya tapi aku buat tak kaya² juga hehe.." Ehhh!!macam mana kita tau dia atau orang lain tu senang jadi kaya?itupun kena tanya pada diri kita juga, betul ke orang tu senang² je boleh kaya kan..kita kata dia senang jadi kaya sebab kita tengok dia dah kaya tapi kita tak tengok macam mana keadaan dia sebelum kaya kecualilah bila dia lahir mak bapak dia memang dah kaya raya macam tu bolehlah kita kata senang² dia kaya lahir je terus kaya.

Cakap bab kaya ni sampai bila pun tak habis² selagi kita belum kaya hehe..jangan susah hati teruskan usaha dan mungkin kita tak nampak kelebihan yang ada pada diri kita..cuba terokai lebih lagi diri kita sendiri.

ozzy - ada banyak kelebihan dan banyak juga kekurangan..

10 Januari 2012

AWAK NI CIKGU KE?

Rasanya aku nak ubah sikit konsep bahasa yang digunakan dalam entry aku ni berselang seli dengan bahasa yang lebih conventional ataupun selalu disebut ayat skema dengan bahasa yang lebih santai atau yang kita biasa gunakan setiap hari..best juga sesekali tulis merapu ni kan hehe..

Pernah tak kamu semua atau mudahnya aku sebut korang semua alami situasi di mana korang ditegur atau disapa oleh seseorang yang tidak dikenali?.Pasti pernah kan..tak kiralah sapaan tu untuk berkenalan atau mengorat ataupun disebabkan sikap ramah orang lain atau diri korang sendiri.Biasanya kita mahupun orang lain menilai diri seseorang berdasarkan pakaian ataupun penampilannya termasuklah pada raut wajahnya, betul tak?

Kalau kita tengok smart atau muka ayu je paling kurang kita akan anggap "ini mesti kerja bagus ni..kerja pejabat".Pernah ke seseorang yang korang tak kenali tengah rancak berborak dia terus teka apa kerja korang?.Aku dah beberapa kali ditanya dan diserkap dengan soalan yang sama dan yang peliknya semua mereka tanya soalan yang sama " awak ni kerja cikgu ke?" hahaha..terkekek bini aku gelak hehe..dan setakat ini dah 4 orang memberi soalan yang sama.

Apasal kata aku ni cikgu?? hehe..Kalau tengok gaya dan cara aku berpakaian tak adalah smart macam cikgu cuma mungkin muka aku ni je yang selalu nampak serius ataupun garang tapi muka je nampak garang tapi dalam hati ada taman hehe..Pakaian aku pun biasanya simple aje jeans dengan t-shirt berkolar serta berselipar...takkan gaya cikgu macam tu kot hehe..

Terbaru masa aku pergi kenduri kahwin baru-baru kat kampung sebelah wife aku.Oleh sebab meja yang wife dan anak-anak aku duduk dah penuh maka aku beralih ke meja lain yang diduduki oleh seorang pakcik bersama isterinya.Sambil makan maka aku berboraklah dengan pakcik tu dari satu topik ke satu topik termasuklah topik anaknya yang sedang belajar di salah sebuah universiti.Tiba-tiba pakcik tu pandang muka aku dan dia bertanya   " awak ni kerja cikgu ke "...macam biasa aku senyum je tapi dalam hati aku berkata "apasal orang selalu tanya soalan yang sama..muka aku ni ada gaya cikgu ke? hehe ".Aku jelaskan yang aku ni kerja kilang je pakcik tapi dia macam tak percaya.Dalam hati aku kata "tak percaya sudah hehe.."

Apapun tak kiralah apa jua anggapan mahupun tanggapan kita sebaiknya biarlah yang baik-baik saja ataupun bersangka baik.Kadang tu nampak je pakaian selekeh rupanya manager bank dan kadang tu nampak je pakai kemas rupanya cuma seorang jaga...tak kisahlah apapun asalkan ada kerja dan blogger pun dikira sebagai kerja juga kan..

ozzy - bukan cikgu tapi sifu hehe...

9 Januari 2012

CENDOL LEMAN DAWI

Nama Leman Dawi semakin terkenal setelah mendapat liputan dan siaran di dalam majalah tiga tidak lama dahulu.Sebut saja Leman Dawi pasti ramai akan terbayangkan keenakan cendolnya yang dijual dan menariknya dia hanya menjual cendol semata-mata di dalam menunya.Antara cendol yang dijual adalah cendol biasa,cendol kacang,cendol jagung dan cendol pulut.

