23 April 2011

HARTA BUKAN SEGALANYA

Mengharungi zaman serba moden hari ini tiada siapa dapat menyangkal bahawa kehidupan kita hari ini segalanya memerlukan duit.Biarpun ramai yang berkata duit bukan segala-galanya namun hakikat yang perlu kita terima bahawa dunia hari ini segala-galanya juga perlukan duit.Kerana harta kita leka, kerana harta ramai mengaku saudara dan kerana harta kita bersengketa.

Ramai antara kita yang bertungkus lumus bekerja siang dan malam tak kira masa semata-mata ingin mengumpul harta dan kekayaan.Betapa kita bangga dengan kekayaan yang ada hinggakan sesetengahnya mula dikuasai sifat sombong dan mula bermegah.Kita mula memilih rakan yang sepadan dan setaraf, kita memilih kedai untuk singgah makan demi menjaga status dan kita hanya memilih barangan berjenama untuk diguna.Jika dulu kita berjalan menunduk ke bumi tapi kini kita melangkah sambil menongkat ke langit.Kita mudah lupa bahawa kaki kita sebenarnya tetap berpijak di bumi nyata.

Kita lupa bahawa seandainya kepala kita terhantuk dan berdarah, kita tetap perlu menunduk ke bumi demi menahan kesakitan.Ketika itu juga kita sedar bahawa darah yang mengalir tidak akan naik ke langit tetapi tetap mengalir tumpah kebumi.Di saat terlantar menahan sakit kita merenung setiap inci tubuh yang sebelum ini sihat tetapi dikerah demi mengejar kemewahan.Tiada istilah rehat untuknya kerana naluri dan impian kita berkata bahawasanya masa itu amat berharga.

Kerana duit dan kerana harta kita ketepikan nilai kasih sayang.Kita timbus dan semadikan kerana beranggapan ianya tiada nilai dan tiada harga.Kita butakan hati dan kita lontarkan sejauhnya demi mengejar harta dan kemewahan dunia.
Sesungguhnya tiada siapa yang tidak merasa bangga apabila hidup diulit kemewahan apatah lagi jika segalanya atas titik peluh dan usahanya sendiri.

Sampai pada satu ketika akhirnya ramai yang mula menyedari apabila merasakan mereka bagaikan kehilangan sesuatu.Jiwa mula meronta mencari sesuatu yang selama ini telah ditimbus, sesuatu yang kita anggap tiada harga dan sesuatu yang dianggap tiada nilainya.Sesuatu yang kita anggap racun rupanya tersembunyi penawar di dalamnya.Penawar paling ampuh untuk mengubat hati yang sepi, penawar untuk menangkis bisa yang meresap di dalam hati dan penawar terbaik menemani hidup yang sunyi.Akhirnya kita menyedari bahawa sesungguhnya penawar tersebut yang bergelar Kasih dan Sayang amat tinggi nilainya kerana ia tidak boleh dijual beli, ia tidak dilelong dan ia tidak pernah meletakkan harga.

Sesekali menyendiri kita seakan-akan ingin merubah takdir agar kita bisa hidup bahagia seperti orang lain sedangkan takdir itulah yang kita harapkan sewaktu kita menempa jalan membina kemewahan.Kita melihat ada yang cuma hidup sederhana tapi dilimpahi dengan kasih sayang dan hati kita berkata kenapa kita tidak dikurniakan kebahagian seperti mereka.Kita kembali rindukan gurau senda yang pernah kita nikmati, kita kembali mencari kemana hilangnya tawa mesra dan belaian manja lantas kita berkata andai dapat diundur masa ingin kita letakkan kasih dan sayang itu kembali berada di tempatnya.Akhirnya kita perlu akui bahawa sesungguhnya Allah itu maha adil, dilebihkan buat kita satu bahagian dan dikurangkan pula satu lagi bahagian agar kita tidak terus leka dan lupa untuk bersyukur kepadanya.Bersyukur kerana dikurniakan dan dilimpahi rezeki olehnya biarpun kebahagian dan kasih sayang itu masih belum menjadi milik kita.

Harta bukan segalanya biar setinggi gunung ia terbina, ia akan kembali susut apabila dikikis tetapi kasih sayang tidak akan terhenti ibarat air sungai yang mengalir tanpa henti.Cedoklah ia apabila terasa dahaga dan ternyata bila diri disayangi itulah kalimah yang lebih bermakna kerana tanpanya hidup kita terasa bagaikan tidak sempurna.Setiap insan yang bernyawa berhak untuk hidup bahagia maka berusahalah agar kebahagian turut menjadi milik kita.

Seperti kata seorang sahabat :


 "Dengan duit kita boleh membeli tilam, namun 
kita tidak akan mampu membeli tidur yang lena"


                      


ozzy - Alhamdulillah walaupun hidup hanya sederhana...

7 ulasan:

  1. Salam, kita wajib mencari duit tapi jangan sampai jadi hamba duit. Benar duit bukan segalanya namun bila tak de duit tak dapat juga segalanya:(
    "Duit boleh membeli tilam, namun kita tidak dapat membeli tidur yang lena"

    BalasPadam
  2. Akuanakpahang..w'salam

    "Duit boleh membeli tilam, namun kita tidak dapat membeli tidur yang lena"

    tepat sekali...

    BalasPadam
  3. Biar harta sikit tapi dapat dengan cara yang betul dan jgn lupa mohon keberkatan dariNYA. Dalam doa makan, kita kena mintak Allah berkati makanan yang Dia dah bagi pada kita. In short, semua orang Allah bagi rezeki, kita jangan lupa pulak kepadaNYA.

    BalasPadam
  4. ye betul, harta bukan segalanya

    BalasPadam
  5. Biar tak banyak Duit...bersyukur tidak meminta-minta ...bahgia tidak dapat dibeli dgn duit namun kebahagian punya duit juga tidak boleh dinafikan....

    BalasPadam
  6. HARTA ITU PENTING KALU TAK MERANA LE BADAN JIKA INGINKAN KESELESAAN HIDUP.TP HARUS DI SELIT RASA KERSYUKURAN JIKA TAK SOMBONG N BONGKAK LE IA TANPA DI SEDAR DUNIA NI HANYA SEMENTARA.INGAT SUME NI DTG DR DIA YG MAHA BERKUASA KITA JGN LE LUPA UMPAMA DUNIA NI ANDA YG PUYE...RENUNG2KAN DAN SELAMAT BERAMAL....

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...