Pada mereka yang pernah melalui jalan lama dari Senawang menuju ke Tampin pasti dapat melihat dengan jelas kedainya yang terletak bersebelahan dengan jalan utama.Pada awalnya dulu sebelum kedai itu dibuka dia hanya menjual di bawah pokok dan di tepi jalan bersama sebuah motorsikal sebelum beralih kepada sebuah lori kecil.Namun, walaupun perniagaannya semakin maju dan semakin mendapat sambutan dia masih terus mengekalkan konsep lama antaranya :

i - Cendol tetap diletakkan di atas setiap meja untuk ditambah secara percuma termasuk air gula dan air batu.
ii - Air barli turut disediakan dan diberi percuma samada untuk diminum disitu atau dibungkus untuk dibawa balik.
ii - Sudu akan di basuh dan kemudiannya direndam di dalam air panas sebelum digunakan oleh pelanggan.
iii - Dia akan berceloteh setiap masa dengan celotehnya yang menghiburkan.

Semalam aku singgah di kedainya seperti biasa sekiranya terasa dahaga setiap kali jika aku melalui jalan ini.Kelihatan di atas meja satu bekas yang berisi cendol untuk ditambah, botol yang berisi air gula melaka dan satu bekas yang berisi ais batu yang disediakan secara percuma untuk ditambah.
Namun aku dan beberapa orang pelanggan lagi tertanya-tanya kenapa hari itu tidak ada air barli seperti biasa?.Biasanya ia di letakkan berhampiran dengan tempat duduk di situ.Menurut pemiliknya Leman Dawi, air barli tidak lagi dia sediakan untuk sementara waktu kerana dia telah berjaya mengesan dan menangkap seseorang yang mengambil kesempatan dengan mengambil air tersebut secara percuma tapi kemudian menjualnya dengan harga seringgit sebungkus di tempat lain.

Dia kecewa kerana yang melakukannya adalah orang melayu sendiri sedangkan dia sediakannya sebagai satu daya tarikan dan amal jariah sebagai tanda kesyukuran dan berterima kasih pada pelanggannya. Bayangkan plastik, straw dan cawan plastik disediakan secara percuma sedangkan orang lain dengan mudah mengambil kesempatan tanpa perlu mengeluarkan satu sen pun modal.

Apapun aku ingin ucapkan tahniah padanya kerana berjaya memajukan perniagaannya meskipun cara dan konsep lama masih terus dikekalkan.Selain dari harga yang masih dikekalkan disebalik kenaikan harga barang dia membuktikan bahawa dia masih mampu hidup senang tanpa menindas orang lain dan terus memberi sumbangan kepada orang lain.





ozzy - kagum dengan pengetahuan dan minatnya yang rajin membaca tentang sejarah...

4 Januari 2012

KAIN BATIK UNTUK JOHN

Rasanya agak lama aku berehat dari menulis di blog ini.Kalau dah lama tinggal memang malas nak mula balik tambah lagi mood nak menulis pun entah kemana menghilang.Walaupun dah lama tak update tapi sesekali aku tetap singgah menjengok blog aku ni dan apa yang aku tengok statistik pengunjung tetap sama seperti selalu malah ada kalanya lebih dari biasa.Mungkin kerana ramai yang ingin mencari info berkenaan sesuatu dan mungkin juga info tersebut pernah aku paparkan di sini.Itulah yang pernah aku katakan seperti DI SINI iaitu setelah kita mati inilah yang akan kita tinggalkan dan akan terus dibaca oleh orang lain.Jika baik isi kandungannya maka faedahnya akan dapat dikongsi oleh orang lain tetapi jika buruk kandungannya serta penuh fitnah dan hinaan pada orang lain ia akan kekal untuk selamanya sebagai bekalan kita di dalam kubur itu nanti.

Dalam tak sedar rupanya template lama yang aku gunakan dah tak boleh digunakan lagi maka terpaksalah aku tukar seperti ini termasuklah shoutbox yang turut tak boleh digunakan lagi maka terpaksalah aku buang daripada semak je kat sini hehe dan buat sementara aku gunakan jelah yang ni sebab masih malas nak edit atau modified apa saja, nantilah kalau ada masa...Oh ya! tak lupa juga aku nak ucapkan selamat tahun baru pada semua rakan² yang mengenali aku di alam maya ini.Sambil aku jengok blog aku ni tiba-tiba aku tengok ada banyak pertanyaan dari seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai John yang nampaknya berminat untuk mengetahui tentang kain batik.Ada beberapa pertanyaan darinya DI SINI dan antara soalannya adalah seperti yang aku copy dan paste di bawah ini.

Batik dikatakan berasal dari Mesir dan telah digunakan lebih seribu tahun dulu dan ia kemudiannya digunakan secara meluas di negara Asia seperti Bangladesh, India, Indonesia, Iran, Sri Lanka, Thailand termasuk negara kita Malaysia terutamanya pada kaum Melayu.Seterusnya ia menjadi satu budaya atau tradisi pada kaum Melayu untuk menjadikan batik sebagai pakaian rasmi atau untuk digunakan dalam kehidupan seharian seperti memakai kain batik.Bagi membezakan antara lelaki dan perempuan maka kain pelikat digunakan oleh kaum lelaki.Apa yang membezakannya adalah corak kain batik lebih berbunga-bunga manakala kain pelikat kebiasaannya berjalur dan didatangkan dengan berbagai warna yang berlainan.

Berbalik pada soalan John yang pertama jawapan yang dapat aku berikan adalah memang benar bahawa zaman ini agak jarang dan semakin kurang masyarakat Melayu yang memakai kain batik terutamanya pada generasi muda.Ini adalah kerana perubahan gaya hidup serta aktiviti seharian yang semakin jauh berbeza.Kalau zaman dulu memang jarang kita tengok anak gadis memandu kereta tetapi hari ini ramai diantara mereka yang mempunyai kenderaan sendiri dan pastinya mereka malu untuk memandu kereta atau menaiki motorsikal dengan berkain batik.Itu adalah salah satu contoh tetapi sebenarnya banyak lagi faktor lain yang menyebabkan kain batik tidak lagi popular serta kurangnya galakan dari ibu bapa mereka sendiri untuk memakai kain batik.

Faktor ini bukan hanya melibatkan masyarakat di bandar malah mereka yang tinggal di kampung juga semakin jarang yang memakai kain batik cuma mungkin bilangan mereka yang masih menggunakan kain batik sewaktu tidur lebih tinggi berbanding dengan masyarakat di bandar.Namun kebiasaannya setelah mereka berkahwin mereka akan mula membiasakan diri untuk memakai kain batik terutamanya pada waktu malam supaya tidak kekok apabila pulang kekampung mak mertua yang mungkin masih tinggal di kampung dan masih mengamalkan budaya ini.

Tentang persoalan kenapa mereka perlu memakai kain batik selepas bersalin?.Pendapat aku adalah ia lebih memudahkan mereka untuk menguruskan diri mereka sendiri dan juga bayi mereka.Kalau pakai seluar mungkin agak susah untuk dibuka berbanding pakai kain batik yang terus boleh selak contohnya untuk buang air kecil atau besar.Begitu juga ketika proses berurut sudah tentu ia lebih memudahkan tukang urut dan dirinya sendiri sewaktu melakukan proses ini.Tambahan lagi ketika 'waktu berpantang' ini mereka lebih banyak berehat dan kurang melakukan aktiviti atau kerja² berat.Namun jika ada yang berkata 'I got no choice' atau tiada pilihan dan terpaksa memakai kain batik ketika berpantang aku kurang setuju kerana aku berpendapat tiada paksaan pun untuk memakainya 'and it is not a compulsary'.Sekiranya dia berasa tidak selesa maka itu terpulang pada dirinya sendiri kerana memakainya bukanlah satu kewajipan tetapi lebih kepada salah satu budaya yang telah dipraktikkan oleh orang melayu sejak dulu lagi.

Ada beberapa lagi persoalan dari John dan aku mencadangkan agar dia pergi sendiri melawat ke kawasan kampung terutamanya di Kelantan dan Terengganu yang masih lagi ramai yang mengamalkan budaya memakai kain batik ini.Selain dari itu dia boleh singgah dan lihat sendiri bagaimana proses untuk membuat kain batik yang banyak terdapat di Terengganu termasuk proses mencanting batik sekaligus boleh bertanya lebih lanjut berkenaan kain batik ini.


Tentang keselamatan seperti mana yang dia bimbangkan jika pergi ke kampung, sebenarnya di zaman ini di mana saja kita pergi belum tentu kita akan selamat dan jika dia (John) berada di negara China sekalipun belum tentu dia akan selamat setiap masa.Sebenarnya masyarakat kampung lebih mesra dan ramah jika kena gayanya kalau nak bandingkan dengan masyarakat bandar.Jika kita bersikap sopan sudah tentunya mereka akan melayan kita dengan sopan dan baik kerana sopan santun itu juga termasuk sebagai satu adab dan budaya orang melayu.

ozzy - masih guna kain pelikat semasa tidur malam...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...